Saturday, February 27, 2010

Kelahiran Rasulullah S.A.W

Muqaddimah

Sesungguhnya segala puji bagi Allah, kita memuji-Nya, kita meminta pertolongan-Nya, kita meminta keampunan-Nya. Kita berlindung dengan Allah dari kejahatan-kejahatan diri kita serta keburukan-keburukan amalan kita. Sesiapa yang diberi hidayah oleh Allah maka tiada penyesatan untuknya dan sesiapa yang Dia sesatkan maka tiada petunjuk untuknya. Saya mengakui bahawa tiada Tuhan melainkan Allah, Dia sahaja, tiada sekutu bagi-Nya. Dan saya mengaku bahawa Muhammad itu hamba-Nya dan utusan-Nya.

Di Dalam buku Al-Rahiq Al-Makhtum yang dikarang oleh Syeikh Sofiyu Al-Rahman Al-Mubarak Furi.. (yang mana buku ini memenangi tempat pertama pada “Musabaqoh Sirah Nabawiyah” yang berlangsung pada 1396H di Pakistan anjuran “Rabitah Al-Alam Islami”) menyatakan :” Rasulullah S.A.W dilahirkan di perkampungan Bani Hasyim di Makkah pada waktu Subuh hari Isnin* tanggal 9 Rabiul Awal tahun pertama dari peristiwa tentera bergajah (1), dan 40 tahun setelah kerajaan Anu Syirwana bertepatan dengan tarikh 20 atau 22 dari bulan April tahun 571 Masihi. Sebagaimana yang telah dipastikan oleh ulama besar Muhammad  Sulaiman Al-Mansur Fauri RahimahuLlah. (2)

Ibnu Sa`ad meriwayatkan bahawa Ibu Nabi S.A.W berkata:” Ketika aku melahirkannya keluar dari kemaluanku cahaya menerangi istana-istana di Syam”. (Ahmad dan Ad-Darimi serta selain mereka juga meriwayatkan seperti ini).(3)

Setelah ibunya melahirkannya, Beliau dikirim kepada datuknya Abdul Muthalib memberi khabar gembira kepadanya akan kelahiran cucunya, ia pun berasa gembira dan membawanya masuk ke Ka`bah, berdoa kepada Allah dan bersyukur kepada-Nya.(4) Beliau pun memilih nama Muhammad untuknya. Yang mana nama ini belum terdengar dan diketahui sebelumnya di kalangan bangsa Arab. Beliau pun mengkhitannya pada hari yang ke tujuh dari kelahirannya sebagaimana tradisi orang Arab.(5)

Orang yang pertama sekali menyusukannya iaitu setelah ibunya menyusuinya selama seminggu (6) adalah Tsuwaibah maula Abi Lahab dengan susu anaknya yang bernama masruh, yang mana sebelumnya ia telah menyusui Hamzah ibn Abdul Muthalib, dan kemudian ia menyusui Abu Alamah ibn Abdul Asad AL-Makhzumi.(7)
 
Bersambung…..
_____________________
* Dalam Sohih Muslim disebutkan: “Nabi S.A.W pernah ditanya mengenai sebab berpuasa pada hari isnin. Maka, Beliau menjawab:”Itu adalah hari kelahiranku dan pada hari itu, wahyu diturunkan kepadaku” (Diriwayatkan oleh Muslim dalam kitab “berpuasa””.
1. Lihat (Nataijul Al-Afham fi Taqwim Al-Arab Qoblal Al-Islam. Mukasurat 28-35) dikarang oleh Mahmud Basha al-falaki. Cetakan Beirut.
2. 20 April mengikut perkiraan takwim miladi qadim dan 22 April mengikut takwim miladi jadid, dan untuk keterangan lebih lanjut sila rujuk (Rahmatul lila`lamin)
3. Musnad Ahmad 4/127. Sunan Ad-Darimi 1/9. Dan Ibnu Sa`ad 1/102.
4. Sirah Ibnu Hisyam 1/159. Tarikh At-Tobari 6/156,157. Dan Ibnu Sa`ad 1/103.
5. Lihat “Talqih Fuhum Ahlul Asar” mukasurat 4.
6. Lihat “Ithaf Al-wara 1/57.
7. Sohih Al-Bukhari

Monday, February 22, 2010

Tanda-tanda Pemikiran dan Penghujahan Agama di antara Jahiliah dan Islam

Diterjemahkan oleh ams_myye

Salam Ukhwah..

Berfikir dan mentadbir adalah salah satu ciri-ciri manusia yang Allah -تعالى- istimewakan dan lebihkan manusia dengannya ke atas seluruh makhluk. Allah telah memberi nikmat ke atas hamba-hamba-Nya dengan mengurniakan mereka alat-lat berfikir dan menilai, seperti pendengaran, penglihatan dan akal. Allah -تعالى- berfirman:

وَاللَّهُ أَخْرَجَكُمْ مِنْ بُطُونِ أُمَّهَاتِكُمْ لا تَعْلَمُونَ شَيْئًا وَجَعَلَ لَكُمُ السَّمْعَ وَالأبْصَارَ وَالأفْئِدَةَ لَعَلَّكُمْ تَشْكُرُونَ (٧٨)

{Dan Allah mengeluarkan kamu dari perut ibu kamu dengan keadaan tidak mengetahui sesuatupun; dan dia mengurniakan kepada kamu pendengaran dan penglihatan serta hati (akal fikiran); supaya kamu bersyukur.} [An-Nahl : 78].

Setiap seorang dari kalangan manusia tidak terlepas daripada ciri-ciri ini; di mana mereka secara umum menggunakannya di dalam pelbagai aktiviti kehidupan mereka, sekalipun mereka berbeza-beza padanya; antara minimum dan maksimum, antara elok dan buruk, antara yang menggunakannya pada perkara yang disukai oleh Allah dan diredhai-Nya atau pada perkara yang dimukai-Nya. Dalam apa yang berikut, terdapat ringkasan beberapa tanda pemikiran dan penghujahan pada Jahiliah dan Islam.

Pertama: Pemikiran dan Penghujahan Jahiliah:

Ketika mana berbolak-balik dan berputar-putar seseorang hamba di dalam kealpaan kesyirikan; timbangan pemikiran dan keilmuannya akan terumbang-ambing dan menjadi kabur. Tiada yang lebih menunjukkan kepada perkara berkenaan daripada apa yang dilakukan orang-orang Jahiliah terhadap tuhan-tuhan mereka. Allah -تعالى- berfirman:

أَفَمَنْ يَمْشِي مُكِبًّا عَلَى وَجْهِهِ أَهْدَى أَمْ مَنْ يَمْشِي سَوِيًّا عَلَى صِرَاطٍ مُسْتَقِيمٍ (٢٢)

{Maka adakah orang yang berjalan (melalui jalan yang tidak betul, yang menyebabkan

dia selalu jatuh) tersungkur di atas mukanya: boleh mendapat hidayah - atau orang yang berjalan tegak betul, melalui jalan yang lurus rata?} [Al-Mulk : 22].

Nas-nas dari Kitab dan Sunnah telah menjelaskan bermacam bentuk tanda-tanda pemikiran dan pendalilan Jahiliah, bukan pada Arab Jahiliah sahaja, bahkan pada semua ahli kebatilan dan kesesatan. Di antaranya adalah:

1 – Mensia-siakan Pancaindera:

Allah -عز وجل- telah mengurniakan insan pancaindera untuk membantunya meneliti, berfikir, dan mengenal Allah -عز وجل- dengan sebenar-benar pengenalan. Tetapi orang-orang Musyrik telah mensia-siakan pancaindera mereka serta tidak menggunakannya di dalam keredhaan Allah -تعالى-. Allah -عز وجل- berfirman:

وَقَالُوا لَوْ كُنَّا نَسْمَعُ أَوْ نَعْقِلُ مَا كُنَّا فِي أَصْحَابِ السَّعِيرِ (١٠)

{Dan mereka berkata: "Kalaulah kami dahulu mendengar dan memahami (sebagai orang yang mencari kebenaran), tentulah kami tidak termasuk dalam kalangan ahli neraka".} [Al-Mulk : 10]

dan Dia -تعالى- berfirman:

وَلَقَدْ ذَرَأْنَا لِجَهَنَّمَ كَثِيرًا مِنَ الْجِنِّ وَالإنْسِ لَهُمْ قُلُوبٌ لا يَفْقَهُونَ بِهَا وَلَهُمْ أَعْيُنٌ لا يُبْصِرُونَ بِهَا وَلَهُمْ آذَانٌ لا يَسْمَعُونَ بِهَا أُولَئِكَ كَالأنْعَامِ بَلْ هُمْ أَضَلُّ أُولَئِكَ هُمُ الْغَافِلُونَ (١٧٩)

{Dan sesungguhnya Kami jadikan untuk neraka jahanam banyak dari jin dan manusia yang mempunyai hati (tetapi) tidak mahu memahami dengannya (ayat-ayat Allah), dan yang mempunyai mata (tetapi) tidak mahu melihat dengannya (bukti keesaan Allah) dan yang mempunyai telinga (tetapi) tidak mahu mendengar dengannya (ajaran dan nasihat); mereka itu seperti binatang ternak, bahkan mereka lebih sesat lagi; mereka itulah orang-orang yang lalai.} [Al-Aa’raf : 179].

2 – Bersandarkan kepada Khurafat dan Dongeng-dongeng:

Apabila orang-orang Musyrik mensia-siakan akal mereka dan membatalkan pancaindera mereka, mereka bersandar -secara terpaksa- kepada khurafat-khurafat yang tersiar dan dongeng-dongeng yang tersebar, maka meluaslah di sisi mereka penyembahan batu, berhala dan pokok. Bahkan kesesatan dan kehilangan mereka mencecah apa yang dikatakan oleh Abu Roja’ Al-Athoridi -رضي الله عنه-: »Kami dahulu menyembah batu. Apabila kami temui satu batu yang lebih baik daripadanya, kami akan membuangkannya, dan kami akan mengambil yang lain. Apabila kami tidak temui batu, kami kumpulkan satu timbunan tanah kering, kemudian kami bawakan kambing dan kami perahkan susukan kepadanya, dan kemudian kami tawaf padanya«(1).

Kerana ini, khurafat menguasai pemikiran jahiliah, memusnahkan kefahaman, dan mengghaibkan objektif ilmiah. Dongeng-dongenglah yang menjadi penghukum kebanyakan kepercayaan dan pendirian ilmiah. Ia juga menjadi pengatur bagi kebanyakan hubungan kemasyarakatan di antara manusia.

Hasil dari itu adalah:

a) Mereka pergi kepada ahli sihir dan tukang tilik:

Sesungguhnya ahli-ahli sihir dan tukang-tukang tilik dahulu –dan masih lagi sekarang– memiliki peranan yang amat besar di dalam pembentukan dan mempengaruhi akal-akal Jahiliah. Kerana itu, Allah -تعالى- berfirman:

وَاتَّبَعُوا مَا تَتْلُو الشَّيَاطِينُ عَلَى مُلْكِ سُلَيْمَانَ وَمَا كَفَرَ سُلَيْمَانُ وَلَكِنَّ الشَّيَاطِينَ كَفَرُوا يُعَلِّمُونَ النَّاسَ السِّحْرَ وَمَا أُنْزِلَ عَلَى الْمَلَكَيْنِ بِبَابِلَ هَارُوتَ وَمَارُوتَ وَمَا يُعَلِّمَانِ مِنْ أَحَدٍ حَتَّى يَقُولا إِنَّمَا نَحْنُ فِتْنَةٌ فَلا تَكْفُرْ فَيَتَعَلَّمُونَ مِنْهُمَا مَا يُفَرِّقُونَ بِهِ بَيْنَ الْمَرْءِ وَزَوْجِهِ وَمَا هُمْ بِضَارِّينَ بِهِ مِنْ أَحَدٍ إِلا بِإِذْنِ اللَّهِ وَيَتَعَلَّمُونَ مَا يَضُرُّهُمْ وَلا يَنْفَعُهُمْ وَلَقَدْ عَلِمُوا لَمَنِ اشْتَرَاهُ مَا لَهُ فِي الآخِرَةِ مِنْ خَلاقٍ وَلَبِئْسَ مَا شَرَوْا بِهِ أَنْفُسَهُمْ لَوْ كَانُوا يَعْلَمُونَ (١٠٢)

{Mereka (membelakangkan Kitab Allah) dan mengikut ajaran-ajaran sihir yang dibacakan oleh puak-puak Syaitan dalam masa pemerintahan Nabi Sulaiman, padahal Nabi Sulaiman tidak mengamalkan sihir yang menyebabkan kekufuran itu, akan tetapi puak-puak Syaitan itulah yang kafir (dengan amalan sihirnya); kerana merekalah yang mengajarkan manusia ilmu sihir dan apa yang diturunkan kepada dua malaikat: Harut dan Marut, di negeri Babil (Babylon), sedang mereka berdua tidak mengajar seseorang pun melainkan setelah mereka menasihatinya dengan berkata: "Sesungguhnya kami ini hanyalah cubaan (untuk menguji imanmu), oleh itu janganlah engkau menjadi kafir (dengan mempelajarinya)".} [Al-Baqarah : 102].

b) Mereka mengagungkan jin dan syaitan:

Ahli Jahiliah dahulu takut kepada jin dan syaitan, mengagungkannya, dan menyembelih untuknya. Dahulunya orang Arab, apabila seseorang lelaki singgah di sesebuah lembah, dia akan berkata: Aku berlindung dengan penghulu lembah ini, daripada kejahatan golongan bodoh dari kaumnya. Lalu dia akan bermalam di dalam perlindungannya sehingga pagi. Kerana itu, Allah -تعالى- berfirman:

وَأَنَّهُ كَانَ رِجَالٌ مِنَ الإنْسِ يَعُوذُونَ بِرِجَالٍ مِنَ الْجِنِّ فَزَادُوهُمْ رَهَقًا (٦)

{Dan bahawa sesungguhnya adalah (amat salah perbuatan) beberapa orang dari manusia, menjaga dan melindungi dirinya dengan meminta pertolongan kepada ketua-ketua golongan jin, kerana dengan permintaan itu mereka menjadikan golongan jin bertambah sombong dan jahat.} [Al-Jin : 6].

c) Mereka terkesan dengan alamat buruk dan petanda malang:

