Tenggelamnya Kapal Van Der Wijck (Bhg. 18)
PENGHARAPAN YANG PUTUS
Berdebar-debar darah di dada Zainuddin seketika datang sepucuk surat yang teralamat kepadanya dari Datuk. .. di Batipuh, lantaran surat itulah vonis nasib yang akan ditempuhnya. Lama baru dibukanya, kerana sebelum dibuka isi surat itu lebih dahulu telah meresap ke dalam jiwa, yang mendatangkan was-was. Setelah dibukanya, kenyataan isinya itu amat dingin dan ringkas saja:
Kepada orang muda Zainuddin, di Padang Panjang. Surat orang muda telah kami terima dan mafhum kami apa isinya. Tetapi kerana negeri Minangkabau beradat, bulat kata dengan muafakat, maka kami panggillah kaum keluarga Hayati hendak memesyuaratkan hal permintaan orang muda itu.
Rupanya bulat belum segolong, picak belum setapik di antara kami semuanya, ertinya belum sepakat. Oleh sebab kayu yang bercabang tidak boleh dihentakkan, maka kami tolaklah permintaan orang muda, dengan mengatakan terus terang bahawa permintaan ini tiada dapat kami kabulkan. Lebih dan kurang, harap supaya dimaafkan.
Datuk ...
Datuk Garang dll.
Mengalir keringat dingin di keningnya sehabis surat itu dibacanya. Menyesal dia, padahal dari dahulu sudah disangkanya juga bahawa permintaannya tidak akan terkabul, sebab negeri Minangkabau beradat. Terasa malu yang sebesar-besarnya, terasa perasaan yang mesti tersimpan dalam hati tiap-tiap manusia, bahawa dia tidak mahu dihinakan. Minangkabau negeri beradat, seakan-akan hanya di sana saja adat yang ada di dunia ini, di negeri lain tidak. Padahal kalau memang negeri Minangkabau beradat, belum patut orang seperti dia hendak ditolak dengan jalan yang begitu saja. Permintaan boleh terkabul dan boleh tidak, tetapi tidak ada hak bagi yang menolak buat menyindir pula kepada orang yang ditolaknya.
Apalagi pintu yang dilaluinya bukan pintu "belakang" tetapi pintu muka, tiba tampak muka, berjalan tampak punggung.
Kalau penolakannya di atas nama adat, maka adat yang manakah yang menolak seorang yang telah berjanji setia dan berniat hendak teguh memegang perjanjian itu? Kalau tertolak lantaran dia orang Mengkasar, maka adat seluruh dunia menerima kedatangan anak, sebab dia anak dari ayahnya, dan ayahnya orang Minangkabau tulen.
Kalau dia tertolak lantaran dia tidak berwang, maka ada tersedia wang Rp 3.000,00 yang dapat dipergunakan untuk menghadapi gelombang kehidupan sebagai seorang makhluk yang tawakal.
Disumpahinya dalam hatinya kepincangan adat, dikutukinya masyarakat yang terlalu rendah itu. Tetapi dari sedikit ke sedikit terbayanglah di mukanya wajah Hayati, tiadalah patut di negeri Hayati dia menjatuhkan umpat dan maki, nista dan cela. Hayati hanya korban dari kekejaman peraturan adat yang telah usang itu.
Demikianlah hati telah remuk redam, kadang-kadang berpendapatan begitu dan kadang-kadang begini. Setelah dikutuk dan dimakinya orang-orang yang menolaknya dengan melampangkan pintu keras-keras, meniupkan suara yang bagai halilintar dalam telinganya iaitu negeri Minangkabau beradat. Dia kembali insaf, bahawa walaupun dilarang atau tidak dilarang, diterima atau ditolak, namun pertaliannya dengan Hayati adalah pertalian yang kekal, pertalian cinta kasih sayang, cinta yang mula-mula tumbuh dalam hidupnya, dan selamanya tidakkan tumbang lagi.
Biarpun permintaannya misalnya diterima orang, lantaran wangnya banyak, kalau begitu pertaliannya dengan Hayati bukan pertalian hati, tetapi pertalian harta. Harta boleh banyak dan boleh habis. Harta yang banyak bukan menimbulkan cinta yang murni dalam hati kedua belah pihak -menurut taksiran Zainuddin- tetapi semata-mata menimbulkan bongkak dan takbur. Bilamana harta itu ditimpa krisis turun jumlahnya, maka turunlah pula darjat penghormatan kedua belah pihak.
