Tuesday, October 18, 2011

Tenggelamnya Kapal Van Der Wijck (Bhg. 23)

SURAT-SURAT HAYATI KEPADA KHADIJAH

Surat yang pertama.

Sahabatku Khadijah!

Setelah selesai perkahwinan kita, rupanya kita mesti berpisah sejauh ini; kau ke Medan menurutkan suamimu, kerana dia saudagar dan saya ke Padang menurutkan suamiku, kerana dia makan gaji. Meskipun bagaimana kesenangan yang diberikan Aziz kepadaku, namun saya masih tetap teringat kepada kau. Bilakah kita akan bertemu kembali, mengulang jejak masa muda, semasa masih bebas mengiraikan sayap. Memang amat ganjil hidup yang mesti kita tempuh. Mula-mula saya cintai orang lain, anak muda lain, menurutkan hati yang tidak bertimbangan, tetapi takdir Tuhan menentukan saya mesti menjadi isteri Aziz. Benarlah rupanya pepatah pujangga kita Tuan Haji Agus Salim, bahawa bagi bangsa kita, cinta datangnya ialah sesudah kahwin.

Khadijah! Kami amat beruntung suami isteri!

Justeru rupanya perkataan-perkataan orang membusuk-busukkan suamiku, mengatakan dia suka membuang-buang wang di meja perjudian. Kalau itu ada semasa dia masih belum beristeri, maka sekarang tak ada lagi. Adalah suamiku suatu contoh dari suami yang setia. Kebetulan sekali, baru-baru ini kami dikirim orang dari Surabaya, satu "katalogus" dari hikayat-hikayat yang dikeluarkan oleh satu pedagang buku. Hikayat yang mula-mula kami pesan bernama "Terusir". Kulitnya dihiasi dengan klise yang indah tetapi menyedihkan hati, terlukis seorang anak muda menjinjing bungkusan kecil, disuruh pergi oleh seorang tua yang gagah, memakai saluk. Di sana tertulis: "Pergilah! Negeri kami beradat". Isinya, wahai Khadijah, serupa dengan nasib anak muda yang menjadi buah tutur kita selama ini, Zainuddin. Saya baca cerita itu sampai habis, sehingga dengan tidak saya rasai, buku itu telah basah oleh air mata. Kebetulan penulis yang menanggungjawab hikayat-hikayat yang dikeluarkan itu ialah nama samaran atau potongan leter " Z ".

Mengingat leter itu, dan mengingat isi cerita, saya teringat kembali kepada anak muda yang telah teraniaya lantaran saya: Zainuddin. Kalau bukan karangannya, mengapa hampir serupa apa yang dituliskannya dengan yang kejadian itu, tidak berapa bezanya. Tetapi kalau dia, kadang-kadang saya tak percaya, bahawa anak muda yang pemenung itu akan sanggup menulis buku seindah itu. Beberapa bulan yang lalu, di surat-surat khabar yang terbit di Jakarta bertemu pula hikayat- hikayat pendek yang ditulis oleh leter " Z " juga. Isinya amat indah-indah, tetapi tidaklah seindah hikayat yang terbit di Surabaya ini. Agaknya kau sendiri ada juga membaca buku baru itu.

Kalau memang ini karangannya, alangkah salahnya persangkaan kita kepada anak muda yang kita sangka kurang akal itu. Rupanya dia mempunyai fikiran tinggi, telah menjadi pengarang yang besar. Terus terang saya katakan, hikayat-hikayat itu amat menarik hatiku; meskipun suamiku tidak begitu suka kepada cerita-cerita sedih, hanyalah hikayat-hikayat detektif saja.

Hayati

Surat yang kedua.

Sahabatku Khadijah!

Berdebar-debar, masih berdebar jantungku ketika surat ini kutulis. Suatu keadaan dan penghidupan yang baru akan kami tempuh. Perlu sekali rasanya kau tahu, sahabatku. Ketika suamiku pulang dari pekerjaannya pukul satu tadi, dia telah mendekatiku, mukanya kelihatan girang, lebih daripada kegirangannya yang biasa. diciumnya keningku, sambi! tersenyum dia berkata:

Ti, kita akan pindah, besluitku telah keluar.
Pindah ke mana Kanda? tanyaku.
Cubalah teka, ke mana? katanya pula sambi! tersenyum.
Entahlah, jawabku!
Kita akan pindah ke Jawa, katanya!
Ke Jawa? tanyaku dadaku berdebar amat kerasnya!
Ya, ke Jawa, kita akan berlayar mengharung laut Ketahun, kita akan melihat kota Jakarta yang ramai. Kita akan pergi ke negeri yang lebih ramai. Tempat kita telah ditentukan di Surabaya!