عَنْ مُعَاوِيَةَ بْنِ الْحَكَمِ السُّلَمِيِّ قَالَ: قُلْتُ يَا رَسُولَ اللَّهِ أُمُورًا كُنَّا نَصْنَعُهَا فِي الْجَاهِلِيَّةِ كُنَّا نَأْتِي الْكُهَّانَ قَالَ: (فَلَا تَأْتُوا الْكُهَّانَ) قَالَ قُلْتُ كُنَّا نَتَطَيَّرُ قَالَ: (ذَاكَ شَيْءٌ يَجِدُهُ أَحَدُكُمْ فِي نَفْسِهِ فَلَا يَصُدَّنَّكُمْ) قَالَ: قُلْتُ وَمِنَّا رِجَالٌ يَخُطُّونَ قَالَ: (كَانَ نَبِيٌّ مِنْ الْأَنْبِيَاءِ يَخُطُّ فَمَنْ وَافَقَ خَطَّهُ فَذَاكَ)

Daripada Muawiyah bin Al-Hakam -رضي الله عنه-, beliau berkata: Aku berkata: Ya Rasulallah! Beberapa perkara yang kami dahulu lakukan di dalam Jahiliah: Kami dahulu mendatangi tukang-tukang tilik? Baginda bersabda: (Janganlah kamu mendatangi tukang-tukang tilik). Beliau berkata: Kami dahulu mempercayai alamat buruk? Baginda bersabda: (Itu hanyalah sesuatu yang dirasai oleh seseorang kamu di dalam dirinya, maka janganlah ia menyekat kamu). Beliau berkata: Aku berkata: Ada di kalangan kami, lelaki-lelaki membuat garisan? Baginda bersabda: (Dahulu seorang Nabi dari kalangan Anbiya membuat garisan. Sesiapa yang menepati garisannya, maka itulah [yang dibenarkan])(1).


(1) Al-Bukhari di dalam Kitab Al-Maghozi : (8\90), no. 4376.

(1) Muslim : di dalam Kitab As-Salam : (4\1748), no (537).

Saturday, February 20, 2010

Lukman Hakim

Alhamdulillahi wakafa…Hakikat siapakah Luqman yang dipilih oleh al-Qur’an sebagai jurucakap yang menerangkan persoalan-persoalan tauhid dan Akhirat telah diterangkan oleh berbagai-bagai riwayat-riwayat, ada riwayat yang mengatakan beliau itu seorang nabi dan ada riwayat yang mengatakan beliau hanya seorang hamba yang salih bukannya nabi.

Kebanyakan Mufassirin berpegang dengan riwayat yang kedua ini. Kemudian dicerita pula bahawa beliau adalah seorang hamba bangsa Habsyah, dan ada pula cerita mengatakan beliau seorang yang berasal dan Nubah (di Timur LautAfrika).

Begitu juga ada cerita yang mengatakan beliau hidup dalam kalangan Bani Israel sebagai salah seorang dan hakim-hakim mereka. Walau bagaimanapun hakikat beliau, namun al-Qur’an telah menjelaskan bahawa beliau telah dikurniakan Allah hikmat yang isi kandungan dan tujuannya ialah

bersyukur. kepada Allah, “dan sesungguhnya Kami telah mengurniakan hikmat kepada Luqman (dia berkata) Bersyukurlah kepada Allah”, ini adalah bimbingan al-Quran secara tidak langsung supaya bersyukur kepada Allah sebagai mencontohi Luqmanul-Hakim yang telah dipilih untuk mengemukakan kisahnya dan perkataannya.

Di samping bimbingan secara tidak langsung ini terdapat pula satu bimbingan yang lain, iaitu kesyukuran kepada Allah merupakan satu bekalan yang berguna kepada orang yang bersyukur, sedangkan Allah terkaya darinya. Allah itu terpuji dengan zat-Nya walaupun tidak dipuji oleh sesiapa pun dan makhluk-Nya:

وَمَن يَشْكُرْ فَإِنَّمَا يَشْكُرُ لِنَفْسِهِ وَمَن آَفَرَ فَإِنَّ اللَّهَ غَنِيٌّ حَمِيدٌ ( 12

“Dan. barang siapa yang bersyukur, maka sesungguhnya dia bersyukur untuk (kebaikan) dirinya dan barang siapa yang kufur, maka sesungguhnya Allah adalah Maha Kaya dan Maha Terpuji.” (Surah Al-Lukman: 12)

Oleh itu orang yang paling tolol ialah orang yang tidak mengikut hikmat ini dan tidak mengumpul modal bekalan yang seperti ini untuk faedah dirinya.
Kemudian datang pula persoalan tauhid di dalam bentuk nasihat Luqmanul-Hakim kepada anaknya:

وَإِذْ قَالَ لُقْمَانُ لِابْنِهِ وَهُوَ يَعِظُهُ يَا بُنَيَّ لَا تُشْرِكْ بِاللَّهِ إِنَّ الشِّرْكَ لَظُلْمٌ

عَظِيمٌ

“Dan (kenangilah) ketika Luqman berkata kepada anaknya semasa
memberi nasihat kepadanya: Wahai anakku! Janganlah engkau sekutukan Allah, sesungguhnya syirik itu adalah satu kezaliman yang amat besar.”(Surah Al-Lukman: 13)

Ini adalah satu nasihat yang jujur kerana tiada lain tujuan seorang bapa melainkan supaya anaknya mendapat kebaikan dan tiada sikap yang wajar bagi seorang bapa terhadap anaknya melainkan memberi nasihat.

Disini Luqmanul-Hakim melarang anaknya dan mempersekutukan Allah dengan alasan bahawa perbuatan syirik adalah suatu yang amat besar. Beliau menekankan hakikat ini dua kali. Sekali dengan mengemukakan larangan dan menjelaskan alasannya dan sekali lagi dengan menggunakan kata-kata penguat iaitu “inna” dan “lam” pada “lazulmun”. lnilah hakikat yang dikemukakan Nabi Muhammad s.a.w. kepada kaumnya lalu mereka mempertikaikannya dan mengatakan penceritaan ini sebagai ada udang disebalik batu. Mereka takut penceritaan ini bertujuan untuk mencabut kekuasaan mereka dan menunjukkan kelebihan ke atas mereka. Apakah yang ada pada nasihat Luqmanul-Hakim yang dikemukakan kepada anaknya?

Tidakkah nasihat seorang bapa kepada anaknya itu bersih dari segala keraguan dan jauh dari segala sangkaan yang buruk? Sebenarnya itulah hakikat yang amat tua yang disebut oleh setiap orang yang dikurniakan Allah pengetahuan hikmat yang bertujuan semata-mata untuk kebaikan bukannya tujuan yang lain darinya. lnilah penerangan psikologi yang dimaksudkan disini.

___________________
Moga kita dijauhi dari perkara-perkara yang membawa kepada menyukutukan-Nya…ameen

Monday, February 15, 2010

Imam Disunatkan Mempersingkat Bacaan Solat

Allhamdulillah, ku bersyukur diatas segala nikmat yang diberikan, yaitu Iman & Islam, moga kita semua diberi petunjuk dari-Nya..ameen

Imam disunatkan mempersingkat bacaan solat agar makmum tiada merasa berat dan susah. Hal ini berdasarkan hadis Abu Hurairah R.A, bahawa Nabi S.A.W bersabda yang bermaksud:

“JIka salah seorang antara kamu mengerjakan solat (dengan menjadi imam) kepada orang ramai, maka kerjakanlah solat itu dengan singkat dan ringan. Sebab antara mereka ada orang yang lemah, sakit, dan orang tua. Tetapi jika mengerjakan solat secara bersendirian, maka seseorang itu dibolehkan memanjangkan solat sesuai dengan kehendaknya.”
            (Diriwayatkan oleh sekumpulan ulama` hadis)

Sekumpulan ulama` hadis juga meriwayatkan dari Anas R.A, Nabi S.A.W bersabda yang bermaksud:

“Ketika aku sedang mengerjakan solat dan berhasrat untuk memanjangkan (bacaannya), tiba-tiba aku mendengar suara tangisan bayi. Maka aku pun segera mempercepat solat itu. Sebab, aku mengerti dan memahami betapa beratnya perasaan seorang ibu ketika mendengar tangisan anaknya.”

Al-Bukhari dan Muslim juga meriwayatkan dari Anas R.A, katanya:

“Aku belum pernah mengerjakan solat di belakang seorang imam yang lebih ringan solatnya serta lebih sempurna dibandingkan dengan Nabi S.A.W.

Abu Umar Abdul Barr mengatakan “meringankan solat bagi seseorang imam merupakan persoalan yang telah disepakati oleh para ulama`, bahkan ia adalah disunatkan. Tetapi dengan syarat masih tetap menjaga batasan kesempurnaan solat yang minimum(1). Jika imam mengurangi kesempurnaan minimum dalam solat, maka perkara semacam ini tentunya tidak boleh dilakukan. Sebab, Rasulullah S.A.W melarang seseorang mengerjakan solat bagaikan seekor burung gagak mematuk makanannya. Pada suatu ketika beliau melihat seseorang mengerjakan solat dengan rukuk yang tidak sempurna. Melihat itu beliau bersabda yang bermaksud:

”Ulangilah solat mu itu! Sebab dengan cara seperti itu, sebenarnya engkau belum lagi mengerjakan solat!".”

Nabi S.A.W bersabda lagi:

”Allah tidak akan mengambilkira terhadap solat seseorang yang tidak meluruskan tulang belakangnya ketika rukuk dan sujud.”

Abu Umar Abdul Barr selanjutnya mengatakan: “Aku tidak pernah mendengar pendapat yang menegaskan, bahawa ada seorang ulama yang mempertikaikan masalah hukum sunat meringankan solat bagi seorang imam. Tetapi dengan syarat kesempurnaan minimum perlaksanaan solat tetap dijaga dan dipelihara.”

Diriwayatkan dari Umar, katanya:

”Janganlah kamu melakukan perbuatan yang menyebabkan Allah murka kepada hamba-Nya, iaitu dengan memanjangkan bacaan dalam solat sehingga menyusahkan para makmum yang berada dibelakangnya.”(2)

Moga kita mendapat rahmat dan pengampunan dari-Nya….ameen

Wallahua`lam..
___________________________________
1). Batasan minimum sudah dikatakan sempurna adalah membaca sebanyak 3x tasbih.
2). Pengarang Fathul Bari berkata: Hadis ini diriwayatkan oleh Al-Baihaqi dalam As-Syu`ab dengan sanad sahih daripada Umar.

Sunday, February 14, 2010

Tenggelamnya Kapal Van Der Wijck (Bhg. 11)

Pacu Kuda & Pasar Malam

Hayati sedang menggarakan padi di halaman, duduk di atas kerusi yang telah tua di bawah lumbungnya "sitinjau laut", sebuah panggalan talang masak terpegang di tangannya. Tiba-tiba datanglah seorang anak kecil, yang tadi kembali dari Kubu Kerambil membawa surat dari Padang Panjang. Berdebar hati Hayati menerima surat itu, tetapi kuranglah debarnya setelah dilihatnya bahawa alamat surat itu dari tulisan perempuan. Ia kenaI tulisan itu, tulisan Khadijah sahabatnya. Dia naik ke atas rumah, terus sekali naik ke anjung, di sanalah dibukanya sampul surat itu. Demikian bunyinya:

Sahabatku Hayati!

Suratmu yang terkirim dua Jumaat yang lalu telah mafhum saya isinya. Engkau mengatakan ingin sekali hendak bertemu dengan daku, hendak ziarah ke Padang Panjang, tetapi waktu yang terluang belum ada, halangan amat banyak dari mamakmu.
Saya tahu itu, engkau ingin hendak ke Padang Panjang menjejak tepi Guguk Malintang saja pun jadilah, engkau hendak menghisap udara di negeri tempat tinggal muda dan bulan tua. Tentu engkau ingat, bahawa bulan di muka telah masuk bulan Jun. Sudahkah direkatkan orang di Stesen Kubu Kerambil, atau di lepau di Lubuk Bauk, program pacuan kuda dan pasar keramaian?

Alangkah ramainya pacuan dan keramaian kelak. Engkau boleh datang ke Padang Panjang, tinggal di rumahku seminggu lamanya, lepaskan teragak hatimu, kecap udara pagi yang dibawa angin dari puncak Singgalang, Merapi dan Tandikat. Bila hari panas kita pergi mandi-manda ke Lubuk Mata Kucing. Tentu ayah dan bondaku - kerana kami di kota bukan di bawah pengaruh mamak - akan memberi izin apalagi saudaraku Aziz yang bekerja di Padang dapat pula perlop 14 hari. Dialah jadi teman kita kelak.

Minta izinlah kepada mamakmu, datanglah ke Padang Panjang kamarku sendiri akan kuhiasi, di te tang pintu akan kutanamkan bunga keranyam, bunga yang sangat engkau sukai, yang rupanya kesat dan hanya daunnya saja yang harum, tidak pernah berbunga selama hidupnya, tetapi selalu kulihat engkau siram di pot bungamu di Batipuh! Kepada Mak Tengah Limah, sampaikanlah salamku.
Sekarang keramaian pacuan kuda yang akan berlangsung itulah yang menjadi pembicaraan di dalam kampung, apalagi pacu kuda disamakan dengan pasar keramaian. Orang telah bersedia-sedia pakaian yang barn, anak-anak muda menyediakan pakaian adat, perempuan-perempuan menyediakan tikuluk pucuk, atau pakaian biasa yang lazim di kampung. Akan hal Hayati sendiri, kerana perayaan itu terjadi hanya sekali setahun, bukan dia saja yang akan pergi, malah isi kampung akan berduyun-duyun, dia diberi izin oleh mamaknya tinggal di Padang Panjang di rumah sahabatnya Khadijah itu, akan ditemani oleh mak tengahnya sendiri. Mak Tengah Limah.

Khadijah

Alangkah besar hati Hayati beroleh izin itu. Kerana bukanlah niatnya hendak melihat kuda berlari saja, tetapi dalam batinnya hendak bertemu dengan kekasihnya Zainuddin, sekurang-kurangnya bertemu dijalan. Dan bagi Mak Tengah Limah yang mengetahui hal ini didiamkannya saja. Kerana biarlah gadis malang itu melepaskan hatinya agak sejenak, sebab pertemuan mereka selamanya akan terhalang juga. Dibuatnya sepucuk surat kepada Zainuddin.

Abangku Zainuddin!

Lepas nafasku yang sesak rasanya, sebab saya telah diberi izin oleh mamak ke Padang Panjang, buat lamanya 10 hari iaitu selama pacuan kuda dan pasar keramaian. Saya akan tinggal di rumah sahabatku Khadijah, seseorang sahabat yang setia. Alangkah beruntungnya kita, jika kita dapat bertemu muka pada tiap-tiap hari pacuan dan keramaian, untuk mengubat hati kita dan menghilangkan gundah yang bersarang. Agaknya hari Jumaat saya akan ke kota.

Hayati

Pada hari Jumaat yang ditentukan itu, berangkatlah Hayati bersama mak tengahnya ke Padang Panjang. Baru saja dia sampai, telah disambut oleh Khadijah dan ibunya bersama seorang saudaranya laki-Iaki yang selama ini bekerja di Padang. Seorang anak laki-laki yang gagah dan tangkas pula, yang perlop dari pekerjaannya buat beberapa hari lamanya. Aziz namanya. Kedua bersahabat ini, Hayati dan Khadijah, amat berlain sekali pendidikan dan pergaulannya. Yang seorang anak kampung, yang tinggal di dalam dusun dengan keadaan sederhana, hidup di dalam rumah yang dilingkungi adat dan berbentuk kuno. Kehidupan di kampung yang aman itu menyebabkan jiwanya biasa dalam ketenteraman, berlainan sekali dengan pembawaan Khadijah dan lingkungan keluarganya. Khadijah orang kota, tinggal di rumah bentuk kota, kaum kerabatnya pun telah dilingkungi oleh pergaulan dan hawa kota, saudara-saudaranya bersekolah dalam sekolah-sekolah menurut pendidikan zaman baru. Susunan perkakas yang ada dalam rumahnya, tentu saja jauh lebih menarik daripada keadaan di kampung.

Meskipun sentiasa Khadijah menunjukkan mukanya yang manis kepada Hayati, namun sehari dua itu Hayati masih kaku, apalagi kalau bukan dengan saudara yang kandung, amat berat rasanya berdekat-dekatan duduk dengan laki-laki lain, tetapi di rumah Khadijah, yang bersaudara laki-laki itu, dan saudara laki-laki itu pun banyak pula mempunyai terman sahabat, yang leluasa dalam rumah itu, semuanya menyebabkan Hayati lama sekali baru dapat menyesuaikan diri dalam rumah tersebut. Dilihatnya pakaiannya, dilihatnya pakaian Khadijah, dilihatnya pakaian gadis-gadis lain yang berkeliaran dalam rumah itu menandingi Khadijah, terasa benar olehnya rendahnya. Dia hanya memakai baju berkurung panjang, selendang yang tiada pernah tanggal dari kepala, sedang kawan-kawannya yang lain, di antaranya Khadijah, setengahnya memakai rock, setengahnya berbaju kebaya Bandung yang dijahit menurut model yang paling baru.
Tetapi kaku dan bingung itu hanya sehari dua sahaja, pada hari yang ketiga sudah mulai agak hilang, meskipun masih berkesan. Semalam sebelum datang waktunya orang berpacu, Khadijah telah mengatur perjalanan mereka esok, akan diambil beberapa kerusi di tribune, mereka akan duduk menonton di sana. Tiga orang anak gadis keluarganya dari Lubuk Alung dan dari Bukit Tinggi, akan turut, dan akan ditemani oleh Aziz sendiri dan empat orang temannya pula, jadi sepasang-sepasang.

Besoknya pagi-pagi, mereka telah bangun. Khadijah tengah asyik berhias di dalam kamarnya, Hayati telah membuka bungkusannya pula, dikeluarkannya selendang sutera yang bersuji tepinya, baju kurung benang sering yang halus, sarung batik Pekalongan dan selop .. Aziz duduk di luar sambil bersiul; tidak berapa lama kemudian datanglah teman-temannya; yang seorang mengepit pesawat "kodak", yang seorang pula membawa teropong kecil, untuk pelihat kuda, yang berdua lagi kegagahan, yang seorang mengatasi yang lain.

Setelah selesai, keluarlah kedua gadis itu dari kamar masing-masing. Mak Tengah Limah pun telah keluar pula bersama ibu Khadijah, hendak melihat gadis-gadis itu. Demi setelah bertemu di beranda muka, Khadijah terkejut melihat pakaian kawannya. Setelah tencengang beberapa lamanya, dia berkata:

"Pakaian apa yang kau pakai ini, Hayati? Apakah kau hendak sebagai 'lepat' dibungkus?"

Hayati melihat kepada Khadijah tenang-tenang. Tercengang dia melihat pakaian yang dipakai sahabatnya itu: Kebaya pendek yang jarang, dari pola halus, dadanya terbuka seperempat, menurut model yang paling baru. Butang pun model baru pula, sehingga agak jelas pangkal susu, dan tidak memakai selendang. Sarung ialah batik Pekalongan halus, berselop tinggi tumit pula, di tangan memegang sebuah tas, yang didalamnya cukup tersimpan cermin dan pupur. Sedangkan dia sendiri, Hayati, berpakaian jauh bezanya dari itu, pakaian cara kampung.


Merengut Khadijah sekali: "Lebih baik kau pergi ke surau saja, Hayati, jangan ke pacuan!"

"Saya malu memakai pakaian demikian, Khadijah,
tidak cocok dengan diriku, aku tak biasa."

"Itulah yang akan dibiasakan."

"Pakaian begini tak diadatkan di negeri kita." "Dahulu yang tidak, kini inilah pakaian yang lazim."

"Saya tidak mahu membuka rambut."

"Membuka rambut apakah salahnya? Bukankah panas kalau selalu ditutup saja?"

"Sebetulnya saya tidak mempunyai pakaian yang demikian," kata Hayati pula .

"Itu mudah pakailah pakaianku, itu tersedia dalam almari berapa saja kau mahu."

Setelah bertengkar-tengkar, yang hampir saja menyebabkan Hayati tak jadi pergi, tetapi mengingat hendak bertemu dengan Zainuddin nanti, dipakainya juga pakaian itu. Mula-mula mengalir keringat di dahinya kerana belum biasa. Berat baginya hendak membuka selendang yang telah melilit kepalanya, geli seluruh badannya akan menyinggung baju yang masih ganjil baginya. Yang rumit pula, seketika dia meminta fikiran kepada mak tengahnya, dia hanya menyerahkan kepadanya saja, tak menyuruh tak melarang. Mula-mula keluar dari rumah itu, badannya bagai bayang-bayang. Aziz yang menemaninya tersenyum simpul saja melihatkan. Tetapi kian selangkah kian hilanglah malunya memakai pakaian yang belum biasa itu. Lama-lama perasaan itu hilang juga. Sebab di jalan telah dilihatnya, bukan dia saja berpakaian demikian.

Demi ketika akan masuk ke pacuan, malunya telah hilang dan telah lupa, sebab telah karam dalam sorak-sorai orang ramai. Bukan main ramainya orang sekeliling gelanggang itu, laki-laki dan perempuan. Apakah yang menarik hati orang kepada berlari? Bukan orang hendak melihat kuda, tetapi manusia hendak menonton manusia jua. Tribune sudah hampir penuh, disanalah orang yang mampu duduk bertatuh kuda, mempermainkan wang. Penghulu-penghulu kepala, di sanalah kerap kali menekorkan kas negeri, kerana malu kalau tak ikut bertaruh atau tidak ikut menuangkan berendy. Tiba tiba berbunyilah lagu Wilhelmus, orang berdiri dari tempat duduk masing-masing, Tuan Asisten Residen datang. Pacuan akan dimulai.

