Sunday, June 28, 2009

Kepentingan Perundangan Islam Dalam Konteks Masyarakat Majmuk

Muqaddimah

وَمَا أَرْسَلْنَاكَ إِلاَّ كَافَّةً لِلنَّاسِ بَشِيرًا وَنَذِيرًا وَلَكِنَّ أَكْثَرَ النَّاسِ لاَ يَعْلَمُونَ - سبأ/28


(“Dan tiadalah Kami mengutusmu (wahai Muhammad) melainkan untuk umat manusia seluruhnya, sebagai Rasul pembawa berita gembira (kepada orang-orang yang beriman), dan pemberi amaran (kepada orang-orang yang ingkar); akan tetapi kebanyakan manusia tidak mengetahui (hakikat itu)”)


Islam adalah merupakan satu-satunya agama ataupun pegangan yang benar serta diredhai oleh Allah SWT, Tuhan sekalian alam di antara berjuta-juta fahaman, ideologi mahupun anutan yang wujud atas muka bumi ini.

Firman Allah Taala:

إِنَّ الدِّينَ عِنْدَ اللَّهِ الإِسْلاَم - ُ آل عمران/19


(“Sesungguhnya agama (yang benar dan diredai) di sisi Allah ialah Islam”)


Sebagaimana ayat 28 daripada surah Saba’ yang telah disebut pada permulaan tajuk ini, ianya menerangkan kepada kita serta menjelaskan secara terang lagi jelas bahawa Muhammad SAW merupakan seorang Nabi yang diutuskan Tuhan buat manusia seluruhnya. Pembawa perkhabaran gembira dan dalam masa yang sama Baginda juga ditugaskan untuk memberi peringatan kepada mereka. Tidak terbatas kepada kaum Arab, bukan untuk sesetengah warna kulit, keturunan ataupun kasta. Bahkan risalahnya buat semua bangsa keturunan yang melata di dada bumi ini.

Apabila Pencipta manusia sendiri memberitahu kepada kita di dalam Al-Quran bahawa risalah Islam yang disampaikan oleh Baginda Rasulullah SAW adalah untuk sekalian manusia, maka seharusnyalah kita sebagai umat Islam beriman, meyakini lagi membenarkannya.

Islam merupakan agama yang relevan sejak dahulu, kini dan selamanya buat semua bangsa keturunan kerana ‘seluruh manusia’ yang disebut dalam Al-Quran itu terdiri daripada berbilang bangsa dan juga bahasa. Ini memberi makna bahawa hukum Islam amat sesuai dengan keadaan masyarakat majmuk pada hari ini.

Tidak wajar sekiranya dikatakan perundangan ataupun hukum-hakam Islam sudah tidak sesuai di waktu sekarang dengan hanya beralasan bahawa kehidupan masa kini bercampur-gaul dengan masyarakat majmuk yang berbilang bangsa, fahaman serta agama.

Pelaksanaan perundangan Islam ini pernah diamalkan dengan penuh kegemilangan di zaman Rasulullah SAW dan juga khalifah-khalifah Islam terdahulu. Sehinggalah ia dijatuhkan pada tahun 1924 Masihi oleh Mustafa Kamal Atartuk, pemimpin Gerakan Muda Turki yang berfahaman Sekularisme.

Seperti mana yang dapat diketahui daripada lipatan sejarah, pelaksanaan perundangan Islam di masa lampau bukanlah terbatas kepada golongan Islam semata. Tetapi ianya adalah menyeluruh untuk sesuatu masyarakat di dalam sesebuah negara termasuk dari kalangan penganut Islam, Yahudi, Nasrani, Majusi, penyembah berhala dan sebagainya.

Insya-Allah, dalam tajuk yang muhim (penting) ini akan dikemukakan sedikit perbincangan ringkas mengenai peri pentingnya perundangan Islam kepada masyarakat majmuk, pengertian terhadap pemahaman Islam serta apa-apa yang bersangkutan dengannya.

Pengertian Islam

Para ulama telah meletakkan beberapa pentakrifan tentang pengertian Islam bagi memberi kefahaman sebenar kepada penganut agama Islam sendiri khususnya dan untuk semua manusia secara amnya.

· Satu ketika di waktu Rasulullah SAW sedang berhalaqah bersama para sahabat radhialLahuanhum dalam siri pengajaran dakwah Baginda, datang Malaikat Jibril alaihissalam yang berupa seorang lelaki asing lalu bertanyakan Rasulullah sesuatu, antaranya Jibril bertanya mengenai Islam. Jawab Rasulullah SAW: “Islam itu, kamu bersaksi bahawa tiada Tuhan selain Allah dan Muhammad itu utusan-Nya, dan kamu mendirikan solat, menunaikan zakat, berpuasa Ramadhan dan kamu menunaikan haji sekiranya kamu mampu”. Hadis riwayat Imam Bukhari yang masyhur dengan jolokan ‘Hadis Jibril’ ini merupakan asas pertama terhadap pengertian Islam.

· Islam juga didefinisikan sebagai tunduk, menyerah dan mentaati Allah SWT dengan penuh keikhlasan. Tiada sebarang paksaan. Apabila ketaatan, tunduk dan penyerahan ini disusuli dengan rasa ikhlas serta kesedaran yang mendalam terhadap kebenaran Islam, ianya mampu melahirkan insan-insan yang patuh sepenuhnya dengan segala perintah-Nya juga apa yang disampaikan oleh utusan-Nya SAW tanpa sebarang alasan.

Firman Allah Taala yang bermaksud:

وَمَنْ يُسْلِمْ وَجْهَهُ إِلَى اللَّهِ وَهُوَ مُحْسِنٌ فَقَدِ اسْتَمْسَكَ بِالْعُرْوَةِ الْوُثْقَى وَإِلَى اللَّهِ عَاقِبَةُ الأُمُورِ - لقمان/22


(“Dan sesiapa yang berserah diri bulat-bulat kepada Allah (dengan ikhlas) sedang dia berusaha mengerjakan kebaikan, maka sesungguhnya dia telah berpegang kepada simpulan (tali agama) yang teguh dan (ingatlah) kepada Allah jualah kesudahan segala urusan”)


· Islam merupakan the way of life, peraturan bersifat global yang mengatur kehidupan umat manusia serta menjadikan kemuliaan akhlak sebagai dasar penyebaran risalahnya oleh Nabi Muhammad SAW.

· Agama Islam adalah satu kumpulan peraturan yang diturunkan Allah kepada Rasul-Nya untuk disampaikan buat seluruh manusia. Samada peraturan yang berbentuk akidah, akhlak, ibadat, muamalat sosial serta sejarah. Semuanya itu terkandung di dalam kitab suci Al-Quran dan sunnah Baginda SAW.

Inilah sedikit definisi ataupun pentakrifan daripada beberapa definisi yang telah dinukilkan oleh para ulama demi menzahirkan kepada kita yang agama Islam itu adalah syumul, mencakupi buat semua aspek di dalam kehidupan ini. Islam juga merupakan satu jawapan kepada persoalan yang selalu dihadapi oleh umat manusia semenjak dahulu sampailah sekarang. Tiga persoalan yang sering menghantui pemikiran setiap manusia dalam kehidupan ini. Persoalan-persoalan itu di dalam tiga pertanyaan:

1- Daripada mana aku datang?
2- Kenapa aku datang (ke dunia)?
3- Bagaimana pula akhir nasib manusia?

Firman Allah Taala bagi persoalan pertama:

الَّذِي أَحْسَنَ كُلَّ شَيْءٍ خَلَقَهُ وَبَدَأَ خَلْقَ الإِنسَانِ مِنْ طِينٍ - ثُمَّ جَعَلَ نَسْلَهُ مِنْ سُلاَلَةٍ مِنْ مَاءٍ مَهِينٍ - ثُمَّ سَوَّاهُ وَنَفَخَ فِيهِ مِنْ رُوحِهِ وَجَعَلَ لَكُمْ السَّمْعَ وَالأَبْصَارَ وَالأَفْئِدَةَ قَلِيلاً مَا تَشْكُرُونَ - السجدة/9/8/7


(“Yang menciptakan tiap-tiap sesuatu dengan sebaik-baiknya, dan dimulakan-Nya kejadian manusia berasal dari tanah;
Kemudian Dia menjadikan keturunan manusia itu dari sejenis pati, iaitu dari air (benih) yang sedikit dipandang orang;
Kemudian Dia menyempurnakan kejadiannya (manusia), lalu meniupkan padanya roh (ciptaan-Nya). Dan Dia mengurniakan kepada kamu pendengaran dan penglihatan serta hati (akal fikiran), (supaya kamu bersyukur, tetapi) amatlah sedikit kamu bersyukur
”)


Firman Allah Taala lagi untuk persoalan kedua:

وَمَا خَلَقْتُ الْجِنَّ وَالإِنسَ إِلاَّ لِيَعْبُدُونِ - الذاريات/56


(“Dan (ingatlah) Aku tidak menciptakan jin dan manusia melainkan untuk mereka menyembah dan beribadat kepada-Ku”)


Persoalan ketiga pula, Allah Taala telah menjawab dengan firman-Nya:

… ثُمَّ إِلَى رَبِّكُمْ مَرْجِعُكُمْ فَيُنَبِّئُكُمْ بِمَا كُنْتُمْ تَعْمَلُونَ إِنَّهُ عَلِيمٌ بِذَاتِ الصُّدُورِ - الزمر/7


(“. . .Kemudian kepada Tuhan kamulah tempat kembalinya kamu, maka Dia akan memberitahu kepada kamu tentang apa yang kamu telah kerjakan (di dunia). Sesungguhnya Dia maha Mengetahui akan segala (isi hati) yang terkandung di dalam dada”)


Anjuran kepada pelaksanaan perundangan Islam

Allah SWT sendiri telah mengingatkan manusia, khususnya umat Islam agar berhukum serta menjalankan apa yang telah ditetapkan-Nya di dalam kehidupan supaya mereka sentiasa harmoni dan jauh dari porak-peranda dunia.

Secara logiknya, tidak dapat diterima oleh akal yang waras apabila dikatakan bahawa Tuhan yang telah menciptakan manusia membiarkan sahaja mereka hidup tanpa sebarang tunjuk ajar ataupun peraturan buat panduan manusia untuk menjalani kehidupan di muka bumi ini.

Cuba kita perhatikan satu contoh mudah yang berkaitan dengan permasalahan ini:

Sebuah syarikat pengeluar alatan elektronik, tidak dapat tidak mestilah menyertakan bersama alat elektronik itu sebiji katalog sebagai panduan serta aturan penggunaannya. Jika sekiranya alat tersebut diguna tanpa mengikut aturan yang telah ditetapkan, pasti ia akan mengalami masalah dan seterusnya akan rosak.

Begitulah juga ibaratnya kejadian manusia. Mustahil seandainya Tuhan SWT yang maha Mengetahui lagi Bijaksana menjadikan kita, lalu membiarkan kita terhuyung-hayang dipukul gelombang dunia tanpa sebarang panduan untuk menanganinya. Kalaulah begitu keadaannya, maka tidak layak bagi Tuhan memiliki sifat kebijaksanaan dan kalau kita pula yang katakan bahawa hukum Tuhan tidak lagi sesuai, maka secara sedar atau tidak kita telah pun menafikan sifat maha Mengetahui serta Kebijaksanaan-Nya.

Firman Allah Taala:

وَأَنْ احْكُمْ بَيْنَهُمْ بِمَا أَنزَلَ اللَّهُ وَلاَ تَتَّبِعْ أَهْوَاءَهُمْ وَاحْذَرْهُمْ أَنْ يَفْتِنُوكَ عَنْ بَعْضِ مَا أَنزَلَ اللَّهُ إِلَيْكَ فَإِنْ تَوَلَّوْا فَاعْلَمْ أَنَّمَا يُرِيدُ اللَّهُ أَنْ يُصِيبَهُم بِبَعْضِ ذُنُوبِهِمْ وَإِنَّ كَثِيرًا مِنْ النَّاسِ لَفَاسِقُونَ - المائدة/49


(“Dan hendaklah engkau menjalankan hukum di antara mereka dengan apa yang telah diturunkan oleh Allah dan janganlah engkau menurut kehendak hawa nafsu mereka, dan berjaga-jagalah supaya mereka tidak memesongkanmu dari sesuatu hukum yang telah diturunkan oleh Allah kepadamu. Kemudian jika mereka berpaling (enggan menerima hukum Allah itu), maka ketahuilah, hanyasanya Allah mahu menyeksa mereka dengan sebab setengah dari dosa-dosa mereka; dan sesungguhnya kebanyakan dari umat manusia itu adalah orang-orang yang fasiq”)


Pada perbincangan yang lepas, dapatlah kita ketahui bahawa agama Islam yang diturunkan Allah SWT untuk anutan umat manusia adalah satu agama yang syumul, merangkumi seluruh aspek kehidupan. Perundangannya relevan buat semua bangsa masyarakat. Pelaksanaan hukum-hakamnya pula merupakan ‘suruhan’ Tuhan kepada penganut Islam.

Allah SWT menyatakan di dalam Al-Quran bahawa sesiapa yang meninggalkan dan juga melanggar peraturan-peraturan yang telah ditetapkan-Nya tergolong di kalangan orang-orang zalim.

Firman Allah Taala:

وَمَنْ يَتَعَدَّ حُدُودَ اللَّهِ فَأُوْلَئِكَ هُمْ الظَّالِمُونَ - البقرة/229


(“. . .dan sesiapa yang melanggar aturan-aturan hukum Allah, maka mereka itulah orang-orang yang zalim”)


Kepentingan pelaksanaan perundangan Islam

Pelaksanaan perundangan Islam di dalam sesebuah negara adalah sangat penting kerana dengan pelaksanaan tersebut dapat mengekalkan keharmonian hidup yang amat diperlukan manusia.

Islam mensyariatkan perundangan ini adalah untuk menjaga beberapa perkara yang merupakan keperluan asas bagi manusia, antaranya ialah:

· Menjaga agama
· Menjaga nyawa
· Menjaga akal
· Menjaga keturunan
· Menjaga maruah
· Menjaga harta

I. Untuk usaha menjaga agama, Islam mengharamkan riddah (murtad) dan mewajibkan hukuman mati ke atas sesiapa yang murtad di samping memberi kebebasan beragama kepada non-muslim kerana tiada paksaan di dalam beragama.

II. Untuk menjaga nyawa, Islam telah mengharamkan pembunuhan serta menetapkan hukuman qisas ataupun diyat atau Irsy terhadap sesiapa yang melakukan kesalahan bunuh dan yang berkaitan dengannya.

III. Untuk menjaga akal, Islam mengharamkan arak serta setiap yang memabukkan dan telah menetapkan hukuman kepada peminum arak iaitu dikenakan sebatan sebanyak 80 sebatan.

IIII. Untuk menjaga keturunan pula Islam mengharamkan perbuatan zina. Sesiapa yang didapati bersalah, Allah SWT telah menetapkan hukuman rejam sampai mati bagi sesiapa yang sudah berkahwin dan 100 kali sebatan kepada mereka yang masih bujang.

V. Untuk menjaga maruah, Islam mengharamkan qazaf (menuduh tanpa bukti). Hukuman kepada pesalah qazaf iaitu sebatan sebanyak 80 kali.

VI. Untuk menjaga harta, Islam telah mengharamkan kegiatan sariqah (pencurian) serta hirabah (rompakan). Kepada pencuri dipotong tangannya sebagai hukuman. Manakala hukuman kepada perompak pula hendaklah dipotong tangan dan kakinya secara bersilang (tangan kanan kaki kiri). Sekiranya rompakan itu disertai dengan pembunuhan, maka hukuman mati hendaklah dijatuhkan terhadap pesalah oleh mahkamah.

Segala pembahagian hukuman ini adalah demi kesejahteraan serta kepentingan bersama. Samada penganut Islam mahupun selainnya. Pembahagian ini juga merupakan hukum yang telah sabit dalil pelaksanaannya daripada Al-Quran serta hadis Rasulullah as-Syarif. Bukan peraturan yang direka-cipta atau ditokok tambah oleh sesetengah pihak.

Undang-undang Islam ini mempunyai tujuan dan matlamat yang lebih luas daripada mana-mana undang-undang ciptaan manusia. Ianya adalah untuk mengatur masyarakat serta bertujuan membina keperibadian dan juga akhlak yang baik. Menghubungkan ikatan antara manusia dengan Penciptanya dan antara manusia sesama manusia.

Matlamatnya juga untuk menegakkan kemaslahatan umat manusia di dunia juga akhirat di samping memenuhi segala tuntutan dan kesempurnaan hidup mereka. Mengawal sifat-sifat terpuji serta menghindari perbuatan tercela.

Ibnu Qayyim al-Jawzi pernah menegaskan: “Sesiapa yang mempunyai bakat di dalam undang-undang Islam dan mendalami selok-beloknya, tentu ternyata tujuannya semata-mata untuk melaksanakan kepentingan hamba-hamba Allah, samada di dunia mahupun akhirat. Ianya mempunyai prinsip keadilan serta kemaslahatan yang tinggi”.

Keadilan perundangan Islam

Terdapat sesetengah golongan yang mengatakan bahawa perundangan Islam ini adalah undang-undang lapuk, sudah tidak sesuai di zaman Internet Koridor Raya masa kini. Paling biadab lagi apabila ada yang mengatakan bahawa perundangan Islam adalah undang-undang yang zalim. Lebih malang, ada juga di kalangan penganut Islam sendiri yang terikut-ikut dengan rentak musuh-musuh yang secara terang ingin memperlekehkan ajaran Islam.

Para ahli undang-undang Islam sudah banyak membincangkan falsafah hukuman atau keseksaan perundangan Islam. Kesimpulannya menunjukkan bahawa ianya adalah berasaskan keadilan mutlak dan sejagat. Setiap hukuman yang dikenakan adalah sepadan dan setimpal dengan kesalahan yang dilakukan. Hukuman tidak dilaksanakan dengan membabi buta serta tidak pula tanpa pertimbangan. Ia mengandungi falsafah keadilan yang unik dan universal serta berbeza dari semua hukuman atau keseksaan di dalam sistem undang-undang lain.

Untuk sentiasa berpegang kepada neraca keadilan, hukuman di dalam undang-undang Islam memperhitungkan segala faktor dan suasana yang mendorong seseorang itu melakukan kesalahan. Pertimbangan dibuat dengan memandang sesuatu perbuatan kesalahan itu dari kaca mata individu pelaku dan juga dari kaca mata masyarakat yang menjadi mangsanya.

Islam tidak membenarkan hukuman dijatuhkan berdasarkan hawa nafsu individu, masyarakat mahupun pemerintah. Tetapi ianya mestilah mengikut ketentuan daripada Allah yang maha Adil. Oleh kerana itu, segala hukumannya adalah benar-benar berkesan.

Firman Allah Taala:

إِنَّ اللَّهَ يَأْمُرُكُمْ أَنْ تُؤَدُّوا الأَمَانَاتِ إِلَى أَهْلِهَا وَإِذَا حَكَمْتُمْ بَيْنَ النَّاسِ أَنْ تَحْكُمُوا بِالْعَدْلِ إِنَّ اللَّهَ نِعِمَّا يَعِظُكُمْ بِهِ إِنَّ اللَّهَ كَانَ سَمِيعًا بَصِيرًا - النساء/58


(“Sesungguhnya Allah menyuruh kamu supaya menyerahkan segala jenis amanah kepada ahlinya (yang berhak menerimanya), dan apabila kamu menjalankan hukum di antara manusia, (Allah menyuruh) kamu menghukum dengan adil. Sesungguhnya Allah dengan (suruhan-Nya) itu memberi pengajaran yang sebaik-baiknya kepada kamu. Sesungguhnya Allah sentiasa Mendengar lagi sentiasa Melihat”)




Firman-Nya lagi:

وَإِذَا قُلْتُمْ فَاعْدِلُوا وَلَوْ كَانَ ذَا قُرْبَى - الأنعام/152


(“...dan apabila kamu mengatakan sesuatu (semasa membuat apa-apa keterangan) maka hendaklah kamu berlaku adil, sekalipun orang itu ada hubungan kerabat (dengan kamu)”)


Perundangan Islam tertegak di atas konsep keadilan sejagat. Apabila seseorang pemerintah itu menjalankan hukuman serta mematuhi segala etika ditetapkan Islam, maka tiada di dalam penghukumannya itu sebarang sikap pilih kasih. Jauh dari unsur-unsur asabiyah, amalan kronisma yang begitu menjelikkan. Tidak ada perbezaan samada pesalah ‘awam’ ataupun pesalah itu daripada golongan ‘orang besar’. Keadaan ini akan memberi impak yang positif terhadap kehidupan masyarakat majmuk.

Demi memelihara kesaksamaan keadilan Islam, pernah di suatu hari Rasulullah SAW mengatakan bahawa seandainya puteri Baginda Fatimah az-Zahra mencuri, nescaya akan dipotong tangannya sebagaimana hukuman yang telah diwartakan oleh Islam kepada pencuri – Mafhum daripada Hadis Aisyah yang diriwayatkan oleh Imam Bukhari.

Penutup

Demikianlah indahnya apabila perundangan Islam serta syariatnya dilaksanakan secara menyeluruh. Sifat dan juga fitrah kejadian setiap manusia adalah sama. Samada daripada kalangan Islam mahupun golongan yang selainnya. Keadilan, kebenaran, kemuliaan peribadi, kedamaian dan apa jua yang berteras kebaikan adalah merupakan satu keperluan di dalam perjalanan hidup mereka di dunia ini.

Islam bukanlah kaum yang dahagakan pertumpahan darah sebagaimana yang disebarkan oleh sesetengah pihak. Islam juga bukan satu ajaran yang ekstrem dan pelopor keganasan. Sesungguhnya Islam itu harmoni dan mencintai kedamaian. Nasihat-menasihati serta mengingatkan antara satu sama lain demi kebaikan adalah prinsip keperibadian Islam.

Firman Allah Taala bagi menyatakan sikap toleransi Islam terhadap non-muslim yang berbunyi:

وَقَاتِلُوهُمْ حَتَّى لاَ تَكُونَ فِتْنَةٌ وَيَكُونَ الدِّينُ لِلَّهِ فَإِنْ انتَهَوْا فَلاَ عُدْوَانَ إِلاَّ عَلَى الظَّالِمِينَ - البقرة/193


(“Dan perangilah mereka sehingga tidak ada lagi fitnah, dan (sehingga) menjadilah agama itu semata-mata kerana Allah. Kemudian jika mereka berhenti (dari permusuhan) maka tidaklah ada permusuhan lagi melainkan terhadap orang-orang yang zalim”)


Jika Islam diberi peluang memerintah serta mengamalkan semua yang dianjurkan oleh Allah SWT dan juga Rasulullah SAW di dalam seluruh aspek kehidupan, nescaya tiada lagi kerosakan dan keamanan sejagat akan dinikmati bersama. – sa


Rujukan

1. Al-Quran al-Karim & Hadis as-Syarif.
2. Usul ad-Dakwah; Dr. Abdul Karim Zaidan, edisi ketujuh, Muassasah al-Risalah, Beirut, Lubnan.
3. Ilmu al-Iman; Syeikh Abdul Majid az-Zindani, edisi ketiga, Universiti al-Iman, Sana’a, Yaman.
4. Al-Alaqaat al-Ijitima’iyyah Baina al-Muslimin wa Ghairu al-Muslimin; Dr. Badran Abu Ainain Badran, Darul an-Nahdhah al-Arabiyah, Beirut, Lubnan.
5. Fiqh as-Sunnah; Syeikh Sayyid Saabiq, edisi kedua, Darul al-Basyar, Beirut, Lubnan.
6. Ad-Daaim al-Khuluqiyyah lil al-Qawwanin as-Syareiyyah; Subhi Mahmasani.

Petikan dari www.permaya.org