Monday, April 4, 2011

Tenggelamnya Kapal Van Der Wijck (Bhg. 19)

SURAT YANG PERTAMA

Bang Muluk! Saya hendak minta tolong supaya Abang sudi menyelidiki siapakah agaknya Aziz itu, adakah dia patut menjadi jodoh Hayati. Tolong Abang selidiki! Kalau memang patut jadi jodohnya, kalau memang Aziz itu berperangai baik, untung Hayatilah yang bahagia, nasib saya jugalah yang malang. Tetapi kalau Hayati teraniaya, kalau perangai Aziz dapat menyebabkan Hayati makan hati berulam jantung bersuamikan dia, saya akan tetap menjaga dia, saya akan tetap jadi saudaranya, menjadi pembelanya, sehingga nyawa saya bercerai dengan badan. Cubalah Bang Muluk selidiki siapa dia, di mana dia tinggal, bagaimana kelakuannya, berapa saja upah yang perlu, saya akan membayar!"

Sedang Zainuddin berkata-kata itu, muka Muluk mulai

kerut dan akhimya dia menggeleng-gelengkan kepala.

"Mengapa Abang menggeleng-gelengkan kepala?"

"Guru tak usah rugi terlalu banyak dalam perkara itu!

Meskipun misalnya mencari Aziz akan memakan duit banyak, haram saya memakan wang Guru, Guru telah jadi saudara saya. Tetapi mencari orang muda yang bernama Aziz, tidaklah sukar. Siapa orang penjudi yang tiada kenal akan dia?"

"Apa kata Abang?" "Si' Aziz anak Sutan Mantari, ibu bapanya orang Padang Panjang ini, kerana dia berkerabat dengan orang berpangkat-pangkat, dia mendapat pekerjaan yang agak pantas. Tetapi perangainya ... Masya Allah! Penjudi, pengganggu rumahtangga orang, sudah dua tiga kali terancam jiwanya kerana mengganggu anak bini orang. Syukur ada wang simpanan ayahnya yang akan dihabiskannya, kalau tidak tentu sudah tekor kas di pejabat tempat dia bekerja, tetapi dia dapat menutup malu. Apa yang lebih berkuasa di dunia ini, selain dari wang?"

"Sebenarnyakah begitu Bang Muluk?"

"Apakah faedahnya saya melebihi dan mengurangi yang sebenarnya saya lihat, Guru? Dalam perkara judi saya berdosa, dalam perkara yang lain dapat hendaknya saya timbulkan dengan kebaikan. Aziz ' .. siapa kami yang tak akan kenal kepadanya? Sudah berapa kali dia memelihara perempuan dengan tidak kahwin dalam rumahnya di Padang."

"Allah ... nasib kau Hayati”

"Tak usah Guru rugi banyak, percayalah mulutku!" "Bagaimana kalau saya temui dia?"

"Siapa?"

"Aziz."

"Gunanya ?"

"Memberinya nasihat!"

"Tak usah Guru, tak usah! Tidak ada kejujuran dalam hati orang seperti itu. Saya tahu betul. Nanti Guru marah, dia tertempeleng, orang banyak tahu. Orang hanya lekas mencap ... fasal perempuan. Kerana tidak ada perkelahian orang dengan dia lantaran yang lain, hanyalah lantaran si rambut panjang juga. Guru dapat malu, sedang padanya malu itu tidak ada.

Cari lain perempuan, bukan seorang yang bersanggul di dunia ini! Habis perkara!" ujar Muluk pula.

'Ai '" nasihatmu Abang!"

"Habis?"

"Boleh jadi Hayati masih cinta kepadaku dan dia hanya teraniaya.

"Hai Guru! Guru terlalu lurus dan masih amat muda. (guru sangka hati perempuan di dunia ini sebagai yang tersebut dalam kitab rupanya. Tak ada itu Guru, keluarga Aziz kaya, berbangsa, Guru dipandang miskin, orang "lain". Guru dirintang oleh Hayati dengan mulut manis supaya Guru jangan marah .. , "perempuan" Guru; ... perempuan!"

Nasihat apakah lagi yang dicari Zainuddin! Padahal ke mana pun dia mencari nasihat, bentuk nasihat orang hanya sarna dengan nasihat Muluk itu? Setelah mendengarkan perkataan Muluk itu, sampai semalam-malaman hari dia duduk termenung sendiriannya, fikirannya hanya kepada Hayati saja. Mengapa suratnya tak datang-datang lagi, seakan-akan sudah putus benar perhubungannya dengan dia. Masih adakah tersimpan cinta yang telah dijanjikannya itu dalam hati Hayati terhadap dirinya. Atau memangkah angin telah berkisar benar-benar. Mengapa akan selekas itu benar keadaan itu berubah. Masih belum akan rebah dangau di sawah, tempat mereka mula-mula mengikat janji. Agaknya batang cingkaring di kiri jalan ke Padang Panjang, tempat Hayati melepaskannya dahulu masih belum bertukar daun. Mengapakah cinta itu akan berubah. Janjinya terlalu berat, kedatangannya akan ditunggunya, walau setahun atau dua tahun, walau bermusim berbilang zaman, Zainuddin akan ditunggunya. Ah, ... tidak, Hayati masih suci! katanya. Lalu diambilnya kertas dari dalam laci dan dia mulai menulis ..

Surat yang pertama:

Sahabatku Hayati!

Bagaimanakah yang sebenamya kejadian, Hayati?Benarkah sudah ditutup perjalanan hidup kita hingga ini? Benarkah telah putus pertalian kita, dan saya sudah jadi orang lain dalam pemandanganmu, tidak akan berkenalan lagi: tidak akan bertegur sapa lagi bila bertemu? Benarkah bahawa peringatan kau kepadaku sehingga ini kertas hanya akan laksana peringatan seorang Manusia atas mimpinya yang lama-lama, yang telah dihapuskan oleh pergelaran masa dan pertukaran waktu?

Benarkah Hayati: bahawa sejak sekarang kitab kita telah tamat? Bila kita bertemu di tengah jalan, yang seorang akan menyisih ke jalan kiri: dan yang seorang akan menyingkir ke jalan kanan?

Alangkah lekasnya hari berubah, alangkah cepatnya masa berganti!

Apakah dalam masa sebulan dua saja istana kenang-kenangan yang telah kita dirikan berdua dihancurkan oleh angin puting beliung, sehingga dengan bekas-bekasnya sekalipun tidak akan bertemu lagi? Ingatkah kau Hayati, bahawa istana itu telah kita tegakkan di atas air mata kita, di atas kedukaan dan derita kita?

Berapa kerasnya pukulan nasib di atas diriku, bertimpa dan bergeler, sejak masih menghentak ubun-ubunku, kutempuh itu dengan dada yang tak berdebar sedikit juga, sebab ada pintu gerbang pengharapan terbuka. Sekarang pintu itu telah tertutup kembali, tidak ada harapan lagi akan dibukakan orang. Benarkah Hayati, bahawa saya akan berdiri di muka gerbang itu dengan putus asa, hujan kehujanan dan panas kepanasan? Sedang orang yang lintas seorang pun tak ada?Menurut sangka saya bermula, kenang-kenangan itu akan terpisah hanya dipisahkan kematian. Sekarang kita masih hidup, belum sampai tumbuh uban di kepala kita, alam pun masih alam yang dahulu juga, keadaan telah berubah saja demikian rupa. Suatu kejadian .... yang tidak ada mengatasinya lagi. Apakah keadaanku yang tidak kau setujui Hayati? Apakah yang telah menyebabkan dengan segera namaku kau coreng dari hatimu?

Ah Hayati, kalau kau tahul Agaknya belum pernah orang lain jatuh cinta sebagaimana kejatuhanku ini. Dan bila kau alami kelak agaknya tidak juga akan kau dapati cinta sebagai cintaku. Cintaku kepadamu lebih dari cinta saudara kepada saudaranya, cinta ayah kepada anaknya. Kadang-kadang darjat cintaku sudah terlalu amat naik, sehingga hanya dua yang menandingi kecintaan itu, pertama Tuhan dan kedua mati. Tak pernah namamu lepas dari sebutan mulutku. Tidak pernah saya khianat kepadamu, baik lahir atau pun batin. Kalau saya melihat atom, maka di dalam alam yang kulihat itu engkaulah yang tergambar, segenap perasaanku berisi dengan engkau. Bilamana matahari terbenam saya perhatikan benar-benar, kerana di sana kelihatan wajahmu yang indah. Bila tekukur berbunyi, kudengarkan dengan khusyuk, lantaran di sana laksana tersimpan suaramu yang merdu. Dan bila saya melihat bunga yang mekar, kembalilah semangatku, kerana keindahan bunga itu adalah ciptaan keindahanmu.

Beruntung saya rasanya hidup, sebab mengenangkan engkau. Dan tidak perlu bagiku hidup ini, melainkan kerana menghunikan engkau di dunia, untuk melihat engkau, untuk menyebut nama engkau. Kalau sudah nyata - dan memang nyata bahawa cintaku itu menerima balasan, maka sekurang-kurangnya hibailah saya, kasihanilah saya, sayangilah air mata yang telah banyak tertumpah untuk kau. Hibailah kedukaan di balik kedukaan, sehingga hatiku sudah tidak serasa hati lagi.

Ketahuilah, bahawasanya orang yang akan menyukai kecantikanmu dalam dunia ini akan banyak bertemu. Orang yang menambah kemuliaanmu dengan harta bendanya bukan sedikit. Tetapi yang akan cinta kepadamu sebagai cintaku, sungguh engkau tak akan bertemu, percayalah perkataanku, percayalah!

Hayati! Kau tertipu. Kau terpedaya dengan mulut manis. Mereka telah menipumu dengan harta benda dan hawa nafsu. Bagi mereka cinta hanya dapat berdiri dengan patri harta dan hawa nafsu. Mereka telah salah menerangkan, mereka katakan bahawa hidup itu ialah buat makan dan buat minum saja, atau buat mengumpul-ngumpulkan baju yang baru, guntingnya yang indah dan paling model. Mereka telah mengukur kehidupan dengan rumah yang cantik, gedung yang permai, villa yang indah, Mereka masukkan ke dalam fikiranmu kecintaan kepada perhiasan, kepada dokoh dan gelang. Bagi mereka, persuami-isterian itu ialah semata-mata harta.

Tidak Hayati! Semuanya itu palsu adanya. Kalau perkahwinan hanya dipertalikan oleh harta benda, tidak juga akan berubah sifatnya dari kelacuran yang biasa, Cuma bernama nikah sebab berakad saja. Orang perempuan yang menyerahkan diri kepada suami lantaran suami itu berharta, samalah dengan perempuan lacur yang menjual kehormatannya, bahkan lebih buruk dari perempuan lacur, sebab perempuan itu menjatuhkan harga dirinya kerana hendak mencari sepiring nasi, tetapi si isteri ini memberikan diri kerana mengejarharta. Kerana mengharapkan gelang emas, dokoh berlian, baju cantik, selendang bagus. Cuba kalau si suami itu jatuh miskin. Ya Allah! Terbuka jalan ke rumah tuan Kadi, meminta khuluk dan fasakh, meminta cerai dan talak. Mereka buangkan suami itu sebagai membuangkan daun pisang yang dikait di tepi jalan ,sebab tak berpayung di ketika hari hujan, dan bila hujan reda, daun itu pun tercampaklah di tepi jalan, diinjak-injak orang lalu. Jangan sampai terlintas dalam hatimu, bahawa di dunia ada satu bahagia yang melebihi bahagia cinta. Kalau kau percaya bahawa kebahagiaan selain cinta, celaka diri kau. Kau menjatuhkan vonis kematian ke atas diri kau sendiri!

Kalau kau tahu! Sudah sekian lama keindahan dan kecantikan dunia ini terlepas dari hatiku, laksana rontoknya bunga yang kekurangan air dari jambangan.

Sudah sekian lama kehidupan ini saya palsukan, saya hadapi dengan hati remuk. Kerana kekuasaan iblis telah bermaharajalela di atas hati manusia. Cuma satu saja yang kulihat paling suci ialah kau, kau sendiri! Pada diri kaulah bertemunya lambang dari kesucian dan kemurnian, yang dipenuhi oleh cinta yang ikhlas. Sebab telah kau sambut tanganku yang lemah: sebab telah kau terima suaraku yang parau, di waktu orang lain membenciku, lantaran miskinku, papaku dan kurang bangsaku. Hanya kau seorang!

Sudikah orang yang seperti kau menghulurkan tangannya memberikan rezeki kepada si buta. Demi setelah si buta hendak menyambut pemberian itu; tangannya ditariknya kembali? Bukankah kau ajar saya dalam kemanjaan, kau kenalkan saya apa ertinya keindahan dalam dunia ini? Sehingga saya telah rindu, hidup, telah sayang kepada alam kerana kau. Kaukah itu, Hayati? Kaukah yang begitu kejam mendorongkan diriku kepada lautan cinta, setelah saya berenang, kau segera keluar, dan kau biarkan saya karam sendiriku?

Tidak, saya tidak percaya bahawa kau begitu kejam dan ganas. Saya masih ingat hati yang lemah lembut itu. Sudah sampai kepadaku khabar bahawa kau telah bertunangan. Itu tidak saya bantah, apa boleh buat! Diriku juga yang malang. Cuma setelah saya dengar bahawa tunanganmu itu Aziz, dan setelah saya selidiki siapa dia, maka saya kirimkan surat ini memberi ingat bahawa perkahwinanmu agaknya tak akan bertemu dengan cita-citanya yang sejati. Saya kenal betul haluan hidup kau dan haluan hidupnya. Ini hanya perkahwinan harta dan perkahwinan kecantikan. Bilamana salah satunya telah kurang, maka pergaulan Adinda akan terancam. Dan kalau itu kejadian, maka saya jugalah yang akan celaka. Celaka bukan buat diriku, tetapi buat kau!

Ya Rabbi, ya Tuhanku, apakah sampai agaknya seruan hati kecilku ini kepada orang yang kutuju, orang yang selamanya tak hilang dari hatiku.

Hayati, hendaklah kau tahu bahawa keberanianku membuka perkara ini kepadamu adalah lantaran disuruh perasaan hati cinta jua. Kerana yang lebih penting buat diriku adalah keberuntungan dan kebahagiaanmu, bukan kepentingan dan kebahagiaan diriku sendiri.

Terima surat ini dahulu, agaknya akan kusambung jua. Kerana mengirim surat ini, adalah mengurangi juga bagi kepedihan luka jangtungku ...

Zainuddin

Bersambung…..

Pengarang: HAMKA

Tajuk : Tenggelamnya Kapal Van Der Wijck

No comments: