Sunday, May 31, 2009

Tenggelamnya Kapal Van Der Wijck (Bhg. 3)

Ditulis semula oleh: ||dragon-ba||

Kerap kali dia mengadahkan matanya ke langit sambil membuaikan engkau pada waktu engkau kecil. Dibuaikannya dengan lagu Buai Anak cara serantih, yang meskipun mamak tak pandai bahasa Padang, bulu roma mamak sendiri berdiri mendengarnya.

"Hanya dua untuk mengubat- ubat hati, Base," katanya kepada mamak. "Pertama membaca Al-quran tengah malam, kedua membuaikan si Udin dengan nyanyian negeri sendiri, negeri Padang yang ku cinta. Amat indah negeri Padang, Base, pelabuhannya terliku bikinan Tuhan sendiri, di tengah- tengah tampak Pulau Pandan, hijau dilamun alun, iaitu di balik Pulau Angsa Dua. Itulah yang dipantunkan nenek moyangku, dan bila menyebut pantun itu saya teringat kepada Habibah."

Pulau Pandan jauh di tengah,
di balik Pulau Angsa Dua.
Hancur adik dikandung tanah,
rupa adik terkenang jua.

Rupanya kudrat Ilahi tidak mengizinkan ayahmu menunggumu sampai besar. Kerana pada waktu engkau sedang cepat bermain, pada waktu sedang enak mengecap nikmat kecintaan ayah dan kecintaan ibu, terkumpul ke dirimu dan ayahmu seorang, ayahmu meninggal dunia. Meninggalnya seakan-akan terbang ke langit saja, dengan tidak tersangka-sangka. Pada waktu malam, petang khamis malam Jumaat, sedang dia duduk diatas tikar sembahyangnya, bertekun sebagai kebiasaannya, meminta taubat dari segenap dosa, dia meninggal, engkau meratap memanggil- manggil dia.

Rupanya beberapa bulan sebelum mati, sudah ada juga gerak dalam hatinya bahawa dia takkan lama hidup lagi.

Sehingga dia pernah berkata: `Kalau saya mati pula bagaimana Zainuddin, Base?`
`Saya yang akan mengasuhnya, Daeng,` jawabku. Ya, Tapi harta peninggalanku agaknya tidak banyak, tentu Udin memberati engkau. `Jangan bicara demikian, Daeng. Apa yang ku makan, itulah yang akan dimakan Zainuddin.

Pada suati hari, dipanggilnya mamak diserahkannya serencengan anak kunci seraya berkata: `Mulai sekarang engkaulah yang berkuasa di sini, Base. Kunci ini engkau yang memegang. Kunci putih ini, ialah kunci almari. Sebuah peti kecil ada dalam almari itu. Peti itu tak boleh engkau buka, kecuali kalau saya mati`.

Petaruhnya itu mamak pegang baik- baik dan teguh. Setelah dia wafat barulah peti itu mamak buka, di sana ada sehelai surat kecil tulisan huruf Arab:`Pengasuh Zainuddin sampai dia besar`. Itulah bunyi tulisan itu. Di dalam surat tersebut ada segulung wang kertas dari RP 100.00. Itulah yang mamak pergunakan untuk mengasuhmu, penyampaikan sekolahmu, sehingga sekarang engkau berkeadaan begini…."

Setelah itu Base pergi ke dalam, maksudnya ialah hendak membuka peti itu.
Tapi bukanya tidak sembarang buka rupanya. Dia seorang perempuan tua yang penuh tahayul, sebelum dibuka dibakarnya dahulu kemeyan bercampur dengan setanggi Mengkasar. Dan setelah dibukanya, dikembangkannya beberapa helai wang kertas di muka Zainuddin. Zainuddin hairan, kerana wang itu tidak seribu lagi, tetapi sudah hampir dua ribu rupiah.

" Mengapa jadi sebanyak ini, Mak Base?" " Mamak perniagakan, dan beruntung. Cuma dari keuntungan itulah pembayari wang sekolahmu."

` Ah, dengan apakah jasa Mamak kubalas," ujar Zainuddin. " Balasnya hanya satu, bacakan Surah Yasin tiap-tiap malam jumaat kalau mamak meninggal dunia pula."

Zainuddin mendekat kepada orang tua itu, diciumnya keningnya: " Perempuan yang bahagia, moga-moga Allah melindungimu!" katanya.

Menuju Negeri Nenek Moyang

Sempit rasanya alam saya, mak Base, jika saya masih tetap juga di Mengkasar ini. Ilmu apakah yang akan saya dapat di sini, negeri begini sempit, dunia terbang, akhirat pergi. Biarlah kita sempurnakan juga cita- cita ayah bondaku. Lepaslah saya berangkat ke Padang. Khabar kononnya, di sana hari ini telah ada sekolah- sekolah agama. Pelajaran akhirat telah diatur dengan sebagus- bagusnya. Apa lagi, puncak Singgalang dan Merapi sangat keras seruannya kepada ku rasanya. Saya hendak melihat tanah asalku, tanah tempat ayahku dilahirkan dahulunya. Mak Base, ramai orang memuji- muji negeri Padang, ramai orang berkata bahawa agama islam masuk ke mari pun dari sana. Lepaslah saya berangkat ke sana." Lama Mak Base termenung mendengarkan perkataan anak angkat nya itu.

