Sunday, May 10, 2009

Tenggelamnya Kapal Van Der Wijck (Bhg. 2)

Ketika Landraked bersidang di Padang Panjang, Pendekar Sutan mengaku terus terang atas kesalahannya, dia dibuang negeri selama 15 tahun.

Ketika itu pembuangan Cilapacap paling masyhur bagi orang hukuman Sumatera, laksana pembuangan Sawah Lunto bagi orang hukuman Tanah Jawa dan Bugis. Dari pembuangan Cilacap dia dibawa orang ke Tanah Bugis. Ketika itu terjadi peperangan Bone yang masyhur. Serdadu-serdadu Jawa perlu membawa orang-orang rantai yang gagah berani untuk mengamankan daerah itu. Sebab Pendekar sutan bergelar "jaguh" itulah sebab dia memijak Tanah Mengkasar.

Apakah benar Pendekar Sutan bergelar "jaguh", seorang yang kejam dan gagah berani yang tiada mengenal belas kasihan? Sebenarnya kejaguhan dan kekejaman seorang itu bukanlah semuanya lantaran tabiat sejak kecil. Sebetulnya Pendekar Sutan hanya seorang yang bertabiat lemah lembut, lunak hati. Kalau bukan kerana lunaknya tidak lah akan selama itu dia menahan hati menghadapi kekerasan mamaknya. Tetapi, tangan yang terdorong bermula, dan pergaulan di dalam penjara yang bersabung nyawa, yang keselamatan diri bergantung kepada keberanian, memaksa dia melawan bunyi hati kecilnya, dia menjadi seorang yang gagah berani, disegani oleh orang-orang berantai yang lain. Di samping itu, dia seorang yang setia kepada kawan, pendiam dan suka termenung. Diam dan menungnya pun menambah ketakutan orang-orang yang telah kenal kepadanya.

Dia telah menyaksikan sendiri kejatuhan Bone, dia menyaksikan sendiri ketika kerajaan Goa takluk dan menyaksikan pula kapal Zeven Provincien menembakkan meriamnya di pelabuhan Pare-Pare.

Ketika dia mulai dipenjarakan, umurnya baru kira-kira 20 tahun, kebetulan didalam penjara dia telah bergaul dengan seorang yang berasal dari Madura, yang telah lebih 40 tahun di dalam penjara, bernama Kismo, buangan seumur hidup. Rambutnya telah putih, tetapi meskipun demikian lama dia di dalam penjara dan telah banyak negeri yang didatanginya, belum pernah dia melupakan jalan kesucian, rupanya dia banyak menaruh ilmu batin. Kepadanya Pendekar Sutan banyak berguru.

Anak Yatim Piatu

"Terangkanlah, mak, terangkanlah kembali riwayat itu, aku sangat ingin mendengarnya," ujar Zainuddin kepada Mak Base, orang tua yang telah bertahun-tahun mengasuhnya itu.

Meskipun sudah berulang-ulang dia menceritakan hal yang lama-lama itu kepada Zainuddin, dia belum juga puas. Tetapi kepuasannya kelihatan bilamana dia duduk menghadapi tempat sirihnya, bercengkerama dengan Zainuddin menerangkan hal ehwal yang telah lama terjadi. Menerangkan cerita itulah rupanya kesukaan hatinya.

"Ketika itu engkau masih amat kecil," katanya mulai hikayatnya," engkau masih merangkak-rangkak di lantai dan saya duduk di kalang hulu ibumu memasukkan ubat ke dalam mulutnya. Nafasnya sesak turun naik, dan hatinya rupa-rupa sangat berdukacita akan meninggalkan dunia yang fana ini. Ayahmu menangkupkan kepalanya di bantal dekat tempat tidur ibumu.Saya sendiri berurai air mata, memikirkan bahawa engkau masih sangat kecil belum layak menerima cubaan yang seberat itu, umurmu baru sembilan bulan.

Tiba-tiba ibumu menggamitkan tangannya kepadaku, aku pun mendekatinya. Kepalaku diraihnya dan dibisikkannya ke telingaku-sebab suaranya telah lama hilang- berkata: `Mana Udin Base!.

Ini dia Daeng, ujarku, lalu engkau ku ambil. Ah, Zainuddin! Engkau masih tertawa saja waktu itu, tak engkau ketahui bahawa ibumu akan berangkat meninggalkan engkau buat selamanya, engkau ketawa dan melonjak-lonjak dalam pangkuanku. Aku bawa engkau ke mukanya. Maka dibarutnyalah seluruh badanmu dengan tangannya yang tinggal jangat pembalut tulang. Digamitnya pula ayahmu, ayahmu yang matanya telah balut itu pun mendekatinya pula, Dia berbisik ke telinga ayahmu:`Jaga Zainuddin, Daeng.`

`Jangan engkau bersusah hati menempuh maut, Adinda. Tenang dan sabarlah! Zainuddin adalah tanggunganku.`

Asuhlah dia baik-baik Daeng, jadikan manusia yang berguna. Ah….. lanjutkan pelajarannya ke negeri datuk neneknya sendiri.`

Dua titi air mata yang panas mengalir di pipi ibumu, engkau ditengoknya juga dengan tenang-tenang. Setelah air matanya diseka ayahmu, maka dia mengisyaratkan tangannya menyuruh membawa engkau agar jauh daripadanya, agar tenang hatinya menghadapi sakratulmaut.

Tidak berapa saat kemudian, ibumu pun hilanglah, kembali kealam baka, menemui Tuhannya, setelah berbulan-bulan berjuang menghadapi maut, kerana enggan meninggalkan dunia sebab engkau masih kecil.

Air mata Zainuddin berlinangan mendengarkan hikayat itu, Mak Base meneruskan pula. Bingung sangat ayahmu sepeninggalan ibumu. Mereka belum lama bergaul, baru kira-kira empat tahun, dan sangat berkasih-kasihan. Sekarang kudrat Allah merampas ibumu dari tangannya. Hampir jadi gila memikirkan nasib yang menimpa dirinya. Kerap kali dia termenung seorang, kerap dia pergi berziarah pada waktu matahari hendak turun ke kuburan ibumu di Kampung Jera. Yang lebih menyedihkan hatiku lagi, ialah bilamana air matanya titik dan engkau sedang dalam pangkuannya dia mengeluh, Ah Udin! Sekecil ini engkau sudah menanggung!.

Kerana mamakmu ini sudah bertahun-tahun tinggal menjadi orang gajinya, tetapi kemudian telah dipandangnya saudara kandung, telah berat hati mamak hendak meninggalkan rumah ini. Mamak tidak hendak kembali lagi ke Bulukumba. Tidak sampai hati mamak meninggalkan ayahmu mengasuhmu. Takut terlambat dia akan pergi ke mana-mana mencari sesuap pagi sesuap petang.

Beberapa bulan setelah ibumu meninggal dunia, sudah mamak suruh dia kahwin saja dengan perempuan lain, baik orang Mengkasar atau orang dari negeri lain. Dia hanya menggeleng saja, dia belum hendak kahwin sebelum engkau besar, Udin. Pernah dia berkata: Separuh dari hatinya dibawa ibumu ke kuburan, dia tinggal di dunia ini dengan hati yang separuh lagi. Betapa dia takkan begitu, ia cinta kepada ibumu. Dia orang jauh, orang Padang, lepas dari buangan kerana membunuh orang. Hidup 12 tahun di dalam penjara telah menyebabkan budinya kasar, tidak mengenal kasihan, tak pernah kenal akan erti takut. Dia keluar dari penjara, nenekmu Daeng Manippi menyambutnya, dan dikahwinkan dengan ibumu. Ibumulah yang telah melunakkan kekerasan ayahmu, ibumulah yang telah mengajarnya menghadapkan muka ke kiblat, meminta ampun kepada tuhan atas segenap kesalahan dan dosanya.

Ah Zainuddin!... Ibumu, engkau melihat wajah ibumu, engkau akan melihat seorang perempuan yang lemah lembut, yang di sudut matanya terletak pengharapan ayahmu. Dia adalah raja, anak. Dia adalah bangsawan keturunan tinggi, keturunan Datuk Ri Pandang dan Datuk Ri Tirro, yang mula-mula menanam dasar keislaman di Jumpandang ini. Dan dia pun bangsawan budi, walaupun ibumu tak pernah bersekolah. Perkahwinannya dengan ayahmu tidak dipersetujui oleh segenap keluarga, sehingga nenekmu Daeng Manippi dibenci orang, dan perkahwinan ini memutuskan pertalian keluarga.

Masih terasa-rasa oleh mamak, ayahmu berkata: "Terlalu banyak pengorbanan yang engkau tempuh lantaran dagang melarat ini, Habibah.

Jawab ibumu hanya sedikit saja: "Adakah hal semacam ini patut disebut pengorbanan? Ada-ada saja Daeng ini. Cuma itu jawapan ibumu anak.

Demikianlah bertahun-tahun lamanya. Mamak masih tetap tinggal dalam rumah ini mengasuhmu, dan ayahmu berjalan kemana-mana, kadang-kadang menjadi guru pencak Padang yang masyhur itu, kadang-kadang berdukun, dan paling akhir dia suka sekali mengajarkan ilmu agama.

Pakaiannya berubah benar dari semasa dia keluar rumah. Dia tak pernah memakai daster lagi, melainkan memakai kopiah Padang yang amat disukainya, bersarung, berpakaian cara `orang siak` (Orang (santeri) yang menjaga masjid.@ merawat masjid,bahasa indon pak) di Padang katanya. Benar apa yang dikatakannya, hidupnya hanya dengan hati yang separuh sahaja. Pernah juga dia menerima surat dari Padang, dari keluarganya menyuruh pulang sahaja ke kampung. Kerana dia seorang yang beradat, gelar pusaka Datuk Mantari Labih tidak ada yang akan memakai. Di Minagkabau orang merasa malu kalau dia belum beristeri orang kampungnya sendiri. Berbini di rantau orang ertinya hilang. Demi, setelah terdengar oleh mereka bahawa ibumu telah mati, bertubi-tubi pula datang surat menyuruh pulang. Kepada mamak kerap kali diterangkannya, bahawa hatinya rasa dihiris sembilu teragak pulang, seakan-akan kelihatan olehnya pelabuhan Teluk Bayur, Gunung Merapi yang hijau kelihatan dari laut.

Tetapi hatinya tidak sampai hendak meninggalkan pusara ibumu, pusara gurunya, katanya. Dia tidak pula mahu hendak membawamu ke Padang, kerana hati keluarga belum dapat diketahui, entah suka menerima anak pisang orang Mengkasar, entah tidak. Kerana khabarnya, adat di sana berlain sangat dengan adat di Mengkasar ini.


Bersambung ……

Pengarang: HAMKA
Tajuk: Tenggelamnya Kapal Van Der Wijck

No comments: