Wednesday, February 10, 2010

Berjalan dengan tenang

Disunatkan berjalan ke masjid dengan perlahan dan tenang, sebaliknya dimakruhkan berjalan dalam keadaan tergesa-gesa. Sebab seseorang yang datang ke masjid dianggap sedang dalam keadaan mengerjakan solat, iaitu bermula sejak orang itu keluar dari rumahnya sehinggalah dia selesai mengerjakan solat.

Dari Abu Qatadah R.A, katanya yang bermaksud:

”Pada suatu ketika kami mengerjakan solat bersama Nabi S.A.W, tiba-tiba terdenga suara riuh kaum lelaki di bahagian belakang. Setelah selesai solat, beliau bertanya: “Ada apakah tadi?”  Mereka menjawab: “Kami bergegas (datang ke masjid) supaya sempat ikut solat berjemaah”. Beliau bersabda:”Janganlah kamu berbuat demikian! Jika kamu datang ke masjid untuk mengerjakan solat, berjalanlah dengan tenang*. Jika kamu sempat berjemaah, lakukanlah semampunya. Tetapi jika tidak sempat atau masbuq, maka sempurnakanlah bahagian yang tertingga itu!”
            (Diriwayatkan oleh Al-Bukhari dan Muslim).

Dari Abu Hurairah R.A, Nabi S.A.W bersabda yang bermaksud:

”Jika kamu mendengar suara iqamat, maka pergilah untuk mengerjakan solat. Berjalanlah dengan tenang dan perlahan! Janganlah tergesa-gesa! Jika kamu sempat berjemaa, maka lakukanlah semampunya. Tetapi jika tidak sempat atau masbuq, maka sempurnakanlah yang tertinggal itu!”



(Diriwayatkan oleh sekumpulan ulama hadis kecuali At-Tirmizi).



Moga kita semua mendapat rahmat dari-Nya..ameen.

___________________
*Imam An-Nawawi membezakan antara as-sakinah dan al-wiqar, katanya: “As-sakinah adalah tenang dalam bergerak dan menghindari perbuatan sia-sia, manakala al-wiqar pula adalah menjaga penglihatan mata, tidak bersuara keras dan tidak menoleh ke kanan dan ke kiri.”

Sunday, February 7, 2010

Tok siak

Alhamdulillahi wakafa, setelah selesai solat subuh di masjid kg kijang, ku lekas-lekas bangkit menuju ke kedai cabang tiga, mengambil nasi belauk pagi untuk di letakkan di kedai ayah ku.Ini lah rutin harian ku setelah selesai solat subuh. Kecuali pagi jumaat, sesudah selesai solat, kami akan sama-sama baca ma`thurat dan sejurus selepas itu kami sama-sama membincangkan berkenaan dengan ilmu tajwid.

”Assalamualaikum!” ayah ku memberi salam sambil membuka pintu rumah, sambil ditangannya ada beberapa bungkus nasi kerabu.

Waalaikum salam. jawab kami…

”Min, tadi solat di masjid mana?” tanya ayahku memecah kesunyian.

”Di masjid kg kijang abah, tapi sesudah memberi salam terus doa dan turun, sbb lewat..” Balasku. 

“Tadi, Imam mat zin mengumumkan, bahawa bekas tok siak (masjid kg kijang) telah meninggal”. Jelas ayah ku.

Suasana kembali sunyi dengan berita kematian tersebut, barangkali sama-sama bertafakur seketika setelah mendengar apa yang diberitahu oleh ayah ku sebentar tadi.

Ah, semua kenangan yang lalu ketika ku bersama dengan tok siak berlegar di benak fikiran ku..

Inna lillahi wa inna ilaihi rajiun..
_______________________

*Allhummaghfirlahu warhamhu wa a`fihi wa`fu anhu

Saturday, February 6, 2010

Cuti

Salam Ukhwah, Segala puji hanya bagi Allah, Tuhan yang mentadbir sekalian alam. Selawat dan salam keatas Baginda S.A.W, ahli keluarga, serta sahabat-sahabat R.Anhum ajma`in.

Amma ba`dhu

Ah, sekian lama aku menyepikan diri dari menulis, segala macam rasa sedang berlegar di benak fikiran ku sekarang ini, semua ini kerana aku lama tidak menulis…

Sebulan yang lalu, laptop ku rosak. itulah puncanya mengapa aku terus menyepikan diri. Walaupun rosak, aku tetap berpuas hati kerana sudah hampir 5 tahun laptop itu ku “nodai”. Ishhh jangan silap paham pula.. maksud ku adalah  hampir 5 tahun aku guna laptop tersebut..

Herm, sekarang ini telah pun ku menemui pengganti”nya”. Alhamdulillah sekian lama ku menanti akhirnya ketemu jua. Moga-moga kali ini akan bertahan lebih lama.

Semalam, selepas solat maghrib, seorang ust dari Pasir Pekan menyampaikan kuliah di masjid Al-Aminin (kg kijang). Dia membentangkan  Tafsir dari surah Al-Kahfi, sambutan dari kalangan orang kg juga amat menggalakkan. Ada pun org kg kijang sendiri mahupun dari luar kg tersebut. Apa yang buatkan aku tertarik, cara ust Qamar menyampaikan sesuatu adalah dengan berdalil, adapun dari Al-Quran mahupun Hadis. Dan yang paling penting cara penyampaiannya membuatkan orang yang mendengar mudah untuk memahaminya. Moga kuliah-kuliah agama sebegini terus mekar mewarnai masjid-masjid bagi mengisi kekosongan diantara Maghrib- Isya`.

Setelah selesai solat Isya` kami didatangi oleh seorang hamba Allah (Ust wakil muassasah Al-Quds) bagi menceritakan @ menjelaskan akan perihal sebenar yang berlaku di Gaza sekarang ini. Program tersebut dimulai dengan pengenalan diri penceramah, dan seterusnya penerangan berkaitan dengan Masjidil Aqso adalah  kiblat yang pertama bagi orang Islam dari pelusuk dunia suatu ketika dulu. Kemudian ust tersebut menerangkan akan hadis yangmana Baginda S.A.W menjanjikan kelebihan bagi mereka yang mengerjakan solat di Masjidil Aqso.

Setelah itu beliau (penceramah) menceritakan detik-detik orang pertama yang  mencetuskan idea bagi membangunkan sebuah negara Israel hinggalah kepada apa yang dapat kita lihat pada hari ini.

Apa yang lebih menyedihkan membangunnya negara tersebut adalah juga dari kerjasama orang-orang Islam yang berkuasa diketika itu. Dan apa yang lebih jelas pada hari ini, kita juga dapat melihat siapakah orang yang terus memberikan sumbangan kepada Israel.

Di akhir program tersebut, ajk masjid mengadakan kutipan derma untuk disalurkan kepada muassasah tersebut. 

Ah, aku ingin ke belakang dulu, untuk melihat apa-apa yang perlu aku lakukan, ketemu lagi dilain masa, salam ukhwah buat sahabat-sahabat yang terus memberikan aku semangant dalam menuju kepada sang Pencipta..

Apa yang baik dari-Nya, dan apa yang sebaliknya adalah kelemahan diriku, yang tidak dapat lari dari kesilapan. wassalam

Monday, January 4, 2010

Kelebihan solat berjemaah

Solat berjemaah hukumnya adalah sunat muakkad*. Banyak hadis yang menyatakan tentang keutamaannya, diantaranya adalah:

Dari Ibnu Umar R.A, bahawa Nabi S.A.W bersabda yang bermaksud:

"Solat berjemaah itu lebih afdhal daripada solat bersendirian sebanyak dua puluh tujuh darjat" Hadis riwayat Al-Bukhari.

Dalam satu hadis yang lain, Dari Abu Hurairah R.A, katanya:
solat seseorang lelaki yang dilakukan secara berjemaah melebihi solat yang dikerjakan di rumah atau di pasar sebanyak dua puluh lima kali ganda. Ini disebabkan apabila seseorang itu berwuduk dengan sempurna, lalu pergi ke masjid dan kepergiannya tidak bertujuan selain daripada untuk mengerjakan solat, maka setiap kakinya melangkah akan menaikkan satu darjat dan menggugurkan satu kesalahan dosa (dosa kecil). Jika orang itu mengerjakan solat, maka para malaikat sentiasa memohonkan rahmat untuknya selama masih berada di tempat solat itu dan selagi belum berhadas. Doa para malaikat itu:"Ya Allah! limpahkanlah selawat ke atasnya", dan orang itu tetap dianggap dalam keadaan mengerejakan solat selagi masih menunggu tibanya waktu solat".

(Kesahihan hadis ini disepakati ulama hadis. Ia ditulis dengan menggunakan lafaz Al-Bukhari)

Dan Ibnu Mas`ud R.A, katanya:

"Sesiapa ingin berjumpa Allah pada hari kiamat kelak sebagai seorang muslim yang sejati hendaklah dia menjaga solat dan mengerjakannya sebaik azan dikumandangkan. Allah telah pun mensyariatkan kepada Nabi kamu ketentuan-ketentuan hidayah dan solat berjemaah termasuk daripada ketentuan-ketentuan tersebut. Jika kamu mengerjakan solat di dalam rumah kamu masing-masing, seperti halnya orang-orang yang meninggalkan solat berjemaah dan lebih mengutamakan solat di rumahnya sahaja, bererti kamu telah meninggalkan Sunnah Nabi kamu. Jika kamu meninggalkan Sunnah Nabi kamu, tentunya kamu semua berada dalam kesesatan. Aku tahu bahawa seseorang yang suka meninggalkan solat berjemaah itu adalah orang yang benar-benar munafik. Patut untuk kamu ketahui bahawa suatu ketika dahulu ada seseorang yang dipaksa supaya masuk ke dalam barisansolat berjamaah!"
(Diriwayatkan oleh Muslim)

Riwayat lain menerangkan Ibnu Mas`ud berkata:

"Rasulullah S.A.W pernah mengajarkan kepada kami pelbagai macam ketentuan supaya mendapatkan petunjuk, iaitu dengan mengerjakan solat di dalam masjdi sebaik azan selesai dikumandangkan".


Dari Abu Darda` R.A, katanya:

"Aku pernah mendengar Rasulullah S.A.W bersabda:" Jika ada tiga orang disebuah bandar atau kampung yang tidak mengerjakan solat secara berjemaah, maka tentulah mereka sudah dipengaruhi oleh syaitan! Oleh yang demikian, hendaklah kamu mengerjakan solat berjemaah. Ingatlah serigala hanya akan memangsa seekor kambing yang terpencil jauh dari kumpulannya".

(Hadis riwayat Abu Daud dengan sanad yang baik)

Saturday, January 2, 2010

2009 Dalam kenangan

Salam ukhwah, Alhamdulillah, amma ba`du.

Ku bersyukur, kerana masih lagi diberikan kesempatan untuk meneruskan perjuangan yang juga belum selesai, moga saki-baki dari kehidupan ku ini akan ku gunai sebaik yang mungkin.

2009 telah pun berlalu dengan penuh suka dan duka, moga suka dan duka ku itu memberikan aku satu semangat baru untuk menempuhi hari-hari yang akan mendatang, moga ianya juga buatkan aku semakin matang. ameen..

Lima hari yang lalu adik ku (Ibah) telah pun selamat melahirkan bayi melalui proses pembedahan di pusat rawatan An-Nisa`. Semalam ketika mana aku menemaninya air matanya mengalir kerana kesan sakit dari pembedahan tersebut. Kebetulan baru ini aku ada mengirim madu dan juga minyak habbatus sauda` dari cikgu Nur Azam yang balik dari menziarahi Yaman. Bila ku teringat akan 2 perkara yang diceritakan akan kelebihannya di dalam Al-Quran dan juga Hadis, ku lekas-lekas ke dapur untuk membancuhkan madu & Habbatus sauda` dengan air suam, lalu ku berikan pada adik ku dengan harapan agar segera sembuh, ketika dia minum aku sempat berpesan "Bersabarlah, semua kesakitan yang dirasai ketika ini, akan dibalasi dengan ganjaran yang tak terhingga dari-Nya, ini adalah kerana kita seorang Islam" "Tidak seperti mereka yang bukan Islam, apa yang mereka rasai kesakitan diketika ini, bahkan jika mereka berbuat kebaikan dari mula dilahirkan hingga ke akhir hayat mereka sekalipun, apa yang mereka rasai kesakitan dibumi ini mahupun kebaikan yang mereka lakukan itu hanyalah diibaratkan debu-debu yang berterbangan kecuali bilamana mereka mengakui akan tiada Tuhan yang disembah melainkan Allah dan Nabi Muhammad S.A.W itu adalah hamba dan Rasul-Nya" Tambah ku lagi.. lalu ibah berpaling kepadaku dan melemparkan sebuah senyuman.

Oleh kerana telah lewat malam, aku segera masuk ke bilik, untuk berehat seketika sambil melihat laptop ku yang kian serius kerosakannya, herm.. nak beli baru, memang pada ketika ini ku tidak berkemampuan, nak beli dvd-rw optikal, harga nya mencecah rm 500.00, erm..biarkanlah dulu, banyak lagi yang perlu aku aulakan dengan duit simpanan yang sedia ada.

Buat sahabatku Ayub (bekas web master PERMAYA) Selamat pengantin baru, begitu juga buat Fifi, kad jemputan ke kenduri kesyukuran yang cukup "cute" telah pun ku terimanya, cuma kejauhan mengatasi segalanya, maaf sbb tak dapat hadir pada jemputan tersebut, ku berharap agar tiada ter"kesot" hatimu.. :)

Cukup dulu setakat ini, segala yang baik itu dari-Nya dan yang lemah itu dari kekuranngan diri ini, Wassalam

Wednesday, December 30, 2009

Tenggelamnya Kapal Van Der Wijck (Bhg. 10)

Di Padang Panjang

Tidak berapa jauh jaraknya dusun Batipuh dengan kota Padang Panjang, kota yang dingin di kaki Gunung Singgalang itu. Tetapi bagi Zainuddin, dusun itu telah jauh, sebab tak dapat bertemu dengan Hayati lagi. Apalagi budi pekertinya terlalu tinggi, kalau budinya rendah, sejam atau dua jam, tentu dia telah dapat menemui Hayati.

Dipilihnya tempat tinggal di kampung Silaing, penurunan akan menuju kota Padang, yang dari sana dapat dilihat kaki Singgalang dengan bukit-bukitnya yang penuh ditumbuhi tebu. Di sana dapat pula didengarkan derum Sungai Anai yang mengalir dahsyat. Apalagi sunyi nan sepi serta merawankan hati, suatu kampung yang amat disukai oleh penyair.

Mula-mula saja dia tinggal di Padang Panjang, telah dikirimkan sepucuk surat kepada Mak Base, yang di dalamnya ditulisnya serba ringkas bagaimana penanggungannya tinggal diMinangkabau. Tidak lama kemudian datang balasan dari orang tua yang dikasihinya itu, mengajaknya lebih baik pulang saja kembali ke Mengkasar, sementara dia masih hidup. Tapi Zainuddin tidak hendak kembali sebelum maksudnya berhasil, dia hendak memperdalam penyelidikannya dari hal ilmu dunia dan akhirat, supaya kelak dia menjadi seorang yang berguna.

Memang sejak meninggalkan Batipuh, telah banyak terbayang cita-cita dan angan-angan, yang baru dalam otak Zainuddin. Kadang-kadang berniat di hatinya hendak menjadi orang alim, jadi ulama sehingga kembali ke kampungnya membawa ilmu. Kadang-kadang hapus perasaan demikian, dan timbul niatnya hendak memasuki pergerakan politik, menjadi leader dari perkumpulan rakyat. Kadang-kadang dia hendak menjadi ahli syair, mempelajari kesenian yang dalam. Itulah tiga tabiat, tiga kehendak yang mengalir dalam darahnya, yang terbawa dari turunannya. Sebab ayah dan ibunya, iaitu Daeng Manippi, seorang beribadat, demikian juga ayahnya di hari tuanya. Ibunya seorang perempuan pehiba hati, tabiat ahli syair.

Terlunta-luntalah keadaannya seketika dia mula-mula menjejak Padang Panjang itu, belum tentu juga haluannya. Beberapa hari kemudian, hari Jumaat, pada waktu orang-orang dari dusun, dari gunung, Batipuh Pitalah, Sumpur, Kota Lawas dan sekitar kota Padang Panjang pergi ke pasar, datanglah Ahmad adik Hayati, membawa sepucuk surat buat Zainuddin, demikian bunyinya:

Kekasihku Tuan!

Meskipun tak berapa jauh antaranya Batipuh dengan kota Padang Panjang, namun engkau telah terpisah dariku, engkau telah jauh. Dan pada persangkaanku sukar pula kita akan bertemu lagi. Kerana, boleh dikatakan berpagar aur berkeliling, langkah sentiasa dicuriga oleh keluarga. Meskipun di Padang Panjang ini ada rumah seorang sahabatku, Khadijah, tentu pula saya tak dapat datang dengan leluasa ke sana, sebab saya telah diberhentikan dari sekolah. Kalau tak ada sebab-sebab yang penting tak boleh keluar rumah.

Telah jauh engkau sekarang, kekasihku, alangkah besarnya kemalanganmu dan kesengsaraanku. Alangkah gelapnya dunia di sekitarku. Saya telah menipu diri sendiri seketika saya memberi nasihat menyuruhmu berangkat meninggalkan Batipuh. Pada sangkaku ketika itu sebagai kuterangkan kepadamu saya akan sanggup sabar menahan hati berpisah dengan engkau. Tetapi setelah wajahmu yang muram itu, mata yang selalu membayangkan kedukaan, perkataan yang selalu menimbulkan kesedihan, setelah semuanya hilang dari mataku barulah saya insaf bahawa saya ini seorang gadis yang lemah hati, yang tak kuat, tak sanggup menanggung kedukaan dan kesedihan lebih daripada mestinya.

Saya nasihatkan supaya engkau berangkat, ialah kerana perintah pertimbangan akal, memikirkan akibat dan ancaman. Tetapi setelah engkau pergi, perasaan hati yang tadinya dikalahkan oleh pertimbangan telah memberontak kembali, wajahmu, mukamu, matamu, semuanya kembali terbayang. Payah saya menahan air mataku seketika melepasmu pergi. Takut saya akan menangis supaya engkau jangan terlalu bersedih, sebab sudah amat cukuplah penghinaan yang engkau tanggungkan dari mamakku. Dan seketika air mata tak tertahan lagi, itulah sebab saya berpaling pulang dan tidak saya lihatkan engkau sampai sehilang-hilangnya dari mataku. Sekarang, air mata yang tertahan itu, telah melimpah, bergelora menyebabkan kurus badanku. Alangkah pahitnya perpisahan, alangkah sukarnya menghadapi semua soal ini.

Sehari setelah engkau pergi, saya pergi dengan mak-tengahku ke sawah hendak melihat lada yang baru ditanam, sawah tempat kita bertemu tempoh hari. Saya cari engkau di sana, engkau tak ada. Saya naik ke dangau tempat kita berhenti, tempat mula-mula engkau mengetahui rahsia hatiku, di situ pun engkau tak ada, engkau sudah jauh, engkau tak akan datang lagi.

Oh, itu dangau, dia seakan-akan berkata, bangku yang kita duduki seakan-akan berberita. Seketika akan saya seberangi bandar tempat engkau jatuh, bandar itu masih tetap sebagai sediakala, tetapi engkau sudah pergi. Di situlah saya insaf, bahawa hari yang telah lalu itu memang telah lalu, hari yang dahulu memang telah pergi, mengulang jejak yang lama sudah sukar, yang tinggal hanyalah peringatannya saja. Di sanalah, kekasihku, pada waktu itulah air mataku tak tertahan lagi, sehingga mak tengah yang selama ini belum kenal benar akan rahsiaku, telah mendapat rahsia itu semuanya, dan telah turut menangis lantaran tangisku. Tangis orang lain itulah yang sedikit dapat meringankan tanggungan hatiku.

Sekarang dalam kesedihanku telah ada saya berkawan, duduk perkara yang sebenarnya telah kunyatakan kepada mak tengahku, Mak Tengah Limah. tapi dia pun hanya seorang perempuan, pertolongannya hanyalah sekadar menangis pula. Setelah sampai di rumah, saya perbuat surat ini kepadamu. Kekandaku Zainuddin, bilakah kita akan bertemu pula dengan leluasa, bilakah itu hari yang beruntung, hari yang berlalu sebagai mimpi, akan datang kepada kita kembali.

Hayati


Hari Jumaat di mukanya, surat itu telah dibalas oleh Zainuddin, demikian bunyinya:


Adinda Hayati!

Nasib Adinda adalah lebih beruntung daripada nasibku; Adinda masih dapat melihat dangau tempat kita bertemu, sawah tempat kita bermain, halaman luas tempat Adinda menjemurkan padi, ketika dagang melarat ini dapat melihatmu duduk termenung menggoyang-goyang panggalan dari talang masak; semuanya dapat kau lihat. Sedang saya sendiri, dari jauh menarik nafas panjang dan mengeluh, sebab alam sekelilingku yang ramai bagi orang lain, sepi rasanya bagi diriku. Sejak meninggalkan Batipuh, terasa benar olehku bahawa saya ini seorang dagang di sini, jauh dari kampung halaman, jauh dari tanah darah tertumpah. Sedangkan di Batipuh saya tak diakui orang sama, kononlah di dalam kota begini, yang hidup manusia "siapa lu, siapa gua.

Adinda Hayati! Petaruhmu seketika saya akan berangkat, masih kugenggam erat, masih kupegang teguh. Begini sulit, begini gelap dan samar haluan yang akan kuturut, namun saya tak pernah putus asa, sebab masih berdengung dalam telingaku rasanya petaruhmu, menyuruh berani, menyuruh tetap hati, keras kemahuan dan sabar menempuh kesulitan hidup. Kalau bukan kerana itu, telah putus asa saya menghadapi pahit hidup, mahu agaknya saya menyesali nasib, tersesat kepada dosa yang maha besar yakni mengumpat Tuhan, menyalahi takdir.

Janjimu, bahawa jasmani dan rohanimu, telah dipatrikan oleh kasih cinta dengan daku, adalah modalku yang paling mahal. Biarlah dunia ini karam, biarlah alam ini gelap, biarlah ... biarlah seluruh manusia melengongkan mukanya ke tempat lain bila bertemu dengan aku, biarlah segenap kebencian memenuhi hati insan terhadap kepada diriku, dan saya menjadi tumpahan kejemuan hati manusia, namun saya tak merasa berat menanggungkan itu semuanya, sebab kau telah bersedia untukku.

Hayati! Kirimi saya surat banyak-banyak terangkan kepadaku perkara-perkara, baik yang kecil atau yang besar, pujuk aku, sesali aku, marahi kalau kau pandang baik. Ketahuilah bahawa dengan demikian, aku akan merasa keindahan dan kelazatan bercerai-cerai, ganti dari keindahan bertemu.
Dan biarlah Tuhan Allah memberi perlindungan bagi kita semuanya.

Zainuddin


Bersamaan dengan surat yang diterima Zainuddin itu, Khadijah, sahabat Hayati, menerima surat pula, demikian bunyinya:

Ija!

Jangan kau bosan menerima suratku. masih bertimpa-timpa saja kesedihan yang mendatangiku. Kepada siapakah akan kuadukan hatiku, kalau bukan kepadamu jua? Sebab aku tahu, aku insaf engkau seorang anak perempuan yang bermuka riang, yang beralam lebar, yang tak sudi membiarkan kesedihan berkuasa di hatimu. Alangkah jauhnya perbezaan hati kita.

Ada yang akan kuterangkan kepadamu. Zainuddin, anak muda yang telah berapa kali kuterangkan kepadamu itu, telah tidak ada di Batipuh lagi, telah pergi. Perginya seakan-akan kena usir. Semua orang membenci dia, orang yang tak tentu asal, hendak mengacau dalam kampung orang beradat, demikian tuduhan mereka kepadanya. Tahukah engkau ke mana dia pergi? Tak jauh ... Dia di sini, di dekatmu di Padang Panjang!

Meskipun dalam surat-suratmu, kerap kali engkau mentertawakan saya, mengatakan bahawa kecintaan saya kepadanya hanyalah kerana digila bayang-bayang, angan-angan yang mula-mula timbul dalam hati seorang anak gadis yang berangkat besar; percayalah sahabatku, bahawa Zainuddin orang baik, lurus, pendiam, penyantun dan amat patut dikasihani. Engkau tak menghargakan dia, sebab engkau belum berkenalan dengan dia.

Sangat ingin hatiku hendak ziarah kepadamu, hendak menjejak kota Padang Panjang. Tetapi engkau sendiri telah tahu, bahawa sekolahku telah "tamat", mengajiku telah "khatam", "diplomanya" kudapat bukan dari guru, melainkan dari mamakku. Kalau tak ada keperluan penting, saya tak boleh lagi ke mari.
Tetapi saya sabar, saya masih menunggu dengan penuh kepercayaan, bahawa pada suatu hari kelak, saya akan menjejak rumahmu juga.
Moga-moga engkau beruntung dalam hidupmu, sahabatku!

Hayati.


Padang Panjang

Sebelum terjadi pemindahan pasar dari pasar Usang ke Pasar Baru, adalah kota tersebut menjadi pusat pemiagaan yang terbesar di bawah Padang, sebagai kota Bukit Tinggi pada hari ini. Sampai terjadi peperangan dunia 1914-1918 yang hebat itu, kota Padang Panjang masih memegang kejayaan dalam urusan perdagangan. Pada masa itu masih dapat dilihat kedai-kedai yang besar, kedai kain yang permai, berleret sepanjang Pasar Di Atas dan Pasar Di Bawah, dekat jalan ke Masjid Raya menuju Lubuk Mata Kucing. Di sanalah saudagar-saudagar yang ternama berjuang hidup memperhatikan jalan wang dan turun naiknya kurs wang.

Saudagar-saudagar yang tenama, sebagai H.A. Majid, H. Mahmud, Bagindo Besar, H. Yunus, adalah memegang tampuk negeri tersebut, sekian lamanya. .
Krisis perniagaan yang terjadi sehabis perang dunia telah menyebabkan kota itu lengang, saudagar-saudagar yang masyhur dan tenama telah banyak yang meninggal dunia, yang muda-muda banyak yang jatuh, sehingga dalam setahun dua saja, lenganglah negeri itu. Saudagar-saudagar telah pindah ke Padang, Bukit Tinggi dan ada yang menyeberang ke negeri lain. Maka rumah-rumah besar, toko-toko yang indah dan kedai-kedai kain yang dahulunya dipenuhi oleh kain beraneka warna, kosonglah. Negeri Padang Panjang sepi jadinya, bagai negeri dikalahkan garuda.

Tetapi kesepian itu tidak dibiarkan lama oleh keadaan. Kerana dalam tahun 1916 Tuan Zainuddin Labay mendirikan Sekolah Diniyah, satu sekolah agama yang mula-mula di Sumatera Barat, timbalan dari sekolah Adabiyah di Padang. Dalam tahun 1918 didirikan orang Sumatera Thawalib iaitu murid-murid dari Tuan Guru Haji Rasul yang dahulunya belajar secara pondok, model yang lama, telah diubah aturan pelajarannya dengan aturan sekolah pula, dengan kebijaksanaan seorang guru muda, bemama Hasyim dari Tiku. Pada masa itu pula, Gubememen mendirikan Sekolah Normal di Padang Panjang.

Maka lantaran itu ramailah Padang Panjang kembali, bukan ramai oleh pemiagaan, tetapi ramai oleh murid-murid mengaji, murid sekolah, murid Sekolah Normal yang datang dari seluruh Sumatera. Sekolah Normal tidak begltu kelihatan ramainya, kerana keluarnya hanya sekali seminggu. Tetapi murid-murid sekolah agama itu telah memenuhi rumah-rumah yang kosong tadi, sebab tidak termuat lagi di Surau Jambatan Besi, meskipun telah diperbesar.

Dalam tahun 1923 bergoncang pergaulan murid-murid sekolah-sekolah agama itu lantaran salah seorang di antara guru-guru yang begitu banyak, pulang dari perlawatannya ke Tanah Jawa telah membawa fahaman "merah" (komunis), sehingga sebahagian besar murid-murid kemasukan fahaman itu. Dan lakon kota Padang Panjang yang lama telah dihabisi oleh gempa bumi yang dahsyat pada tanggal 28 Jun 1926.

Kota itu adalah kota kemajuan. Murid-murid sekolah agama yang belajar di sana, telah berubah bentuk "orang siak" atau santri pelutuk, yang tersisih dari masyarakat lantaran hanya mengetahui kitab-kitab bahasa Arab, dengan kepala dicukur, kain pelekat kasar dari baju gunting Cina. Semuanya telah ditukar dengan model yang baru, murid-murid telah boleh berdasi, boleh berpakaian cara Barat, kerana agama bukan pakaian, tetapi sanggup bertempur, berjuang di dalam menjalankan agama. Dalam pada itu, oleh guru-guru diizinkan pula murid-murid mempelajari muzik, mempelajari bahasa asing, sebagai Belanda dan Inggeris.

Sekali dalam setahun, di Padang Panjang diadakan pacuan kuda dan pasar malam, benama keramaian adat negeri. Adat ini dilakukan di tiap-tiap kota yang terbesar di Sumatera Barat, sebagai Batu Sangkar, Payakumbuh, Bukit Tinggi dan Padang. Maka keluarlah bermacam-macam pakaian adat lama, berdestar hitam, bersisit keris, menyandang kain sumbiri, sejak dari yang muda sampai
kepada penghulu-penghulu. Kaum perempuan dari kampung-kampung memakai tikuluk pucuk.

Pendeknya bertemulah di kota tersebut tiga perjuangan bentuk masyarakat. Bentuk adat lama yang dipertahankan oleh penduduk kampung, bentuk pakaian secara orang agama yang moden di dalam kota, dan bentuk "angku-angku", yang pada masa sekarang ini biasa disebut "intelektual", meskipun kadang-kadang sebutan itu tak mengenai kepada ertinya yang sebenamya.

Di kota itulah Zainuddin belajar agama. Dalam mempelajari agama diambilnya juga pelajaran bahasa Inggeris, dan memperdalam bahasa Belanda. Malam dia pergi kepada seorang sersan pensiun di Guguk Malintang mempelajari permainan biola. Kadang-kadang diikutinya pula sersan itu bermain di medan yang ramai-ramai. Kerana menurut keyakinannya adalah muzik itu menghaluskan perasaan. Di Padang Panjang itu baru dapat Zainuddin menyampaikan cita-citanya seketika dia bemiat hendak meninggalkan Mengkasar dahulu.
Bersambung…………


Pengarang: HAMKA
Tajuk : Tenggelamnya Kapal Van Der Wijck

Note: “alhamdulillah: Allah beri kita sakit utk kita syukuri betapa besarnya nikmat sihat itu..”

Monday, December 28, 2009

Dengar dan patuh

Alhamdulillah! Kesyukuran yang tinggi dirofo`kan ke hadrat Ilahi kerana kita masih lagi diberi kekuatan, rahmat, serta petunjuk daripada Ilahi.

Hasan Al-Basri, seorang tabi`ein yang terkenal menceritakan “ Pada suatu hari seorang A`rabi (Arab kampong) telah melalui Nabi S.A.W dan pada ketika itu Nabi sedang membaca ayat
:
إِنَّ اللَّهَ اشْتَرَى مِنَ الْمُؤْمِنِينَ أَنْفُسَهُمْ وَأَمْوَالَهُمْ بِأَنَّ لَهُمُ الْجَنَّةَ يُقَاتِلُونَ فِي سَبِيلِ اللَّهِ فَيَقْتُلُونَ وَيُقْتَلُونَ وَعْدًا عَلَيْهِ حَقًّا فِي التَّوْرَاةِ وَالإنْجِيلِ وَالْقُرْآنِ وَمَنْ أَوْفَى بِعَهْدِهِ مِنَ اللَّهِ فَاسْتَبْشِرُوا بِبَيْعِكُمُ الَّذِي بَايَعْتُمْ بِهِ وَذَلِكَ هُوَ الْفَوْزُ الْعَظِيمُ

Yang bermaksud: “Sesungguhnya Allah telah membeli dari orang-orang Yang beriman akan jiwa mereka dan harta benda mereka Dengan (balasan) Bahawa mereka akan beroleh syurga, (disebabkan) mereka berjuang pada jalan Allah maka (di antara) mereka ada Yang membunuh dan terbunuh. (balasan syurga Yang demikian ialah) sebagai janji Yang benar Yang ditetapkan oleh Allah di Dalam (Kitab-kitab) Taurat dan Injil serta Al-Quran; dan siapakah lagi Yang lebih menyempurnakan janjinya daripada Allah? oleh itu, bergembiralah Dengan jualan Yang kamu jalankan jual-belinya itu, dan (ketahuilah bahawa) jual-beli (yang seperti itu) ialah kemenangan Yang besar”. (At-Taubah:111)

Lalu lelaki it uterus bertanya kepada Nabi: “Ucapan siapakah ini?” Lalu Baginda menjawab “Ini adalah ucapan Allah”. Apabila mendengar jawapan Nabi, lelaki tersebut lantas menyatakan :”Demi Allah! Ini merupakan jual beli yang amat menguntungkan. Kita tidak akan menfasakhkan (membatalkan) jual beli ini dan kita tidak akan meminta supaya di fasakhkan”. Kemudian, dengan semangat yang berkobar-kobar dia keluar berperang dan bercita-cita untuk mati syahid.

Begitulah sambutan pada Sahabat terhadap ayat-ayat Allah S.W.T. bukan hanya ayat ini sahaja tetapi begitu jua dengan ayat-ayat yang lainnya.

Saidatina A`isyah R.A menceritakan:” Tatkala turunnya ayat yang mewajibkan hijab kepada wanita-wanita Islam yaitu ayat ke 31 daripada surah An-Nur yang berbunyi:

وَقُلْ لِلْمُؤْمِنَاتِ يَغْضُضْنَ مِنْ أَبْصَارِهِنَّ وَيَحْفَظْنَ فُرُوجَهُنَّ وَلا يُبْدِينَ زِينَتَهُنَّ إِلا مَا ظَهَرَ مِنْهَا وَلْيَضْرِبْنَ بِخُمُرِهِنَّ عَلَى جُيُوبِهِنَّ

Yang bermaksud: “Dan Katakanlah kepada perempuan-perempuan Yang beriman supaya menyekat pandangan mereka (daripada memandang Yang haram), dan memelihara kehormatan mereka; dan janganlah mereka memperlihatkan perhiasan tubuh mereka kecuali Yang zahir daripadanya; dan hendaklah mereka menutup belahan leher bajunya Dengan tudung kepala mereka”. (An-Nur:31).


Bertebaranlah lelaki-lelaki daripada Ansar menuju kepada wanita-wanita dari kalangan mereka dan membaca ayat ini. Setiap lelaki daripada mereka membaca ayat ini kepada isterinya, anak perempuan dan saudara perempuannya dan begitu juga kepada wanita-wanita yang mempunyai hubungan kerabat dengannya. Wanita-wanita Ansar sebaik sahaja mendengar ayat ini, terus bangun mencari apa sahaja benda yang boleh dijadikan penutup untuk menutupi kepala mereka dan mereka keluar untuk mengerjakan solat didalam keadaan meletakkan penutup-penutup diatas kepala mereka”.

Demikianlah sikap muslimin dan muslimat pada zaman Nabi S.A.W. apabila turun sahaja ayat yang mengandungi sesuatu perintah atau larangan mereka tidak bertangguh walau sedetik sekalipun tetapi bersegera untuk mematuhi arahan Allah dan RasulNya. Begitu juga, apabila mereka mendengar atau mengetahui bahawa sesuatu itu adalah kalamullah atau RasulNya, mereka tidak banyak bicara tetapi menyatakan: “Kami dengar dan kami patuh”. Bahkan digambarkan oleh Allah didalam Al-Quran:

إِنَّمَا الْمُؤْمِنُونَ الَّذِينَ إِذَا ذُكِرَ اللَّهُ وَجِلَتْ قُلُوبُهُمْ وَإِذَا تُلِيَتْ عَلَيْهِمْ آيَاتُهُ زَادَتْهُمْ إِيمَانًا وَعَلَى رَبِّهِمْ يَتَوَكَّلُونَ (٢)

Yang bermaksud: “Sesungguhnya orang-orang Yang beriman itu (yang sempurna imannya) ialah mereka Yang apabila disebut nama Allah (dan sifat-sifatnya) gementarlah hati mereka; dan apabila dibacakan kepada mereka ayat-ayatNya, menjadikan mereka bertambah iman, dan kepada Tuhan mereka jualah mereka berserah”. (Al-Anfal:2)

Adapun umat Islam pada hari ini apabila berhadapan dengan ayat Allah S.W.T atau hukum-hukum yang datang daripada Al-Quran dan Sunnah, pelbagai alasan, ulasan dan ucapan yang dikeluarkan seumpama “Belum sampai masanya, tidak sesuai, kolot, ketinggalan zaman dan sebagainya”. Ucapan-ucapan yang sebegini tidak sepatutnya keluar daripada mulut seorang Muslim, yang mengaku beriman kepada Allah S.W.T . Semoga Allah memberi hidayah dan kekuatan kepada kita untuk mencontohi pada Sahabat R.Anhum dan menghidupkan suasana amal Islami dalam kehidupan kita.. amen.