Tuesday, October 18, 2011

Tenggelamnya Kapal Van Der Wijck (Bhg. 23)

SURAT-SURAT HAYATI KEPADA KHADIJAH

Surat yang pertama.

Sahabatku Khadijah!

Setelah selesai perkahwinan kita, rupanya kita mesti berpisah sejauh ini; kau ke Medan menurutkan suamimu, kerana dia saudagar dan saya ke Padang menurutkan suamiku, kerana dia makan gaji. Meskipun bagaimana kesenangan yang diberikan Aziz kepadaku, namun saya masih tetap teringat kepada kau. Bilakah kita akan bertemu kembali, mengulang jejak masa muda, semasa masih bebas mengiraikan sayap. Memang amat ganjil hidup yang mesti kita tempuh. Mula-mula saya cintai orang lain, anak muda lain, menurutkan hati yang tidak bertimbangan, tetapi takdir Tuhan menentukan saya mesti menjadi isteri Aziz. Benarlah rupanya pepatah pujangga kita Tuan Haji Agus Salim, bahawa bagi bangsa kita, cinta datangnya ialah sesudah kahwin.

Khadijah! Kami amat beruntung suami isteri!

Justeru rupanya perkataan-perkataan orang membusuk-busukkan suamiku, mengatakan dia suka membuang-buang wang di meja perjudian. Kalau itu ada semasa dia masih belum beristeri, maka sekarang tak ada lagi. Adalah suamiku suatu contoh dari suami yang setia. Kebetulan sekali, baru-baru ini kami dikirim orang dari Surabaya, satu "katalogus" dari hikayat-hikayat yang dikeluarkan oleh satu pedagang buku. Hikayat yang mula-mula kami pesan bernama "Terusir". Kulitnya dihiasi dengan klise yang indah tetapi menyedihkan hati, terlukis seorang anak muda menjinjing bungkusan kecil, disuruh pergi oleh seorang tua yang gagah, memakai saluk. Di sana tertulis: "Pergilah! Negeri kami beradat". Isinya, wahai Khadijah, serupa dengan nasib anak muda yang menjadi buah tutur kita selama ini, Zainuddin. Saya baca cerita itu sampai habis, sehingga dengan tidak saya rasai, buku itu telah basah oleh air mata. Kebetulan penulis yang menanggungjawab hikayat-hikayat yang dikeluarkan itu ialah nama samaran atau potongan leter " Z ".

Mengingat leter itu, dan mengingat isi cerita, saya teringat kembali kepada anak muda yang telah teraniaya lantaran saya: Zainuddin. Kalau bukan karangannya, mengapa hampir serupa apa yang dituliskannya dengan yang kejadian itu, tidak berapa bezanya. Tetapi kalau dia, kadang-kadang saya tak percaya, bahawa anak muda yang pemenung itu akan sanggup menulis buku seindah itu. Beberapa bulan yang lalu, di surat-surat khabar yang terbit di Jakarta bertemu pula hikayat- hikayat pendek yang ditulis oleh leter " Z " juga. Isinya amat indah-indah, tetapi tidaklah seindah hikayat yang terbit di Surabaya ini. Agaknya kau sendiri ada juga membaca buku baru itu.

Kalau memang ini karangannya, alangkah salahnya persangkaan kita kepada anak muda yang kita sangka kurang akal itu. Rupanya dia mempunyai fikiran tinggi, telah menjadi pengarang yang besar. Terus terang saya katakan, hikayat-hikayat itu amat menarik hatiku; meskipun suamiku tidak begitu suka kepada cerita-cerita sedih, hanyalah hikayat-hikayat detektif saja.

Hayati

Surat yang kedua.

Sahabatku Khadijah!

Berdebar-debar, masih berdebar jantungku ketika surat ini kutulis. Suatu keadaan dan penghidupan yang baru akan kami tempuh. Perlu sekali rasanya kau tahu, sahabatku. Ketika suamiku pulang dari pekerjaannya pukul satu tadi, dia telah mendekatiku, mukanya kelihatan girang, lebih daripada kegirangannya yang biasa. diciumnya keningku, sambi! tersenyum dia berkata:

Ti, kita akan pindah, besluitku telah keluar.
Pindah ke mana Kanda? tanyaku.
Cubalah teka, ke mana? katanya pula sambi! tersenyum.
Entahlah, jawabku!
Kita akan pindah ke Jawa, katanya!
Ke Jawa? tanyaku dadaku berdebar amat kerasnya!
Ya, ke Jawa, kita akan berlayar mengharung laut Ketahun, kita akan melihat kota Jakarta yang ramai. Kita akan pergi ke negeri yang lebih ramai. Tempat kita telah ditentukan di Surabaya!

Tidak enak makan suamiku kelihatan lantaran girangnya, dia tersenyum-senyum saja. Baru sebentar ini dia pergi menguruskan perlelongan barang-barang kami. Dan hairan sekali Khadijah! Debar jantungku kian keras, menyalahi kebiasaan orang yang akan didatangi suatu kegirangan.

Sehendaknya tentu bergirang amat saya menerima khabar kepindahan itu, sebab inilah saya lihat cita-cita tiap-tiap isteri yang suaminya makan gaji. Sedangkan kau sendiri ketika akan ke Medan, malam rasakan kau cabik supaya lekas siang. Payah saya menetapkan dan meneguhkan hati, debarnya masih tetap saja, seakan-akan ada rasanya bahaya yang akan kutempuh di Tanah Jawa itu.

Ah, itu hanya was-was, biarlah saya cuba memeranginya. Apalagi saya cukup percaya kepada suamiku. Kalau sekiranya engkau masih ada di rumah, Khadijah, tentu engkau akan turut menghantarkan daku ke Teluk Bayur, mengipas-ngipaskan saputanganmu melepas kami berlayar, yang harinya sudah terlalu dekat sekali. Sudah putus, kami akan pindah, harinya sudah amat dekat. Agaknya setelah sampai di tempat kediaman  yang baru, barulah dapat saya mengirim surat pula kepadamu. Bilakah kita akan bertemu lagi Khadijah?


Hayati

Surat yang ketiga.

Sahabatku Khadijah!

Sejak menjejak Tanah Jawa, sesudah menyatakan bahawa saya telah sampai bersama suami saya dengan selamat, belum pernah saya lagi berkirim surat, sudah hampir tiga bulan lamanya. Hairan tercengang engkau agaknya, apakah sebab saya, yang serajin itu selama ini menulis, sekarang terhenti saja, padahal banyak keadaan-keadaan di Tanah Jawa, keindahan alam, kecantikan kota yang patut diterangkan kepadamu. Tertahan-tahan saya menulis sekali ini. Tetapi ada satu perasaan yang menguatkan hati saya menerangkannya, iaitu persahabatan kita, bukan pertalian ipar bisan kita.

Khadijah! Bagaimana namanya saya ini? Mengapa seakan-akan orang yang karam masuk laut saya rasanya, tidak akan timbul-timbul lagi, setelah menjejak Tanah Jawa ini? Sebelum melangkahkan kaki masuk kapal di pelabuhan Teluk Bayur, darahku berdebar-debar, seakan-akan ada bahaya yang akan kutempuh. Tetapi perasaan itu saya tekankan juga. Sekarang telah timbul hal-hal yang menyebabkan debar darah itu kembali terasa.

Iaitu entah apa sebab kerananya, jauh berbeza perangai suamiku dari dahulu, seketika mula-mula kahwin. Saya masih ingat, lebih kurang setengah tahun kami di Padang, hidup bersuka ria, ke mana suamiku ke sana saya. Tetapi sekarang bila dia pulang dari pekerjaan, senyumnya tidak seperti senyum yang dahulu lagi, sudah nampak dibuat-buatnya. Saya tidak pula berani menyangka bahawa hatinya telah berubah terhadap diriku, itu sekali-kali tidak.

Cuma saya hendak menegaskan, bahawa harga pemandangannya kepadaku telah banyak berbeza. Jika di masa yang lalu, duduk di dekatku menjadi kesenangannya, atau berjalan berdua memakan angin petang menjadi kenikmatan hidup kami, sekarang telah bertukar. Duduk di rumah dia gelisah, larut malam baru dia pulang. Saya tak cemburu kepadanya. Dan katanya pula dia berjalan menziarahi handai taulan, sahabat dan kenalan. Kalau dia menjawab demikian, saya cukup percaya.
Yang saya hairankan pula, jika semasa kami tinggal di Padang, gaji yang diterimanya mencukupi untuk hidup kami, sekarang tidak lagi. Sudah kerap kali kami kekurangan, sudah kerap kali kami mengeluh lantaran belanja tak mencukupi, padahal gaji jauh lebih naik dari di Padang. Akan kukatakan bahawa hal itu lantaran harga makanan terlalu mahal di Surabaya, itu pun tidak pula; penghidupan tidak berapa berbeza dari di kampung kita.

Kalau bukan mengingat bahawa engkau sahabatku, haram saya berani menyatakan ini kepada saudara perempuan suamiku. Tetapi sebab kenal kejujuran hatimu kepadaku, saya kenal engkau pengasih dan peyantun. Pembicaraanmu amat berpengaruh kepadanya, itulah sebab saya sampaikan. Dan ketahuilah olehmu sahabat, bahawasanya kasih sayangku, sedikit tak berubah kepadanya. Jika kiranya dia lupa, hiarlah dia kembali sedar. Marilah kita perbaiki bersama-sama.

Hayati

Balasan Khadijah.

Sahabatku Hayati!

Suratmu yang terakhir ini sahabat, sangat menghairankan hatiku. Engkau terlalu banyak was-was, terlalu banyak mengelamun. Sebenarnya Aziz tetap cinta kepadamu, sejati dan suci. Tidak ada niatnya hendak berkhianat kepadamu dalam negeri yang sejauh ini. Tuduhanmu atas perubahan hati suamimu terlalu berat. Agaknya dia kurang banyak di rumah adalah mencari ikhtiar yang lain utuk mencukupkan penghidupan. Kerana banyak juga saya lihat, belanja rumah tangga itu, beres atau tidaknya, bukan bergantung kepada laki-laki, tetapi tiangnya kebijaksanaan si isteri juga .. , Teguhkanlah hatimu kembali, jangan engkau kurang percaya kepada suamimu, di rantau yang sejauh ini.

Khadijah

Petang itu, sesudah meminum semangkuk teh, ketika Hayati duduk bersama suaminya, datanglah seorang loper menghantarkan surat undangan, demikian bunyinya:

Tuan yang terhormat!

Ini malam akan diadakan pertunjukan di dalam gedung kelab kita, suatu cerita tonil karangan Tuan Shabir (lebih popular dengan nama samaran penulis “ Z "). Diharap supaya Tuan datang bersama isteri untuk memperhatikan kesenian permainan dan ciptaan fikiran pengarang kita yang telah mulai meningkat tangga kemasyhuran itu.

Hormat Pengurus

Undangan itu disertai pula dengan sepucuk surat tersendiri dari Pengurus Kelab. Demikian bunyinya:

Tuan Aziz yang terhormat!

Dari beberapa anggota perkumpulan kita "Kelab Anak Sumatera", kami beroleh khabar, bahawa telah tiga bulan Tuan pindah bekerja di kota Surabaya ini. Setelah sampai khabar itu kepada kami, inginlah kami hendak berkenalan. Kami percaya sungguh bahawa dalam gerakan sosial yang seperti ini, Tuan beserta isteri tidak akan ketinggalan, terutama pula, kelab kita - sebagaimana tersebut dalam Anggaran Dasar yang kami kirimkan beserta ini - adalah medan pertemuan silaturrahim di antara kita anak-anak Sumatera yang hidup di rantau ini.

Kami ambillah peluang ini, yakni nanti malam di Kelab akan dipertunjukkan suatu cerita tonil terdiri dari lima babak, karangan pujjangga muda kita, Tuan Shabir yang masyhur dengan nama samaran penulis " Z" yang telah menerbitkan buku-buku cerita yang masyhur itu.

Pertunjukan hikayat karangan Tuan itu nanti, dia sendiri yang akan memimpinnya (regisseurnya), sehingga jalan cerita tentu saja akan sesuai dengan cita-cita pengarang. Dan kalau pertunjukan ini berhasil baik, maka hasilnya akan didermakan untuk "Studiefonds" yang baru pula kita dirikan.

Berharap sangat kami supaya Tuan sudi datang bersama isteri, sebagai langkah pertama dari perkenalan kita seterusnya.

Wassalam

Atas nama pengurus "Kelab Anak Sumatera "
Ketua (tidak terbaca)
Penulis (idem)

Surat-surat itu sehabis dibacanya, mula-mula hendak dilipatnya saja. Tetapi seketika diletakkannya, Hayati mengambil dan dibacanya pula. Di akhimya dia berkata:
Bawa adinda sekali ini, Kanda?"

"Ah, percuma pergi, tidak menarik kalau cuma tonil bangsa kita, permainannya kurang halus, bukan seperti tonil Belanda!"

"Meskipun begitu, yang sekali ini bawalah adinda. Adinda hendak berkenalan dengan perempuan-perempuan orang kita yang ada di sini."

Tak ada alasan lagi bagi Aziz hendak menolak permintaan isterinya. Sehingga setelah kira-kira pukul tujuh malam, hersiaplah mereka berdandan dengan pakaian yang rapi, hendak hadir ke pertunjukan itu. Mereka terlambat datang, mereka dapati permainan telah berjalan kira-kira 15 minit. Gedung Kelab itu penuh sesak oleh penonton.

Titel cerita ialah Berbalik Pulang, suatu hikayat yang mengandung banyak pengajaran dan ibarat, bagaimana seorang anak muda yang terlalu menurutkan angan-angan, menyangka bahawa perempuan yang dicintainya itu sesuci-suci dan secantik-cantik perempuan yang ada dalam dunia. Kemudian baru dia insaf bahawa dia tertipu, bahawa antara khayal dengan hakikat itu selalu berlawanan. Dia insaf, dia kembali pulang, pulang ke dalam ketenteramannya.

Jalan cerita amat halus, meresap ke dalam hati, meskipun hikayatnya begitu hebat, tetapi kerap terjadi dalam masyarakat. Apalagi pemain-pemainnya pun pandai membawakan peranan masing-masing. Selama pemainan berjalan, tak kurang-kurang pujian orang kepada pengarangnya. Penulis " Z '"', Tuan Shabir, jadi buah tutur penonton. Sehabis pertunjukan, yang telah dapat memukaukan penonton kepada kerusi masing-masing, kedengaranlah suara tepuk tangan yang riuh dalam gedung itu, memuji jalan cerita. Beberapa pengurus menunggu Tuan Shabir turun dari belakang layar tonil, yang dari pemulaan sampai penghabisan mengatur jalan cerita dengan asyik dan hati-hati sekali. Mereka bertungguan, hendak menyampaikan ucapan "selamat". Aziz pun tertarik dengan hikayat itu. Demikian juga Hayati. Sukar orang yang dapat mempertunjukkan suatu cerita yang halus dan mengandung kesenian demikian. Tiba-tiba muncullah pengarang muda itu dari tonil, dia turun ke bawah, diiringkan oleh pemain-pemain disambut oleh pengurus-pengurus yang menunggu kedatangannya itu, dengan tepuk tangan riuh.

Zainuddin yang telah menukar namanya dengan Shabir! Dihadapinya orang-orang yang menungguinya itu dengan muka yang tenang dan penuh senyuman. Lenggang badannya, raut mukanya,jemih keningnya, semuanya telah berubah, bukan Zainuddin yang penyedih hati yang dahulu lagi, tetapi Zainuddin yang sabar, yang tenang, cocok dengan namanya yang baru ... Shabir!
Dengan senyum disambutnya tangan yang dihulurkan orang kepadanya, dipegangnya dan digoyangnya dengan penuh rasa hormat. Tiba-tiba sampailah kepada Aziz dan Hayati.

Muka Hayati pucat sebentar, darahnya tersirap. Dia hendak melihat bagaimanakah bentuk rupa Zainuddin seketika menentang mukanya dan muka suaminya. Sebab, dia ingat betul bagaimana kesedihan anak muda ini seketika menjabat tangannya yang telah berinai beberapa tahun yang lalu, yang membawa sakitnya.

Hanya sebentar, sekejap mata saja kelihatan perubahan muka Zainuddin melihat kedua suami isteri itu, setelah itu hilang tak kelihatan lagi, hilang di dalam senyumannya yang
manis.

"Oh .,. Tuan Aziz! Dan .. Rangkayo (Orang Kaya) Hayati!

Sudah lama tinggal di kota Surabaya ini?" tanyanya sambil, membungkukkan kepalanya memberi homat.

"Baru tiga bulan" jawab Aziz!

"Ajaib, sekian lama di Surabaya, baru sekali ini kita bertemu."

"Kami pun tidak menyangka," jawab Aziz, "bahawa pengarang ternama, ahli tonil yang selalu jadi buah mulut orang lantaran tulisan-tulisannya yang bererti itu adalah sahabat kami, Tuan “Z”…

"Shabir!" katanya menukar pembicaraan itu. "Tidak ada lagi nama yang lama, kerana kurang cocok dengan diri saya. Nama Shabir lebih cocok, bukan?" katanya sambil
tersenyum.

"Semua nama cocok buat orang sebagai Tuan," sahut Azizpula.

"Akur ... ," kata anggota-anggota lain yang dari tadi tegak tersenyum melihat kedua orang itu bercengkerama.

"Sekarang saya kenalkan tuan-tuan kepada sahabat saya Aziz dan isterinya Rangkayo Hayati, dari Padang Panjang," ujar Zainuddin kepada teman-temannya.
Maka terjadilah perkenalan di antara orang-orang itu. Mulai sejak malam itu Aziz dan Hayati telah menjadi anggota dari "Anak Sumatera". Zainuddin, memang bukan Zainuddin yang dahulu lagi hanya mukanya yang sekarang adalah lebih jemih, pakaian yang dipakainya lebih mahal dan gagah dari dahulu. Meskipun mukanya tidak cantik, tetapi cahaya ilmu, pengalaman, penanggungan, cahaya seni semuanya telah memberinya bentuk yang baru.

Pergaulan dalam kota Surabaya pun telah luas, terutama dalam kalangan kaum pergerakan, dalam kalangan kaum pengarang, wartawan-wartawan, pemimpin-pemimpin rakyat. Tiap-tiap rembukan yang mengenai kepentingan bangsa, menolong orang yang sengsara, pekerjaan amal, sentiasalah Zainuddin, atau Shabir jadi ikutan orang banyak. Dan Muluk adalah sahabatnya yang setia.

Bersambung…


Pengarang
: HAMKA
Tajuk : Tenggelamnya Kapal Van Der Wijck

Sunday, October 2, 2011

Tenggelamnya Kapal Van Der Wijck (Bhg. 22)

MENEMPUH HIDUP

Dua bulan lamanya Zainuddin sakit. Sakit yang boleh dikatakan penutup dari zaman angan-angan remaja dari pintu zaman yang baru untuk penghidupannya. Rupanya Allah masih mengizinkan dia hidup, padahal sudah berapa kali di dalam sakitnya dia meminta mati. Tetapi rupanya dia masih berguna, lapangan buat berjuang dalam alam dunia ini masih luas. Sebab itu maka sembuhlah dia, dari sedikit ke sedikit, fikirannya pun timbul dari selangkah ke selangkah, sehingga akhimya kekuatannya telah surut semula. Hanya pada tepi matanya, pada raut keningnya, masih tetap terbayang segala lakon hidup yang dijalaninya.

Persahabatan manusia yang didapati sesudah menempuh sengsara adalah persahabatan yang lebih kekal daripada yang didapat pada waktu gembira. Demikian pulalah di antara Zainuddin dengan Muluk. Sejak dia sakit sampai sembuhnya, tidaklah pernah terpisah lagi di antara kedua orang itu. Zainuddin masih muda dan banyak cita-cita, Muluk lebih tua dan banyak pengalaman, walaupun ilmunya tak ada selain dari pergaulan.

Pada suatu hari, tengah hari, sedang cacau ragi kain, sedang lengang orang di kampung hanya sekali-sekali kedengaran peluit keretapi yang sedang diperbaiki di bengkel dekat stesen, dan dari jauh kedengaran aliran air yang merawankan hati dalam belukar Anai. Kebetulan Mululi kembali dari pasar, tidak mendapati Zainuddin di rumah. Dicarinya ke dalam kamar tak ada, dicarinya dan ditanyakannya kepada ibunya sendiri, ibunya pun tak tahu. Terkenanglah dia bahawa pada zaman yang akhir ini, Zainuddin suka sekali bersunyi-sunyi diri ke belukar Anai, ke tepi sungai yang mengalir dengan bunyinya yang dahsyat itu, seakan-akan berserunai bernafiri layaknya. Dia pun dengan tergesa pergi ke sana. Persangkaannya tepat sekali, didapatinya Zainuddin sedang duduk di atas sebuah batu besar melihat air mengalir, yang selalu seakan akan bertutur. Nun jauh dari sana, adalah Lubuk Mata Kucing, tempat orang mandi-manda bergurau.

Setelah Muluk datang; Zainuddin telah tahu, tetapi tak sepatah jua ditegurnya. Di sanalah Muluk mulai berkata.

"Apakah yang Guru menungkan juga?"

"Begini baru usiaku, sudah begini besarnya kedukaan yang menimpa diriku, menung apakah yang tidak akan terjadi? Kalau Bang Muluk merasai tentu Abang tak akan sampai bertanya!"

"Hentikanlah segala permenungan ini, Guru Muda.

Sebab segala yang kejadian itu telah berlalu masanya; apa yang telah tertentu sejak dalam rahim bonda tak dapatlah makhluk mengelakkan," ujar Muluk dengan rupa yang bersungguh-sungguh. "Secara persahabatan, biarlah dengan segenap kejujuran saya lepaskan perasaan yang terguris kepada Guru. Begini banyak ilmu yang telah Guru tuntut, begitu tinggi budi pekerti dan kesopanan Guru; akal panjang fikiran luas, pemandangan jangan disebut.

Tiba-tiba di hadapan keadaan yang begini, Guru bersemangat lemah. Lebih lemah daripada kami parewa yang tak kenal membaca bismillah. Tidaklah baik hidup yang murni dan mulia dikurung di terungku kerana hanya semata-mata memikirkan seorang perempuan, seakan-akan hanya itulah perempuan di dunia ini. Perempuan yang Guru junjung itu, sebelum sampai perkahwinan berhasil dengan Guru telah nyata emas dan loyangnya, batu dan intannya. Dia telah berkhianat, memungkiri janjinya, sehingga lantaran memikirkan itu, Guru telah jatuh sehina selemah ini seakan-akan ditusukkannya sebilah keris yang tajam ke hujung jantung Guru, sehingga kalau bukan kasihan Allah, binasa Guru dibuatnya."

Setelah dia termenung sebentar maka diteruskannya pula perkataannya: "Di sini Guru menangis tersedu-sedu, meratap terisak-isak mengatakan Guru kehilangan nikmat, kehilangan permata; padahal di pihak lain perempuan itu dengan senyum gembira menyandarkan kepalanya ke atas pangkuan suaminya; tidak teringat lagi olehnya diri kita, dilupakan, dibuangkan, setelah dibuang diinjakkannya pula.

Guru pergi duduk -duduk bermenung seorang diri ke tempat yang lengang. Padahal ke mana pun kita pergi, iblis sentiasa menurutkan kita. Alangkah berbahayanya kalau dibisikkan oleh iblis menyuruh Guru putus asa, disuruhnya membunuh diri. Buat orang yang Guru cintai, agaknya lebih senang hatinya kalau Guru hilang dari dunia, lebih bebas dia melangkah di atas dunia yang luas ini. Agaknya ketika orang mendapat mayat Guru tergantung di dahan pohon dadap, atau terbentang di Anai yang deras airnya ini, atau terputus leher Guru disembelih tangan Guru sendiri di dalam kamar. Agaknya kalau sampai kepadanya khabar itu, tidaklah dia akan pergi menjenguk Guru, usahkan menangisi Guru. melainkan dia akan merasa bangga sebab kecantikannya telah mengorbankan orang yang mencintainya.

Hai Guru Muda! Mana pertahanan kehormatan yang ada pada tiap-tiap laki-laki? Tidakkah ada itu pada Guru? Ingatkah Guru bahawa ayah Guru terbuang dan mati di negeri orang, hanya semata-mata lantaran mempertahankan kehormatan diri? Tidakkah dua aliran darah yang panas ada dalam diri Guru, darah Minangkabau dari jihat ayah, darah Mengkasar dari jihat ibu?

Mana kegagahanmu Guru, rasa tanggungjawab atas dirimu? Padahal saya kenal bahawa dalam hal yang lain-lain Guru cukup mempunyai itu. Mengapa dalam hal yang sefasal ini Guru mundur dan kalah?

Dengan terus terang saya katakan, bahawa Guru bercelaka, sengsara, hidup Guru sempit, lebih dari hidup orang lain, lantaran salah Guru sendiri.

Tenaga mudamu, darahmu yang masih panas, kepalamu yang masih sanggup bertempur dengan peri penghidupan telah di rampas dan dirosak binasakan oleh perempuan itu. Jangan malu Guru! Guru mesti tegak kembali. Langkahkan kaki ke perjuangan, yang selalu meminta tentera, yang selalu kekurangan soldadu!

Karamkan diri ke dalam alam, ke dalam masyarakat yang maha luas. Di sana banyak bahagia dan ketenteraman. Di mana-mana didirikan orang perkumpulan-perkumpulan, penolong fakir dan miskin. Di mana-mana didirikan orang rumahsakit-rumahsakit, penolong si sakit yang tak mampu. Diadakan rumah pondokan pemelihara orang tua-tua yang masih panjang umurnya, padahal telah lemah berusaha. Masuki itu dengan mencampuri pekerjaan itu akan terubat kedukaan sekarang.

Di mana-mana didirikan orang perkumpulan politik atau ekonomi untuk membela kepentingan bangsa dan tanah air supaya mencapai bahagia dan hidup yang sempurna. Masuki itu, kiraikan sayap, tuangkan dan habiskan tenaga buat itu.Dengan begitu penyakit yang Guru tanggungkan tentu sembuh, dan penghidupan dapat ditentukan arahnya sebelum terlambat.

Di mana-mana diterbitkan orang surat-surat khabar, pembimbing umat kepada kecerdasan, memuat perkhabaran, pengetahuan, syair dan madah, cerita dan hikayat. Buku roman yang tinggi harganya telah mulai dikeluarkan orang. Kalau Guru ambil kesanggupan menumpahkan fikiran yang tinggi-tinggi itu dengan mengarang, tentu akan berhasil. Apalagi pengalaman telah banyak, jiwa telah kerap kali menanggung, hati telah kerap kali menempuh duka. Kalau Guru segan di bawah takuk orang, dengan wang yang ada di tangan Guru bolehlah menerbitkan sendiri. Dengan demikian Guru akan mengecap bagaimana nikmat kebahagiaan dan keberuntungan.

Di dalam alam yang terbentang di muka kita, di awan-awan yang berarak, di sungai yang mengalir, di burung yang terbang tinggi, di kulik helang tengah hari, di kokok ayam di halaman, di puncak gunung meningkat awan, pendeknya di mana-mana pun, terbentanglah pengubat hati dan jiwa Di sana tersembunyi pokok-pokok untuk kebahagiaan hidup

Apa sebab hati akan dibiarkan bersedih dan bersusah di dalam alam ini? Padahal lapangan kemuliaan dan perasaan bahagia terbuka buat semua orang! Orang yang bercela di dalam dunia ini hanya bertiga saja. Pertama orang dengki, yang selalu merasa sakit hati melihat orang diberi Allah nikmat. Kesakitan hatinya itulah yang menyebabkan dia celaka, padahal nikmat Allah tak dapat dihapuskan oleh tangan manusia. Kedua orang yang tamak dan loba, yang sentiasa merasa belum cukup dengan apa yang telah ada dalam tangannya, selalu menyesal, mengomel, padahal yang akan didapatnya tidak akan lebih daripada yang telah ditentukan Allah dalam kudrat-Nya. Ketiga orang berdosa yang terlepas dari tangan hakim, kerana pencurian atau pembunuhan, kerana memperkosa anak bini orang.

Orang yang begini, meskipun terlepas dari jaringan undang-undang, tidak juga akan merasai nikmat sedikit pun ke mana jua dia pergi. Kesalahan dan tangannya yang berdarah selalu terbayang-bayang di ruangan matanya. Polis serasa-rasa mengejamya juga. Di mana orang berbisik-bisik, disangkakannya memperkatakan hendak menangkapnya juga.

Apakah yang Guru susahkan, padahal ketiga penyakit itu tak ada pada Guru?

Melihat mata Guru memandang saya, saya tahu bahawa Guru kurang percaya akan perkataan saya, sebab menilik kepada kerendahan darjat saya, seorang parewa. Tetapi janganlah dibiarkan banyak-banyak makhluk yang sesat dan tidak mempunyai haluan. Awasilah diri Guru sebelum jatuh ke dalam jurang. Saya mengetahui benar bahawa Guru alim dan berpengetahuan, tetapi liku-liku hidup belum banyak Guru lalui. Seruan dan pemandangan saya adalah seruan dan pandangan dari seorang yang telah mengalami, seorang yang telah menderita, memberi ingat kepada temannya, supaya teman itu jangan sesat dan tergelincir. Sebab mudah orangj atuh ke lurah yang dalam, dan sukar membangkitkan diri dalam lurah itu.

Salah sekali kalau orang sebagai Guru menyangka kebahagiaan ada pada rumah yang indah, atau pada wang terbilang, atau pada perempuan yang cantik. Kalau demikian, apakah akan ubahnya Guru seorang terdidik budiman dengan orang-orang zaman kini. Orang yang sampai gugur rambut di kepala mencari wang kian ke mari, tetapi dia tidak hendak puas, hanyalah semata-mata lantaran diperintah oleh senyuman perempuan.

Lihat anak-anak muda zaman sekarang, yang menangis tersedu-sedu meminta belas kasihan perempuan, mahu dia berkorban, sengsara, hina, hanyalah mencari apa yang disebut orang cinta. Salah persangkaan yang demikian, hai Guru Muda. Cinta bukan mengajar kita lemah tetapi membangkitkan kekuatan. Cinta bukan melemahkan semangat, tetapi membangkitkan semangat.

Jika kita dikecewakan oleh perempuan pada hari ini, ada dua jalan ditempuh orang, satu jalan ditempuh oleh orang yang hina yang rendah budi. Satu jalan pula ditempuh oleh orang yang dalam fikirannya. Yang ditempuh oleh parewa ialah membalaskan dendam dengan jalan menganiaya. Dicarikannya pekasih atau kebenci kian ke mari, dituntutnya ilmu sihir kepada dukun-dukun yang pandai, sehingga perempuan itu cerai dengan suaminya, atau kena si jundai dan parendangan. Cinta yang demikian namanya kekejaman, dia menganiaya bukan mengasihi, mementingkan kesenangan seorang. Dan itu bukan budi dan cinta, tetapi nafsu yang serendah-rendahnya.

Bukan begitu jalan yang ditempuh budiman. Jika hatinya dikecewakan, dia selalu mencari usaha menunjukkan di hadapan perempuan itu, bahawa dia tidak mati lantaran dibunuhnya. Dia masih hidup, dan masih sanggup tegak. Dia akan tunjukkan di hadapannya dan di hadapan suaminya bahawa jika maksudnya terhalang di sini, pada fasal lain dia tidak terhalang.

Guru sendiri yang mengajarkan kepada saya, dan sekarang saya kembalikan kepada Guru, bahawa banyak orang besar-besar yang kalah dalam percintaan, lantaran kekalahan itu dia ambil jalan lain, dia maju dalam politik, dalam mengarang syair, dalam mengarang buku, dalam perjuangan hidup, sehingga dia naik ke atas puncak yang tinggi, yang perempuan itu wajib melihatnya dengan menengadah dari bawah. Dengan itu, biar hatinya sendiri hancur dalam kekecewaan yang pertama, maka orang banyaklah yang mengambil hasilnya."

Dalam sekali nasihat-nasihat yang diberikan oleh Muluk, tercengang Zainuddin memikirkan, tidak disangkanya bahawa temannya itu, yang pada lahir dicap seorang parewa, tetapi pada batinnya seorang guru yang telah banyak sekali meminum air hidup. Sehingga di dalam Muluk berkata-kata itu, teringatlah di hati Zainuddin bahawa selama ini belum ada dia beroleh seorang sahabat tempat menumpahkan perasaan hati, yang serupa dengan Muluk itu.

"Saya lihat Guru pandai mengarang," Muluk meneruskan tuturnya, "banyak buku-buku terletak di atas meja Guru, banyak karangan-karangan dan hikayat-hikayat. Mengapa itu tidak Guru teruskan?"

"Kalau fikiran tertutup bagaimana hendak mengarang?" keluh Zainuddin.

"Kata orang ketika ditimpa hal-hal yang seperti inilah terbuka fikiran membuat karangan," jawab Muluk.

"Benar segala perkataanmu, Bang Muluk, tidak ada yang salah. Segala yang tersebut itu telah saya usahakan, telah saya ketahui. Tetapi itulah; saya akui pula semangat saya yang lemah yang tak dapat mencapai kemenangan di dalam perjuangan mencari mana yang lebih benar. Tetapi saya ingat pula bahawa segala yang kejadian itu mesti kejadian, kesusahan mesti datang menimpa, dilukai mesti berdarah, dipukul mesti sakit.

Cuma sesudah luka tentu ada pula masa sembuhnya, sesudah bengkak ada masa surutnya. Mulai waktu ini saya akan berusaha memperbaiki jalan fikiran saya kembali. Saya tidak akan mengingat dia lagi, saya akan melupakan dia! Adapun kesakitan yang mengenai hati, moga-moga dapatlah disembuhkan Tuhan dengan beransur. Tetapi ...

"Tetapi apa lagi?" tanya Muluk.

"Saya sudah fikirkan bahawa yang lebih maslahat bagi diri saya dan bagi perjuangan yang akan ditempuh di zaman depan, saya terpaksa pindah dari kota Padang Panjang. Saya hendak ke Tanah Jawa. Di Tanah Jawa nasihat Bang Muluk itu lebih mudah dijalankan daripada di sini. Lagi pula kalau

Padang Panjang kelihatan juga, fikiran yang lama-lama timbul-timbul juga!"

"Sudah tetapkah keputusan demikian?" "Tetap!"

"Saya mesti ikut!" kata Muluk. "Saya tertarik dengan Guru. Sebab itu bawalah saya menjadi jongos, menjadi pelayan, menjadi orang suruhan pada waktu siang di dalam pergaulan hidup, dan menjadi sahabat yang setia yang akan mempertahankan jika Guru ditimpa susah!"

Dengan muka sangat girang, Zainuddin menentang mata Muluk: "Benarkah Abang mahu pergi dengan daku?"

"Benar, sebab dari Guru banyak kebaikan yang akan saya contoh, saya hendak menuntut penghidupan yang baru menanggalkan baju "parewa" saya. Saya hendak tunduk dan kembali ke jalan benar, kerana sejauh-jauh tersesat, kepada kebenaran jugalah kita akan kembali."

"Saya pun perlu berdamping dengan Abang, kita tidak berpisah lagi, banyak pula kebaikan dan faham yang dalam-dalam yang perlu saya ambil dari Abang Muluk."

"Sampai mati menjadi sahabat," kata Muluk. "Sampai mati menjadi sahabat," kata Zainuddin pula, sambil bersalam-salaman yang lama sekali.

Seminggu di belakang itu kelihatan Zainuddin dengan Muluk di atas dek kapal Sloet Van Der Beele yang akan berlayar dari Teluk Bayur ke Tanjung Priok.

JIWA PENGARANG

Kata setengah orang, ilmu mengarang itu diperdapat lantaran dipelajari; diketahui nahu dan saraf bahasa dan dibaca karangan pujangga-pujangga lain dan menirunya, bisa orang menjadi pengarang. Banyak diperbuat orang aturan mengarang, mesti begini, mesti begitu, tak boleh salah. Tetapi bilamana kita lihat karangan pujangga yang sejati sentiasa berlainan susunannya dengan lain pujangga. Seorang pengarang, bilamana dibaca orang karangannya, orang tertarik dengan kesulitan bahasa yang dipakainya. Yang lain pula, bahasanya tidak begitu dipedulikannya, kadang-kadang menyalahi kepada kebiasaan orang lain, bahkan menyalahi nahu dan saraf yang terpakai pada lazim, tetapi lebih enak orang membaca karangan itu.

Di Tanah Indonesia ini, umur kesusasteraan belum lagi tinggi. Perhatian orang untuk memperindah bahasa negerinya masih baru. Sebab itu amat sulit jalan yang ditempuh oleh pengarang. Belum banyak orang yang kenal kepada buah penanya. Zainuddin! ....

Ditinggalkannya Pulau Sumatera, masuk ke Tanah Jawa, medan perjuangan penghidupan yang lebih luas. Sesampai di Jakarta, disewanya sebuah rumah kecil di suatu kampung yang sepi, bersama sahabatnya Muluk. Dari sanalah dicubanya menyudahkan karangan-karangannya yang terbengkalai, terutama di dalam bahagian hikayat.

Dikirimnya kepada surat-surat khabar harian dan mingguan. Rupanya karangan-karangannya itu mendapat tempat yang baik, kerana halus susun bahasanya, dan diberi orang honorarium meskipun kecil. Lantaran penerimaan orang yang demikian, hatinya bertambah giat dan semangatnya makin bangun. Sehingga di dalam masa yang belum cukup setahun, karangan-karangannya telah banyak tersiar. Tiap-tiap hari Sabtu keluarlah cerita-cerita yang dikarangkan oleh leter " Z ", yang amat menarik hati itu.

Kalau pada suatu ketika dicubanya menghentikan mengirim karangan-karangannya, maka datanglah surat hopredaktur meminta karangan yang baru, kerana langganan-langganan telah mendesak, mengapa minggu yang lalu tak ada karangan dari leter " Z ". Jika dahulu dia sendiri yang pergi ke pejabat surat khabar menghantarkannya, diterima dengan dibolak-balik lebih dahulu; sekarang redaksi surat khabar itulah yang datang meminta karangan kepadanya. Beberapa mingguan dan harian memberikan honorarium yang patut. Bahkan dalam masa yang tidak lama kemudian, direktor dari satu surat khabar harian telah datang ke rumahnya menawarkan pekerjaan menjadi redaksi dalam surat khabar itu, spesial mengatur ruangan hikayat, roman dan syair.

Tetapi dia tidak mahu, kerana ia mempunyai cita-cita lain. Setelah dia tahu bahawa buah penanya telah menjadi perhatian umum, mengertilah dia bahawa, inilah tujuan yang tetap dari hidupnya. Daripada bekerja di bawah tangan orang lain, lebih suka dia mengeluarkan dan membuka perusahaan sendiri. Oleh kerana kota Surabaya lebih dekat ke Mengkasar, dan di sana penerbitan buku-buku masih sepi, maka bermaksudlah dia hendak pindah ke Surabaya, akan mengeluarkan buku-buku hikayat bikinan sendiri dengan modal sendiri, dikirim ke seluruh Indonesia.

