SEPERUNTUNGAN
Setelah beberapa lama kemudian, dengan tidak disangka-sangka satu musibah besar telah menimpa kami berturut-turut. Pertama ialah kematian sekonyong-konyong dari Engku Haji Jaafar yang dermawan. Ia seorang yang sangat dicintai oleh penduduk negeri, kerana ketinggian budinya dan kepandaiannya dalam pergaulan; tidak ada satu pun perbuatan umum di sana yang tak dicampuri oleh Engku Haji Jaafar.
Kematiannya membawa perubahan yang bukan sedikit kepada perhubungan kami dan rumahtangga Zainab. Dia yang telah membuka pintu yang luas kepada saya memasuki rumahnya di zaman hidupnya, sekarang pintu itu mahu tak mahu telah tertutup. Sebagai seorang lain, Pertemuan kami tidak berleluasa seperti dulu lagi. Ah…. zaman semasa anak-anak, dia telah pergi dari kalangan kami dan tak akan kembali lagi.
Belum beberapa lama setelah budiman itu menutup matanya,datang pula musibah baru kepada saya. Ibu saya yang tercinta, yang telah membawa saya menyeberangi hidup bertahun-tahun telah ditimpa sakit, sakit yang selama ini telah melemahkan badannya, iaitu penyakit dada. Kerapkali Zainab dan ibunya datang melihat ibuku, dan duduk dekat kepalanya, sedang saya duduk menjaga dengan diam dan sabar. Kerapkali juga Mak Asiah berkata; " Ah luka lama yang belum sembuh sekarang datang pula yang baru. Belum lama saya menjagai suami saya sakit, sekarang saya mesti melihat sahabat saya yang menanggung sakit. Mudah-mudahan ia lekas sembuh."
Waktu itu Zainab diam dalam menungnya, di hadapan ibu yang sedang sakit, kerapkali ia melihat kepada saya dengan muka yang tenang, dan agaknya bersertaan dengan nasib yang ditanggungnya sendiri. Tetapi sepatah kata pun tak keluar daripada mulutnya dan saya pun melihat pula, sehingga kedua mata kami bertemu dan dari dalam ruang-ruang mata yang hitam, seakan-akan terbayang berulang-ulang beberapa perkataan yang penting, meskipun lidah tiada sanggup menunjukkan ertinya.
Mak Asiah pergi bersama Zainab, di meja mereka letakkan sepinggan bubur yang telah didinginkan, ditutup dengan sebuah piring kecil untuk ibu, kerana dia tak kuat makan nasi. Ketika ia akan pergi, ia berkata:" Jagalah ia baik-baik, jika ia bangun kelak, berilah bubur ini barang sesenduk pun."
" Baiklah mak"-kata saya.
Pintu mereka tutupkan baik-baik dan mereka pun pergi. Setelah beberapa saat kemudian ibuku mengembangkan matanya; di dalamnya hanya kelihatan tinggal cahayaa dari kekerasan hati, padahal Kekuatan telah habis sama sekali.
Dicarinya saya dengan matanya yang telah kabur, tangannya yang telah tinggal jangat pembalut tulang itu mencapai-capai ke kiri ke kanan mencari tangan saya, dengan segera saya berikan tangan kanan saya, dipegangnya erat-erat dan dibawanya kemulutnya seraya diciumnya, lama sekali; dari matanya titik airmata yang panas.
" Hamid"- katanya, rupanya kekuatan kembali sedikit; " Ibu hendak berbicara dengan engkau, penting sekali, nak!"
" Lebih baik ibu diamkan dahulu, agaknya ibu terlalu payah."
" Tidak, Mid, kekuatan ibu dikembalikan Tuhan untuk menyampaikan bicara ini kepadamu."
" Apakah yang ibu maksudkan?"
" Sebagai seorang yang telah lama hidup, ibu telah mengetahui suatu rahsia pada dirimu."
" Rahsia apa ibu?"
" Engkau cinta kepada Zainab!"
" Ah, tidak ibu, itu barang yang amat mustahil dan itulah yang sangat anakanda takuti. Anakanda tak cinta padanya dan takut akan cinta, anakanda belum kenal " cinta." Anakanda tahu bahawa jika anakanda menyerahkan cinta kepadanya, takkan ubahnya seperti seorang yang mencurahkan semangkuk air tawar ke dalam lautan yang amat luas; laut tak akan berubah sifatnya kerana semangkuk air itu."