Kalau dipertalikan oleh perasaan sama-sama beradat, maka inilah pergaulan yang terlalu mementingkan diri seorang (egoistik). Si laki-laki tidak hendak mengalah dari darjat kebangsawanannya, Si isteri pun demikian pula. ltulah sebab maka banyak kelihatan pergaulan laki isteri yang hanya manis kelihatan dari luar, sebab hati yang laki-laki tiada diberikannya kepada si isteri dan si isteri pun bila akan menemui suaminya, ditinggalkannya dahulu "hatinya" pada ibu bapanya, mamak atau kaum kerabatnya, baru dia ikut suaminya dengan tidak berhati.
Meskipun ninik mamak atau adat menerimanya, padahal hati Hayati sendiri misalnya, tiada suka kepadanya, itu pun bererti memaksa. Zainuddin tiada sedikit juga setuju jika manusia membelenggu hati sesamanya manusia. Memaksa hati seorang muda, baik laki-laki atau perempuan menempuh perkahwinan, bererti mematahkan kemekaran bunga kenang-kenangannya buat zaman yang akan datang.
Dihalangi, atau tidak dikabulkan permintaannya, diterimanya dengan sabar dan tawakal, apa boleh buat! Memang sudah suratan nasibnya sejak kecil akan selalu dibesarkan oleh sengsara, digedangkan dengan keluhan. ltu akan diterimanya, asal saja Hayati tetap cinta kepada dirinya. Kerana daerah perjuangan cinta lebih luas daripada yang dapat dikira-kirakan. Kalau maksud hasil, terjadi perkahwinan. Kalau tidak, maka terpatrilah persaudaraan yang kekal sampai tua menjunjung uban, sebagaimana pemah dihikayatkan oleh Alexander Dumas dalam bukunya Graaf de Monte Cristo, bahawasanya meskipun Edmond Dantes telah tua, telah menjadi seorang luar biasa yang berpengaruh; meskipun Mercedes telah bersuamikan Fernand dan telah beroleh anak pula. Seketika Edmond Dantes pulang ke Paris 15 tahun kemudian, dengan rupa yang lain, seorang pun tiada yang kenal siapa dia, hanyalah Mercedes seorang saja. Kemudian setelah Edmond Dantes atau Graaf de Monte Cristo terpaksa bermain anggar dengan anak Mercedes maka di atas nama cinta yang lama itulah Mercedes memohonkan kepada Graaf itu supaya pertandingan itu diurungkan saja.
Meskipun Graaf itu kemudiannya beroleh isteri, anak dari Ali Tebelin raja dari Yanina, dan hidup keduanya beruntung, namun ingatannya pada kecintaan lamanya, Mercedes, yang seakan-akan telah dipandangnya saudara kandungnya, tetap menjadi ingatan dalam hidupnya.Biar pun saya ditolak–kata Zainuddin- kerana tidak semua maksud itu akan dihasilkan Tuhan, asal Hayati tetap cinta kepadaku. Dan saya percaya dia tiadakan mungkir, masakan gadis secantik sejujur itu akan mungkir dari janjinya yang telah dipersaksikan oleh cahaya matahari naik. Tidak ada kulihat tanda-tanda pada wajahnya bahawa dia termasuk gadis-gadis yang demikian itu. Kalau dia hanya tcrpaksa, maka paksaan pun tiadakan menghilangkan cinta.
Tetapi otak boleh sabar, boleh menimbang dengan adil, boleh dia memutar tali angan-angan yang menjalar kian kemari, kalau akal tidak hilang. Tetapi badan kasar kadang-kadang tiada seteguh pertahanan jiwa raga. Lemah gemalai dia menerima surat, hancur rasanya segala persendiannya, matanya berkunang-kunang, tiada senang diam rasa hatinya dalam rumah. Besoknya pagi-pagi, diberitahukannyalah kepada orang tua tempatnya menumpang itu bahawa dia bermaksud hendak berjalan mengelilingi alam Minangkabau, entah sehari dua, entah serninggu dua, belum dapat ditentukan.
Ditinggalkannyalah Padang Panjang, terus ke Padang, ke Bandar Sepuluh, melihat ornbak memukul pantai di tepi Teluk Batang Kapas, mendengarkan anak-anak perahu rnelagukan lagu pelayaran. Terus ke Kurinci melihat keindahan alam di sana, melihat puncak Gunung Kurinci. Yang indah dan danaunya yang hijau. Setelah tiga hari dia di Kurinci, kembali dia ke Padang. Dengan melalui Sitinjau Laut, dia pergi ke Solok, ke Tambang Sawah Lunto, berbalik dan terus ke Batu Sangkar. Dengan melalui Tebu Patah dia pergi ke Payakumbuh, ke Manggani dan ke ternpat-ternpat yang lain-lain. Katanya hendak mengubati hati tetapi sia¬sia, kerana tidaklah akan sembuh sesuatu penyakit, kalau nama penyakit lain dan ubatnya lain pula, bukan menyembuhkan, tetapi menambah dalamnya penyakit saja.
Alam itu kadang-kadang bisu dan kadang-kadang berkata, kadang-kadang muram dan kadang-kadang gembira rupanya. Semuanya itu bergantung kepada warna teropong hati yang melihatnya. Boleh pada suatu waktu kita datang kepada suatu tempat dengan hati hiba, maka muramlah cahaya matahari dan lain kali kalau kita datang ke tempat itu juga, dengan hati yang gembira, dia akan gembira pula. Kalau bukan demikian, tentu samalah bentuk lukisan dan gambaran yang dilukis oleh ahli-ahli gambar yang pandai ... demikianjuga bunyi dan maksud syair yang digubahkan pujangga, boleh dia memuji dan rnenyanjung nikmat keindahan alam itu ... dan boleh pula menyesali dan memperlihatkan buruknya.
Dia pun kembali ke Padang Panjang, kerana tidak betul rupanya persangkaannya bahawa keindahan alam dapat mengubati hati. Dia pulang dengan muka yang lebih lesu, diletakkannya kopor kecilnya dan dia masuk ke dalam
kamarnya dengan haluan yang tak tentu.
"Sudah kembali Zainuddin," kata perempuan tua tempat dia menumpang itu.
‘Sudah Mak!"
"Mengapa mukamu lebih lesu?"
"Demam saya dalam perjalanan, Mak!"
Seketika dia akan rnasuk kamar, orang tua itu pun memberikan sepucuk surat yang beralamat kepada Zainuddin, diterimanya beberapa hari sepeninggalan Zainuddin pergi, dihantarkan oleh seorang anak kecil laki-laki.
Surat itu diambilnya dan dibawanya ke kamarya.
Sebelum baju yang lekat di badannya dibukanya, surat itu dibukanya lebih dahulu, kiranya surat seorang perempuan,
tetapi bukan surat Hayati:
Engku Zainuddin!
Meskipun belum pernah kita berkenalan, tetapi nama Engku telah lama saya kenaI, lantaran persahabatan Engku yang amat karib dengan Hayati, Sahabat saya!
Perhubungan persahabatan Engku itu telah diketahui oleh semua kami. Mulai hari ini lebih baik Engku putuskanlah perhubungan itu. Pertama menjaga nama baik Hayati, sebab dia telah bertunangan. Kedua untuk kemaslahatan Engku sendiri, jangan nama Engku terbusuk pula, hidup di rantau orang.
Apalah gunanya Engku berhubungan dengan dia padahal yang demikian itu perbuatan yang sia-sia saja, akan langsung pun tidak juga, tak ubah dengan mengharapkan kejatuhan bintang di langit, umur habis badan pun payah, laba hilang rugi bertemu, melarat di angan-angan, sengsara dikira-kira.
Hayati telah menjadi keluarga kami, telah diterima oleh kaum kerabatnya permintaan kami, dia telah bertunangan dengan abang saya Aziz, yang sekarang tengah bekerja pada suatu pejabat di Padang. Dan moga-moga khabar ini tidak mengecewakan hati Engku.
Khadijah
Jika sekiranya surat yang datang dari keluarga Hayati dahulu seakan-akan letusan selaras senapang ke dadanya, maka adalah surat dari Khadijah, yang mengaku sahabat Hayati ini, laksana sebuah bom yang meletus di tentang kepalanya.
Dilipatnya surat itu baik-baik. Setelah itu dia duduk beberapa saat lamanya. Tidak tentu haluan yang akan diturutnya.
Apa yang akan dikerjakannya, padahal "cinta adalah sebagai kemudi dan bahtera kehidupan". Sekarang kemudi itu dicabut; ke mana dia hendak berlayar lagi, di mana dia hendak berlabuh, teroleng terhempas kian kemari, daratan tak nampak, pulau tak kelihatan. Demikianlah perumpamaan nasib anak muda yang maksudnya tiada sampai.
Lantaran sudah lebih dari satu jam dia tidak keluar dari kamarnya, maka perempuan tua itu pun agak cemas, takut dia kalau-kalau anak dagang jauh itu kurang sihat badannya kembali dari perjalanan. Lalu diketuknya pintu.
"Masuklah, Mak!" kata Zainuddin.
Perempuan itu masuk dan,bertanya: "Mengapa engkau
termenung saja anakku? Apa khabar di dalam perjalanan .Sudah lebih sepuluh hari meninggalkan rumah, indahkah negeri yang engkau lihat? Adakah puas mata memandang?"
"Semuanya indah Mak, memang negeri-negeri di Minangkabau ini cantik dan menghidupkan semangat semua.
"Mengapa wajahmu agak berlain mak lihat? Kurang
sihatkah?"
"Tidak Mak ... " ujar Zainuddin sambil berusaha
sedapat-dapat hendak menyembunyikan kesedihan hatinya,
"Terangkanlah mengapa? Tempoh hari surat mati yang engkau terima dari kampung. Sebelum berangkat berjalan baru-baru ini nampak pula berubah mukamu menerima surat, sekarang datang pula surat yang lain, mukamu bertambah pucat juga. Selama ini mamak tiada peduli, engkau pun tak mengatakan, sebab engkau barangkali belum percaya kepada mamak. Kalau ada yang menyusahkan hatimu dan fikiranmu tertumbuk, katakanlah, mamak dapat menunjuki jalan sekadar yang dapat oleh mamak.
Agaknya anak mamak itu; si Muluk, boleh menolong mu kerana dia banyak pergaulan. Dia pandai berdukun, pandai kepandaian-kepandaian batin. Pergaulannya dalam kalangan orang dukun, ahli silat dan dalam kalangan orang-orang beradat, pun banyak pula. Pulangnya ke rumah hanya sekali-sekali saja, untuk melihat ibu dan memberi wang. Dia tidak mahu mengganggu kesenangan ibu. Dahulu digajinya seorang dari Singgalang untuk teman ibu mendiami rumah ini. Tetapi sejak anak tinggal di sini hatinya bukan main suka citanya, cuma dia malu kepada engkau sebab engkau orang siak, sedang dia orang Parewa*.
(Di Minangkabau memang ada satu golongan orang muda-muda yang bergelar "Perewa". Mereka tak mahu menggangu kehidupan kaum keluarga. Hidup mereka ialah dari berjudi, menyambung ayam dan lain-lain. Mereka juga pandai dalam pencak silat. Pergaulan mereka sangat luas, di antara Perewa di kampung anu dengan kampung yang lain harga menghargai dan besar membesarkan. Tetapi mereka sangat kuat mempertahan kehormatan nama suku dan kampung. Kalau mereka bersahabat, sampai mati mereka akan memepertahankan sahabatnya, saudara sahabatnya jadi saudaranya, seakan-akan seibu, sesaudara, sekemenakan. Kata-kata "Muda" terhadap perempuan tidak boleh sekali-kali. Kalau ada yang kalah dalam permainan sehingga habis harta bendanya, maka oleh yang menang dia diberi pakaian dan wang sekadamya, disuruh pulang dengan wang tanggungan yang menang itu sendiri. Kepada orang-orang alim mereka hormat, dan kadang-kadang mereka itu dermawan. Mereka setia dan sudi menolong. Satu penghidupan yang serupa dalam "dongeng" yang sampai sekarang masih di dapati di Minangkabau.)
Tetapi batinya baik, barangkali dia boleb menolong memberimu bicara, kalau fikiranmu tertumbuk."
Mendengar segala cerita yang keluar dari mulut orang tua itu, mata Zainuddin kembali terbuka, lebih-lebih mendengar perempuan itu menceritakan kebaikan hati Muluk yang selama ini banya berkenalan dari jauh sahaja dengan dia.
"Saya hendak meminta tolong, Mamak," jawab Zainuddin.
"Iaitu Mamak panggil Abang Muluk segera pulang, cari dia sampai dapat!"
Itu mudah saja, sekarang agaknya ada dia di Pasar baru!”
Carilah dia sampai dapat, suruh pulang. Rasanya akan terubatlah kesusahan saya sebahagian besar kalau dia dapat menolong.
Sedang dia berbicara-bicara demikian, tiba-tiba perempuan tua itu bangkit dari tempat duduknya dengan muka girang seraya berkata: "Aa, itu dia si Muluk sudah pulang kebetulan!"
Muluk sedang berdiri di halaman, dia disuruh naik. Biasanya dia hanya terus saja ke dapur sebab malu kepada Zainuddin. Tetapi dihalangi oleh ibunya, disuruh duduk dahulu. "Engku muda ini hendak berbicara sedikit dengan engkau, Muluk!" kata Maknya.
Muluk dengan amat hormat duduk ke kerusi. Zainuddin keluar dari kamarnya dan sesudah berjabat tangan dengan dia, Zainuddin duduk ke dekatnya.
"Apa khabar, Guru? Selamat dalam perjalanan pulang balik?"
"Selamat, tak kurang suatu apa. Sebetulnya saya sudah hampir setahun tinggal dalam rumah ini, tetapi kita belum juga berkenalan yang rapat. Sebab Bang Muluk rupanya agak segan bertemu dengan saya, seakan-akan saya dipandang orang lain!"
"Bukan begitu, Guru" jawab Muluk, "Guru maklum sendiri, saya ini orang yang banyak dosa, penyabung, pedadu, penjudi. Jadi tangan saya bernajis. Kerana kami pemuda-pemuda Padang Panjang ini, meskipun negeri kami penuh dengan rumah-rumah sekolah agama, kami kebanyakan hanya bergurau, berburu, main kim dan lain-lain. Tapi sungguhpun seperti itu, saya merasa senang sekali Guru telah suka tinggal di rumah orang tua saya ini. Kerana dia hanya sendiri saja menghuni rumah, saya tak bersaudara seorang juga. Bapa saya telah mati ditimpa batu ketika gempa yang besar itu. padahal saya sendiri pun seorang pejalan, maklumlah Guru!"
Tiba-tiba maknya menyelang: "Engku muda ini katanya hendak meminta tolong kepada engkau Muluk. Kalau dapat tolonglah!"
"Mana yang dapat saya tolong, Insya Allah Guru!" "Tetapi cuma kita empat mata saja," kata Zainuddin. "Baiklah," jawab perempuan tua itu, "saya pun hendak
ke belakang memasakkan nasi dan kopi!"
Setelah duduk berdua saja mulailah Zainuddin berkata:
"Meskipun Bang Muluk belum saya kenal benar, tetapi saya percaya Abang dapat menolong saya, dan dapat pula menyimpan rahsia saya."
"Guru tak usah susah. Meskipun pekerjaan yang saya kerjakan amat buruk, penjudi, tetapi memegang amanat saya sanggup. Apalagi menurut adat istiadat kami, judi dan sabung hanya pergurauan anak muda saja. Namun basa-basi, kami lebih teguh memegangnya daripada orang-orang yang berpangkat sekalipun. Bagi kami tidak boleh menohok kawan seiring, menggunting dalam lipatan, apalagi terhadap kepada orang yang telah meminum air ayah bonda kita, dan kita pun begitu pula kepadanya."
"Terima kasih," jawab Zainuddin. Lalu dia mulai menceritakan halnya sejak mulai ayahnya terbuang, kematian ayah bondanya, perjalanan ke Minangkabau, perkenalan dengan Hayati, dia diusir orang dari Batipuh, kematian mak angkatnya, suratnya ditolak orang, sampai kepada surat Khadijah yang baru saja diterimanya, semuanya tiada yang ketinggalan. Semuanya didengarkan oleh Muluk dengan hati-hati, kadang-kadang merah mukanya, kadang-kadang sedih, sangatlah hiba kasihannya melihat Zainuddin yang selalu dipanggilnya "Guru" itu.
Setelah semuanya diceritakannya, lalu dia berkata:…………………
BERSAMBUNG…
No comments:
Post a Comment