Dengan kemahuan yang tetap, dia bersama Muluk meninggalkan kota Jakarta, yang di kota itu dia telah mendapat modal paling besar, iaitu leter " Z " yang kelak akan dipergunakan mencuba nasib di kota Surabaya itu. Cita-citanya dengan buku-buku yang dikarangnya ialah menanamkan bibit persatuan rakyat dari segenap kepulauan tanah airnya, mempertinggi kecerdasan kaum perempuan, menghapuskan adat-adat yang telah lapuk, menegakkan kemajuan yang sepadan dengan bangsanya. Ceritanya amat menarik hati orang. Kerana bilamana dia menggubah hikayat-hikayatnya, dinantinya dahulu waktu yang tenang dan sepi. Segenap kesedihan yang berlungguk -lungguk dalam hati sanubarinya sejak dia kecil, itulah yang ditumpahkannya ke dalam karangan-karangan dengan wajah yang sejelas-jelasnya.

Ingatan seorang ibu kepada anaknya, ratap tangis seorang anak atas kematian ibunya, kerana ibunya sendiri memang tak ada lagi. Jikalau dia melukiskan cinta, sebenar-benar cintalah yang digambarkannya. Kekecewaan hati, keremukan fikiran, fikiran yang sedang buntu nasib seorang yang hidup sebatang kara, semuanya itu digambarkannya dalam karangannya, dengan wajah yang sejelas-jelasnya. Kerana orang yang menangis tak dapat menceritakan gelak orang yang tertawa; orang yang bergirang tak dapat melukiskan tangis orang yang bersedih. Pengarang dari kalangan bangsawan amat sukar menceritakan penghidupan dari Pak Tani di pondok yang buruk.

Tidak hairan, kalau sekiranya karangannya mendapat penerimaan yang baik dari pembacanya. Di dalam hal yang demikian, ada pula tabiatnya yang sangat mulia. Iaitu kasih sayang kepada fakir dan miskin, sangat hiba kepada perempuan-perempuan tua yang meminta-minta di tepi jalan. Kalau sekiranya ada orang dagang anak Sumatera atau anak Mengkasar yang terlantar di kota Surabaya dan datang meminta tolong kepadanya, tidaklah mereka akan meninggalkan rumah itu dengan tangan kosong. Ketika diketahuinya bahawa di kota itu ada perkumpulan anak-anak Sumatera yang bekerja memburuh atau di tempat-tempat yang lain, sudi pula dia memasuki perkumpulan itu. Segala yuran diisinya, kadang-kadang lebih daripada yang dibayar orang lain. Kerana demikianlah ahli seni, tak peduli kepada wang. Kerana kekayaan yang sangat dicita-cita oleh ahli seni bukan kekayaan wang, tetapi kekayaan bahagia, kekayaan alam yang tercurah ke dalam kalbunya.

Seorang ahli gambar, kalau gambarnya laku dan dibeli oleh sebuah kantor yang mengumpulkan barang seni dan diletakkan di sana, maka pada waktu perutnya lapar: dan wangnya habis, merasa kenyanglah dia, jika dia pergi pula kembali ke dekat gambar itu, melihat rupa dan wajah orang-orang yang lalu lintas di hadapan gambar itu. Seorang pengarang buku, walau bagaimana pun putus asa hidupnya, kalau pada suatu hari dilihatnya orang sedang membaca buku it u dengan asyiknya, dia lupa kepayahan dan keputusasaannya itu.

Kerana kemuliaan budi dan kebaikan hatinya, yang tiada suka mengganggu orang lain, lagi suka menghormati fikiran orang lain, dalam sedikit masa pula, namanya telah harum dalam perkumpulan "Anak Sumatera" itu. Sehingga tidak berapa lama kemudian, atas anjurannya sendiri didirikan suatu perkumpulan tonil dengan nama "Andalas", nama asli Pulau Sumatera.

Namanya kian lama kian harum, pencariannya pun maju. Dia termasyhur dengan nama samaran leter " Z ", pengarang hikayat, regisseur dari perkumpulan sandiwara "Andalas".

Demikianlah ilham yang dibawa oleh cinta yang suci. Cinta yang suci adalah laksana setitis embun yang turun dari langit ke atas bumi Allah ini. Jika sekiranya bumi yang menerimanya itu subur, maka tumbuhlah di atasnya beraneka warna bunga-bungaan yang harum semerbak. Menanamkan damai, aman, sentosa, insaf, rasa percaya kepada diri sendiri. Dalam hal yang begini, embun "cinta" yang setitis itu membawa manusia yang dititiknya ke maya pada yang mulia. Tetapi jika dia jatuh ke bumi yang tak subur, yang tandus dan penuh batu-batu, tidak ada yang akan tumbuh di sana, lain dari sirih memanjat batu, kuning daunnya lemah gagangnya. Orang itu menjadi putus asa, pencemburu kepada sesama manusia, hilang kepercayaan kepada nikmat yang tersimpan di dalam hidup. Atau menjadi seorang pembenci, kurang percaya, kadang-kadang pendendam dan sakit hati.

Maka adalah cinta kepada Hayati dan pengharapan yang terputus yang memuarakan jiwa dan semangat baru dalam perjuangan hidup anak muda itu, ke lautan yang luas!

"Di belakang kita berdiri satu tugu yang bernama nasib, di sana telah tertulis rol yang akan kita jalani. Meskipun bagaimana kita mengelak dari ketentuan yang tersebut dalam nasib itu, tiadalah dapat, tetapi harus patuh kepada perintahnya. "

Bersambung…

Pengarang: HAMKA

Tajuk : Tenggelamnya Kapal Van Der Wijck

Note: Ah!! Apa yang tuan ceritakan ini, seolah-olah menceritakan akan diri tuan!!