" Wahai anakku, dari susunan katamu itu telah dapat ibu membuktikan bahawa engkau sedang diserang penyakit cinta, takut akan kena cinta, itulah dia sifat daripada cinta; cinta itulah yang telah merupakan dirinya menjadi suatu perbuatan, cinta itu kerapkali berupa putus harapan, takut, cemburu, hiba hati terkadang-kadang berani. Di hadapan ibumu yang telah lama merasai pahit dan manis kehidupan tidaklah dapat engkau sembunyikan lagi. Mataku telah kabur, tetapi hatiku masih terang-benderang."
" Anakku …… sekarang cintamu masih bersifat angan-angan, cinta itu kadang-kadang hanya menurutkan perintah hati, bukan menurut pendapat otak. Dari belum berbahaya sebelum ia mendalam, kerapkali kalau yang kena cinta tak pandai ia merosakkan kemahuan dan kekerasan hati lelaki. Kalau engkau perturutkan tetap engkau menjadi seorang anak yang berputus asa, apa lagi kalau cinta itu tertolak, terpaksa ditolak oleh keadaan yang ada di sekelilingnya…..
" Hapuskanlah perasaan itu dari hatimu, jangan timbul-timbulkan juga. Engkau tentu memikirkan juga, bahawa emas tak setara dengan loyang, sutera tak sebangsa dengan benang."
" Ayahnya, orang yang telah memenuhi cita-cita kita dengan nikmat, sekarang tak ada lagi, ertinya telah putus tali yang memperhubungkan kita dengan rumahtangga orang di sana. Meski pun ibu Zainab seorang yang penuh dengan budi pekerti. Tentu saja kebaikannya kepada kita tidak lagi sebagai suaminya hidup. Apa lagi famili-famili mereka yang bertali darah sudah banyak yang akan turut mengatur keadaan pergaulan rumahtangga itu, iaitu orang-orang baru yang tidak kenal akan kita."
" Memang anak,….. cinta itu " Adil" sifatnya, Allah telah mentakdirkan dia dalam keadilan, tidak memperbeza-bezakan antara raja dengan orang meminta-minta, tiada menyisihkan orang kaya dengan orang miskin, orang mulia dengan orang hina, bahkan kadang-kadang tidak juga berbeza baginya antara bangsa dengan bangsa, tetapi aturan pergaulan hidup, tiada membiarkan yang demikian itu berlaku, orang sebagai kita ini telah dicap dengan darjat " Bawah" atau " Kebanyakkan" sedang mereka diberi nama " cabang atas"; cabang atas ada kalanya kerana pangkat dan ada kalanya kerana harta benda. Cincin emas orang sayang hendak memberi bermatakan kaca, tentu dicarikan orang, biar lama, permata intan berlian, atau zamrud dan nilam yang telah diasah oleh orang rantai perintang-perintang hatinya, kerana lama menanggung dalam penjara."
" meski pun Zainab suka kepada engkau…. Kerana agaknya batinnya suci daripada perasaan takbur dan mengangkat dirinya, tidaklah langsung kalau ibunya tak suka. Diletakkan ibunya suka, bermuafakat orang itu dahulu dengan kaum kerabat, handai dan taulan. Kalau mereka tak sepakat, waktu itulah kelak kau diserang oleh putus asa, oleh malu, dan kadang-kadang memberi melarat kepada jiwamu. Sebab api masih belum besar tidak engkau padami lebih dahulu."
" Tidak ada yang lebih baik untuk melupakan hal itu sebelum ia mendalam, sebab cinta kepada orang yang demikian, adalah cinta arwah ayahmu hendak kembali ke dunia, kerana ia berbesar hati melihat engkau telah besar. Ia tahu dan melihat segala apa yang kejadian dalam dunia ini, dan ia ingin sekali hendak datang. Tetapi sayang…. Alam dunia telah terbatas jauh sekali dengan alam barzakh….."
Lama saya termenung mendengarkan perbicaraan ibu itu, pertama kerana amat dalam penyelidikannya kepada faham hidup ini, kedua memikirkan kekuatan jiwanya yang timbul, seakan-akan malaikat yang memimpin dia sedang berbicara, yang tidak saya sangka-sangka akan sejelas itu. Beberapa saat antaranya saya pun menjawab:" Terima kasih, ibu, nasihat ibu masuk benar kedalam hatiku, semuanya benar belaka, sebenarnya sudah lama pula anakanda merasa yang demikian, sehingga dengan hati sendiri anakanda berjanji hendak melupakannya, yang amat ajaib ialah peperangan otak dengan hati. Tetapi bila kelihatan rumahtangga, atau kelihatan rupanya sendiri, dan kadang-kadang bila namanya disebut orang hati ini lupa akan perintah otak, ia kembali berdebar, ia surut kepada kenang-kenangannya yang lama. Inilah yang kerapkali mengalahkan anakanda."
" Ah, anakku, pandai benar engkau mewartakan nasibmu kepada ibumu! Mengapa engkau segila itu benar, pada hal agaknya engkau belum mengetahui bagaimana pula perasaan Zainab kepada dirimu?"
" Wahai ibu, Cuma anakanda tahu bahawa cintaku mendapat sambutan dengan semestinya, agaknya tidaklah separah ini benar luka hatiku, kerana cinta yang dibalas itulah ubat yang paling mujarab bagi seorang anak muda dalam hidupnya, tak akan lebih pintanya daripada itu, hati anak muda akan besar dan merasa beruntung, jika anakanda ketahui bahawa airmata anakanda yang selama ini telah banyak tercurah tidak bagai air yang tenggelam di pasir; bahawa pengharapan dalam menuju hidup tak terhambat ditengah jalan; bahawa cita-cita hendak memandangi langit tidak di halangi oleh awan. Cinta anakanda kepadanya bukan mencintai tubuhnya dan bentuk badannya, tetapi jiwa anakandalah yang mencintai jiwanya, kecintaan anakanda bukan dipeterikan oleh kebiasaan bergaul dan bukan pula kerana kepandaian menyusun surat-surat kiriman. Kebebasan pergaulan bisa ditutupi dengan perangai yang dibuat-buat dan kepintaran mengarang surat dapat pula menyembunyikan kepalsuan hati. Anakanda menyintai Zainab kerana budinya; di dalam matanya ada terkandung suatu lukisan hati yang suci dan bersih."
" Anakku, sudah tinggi fikiranmu rupanya, sudah dapat engkau menerangkan perasaan hati dengan perkataan yang cukup, sudah menurun pada dirimu kelebihan ayahmu. Ibu tak dapat menyambung perkataan lagi….. perkataanmu hanya ibu sambut dengan airmata. Hanya kepada Tuhan ibu berharap, mudah-mudahan Dia memberikan anugerah dan perlindungan akan dirimu. Dia yang telah menanamkan perasaan itu ke dalam hatimu, Dia pula yang berkuasa mencabutnya. Mudah-mudahan itu hanya suatu khayal, suatu angan-angan yang kerapkali mempengaruhi hati anak muda, yang dapat hilang kerana pergantian siang dan pertukaran malam."
" Mudah-mudahan," jawab saya.
Demikianlah nasihat kepada saya, setelah itu kekuatannya tak ada lagi. Dari saat ke saat, hanya kelihatan kepayahannya menyelesaikan nafas yang turun naik. Kadang-kadang dilihatnya saya tenang-tenang dan dingangakan mulutnya sedikit minta minum. Ubat-ubatnya tak memberi faedah lagi. Tidak beberapa malam setelah dia memberi nasihat itu, datanglah masa yang ditunggu-tunggunya, masa berpindah daripada alam yang sempit kepada alam yang lapang. Sementara saya asyik meminumkan ubat, di tangan kanan saya terpegang sudu dan di tangan kiri terpegang gelas. Ia melihat kepada saya dengan tenang, alamat berpisah yang akhir. Dari mulutnya keluar kalimah suci, bersamaan dengan kepergian nyawanya ke dalam alam yang baqa', yang di sana tempat manusia lepas daripada segala penyakit.
Saya tercengang dan seakan-akan bingung, di tangan kanan saya sudu masih terpegang, di tangan kiri saya berisi ubat; saya lihat ke atas meja, di sana terletak beberapa botol yang telah kosong dan ramuan dukun yang telah layu, limau manis yang dihantarkan oleh Zainab pagi hari itu baru diusiknya seulas, lebihnya masih tinggal terletak di atas meja. Waktu itulah baru saya insaf bahawa itu bukan perkara sudu, gelas, bukan perkara ubat ramuan, tetapi perkara ajal semata-mata…..
Sekarang saya sudah tinggal sebatang kara di dunia ini!
Bersambung....
* Penulis : Haji Abdul Malik Karim Abdullah (HAMKA)
* Tajuk : Dipetik dari buku Dibawah Lindungan Kaabah.
* Cetakan : Pustaka Antara

No comments:
Post a Comment