Dari jauh, di antara manusia yang telah datang berduyun-duyun menuju tepi pagar pacuan, kelihatan seorang anak muda berjalan dengan gontai dan tenangnya. Mukanya muram rambutnya telah panjang, rupanya kurang disisir meskipun bajunya bersih, tetapi tidak memakai dasi. Bersarung, padahal orang muda yang lain berpentalon. Dia pergi ke dekat pagar akan ke tribune, rupanya seakan-akan ada orang yang ditunggu-tunggunya. Tiba-tiba datanglah serombongan anak muda laki-laki dan perempuan akan masuk ke tribune itu, berjalan sambil tertawa riang. Di antara orang sebanyak itu ada seorang anak perempuan, yang dilihat oleh anak muda itu dengan mata tenang tak terpejam sedikit juga. Dilihatnya, hampir dia tak percaya kepada dirinya. Di muka pintu itu benar bertemulah kedua orang muda itu, yang perempuan terkejut dan terpaku tegak, dialah Hayati. Yang laki-laki tergugup dan sangat terbingung, itulah Zainuddin.

“ Kau……..Hayati?”.
” Zai……nuddin.....!.


Bersambung…………..
Pengarang: HAMKA
Tajuk : Tenggelamnya Kapal Van Der Wijck

Saturday, February 13, 2010

Valentine

Assalamualaikum..

Alhamdulillahi wakafa, pada kali ini ku ingin kongsikan akan satu artikel yang ditulis oleh mantan timb. presiden PERMAYA suatu ketika dulu. Moga-moga ia sedikit sebanyak dapat membantu kita pada mengetahui apakah hukum menyambut hari kekasih (valentine`s day).

Wassaalam…

Menjadi Fasik: Menyambut Valentine's Day

Khutbah Jumaat minggu lalu begitu keras menyentuh tentang perayaan Valentine's Day. Mimbar masjid terasa bergegar dengan peringatan yang tegas dari khatib kepada para pemuda-pemudi Yaman agar jangan turut sama terlibat dalam perayaan ini. Katanya terdapat restoran-restoran dan hotel-hotel yang menyediakan pakej makan malam untuk meraikannya di mana golongan muda-mudi boleh bertemu-janji dan bertukar-tukar hadiah sambil memakai pakaian yang ada 'warna merah' bertemakan sambutan itu. Ketika mula sampai di Yaman kira-kira 4 tahun lalu, suasananya berlainan sekali. Kini budaya barat sudah sedikit demi sedikit mempengaruhi para pemuda-pemudi. Sudah ramai yang meninggalkan jubah dan ghutrah (serban) dan beralih kepada t-shirt dan seluar jeans lusuh..

Perkara ini sudah dinyatakan oleh Rasulullah s.a.w melalui hadis sahih yang diriwayatkan oleh Abu Sa'id al-Khudri r.a katanya: Rasulullah s.a.w telah bersabda: (maksudnya) "Sesungguhnya kamu pasti akan mengikut jejak langkah orang-orang yang sebelum kamu – sejengkal demi sejengkal, sehasta demi sehasta, sehinggakan jika mereka memasuki ke dalam lubang dhab (sejenis biawak di padang pasir), pasti kamu akan mengikut mereka." Kami (para sahabat) bertanya: Wahai Rasulullah! Adakah Yahudi dan Nasrani (yang engkau maksudkan)? Jawab baginda s.a.w: "Maka siapakah lagi (kalau bukan mereka)?"
–Hadis riwayat Imam Muslim (Kitab al-'Ilm, Bab ittiba' Sanan al-Yahudi wal-Nasara, hadis no.4822), Imam al-Bukhari (Kitab Ahadis al-Anbiya', hadis no.3197), Imam Ibnu Majah (Kitab al-Fitan, Bab Iftiraq al-Umam, hadis no.3984) dan Imam Ahmad (Kitab Baqi Musnad al-Muktsirin, hadis no.10230).

Imam al-Nawawi r.h. ketika mensyarahkan hadis ini di dalam Syarh Muslim mengatakan: "Yang dimaksudkan dengan 'sejengkal', 'sehasta' dan 'lubang dhab' (dalam hadis ini): adalah sebagai perumpamaan kepada dahsyatnya persamaan dengan mereka (Yahudi dan Nasrani). Dimaksudkan dengan persamaan itu ialah dalam perkara-perkara maksiat dan perlanggaran (dalam urusan agama), bukan pada kekufuran. Pada hadis ini terdapat mukjizat yang jelas bagi Rasulullah s.a.w, maka sesungguhnya telah pun berlaku apa yang diberitahu oleh baginda s.a.w." - al-Minhaj –Syarh Sahih Muslim bin al-Hajjaj , Jil.9, Juzuk.16, hal.436 – rujukan no. hadis dalam naskhah ini 6723.

Sekiranya Imam al-Nawawi menyebut sedemikian pada zamannya (tahun 631-676 Hijrah), maka apatah lagi pada zaman kita hari ini? Umat Islam bukan sahaja sudah mengikut Yahudi dan Nasrani dalam perkara maksiat dan perlanggaran mereka terhadap suruhan agama, bahkan sudah ada orang-orang Islam yang menjadi kafir dan murtad! Begitulah misalan yang disebutkan oleh Rasulullah s.a.w bahawa umat Islam akan mengikut jejak langkah Yahudi dan Nasrani sedikit demi sedikit sehinggalah dalam perkara yang tidak masuk akal sekalipun; iaitu memasuki lubang dhab yang sempit di padang pasir?! Berapa banyak amalan 'yang tidak masuk akal' telah pun dilakukan oleh umat Islam?

Berbalik kepada Valentine's Day, saya merasa tergerak hati untuk menulis sesuatu setelah kami mendengar kuliah hadis semalam yang disampaikan oleh al-Syeikh al-Qhadi Muhammad bin Ismail al-'Amrani (bekas Qadi Yaman). Walau pun secara ringkas, apa yang disebutkan semalam sangat memberi kesan. Bahawa anak-anak muda Yaman sudah ramai yang mengikut jejak langkah Yahudi dan Nasrani! Jika begitu keadaannya di Yaman, bagaimana pula keadaannya di tanah air saya – Malaysia?

Asal-usul perayaan ini sudah umum diketahui, ianya sempena memperingati hari kematian seorang paderi Kristian. Walau pun terdapat berbagai-bagai versi tentang kisah seorang paderi yang bernama Saint Valentine yang dihukum bunuh oleh Maharaja Claudius II Gothicus pada 14 Februari tahun 270 Masihi itu. Terdapat juga pendapat yang mengatakan ianya berasal daripada perayaan Lupercalia oleh masyarakat Roman sebelum kristian dan kemudiannya digantikan dengan Valentine's Day oleh Pope Gelasius 1 pada kurun ke-5 Masihi. Semenjak itu ianya telah disambut sebagai 'hari berkasih-sayang' (a day of romance) sepanjang 14 kurun. Pedulikanlah apa pun kisah 'tragedi cinta' yang berlaku terhadap Saint Valentine itu! Apa yang penting ingin kita tegaskan di sini ialah perayaan tersebut bukan daripada Islam.. bukan daripada Islam.. dan sekali lagi BUKAN DARIPADA ISLAM!
Apabila ianya bukan daripada Islam, tentulah sesiapa yang menyambutnya termasuk dalam 'golongan' yang mengikut, meniru atau menyerupai suatu kaum yang lain.

Sesiapa yang menyambut perayaan ini, maka dia termasuk dari kalangan kaum tersebut. Kita barang kali tidak sedar dengan amaran Rasulullah s.a.w melalui hadis yang diriwayatkan oleh Abdullah bin Umar r.a bahawa Rasulullah s.a.w bersabda: (maksudnya) ".. Sesiapa yang menyerupai suatu kaum, maka dia termasuk dari kalangan mereka."
–Hadis riwayat Imam Abu Daud (Kitab al-Libaas, hadis no.3512) dan Imam Ahmad (Musnad al-Muktsirin minal-Sahabah, hadis no.4878)
Bukan sekadar itu, para ulama juga berpendapat bahawa haram hukumnya bagi sesiapa yang memakai pakaian yang menyerupai pakaian keagamaan sesuatu kaum. Contohnya pakaian yang menyerupai pendeta Yahudi, paderi Kristian, sami Buddha dan lain-lain. Sekiranya 'penyerupaan' atau 'peniruan' itu melibatkan soal akidah atau melakukan upacara ibadah sesuatu agama lain maka seseorang itu boleh menjadi kafir dan murtad. Termasuk juga haram hukumnya menyerupai suatu kaum atau golongan yang fasik seperti berpakaian mengikut para artis dari negara Barat yang mendedahkan aurat atau hampir 'bertelanjang' atau berpakaian mengikut gaya 'rock', 'punk', 'hip-hop', 'black-metal' dan macam-macam lagi. Sekiranya kita perhatikan soal berpakaian ini, kebanyakan orang-orang yang memakainya juga mengamalkan cara hidup dan ideologi sesuatu kaum atau golongan yang diikutinya.

Akan tetapi, sebarang pakaian yang tidak bercanggah dengan akhlak Islam, hukumnya adalah harus (dibolehkan untuk memakainya). Sebagai contoh, baju kemeja, seluar panjang, baju kot dan apa sahaja pakaian yang menutup aurat dengan sempurna dan sesuai dengan syariat Islam. Asalkan kita tidak berniat memakainya untuk meniru pakaian orang-orang kafir.

Berbalik kepada sambutan perayaan Valentine's Day, ianya jelas termasuk dalam perbuatan meniru dan menyerupai suatu amalan penganut agama lain. Kerana ianya berasal dari agama Kristian dan mereka merayakannya sebagai memperingati hari kematian seorang paderi yang dihukum bunuh. Pada hari ini, ianya disambut sebagai satu hari yang penuh romantik dan demi menjalinkan kasih-sayang dan cinta antara lelaki dan perempuan. Seorang teman yang pernah berkhidmat di sebuah hotel di Kuala Lumpur pernah memberitahu bahawa pada malam hari Valentine ini ramai orang-orang yang 'beragama Islam' turut sama meminum 'white wine' atau 'red wine' semasa 'candle light dinner' yang sungguh memualkan itu. Tidak kira orang-orang yang sudah berkahwin atau yang masih ber'couple' turut sama meraikannya. Para ulama Islam menegaskan bahawa perbuatan meraikannya adalah haram dan orang yang melakukan adalah fasik!

Saranan dari saya, bagi pasangan suami-isteri yang muslim-muslimah bolehlah melahirkan rasa cinta dan kasih sayang sesama mereka pada bila-bila masa tanpa menetapkan hari-hari tertentu. Bagi yang masih bujang pula, perbuatan ber'dating' dan bertemu-janji ini adalah haram dan bukan daripada ajaran Islam. Suatu ketika dahulu, ramai orang yang pernah mengadu kepada saya tentang natijah daripada perbuatan ber'dating' ini, kesemuanya tidak syak lagi membawa kepada perkara-perkara maksiat dan ada juga yang sampai ke peringkat 'terlanjur' atau 'membujur lalu melintang patah'... sebutlah apa-apa peribahasa sekali pun. Saya cuma mampu menyebutkan tentang taubat dan jangan putus asa daripada rahmat dan pengampunan Allah S.W.T.
Akhirnya, tulisan ini hanyalah sebagai satu peringatan.

Walaupun agak terlewat, namun bagi sesiapa yang sempat membacanya mungkin masih sempat membatalkan apa-apa temu-janji atau tempahan 'candle light dinner' pada malam esok (14 Februari 2008). Tanyalah diri kita sendiri, adakah kita masih lagi seorang Muslim atau masihkah kita beriman kepada Allah dan Hari Akhirat? Atau adakah kita terus-menerus redha untuk hidup dalam melakukan maksiat dan kefasikan? Semoga apa yang kita lakukan selama ini adalah kerana kejahilan diri kita. Masih ada masa untuk bertaubat, kembali mempelajari Islam, memperbaiki diri dan beramal dengan ajaran Islam secara keseluruhan.
Firman Allah S.W.T (maksudnya): ".. sesungguhnya mereka itu adalah kaum jahat lagi fasik. Dan Kami masukkan ia dalam (kumpulan mereka yang dilimpahi) rahmat Kami; sesungguhnya dia dari orang-orang yang soleh." (Surah al-Anbiya': 74-75)
Firman Allah Ta'ala lagi (maksudnya):
"Sesungguhnya penerimaan taubat itu di sisi Allah hanya bagi orang-orang yang melakukan kejahatan disebabkan kejahilan, kemudian mereka segera bertaubat, maka mereka itulah yang diterima Allah taubatnya; dan Allah Maha Mengetahui, lagi Maha Bijaksana." (Surah al-Nisa': 17)
Wallahu'alam.


13 Februari 2008
(1 hari sebelum sambutan Valentine's Day)
Imran bin Selamat,
Penasihat II, Persatuan Pelajar Malaysia Yaman (PERMAYA),
Sana'a, Republic of Yemen.
____________________________
* Wahai Tuhan Kami! Ampunilah segala dosa kami, yang kami tersilap adapun terlupa…ameen

Thursday, February 11, 2010

Segan…

Salam ukhwah,  Segala puji hanya bagi Allah, tuhan yang mentadbir sekalian alam..

Semalam, ku ada menerima sms dari seorang sahabat lama ku, “Amin, saya akan berlepas jam 4.00 ptg dan akan tiba di Airport Pengkalan Chepa jam 5.00 ptg, kalau amin nak jumpa saya boleh la”.

Herm.. Sudah hampir 8  tahun kami berkawan, hanya berhubung melalui sms. 

Tepat jam 5.00 ptg, aku menunggu di dewan ketibaan dengan penuh debaran. Sedang aku bermenung…

” Assalamualaikum!” sapa seorang hamba Allah kepada ku..

”Wa`alaikum salam” Balas ku..

”Eh Saiful” Apa khabar? Tanyaku..

”Alhamdulillah sihat” Balasnya..

”Ni datang nak amik siapa?” …Tanya saiful kepad ku.

”Oh, datang untuk jumpa kawan dari kl, katanya akan tiba jam 5.00 ptg flight Air Asia”.. 

Saiful adalah rakan sedarjah ku di Sek. Keb. Abdul Hadi suatu ketika dahulu..

Ok jumpa lagi dilain kali, “Assalamualaikum..”

”Wa`alaikum salam”..

Tiba-tiba mesej berbunyi, “Amin, saya baru sampai…”

Adui, makin berdebar-debar… ah.. 8 tahun berkawan, tak pernah pun face to face.. perasaan ku tak menentu kali ini. Akhirnya muncul lah sahabat yang ku nantikan itu. Dari jauh dia mula melemparkan sebuah senyuman..

Aku pun tersenyum…. eh..sampai sini dulu.. ada pelanggan..wassalam..
____________________________
*Mabruk buat sahabat ku ini… (bertunang)

Wednesday, February 10, 2010

Berjalan dengan tenang

Disunatkan berjalan ke masjid dengan perlahan dan tenang, sebaliknya dimakruhkan berjalan dalam keadaan tergesa-gesa. Sebab seseorang yang datang ke masjid dianggap sedang dalam keadaan mengerjakan solat, iaitu bermula sejak orang itu keluar dari rumahnya sehinggalah dia selesai mengerjakan solat.

Dari Abu Qatadah R.A, katanya yang bermaksud:

”Pada suatu ketika kami mengerjakan solat bersama Nabi S.A.W, tiba-tiba terdenga suara riuh kaum lelaki di bahagian belakang. Setelah selesai solat, beliau bertanya: “Ada apakah tadi?”  Mereka menjawab: “Kami bergegas (datang ke masjid) supaya sempat ikut solat berjemaah”. Beliau bersabda:”Janganlah kamu berbuat demikian! Jika kamu datang ke masjid untuk mengerjakan solat, berjalanlah dengan tenang*. Jika kamu sempat berjemaah, lakukanlah semampunya. Tetapi jika tidak sempat atau masbuq, maka sempurnakanlah bahagian yang tertingga itu!”
            (Diriwayatkan oleh Al-Bukhari dan Muslim).

Dari Abu Hurairah R.A, Nabi S.A.W bersabda yang bermaksud:

”Jika kamu mendengar suara iqamat, maka pergilah untuk mengerjakan solat. Berjalanlah dengan tenang dan perlahan! Janganlah tergesa-gesa! Jika kamu sempat berjemaa, maka lakukanlah semampunya. Tetapi jika tidak sempat atau masbuq, maka sempurnakanlah yang tertinggal itu!”



(Diriwayatkan oleh sekumpulan ulama hadis kecuali At-Tirmizi).



Moga kita semua mendapat rahmat dari-Nya..ameen.

___________________
*Imam An-Nawawi membezakan antara as-sakinah dan al-wiqar, katanya: “As-sakinah adalah tenang dalam bergerak dan menghindari perbuatan sia-sia, manakala al-wiqar pula adalah menjaga penglihatan mata, tidak bersuara keras dan tidak menoleh ke kanan dan ke kiri.”

Sunday, February 7, 2010

Tok siak

Alhamdulillahi wakafa, setelah selesai solat subuh di masjid kg kijang, ku lekas-lekas bangkit menuju ke kedai cabang tiga, mengambil nasi belauk pagi untuk di letakkan di kedai ayah ku.Ini lah rutin harian ku setelah selesai solat subuh. Kecuali pagi jumaat, sesudah selesai solat, kami akan sama-sama baca ma`thurat dan sejurus selepas itu kami sama-sama membincangkan berkenaan dengan ilmu tajwid.

”Assalamualaikum!” ayah ku memberi salam sambil membuka pintu rumah, sambil ditangannya ada beberapa bungkus nasi kerabu.

Waalaikum salam. jawab kami…

”Min, tadi solat di masjid mana?” tanya ayahku memecah kesunyian.

”Di masjid kg kijang abah, tapi sesudah memberi salam terus doa dan turun, sbb lewat..” Balasku. 

“Tadi, Imam mat zin mengumumkan, bahawa bekas tok siak (masjid kg kijang) telah meninggal”. Jelas ayah ku.

Suasana kembali sunyi dengan berita kematian tersebut, barangkali sama-sama bertafakur seketika setelah mendengar apa yang diberitahu oleh ayah ku sebentar tadi.

Ah, semua kenangan yang lalu ketika ku bersama dengan tok siak berlegar di benak fikiran ku..

Inna lillahi wa inna ilaihi rajiun..
_______________________

*Allhummaghfirlahu warhamhu wa a`fihi wa`fu anhu

Saturday, February 6, 2010

Cuti

Salam Ukhwah, Segala puji hanya bagi Allah, Tuhan yang mentadbir sekalian alam. Selawat dan salam keatas Baginda S.A.W, ahli keluarga, serta sahabat-sahabat R.Anhum ajma`in.

Amma ba`dhu

Ah, sekian lama aku menyepikan diri dari menulis, segala macam rasa sedang berlegar di benak fikiran ku sekarang ini, semua ini kerana aku lama tidak menulis…

Sebulan yang lalu, laptop ku rosak. itulah puncanya mengapa aku terus menyepikan diri. Walaupun rosak, aku tetap berpuas hati kerana sudah hampir 5 tahun laptop itu ku “nodai”. Ishhh jangan silap paham pula.. maksud ku adalah  hampir 5 tahun aku guna laptop tersebut..

Herm, sekarang ini telah pun ku menemui pengganti”nya”. Alhamdulillah sekian lama ku menanti akhirnya ketemu jua. Moga-moga kali ini akan bertahan lebih lama.

Semalam, selepas solat maghrib, seorang ust dari Pasir Pekan menyampaikan kuliah di masjid Al-Aminin (kg kijang). Dia membentangkan  Tafsir dari surah Al-Kahfi, sambutan dari kalangan orang kg juga amat menggalakkan. Ada pun org kg kijang sendiri mahupun dari luar kg tersebut. Apa yang buatkan aku tertarik, cara ust Qamar menyampaikan sesuatu adalah dengan berdalil, adapun dari Al-Quran mahupun Hadis. Dan yang paling penting cara penyampaiannya membuatkan orang yang mendengar mudah untuk memahaminya. Moga kuliah-kuliah agama sebegini terus mekar mewarnai masjid-masjid bagi mengisi kekosongan diantara Maghrib- Isya`.

Setelah selesai solat Isya` kami didatangi oleh seorang hamba Allah (Ust wakil muassasah Al-Quds) bagi menceritakan @ menjelaskan akan perihal sebenar yang berlaku di Gaza sekarang ini. Program tersebut dimulai dengan pengenalan diri penceramah, dan seterusnya penerangan berkaitan dengan Masjidil Aqso adalah  kiblat yang pertama bagi orang Islam dari pelusuk dunia suatu ketika dulu. Kemudian ust tersebut menerangkan akan hadis yangmana Baginda S.A.W menjanjikan kelebihan bagi mereka yang mengerjakan solat di Masjidil Aqso.

Setelah itu beliau (penceramah) menceritakan detik-detik orang pertama yang  mencetuskan idea bagi membangunkan sebuah negara Israel hinggalah kepada apa yang dapat kita lihat pada hari ini.

Apa yang lebih menyedihkan membangunnya negara tersebut adalah juga dari kerjasama orang-orang Islam yang berkuasa diketika itu. Dan apa yang lebih jelas pada hari ini, kita juga dapat melihat siapakah orang yang terus memberikan sumbangan kepada Israel.

Di akhir program tersebut, ajk masjid mengadakan kutipan derma untuk disalurkan kepada muassasah tersebut. 

Ah, aku ingin ke belakang dulu, untuk melihat apa-apa yang perlu aku lakukan, ketemu lagi dilain masa, salam ukhwah buat sahabat-sahabat yang terus memberikan aku semangant dalam menuju kepada sang Pencipta..

Apa yang baik dari-Nya, dan apa yang sebaliknya adalah kelemahan diriku, yang tidak dapat lari dari kesilapan. wassalam