Tidak enak makan suamiku kelihatan lantaran girangnya, dia tersenyum-senyum saja. Baru sebentar ini dia pergi menguruskan perlelongan barang-barang kami. Dan hairan sekali Khadijah! Debar jantungku kian keras, menyalahi kebiasaan orang yang akan didatangi suatu kegirangan.

Sehendaknya tentu bergirang amat saya menerima khabar kepindahan itu, sebab inilah saya lihat cita-cita tiap-tiap isteri yang suaminya makan gaji. Sedangkan kau sendiri ketika akan ke Medan, malam rasakan kau cabik supaya lekas siang. Payah saya menetapkan dan meneguhkan hati, debarnya masih tetap saja, seakan-akan ada rasanya bahaya yang akan kutempuh di Tanah Jawa itu.

Ah, itu hanya was-was, biarlah saya cuba memeranginya. Apalagi saya cukup percaya kepada suamiku. Kalau sekiranya engkau masih ada di rumah, Khadijah, tentu engkau akan turut menghantarkan daku ke Teluk Bayur, mengipas-ngipaskan saputanganmu melepas kami berlayar, yang harinya sudah terlalu dekat sekali. Sudah putus, kami akan pindah, harinya sudah amat dekat. Agaknya setelah sampai di tempat kediaman  yang baru, barulah dapat saya mengirim surat pula kepadamu. Bilakah kita akan bertemu lagi Khadijah?


Hayati

Surat yang ketiga.

Sahabatku Khadijah!

Sejak menjejak Tanah Jawa, sesudah menyatakan bahawa saya telah sampai bersama suami saya dengan selamat, belum pernah saya lagi berkirim surat, sudah hampir tiga bulan lamanya. Hairan tercengang engkau agaknya, apakah sebab saya, yang serajin itu selama ini menulis, sekarang terhenti saja, padahal banyak keadaan-keadaan di Tanah Jawa, keindahan alam, kecantikan kota yang patut diterangkan kepadamu. Tertahan-tahan saya menulis sekali ini. Tetapi ada satu perasaan yang menguatkan hati saya menerangkannya, iaitu persahabatan kita, bukan pertalian ipar bisan kita.

Khadijah! Bagaimana namanya saya ini? Mengapa seakan-akan orang yang karam masuk laut saya rasanya, tidak akan timbul-timbul lagi, setelah menjejak Tanah Jawa ini? Sebelum melangkahkan kaki masuk kapal di pelabuhan Teluk Bayur, darahku berdebar-debar, seakan-akan ada bahaya yang akan kutempuh. Tetapi perasaan itu saya tekankan juga. Sekarang telah timbul hal-hal yang menyebabkan debar darah itu kembali terasa.

Iaitu entah apa sebab kerananya, jauh berbeza perangai suamiku dari dahulu, seketika mula-mula kahwin. Saya masih ingat, lebih kurang setengah tahun kami di Padang, hidup bersuka ria, ke mana suamiku ke sana saya. Tetapi sekarang bila dia pulang dari pekerjaan, senyumnya tidak seperti senyum yang dahulu lagi, sudah nampak dibuat-buatnya. Saya tidak pula berani menyangka bahawa hatinya telah berubah terhadap diriku, itu sekali-kali tidak.

Cuma saya hendak menegaskan, bahawa harga pemandangannya kepadaku telah banyak berbeza. Jika di masa yang lalu, duduk di dekatku menjadi kesenangannya, atau berjalan berdua memakan angin petang menjadi kenikmatan hidup kami, sekarang telah bertukar. Duduk di rumah dia gelisah, larut malam baru dia pulang. Saya tak cemburu kepadanya. Dan katanya pula dia berjalan menziarahi handai taulan, sahabat dan kenalan. Kalau dia menjawab demikian, saya cukup percaya.
Yang saya hairankan pula, jika semasa kami tinggal di Padang, gaji yang diterimanya mencukupi untuk hidup kami, sekarang tidak lagi. Sudah kerap kali kami kekurangan, sudah kerap kali kami mengeluh lantaran belanja tak mencukupi, padahal gaji jauh lebih naik dari di Padang. Akan kukatakan bahawa hal itu lantaran harga makanan terlalu mahal di Surabaya, itu pun tidak pula; penghidupan tidak berapa berbeza dari di kampung kita.

Kalau bukan mengingat bahawa engkau sahabatku, haram saya berani menyatakan ini kepada saudara perempuan suamiku. Tetapi sebab kenal kejujuran hatimu kepadaku, saya kenal engkau pengasih dan peyantun. Pembicaraanmu amat berpengaruh kepadanya, itulah sebab saya sampaikan. Dan ketahuilah olehmu sahabat, bahawasanya kasih sayangku, sedikit tak berubah kepadanya. Jika kiranya dia lupa, hiarlah dia kembali sedar. Marilah kita perbaiki bersama-sama.

Hayati

Balasan Khadijah.

Sahabatku Hayati!

Suratmu yang terakhir ini sahabat, sangat menghairankan hatiku. Engkau terlalu banyak was-was, terlalu banyak mengelamun. Sebenarnya Aziz tetap cinta kepadamu, sejati dan suci. Tidak ada niatnya hendak berkhianat kepadamu dalam negeri yang sejauh ini. Tuduhanmu atas perubahan hati suamimu terlalu berat. Agaknya dia kurang banyak di rumah adalah mencari ikhtiar yang lain utuk mencukupkan penghidupan. Kerana banyak juga saya lihat, belanja rumah tangga itu, beres atau tidaknya, bukan bergantung kepada laki-laki, tetapi tiangnya kebijaksanaan si isteri juga .. , Teguhkanlah hatimu kembali, jangan engkau kurang percaya kepada suamimu, di rantau yang sejauh ini.

Khadijah

Petang itu, sesudah meminum semangkuk teh, ketika Hayati duduk bersama suaminya, datanglah seorang loper menghantarkan surat undangan, demikian bunyinya:

Tuan yang terhormat!

Ini malam akan diadakan pertunjukan di dalam gedung kelab kita, suatu cerita tonil karangan Tuan Shabir (lebih popular dengan nama samaran penulis “ Z "). Diharap supaya Tuan datang bersama isteri untuk memperhatikan kesenian permainan dan ciptaan fikiran pengarang kita yang telah mulai meningkat tangga kemasyhuran itu.

Hormat Pengurus

Undangan itu disertai pula dengan sepucuk surat tersendiri dari Pengurus Kelab. Demikian bunyinya:

Tuan Aziz yang terhormat!

Dari beberapa anggota perkumpulan kita "Kelab Anak Sumatera", kami beroleh khabar, bahawa telah tiga bulan Tuan pindah bekerja di kota Surabaya ini. Setelah sampai khabar itu kepada kami, inginlah kami hendak berkenalan. Kami percaya sungguh bahawa dalam gerakan sosial yang seperti ini, Tuan beserta isteri tidak akan ketinggalan, terutama pula, kelab kita - sebagaimana tersebut dalam Anggaran Dasar yang kami kirimkan beserta ini - adalah medan pertemuan silaturrahim di antara kita anak-anak Sumatera yang hidup di rantau ini.

Kami ambillah peluang ini, yakni nanti malam di Kelab akan dipertunjukkan suatu cerita tonil terdiri dari lima babak, karangan pujjangga muda kita, Tuan Shabir yang masyhur dengan nama samaran penulis " Z" yang telah menerbitkan buku-buku cerita yang masyhur itu.

Pertunjukan hikayat karangan Tuan itu nanti, dia sendiri yang akan memimpinnya (regisseurnya), sehingga jalan cerita tentu saja akan sesuai dengan cita-cita pengarang. Dan kalau pertunjukan ini berhasil baik, maka hasilnya akan didermakan untuk "Studiefonds" yang baru pula kita dirikan.

Berharap sangat kami supaya Tuan sudi datang bersama isteri, sebagai langkah pertama dari perkenalan kita seterusnya.

Wassalam

Atas nama pengurus "Kelab Anak Sumatera "
Ketua (tidak terbaca)
Penulis (idem)

Surat-surat itu sehabis dibacanya, mula-mula hendak dilipatnya saja. Tetapi seketika diletakkannya, Hayati mengambil dan dibacanya pula. Di akhimya dia berkata:
Bawa adinda sekali ini, Kanda?"

"Ah, percuma pergi, tidak menarik kalau cuma tonil bangsa kita, permainannya kurang halus, bukan seperti tonil Belanda!"

"Meskipun begitu, yang sekali ini bawalah adinda. Adinda hendak berkenalan dengan perempuan-perempuan orang kita yang ada di sini."

Tak ada alasan lagi bagi Aziz hendak menolak permintaan isterinya. Sehingga setelah kira-kira pukul tujuh malam, hersiaplah mereka berdandan dengan pakaian yang rapi, hendak hadir ke pertunjukan itu. Mereka terlambat datang, mereka dapati permainan telah berjalan kira-kira 15 minit. Gedung Kelab itu penuh sesak oleh penonton.

Titel cerita ialah Berbalik Pulang, suatu hikayat yang mengandung banyak pengajaran dan ibarat, bagaimana seorang anak muda yang terlalu menurutkan angan-angan, menyangka bahawa perempuan yang dicintainya itu sesuci-suci dan secantik-cantik perempuan yang ada dalam dunia. Kemudian baru dia insaf bahawa dia tertipu, bahawa antara khayal dengan hakikat itu selalu berlawanan. Dia insaf, dia kembali pulang, pulang ke dalam ketenteramannya.

Jalan cerita amat halus, meresap ke dalam hati, meskipun hikayatnya begitu hebat, tetapi kerap terjadi dalam masyarakat. Apalagi pemain-pemainnya pun pandai membawakan peranan masing-masing. Selama pemainan berjalan, tak kurang-kurang pujian orang kepada pengarangnya. Penulis " Z '"', Tuan Shabir, jadi buah tutur penonton. Sehabis pertunjukan, yang telah dapat memukaukan penonton kepada kerusi masing-masing, kedengaranlah suara tepuk tangan yang riuh dalam gedung itu, memuji jalan cerita. Beberapa pengurus menunggu Tuan Shabir turun dari belakang layar tonil, yang dari pemulaan sampai penghabisan mengatur jalan cerita dengan asyik dan hati-hati sekali. Mereka bertungguan, hendak menyampaikan ucapan "selamat". Aziz pun tertarik dengan hikayat itu. Demikian juga Hayati. Sukar orang yang dapat mempertunjukkan suatu cerita yang halus dan mengandung kesenian demikian. Tiba-tiba muncullah pengarang muda itu dari tonil, dia turun ke bawah, diiringkan oleh pemain-pemain disambut oleh pengurus-pengurus yang menunggu kedatangannya itu, dengan tepuk tangan riuh.

Zainuddin yang telah menukar namanya dengan Shabir! Dihadapinya orang-orang yang menungguinya itu dengan muka yang tenang dan penuh senyuman. Lenggang badannya, raut mukanya,jemih keningnya, semuanya telah berubah, bukan Zainuddin yang penyedih hati yang dahulu lagi, tetapi Zainuddin yang sabar, yang tenang, cocok dengan namanya yang baru ... Shabir!
Dengan senyum disambutnya tangan yang dihulurkan orang kepadanya, dipegangnya dan digoyangnya dengan penuh rasa hormat. Tiba-tiba sampailah kepada Aziz dan Hayati.

Muka Hayati pucat sebentar, darahnya tersirap. Dia hendak melihat bagaimanakah bentuk rupa Zainuddin seketika menentang mukanya dan muka suaminya. Sebab, dia ingat betul bagaimana kesedihan anak muda ini seketika menjabat tangannya yang telah berinai beberapa tahun yang lalu, yang membawa sakitnya.

Hanya sebentar, sekejap mata saja kelihatan perubahan muka Zainuddin melihat kedua suami isteri itu, setelah itu hilang tak kelihatan lagi, hilang di dalam senyumannya yang
manis.

"Oh .,. Tuan Aziz! Dan .. Rangkayo (Orang Kaya) Hayati!

Sudah lama tinggal di kota Surabaya ini?" tanyanya sambil, membungkukkan kepalanya memberi homat.

"Baru tiga bulan" jawab Aziz!

"Ajaib, sekian lama di Surabaya, baru sekali ini kita bertemu."

"Kami pun tidak menyangka," jawab Aziz, "bahawa pengarang ternama, ahli tonil yang selalu jadi buah mulut orang lantaran tulisan-tulisannya yang bererti itu adalah sahabat kami, Tuan “Z”…

"Shabir!" katanya menukar pembicaraan itu. "Tidak ada lagi nama yang lama, kerana kurang cocok dengan diri saya. Nama Shabir lebih cocok, bukan?" katanya sambil
tersenyum.

"Semua nama cocok buat orang sebagai Tuan," sahut Azizpula.

"Akur ... ," kata anggota-anggota lain yang dari tadi tegak tersenyum melihat kedua orang itu bercengkerama.

"Sekarang saya kenalkan tuan-tuan kepada sahabat saya Aziz dan isterinya Rangkayo Hayati, dari Padang Panjang," ujar Zainuddin kepada teman-temannya.
Maka terjadilah perkenalan di antara orang-orang itu. Mulai sejak malam itu Aziz dan Hayati telah menjadi anggota dari "Anak Sumatera". Zainuddin, memang bukan Zainuddin yang dahulu lagi hanya mukanya yang sekarang adalah lebih jemih, pakaian yang dipakainya lebih mahal dan gagah dari dahulu. Meskipun mukanya tidak cantik, tetapi cahaya ilmu, pengalaman, penanggungan, cahaya seni semuanya telah memberinya bentuk yang baru.

Pergaulan dalam kota Surabaya pun telah luas, terutama dalam kalangan kaum pergerakan, dalam kalangan kaum pengarang, wartawan-wartawan, pemimpin-pemimpin rakyat. Tiap-tiap rembukan yang mengenai kepentingan bangsa, menolong orang yang sengsara, pekerjaan amal, sentiasalah Zainuddin, atau Shabir jadi ikutan orang banyak. Dan Muluk adalah sahabatnya yang setia.

Bersambung…


Pengarang
: HAMKA
Tajuk : Tenggelamnya Kapal Van Der Wijck

No comments: