Tuesday, November 1, 2011

Tenggelamnya Kapal Van Der Wijck (Bhg. 24)

 

RUMAHTANGGA

Di rantau, hidup orang dagang itu menjadi rapat. Maka sejak hari perkenalan itu, tersimpullah kembali dengan selekasnya tali persahabatan di antara kedua suami isteri itu dengan Zainuddin. Pada raut muka atau sikap dan restu Zainuddin, tidak kelihatan lagi bekas-bekas penyakit lama. Dua hari setelah pertunjukan itu, Aziz membawa isterinya ziarah ke rumah Zainuddin. Dan beberapa hari di belakang, Zainuddin bertandang pula ke rumah Aziz. Di sanalah mereka mengatur budi bahasa yang halus, memperingati zaman yang lampau tatkala di Padang Panjang, yang sekira-kira tidak akan menyedar kepada pembicaraan cinta.

Tetapi ada suatu rahsia rumahtangga yang telah terjadi di antara kedua suami isteri itu. Terjadinya bukan setelah bertemu dengan Zainuddin, tetapi sebelumnya, sejak mereka menjejak Tanah Jawa. Dari sedikit ke sedikit telah nyata bahawa cinta Aziz kepada Hayati, adalah cinta sebagaimana disebut orang pada waktu sekarang. Iaitu cinta yang ditakuti oleh Zainuddin dan telah pernah diterangkannya dalam suratnya kepada Hayati seketika dia akan kahwin. Aziz, sanggup memberikan segenap kesenangan kepada Hayati, yakni kesenangan harta benda, tetapi hati mereka sejak bergaul, bukan kian lama kian kenal, hanya kian lama kian nyata bahawa haluan tidak sarna. Cinta menurut ertian yang dipakai oleh Aziz ialah pada rupa yang mungil dan cantik, pada bunga yang baru kembang yang mekar. Bilamana sebab-sebab itu sudah tak ada lagi, cinta pun kendurlah. Sejak mulai kendumya, maka kesungguhan-kesungguhan telah berganti dengan pura-pura. Diberikannya muka yang manis dan mulut yang manis kepada si isteri, tetapi oleh si isteri sendiri terasa bahawa ini hanya pura-pura. Sedangkan anak kecil kita dukung, sedang perhatian kita kepada yang lain, menangis dia, kononlah manusia yang berakal. Kian lama kian terasalah oleh Hayati kesepian dirinya.

Bahawa ia hidup dikelilingi oleh tembok yang pucat, tak berteman dan berhandai, kecuali air mata dan ratapnya. Insaflah dia sekarang bahawa pertaliannya dengan Aziz, bukan pertalian nikmat yang dirasainya seketika dia mulai kenal kepada Zainuddin dahulunya. Mulai dari sedikit ke sedikit terasa olehnya, bahawa di antara jiwanya dengan jiwa dan haluan suaminya, ialah pertemuan di antara minyak dengan air. Sudah hampir dua tahun pergaulan itu. Aziz telah mulai bosan melihat isterinya. Kerana di kota yang ramai dan bebas, kalau cinta itu hanya pada kecantikan, maka kecantikan seorang perempuan kelak akan dikalahkan pula oleh kecantikan yang lain. Perubahan perangai Aziz ketika

mulai beristeri adalah perubahan dibuat-buat. Perubahan yang dibuat-buat biasanya tiada tahan lama. Yang lekas membosankanAziz ialah tabiat Hayati yang tenang, yang tidak tahu merupakan gembira, yang terlalu keagama-agamaan. Keindahan pakaian dan bentuknya cara kota itu kurang begitu disetujuinya. Ada perempuan yang tak mempunyai haluan dalam hidupnya, hanya menurutkan bentuk dan gaya suami. Tetapi ada pula perempuan yang tetap pada pendiriannya, walaupun bagaimana haluan suaminya. Bagi Aziz ketika mulai kahwin, bukan haluan, bukan perangai dan bukan didikan Hayati yang jadi perkaranya, tetapi wajah yang cantik molek. Jadi nyatalah bahawa pada hakikatnya bukanlah Hayati jodoh Aziz, tetapi perempuan yang kekota-kotaan, yang mahu sama-sama meminum seteguk air kelazatan dunia ini. Jodoh Hayati yang sejati, yang sama-sama lebih banyak tunduk daripada tengadahnya, bukan orang lain, melainkan Zainuddin juga.

Di zaman kini belum sampai fikiran orang kepada menyelidiki haluan cinta dan darjat, mencari pasangan angan dan cita. Di zaman kini yang lebih dipentingkan orang ialah perkahwinan wang, bangsa, perkahwinan adat dan turunan. Manusia di zaman kini baru melihat kulit. Kalau dilihatnya rumah yang indah, keindahan itu yang mencengangkannya bukan kepintaran yang mengatur petanya. Kalau dibacanya hikayat yang bagus, bukan fikiran pengarang yang diselaminya, tetapi dia menggeleng-geleng membaca susun katanya. Kalau dia tertarik dengan rupa perempuan cantik, kepada hawa nafsu kesyaitananlah terhadap fikirannya, bukan kepada kekuasaan Tuhan yang menciptakannya.

Bukan orang penzina peminum arak, bukan pencopet pencuri dan pemaling saja yang patut disebut sampah masyarakat. Tetapi orang-orang inilah sampah masyarakat yang lebih halus tetapi berbahaya. Mereka tertawa di waktu orang lain menangis, fikiran mereka hanya mengumpulkan harta benda melepaskan nafsu hidup. Adapun orang yang memandang dunia sampai ke batinnya, yang tidak mengkaji perbezaan pangkat dan darjat, harta benda dan kekayaan, hanya memandang kepada budi dan bahasa. sedikit sekali jumlahnya. Apalagi zaman sekarang digelari orang zaman kebendaan.

Kalau bertemu atau berkahwin golongan pertama dengan golongan kedua ini, pergaulannya tidaklah akan tenteram. Walaupun lama, maka rumahtangganya bukan sarang kebahagiaan, tetapi neraka hidup. Kalau yang perempuan masuk golongan yang pertama, berapapun banyaknya gaji suaminya, walaupun pangkat suaminya lebih tinggi dari pangkat Nabi Sulaiman, dan kekayaannya lebih banyak daripada kekayaan Raja Qarun, tidaklah orang dalam rumah itu akan melihat kecukupan dan keriangan.

Demikianjuga sebaliknya; kalau yang laki-laki hatinya hati layang-layang, hati golongan pertama tadi, dan isterinya masuk golongan yang kedua, maka si isteri hanyalah lepau tempat singgah bagi suaminya ketika ia lelah berjalan.
Kesenangan di luar rumah, bukan di dalam rumah. Orang yang begini selama-lamanya tidak merasa kepuasan. Perkataan talak, cerai,fasakh dan khuluk, adalah perkataan yang ringan sekali dari mulutnya. Perempuan yang jadi isterinya selama hidupnya makan hati berulam jantung. Dan yang sayangnya penyakit ini berbekas kepada anak-anaknya.

Marilah kita namai golongan pertama golongan kebendaan, dan golongan yang kedua golongan kejiwaan. Golongan pertama memungkiri alam dan suka kepada kemewahan. Negeri yang mereka sukai ialah kota-kota yang ramai. Pakaian yang mereka sukai, jika dia perempuan, ialah yang paling ganjil, yang paling menarik mata laki-laki, sejak pinggang yang diramping-rampingkan sampai kepada bibir yang diberi gincu. Golongan yang kedua tadi, negeri yang mereka sukai ialah di mana yang masih belum dicampur tangan manusia, bahagian-bahagian yang aman dan tenteram.

Kalau kita tilik kepada Hayati, lebih akan nyatalah "Hayati" -nya bila dia tinggal di kampungnya yang kaya dengan anugerah Allah yang abadi. Dan akan hilang perhatiannya dalam hidup jika dia tinggal di kota yang hiruk pikuk sebagai Surabaya itu. Sebaliknya suaminya, masuk kota Surabaya adalah laksana ikan dimasukkan ke dalam air, di sanalah baru bebas dia berenang.

Sejak berapa lama, perhubungan kedua suami isteri itu, hanya perhubungan akad nikah, bukan perhubungan akad hati lagi. Hati yang perempuan terbang membubung ke langit hijau mencari kepuasan di dalam khayal dan hati yang laki-Iaki, hinggap di wajah dari pangkuan perempuan¬perempuan cantik yang menjadikan Surabaya pasamya. Demikianlah kehidupan kedua makhluk itu sekian lamanya, sampai kepada mas a pertemuan dengan Zainuddin itu.

Setelah terjadi pertemuan itu, pulang juga sedikit kesenangan hati Hayati. Kerana rupanya masih ada di dunia ini orang yang pemah mencintainya dahulu. Dahulu!
Cuma yang diselidikinya - meskipun hanya sekadar mahu tahu - menurut sifat yang ada pada tiap-tiap perempuan: Apakah Zainuddin masih ingat kepadanya? Perkenalan mereka itu membesarkan hatinya, dia hendak tahu fikiran Zainuddin, hanya sekadar tahu, lain tidak. Kerana akan mungkin kepada pertalian yang telah dibuhulkan oleh kalimat suci, dia tak mahu. Dia telah ditakdirkan Tuhan buat bersengsara. Dia akan melalui takdir itu sampai Tuhan sendiri pula yang membukakannya, iaitu dengan kafan dan ... perkuburan.

Dia hendak tahu, hanya semata-mata untuk menimbulkan pengharapan, bahawa dirinya masih berhak hidup, mengecap udara yang nyaman dalam dunia ini. Tetapi sudah payah, sudah lelah dia mencari, walaupun dalam sindir kata, atau dalam gendeng mata, atau dalam lagak lagu Zainuddin, semuanya tak bertemu ... Dalam laksana dalamnya lautan.

Dua kali Zainuddin ziarah ke rumah Hayati, yang kebetulan Aziz tak ada di rumah. Dianggukkannya kepalanya kepada Hayati tetapi dia tidak mahu masuk, hanya berjanji akan datang kelak bila Aziz telah kembali. Dahulu masih ada kepercayaan Hayati mengirim surat mengadukan halnya dan menumpahkan perasaan hatinya kepada Khadijah, tetapi akhirnya dia undurkan diri, kerana dia telah tahu bahawa Khadijah berpihak kepada saudaranya jua.

Bersambung lah lagi…

Pengarang: HAMKA
Tajuk : Tenggelamnya Kapal Van Der Wijck

7 comments:

terusberlari said...

tuan tanah dah lama menghilang...
maaf zahir batin

muhamad amin ismail said...

ada je... cuma.. entah la... bila usia makin bertambah ni.. makin tak sempat nak menulis lagi... herm...

Infineon2000 said...

Tuan tanah kedaung bila nak sambung ni. heheheh

Riduan Muhammad said...

Sebenarnya saya sudah nonton filmnya. Tetapi menurut saya lebih menarik kalau cerita ini dibaca. Kapan kah

Riduan Muhammad said...

Kapan kah tuan ismail lanjutkan ceritanya? Saya sangat tunggu sekali

muhamad amin ismail said...

Nanti saya sambung kembali insyaAllah...

munamoOn said...

hampir sudah tamat 2015..

tuan tanah apa khabarnya..