" Lepaslah Mak, jangan Mamak bermenung juga." " Bagaimana Mamak tidakkan bermenung, Bagaimana hati Mamak tidakkan berat. Dari kecil kubesarkan, hidup dalam pangkuanku. Rasanya hidup Mamak pun tak dapat diceraikan lagi dari hidupmu. Begitu jauh negeri yang akan engkau jelang, belum tentu dan belum pernah diturut. Ah! Anak….ibumu saudaraku, ayahmu tuanku. Mamak orang miskin, anak, tetapi telah sangat merasa beruntung lantaran bercampur gaul dengan ayah bondamu sekian lamanya. Sekarang jika engkau pergi, siapakah lagi yang akan kutimang- timang? Yang akan Mamak junjung tinggi? Dan tentu bila sampai ke sana, Tanah Mengkasar hilang buat selama- lamanya. Itulah anak, itulah yang mamak resahkan. Kalau bukan hendak mencukupkan wasiat ibumu dan cita-cita ayahmu, Mamak larang engkau berangkat ke sana, mamak suruh bersekolah atau menuntut ilmu di Mengkasar saja."

" Lebih baik kita tekankan perasaan hati, mak Base. Kerana tidak akan terdapat selama- lamanya di dunia ini orang yang tiada bersedih hati akan terpisah- pisah, kalau mereka telah dipertalikan dengan budi bahasa. Sedangkan berangkat ke Mekah lagi ditangisi orang juga. Tetapi akan dapatkah lantaran kesedihan dan tangis itu perjalanan diundurkan?"

" Tentu tidak," jawab Mak Base…. Maka putusalah muafakat mereka bahawa Zainuddin perlu berangkat ke Padang mencari keluarga ayahnya, melihat tanah nenek moyangnya, menambah ilmunya dunia dan akhirat. Dan kelak, dia pun akan kembali juga ke Mengkasar kalau keadaan mengizinkan.

Segala yang perlu disiapkan oleh Mak Base buat melepaskan anaknya: sebuah tilam, sebuah peti kayu dan tempat tidur dikapal. Waktu petang pukul 5 akan belayar. Pukul 9 pagi ia pergi dahulu ke pusara ayah bondanya di Kampung Jera bersama Mak Base sendiri, laksana meminta izin. Setelah itu mereka kembali pulang ke rumah. Sehabis makan tengah hari, Mak Base mengeluarkan peti kecil simpanan wang itu dari dalam almari, seraya berkata kepada Zainuddin: " Terimalah wang ini semuanya, inilah hakmu, usaha dari ayahmu."

" Ai, mengapa Mak Base ni? Wang itu mesti Mamak perniagakan seperti biasa. Yang akan saya bawa hanyalah sekadar duit kapal ke Padang. Perniagakan wang itu, ambil untungnya tiap- tiap bulan buat belanja Mamak dan belanja saya di padang. Kirimi barang Rp 20,00 atau Rp 15,00 sebulan. Rumah dan perkarangan yang kecil ini jagalah baik- baik. Pandanglah sebagai hak milik kita berdua. Mana di antara kita yang dahulu menutup mata, itulah yang memberikan waris kepada yang tinggal. Mamak tetap tinggal di Mengkasar, sebab akan kembali ke Bulukumba terlalu sia- sia."

Hairan tercengang apabila Mak Base mendengarkan keputusan Zainuddin atas harta benda itu. Tidak disangkanya akan sampai demikian baik budinya. Dari bermula dia telah bermaksud hendak menyerahkan segala harta benda itu. Hari mudanya di bawanya ke Mengkasar, dan dengan uban yang telah tumbuh dia hendak pulang ke Bulukumba menemui keluarga yang masih ada, dalam keadaan miskin pula. Tetapi keputusan Zainuddin keras dan tidak dapat dibantah.

Pukul 5 petang, kapal akan belayar menuju Surabaya, Semarang, Jakarta, Bengkulu dan Padang. Seketika akan belayar, Mak base menghantar sampai ke kapal. Mereka bertangis- tangisan, kerana berat sangka Mak Base bahawa Zainuddin tidak akan bertemu dengan dia lagi.

" Berhentilah menangis, Mamak, jangan sampai tangis Mamak meragukan saya menempuh lautan yang begini luas. Ingatlah bahawa maksudku amat besar."

" Saya orang tua Udin, hatiku tak dapat ku tahan. Apakah derma seorang perempuan selain dari tangis? Apalagi kerap kali hati Mamak berkata, agaknya kita tidak akan bertemu lagi. Cubalah lihat, bahuku yang telah bongkok. Mamak takut, kalau- kalau keluarga di Padang tak sudi menyambutmu dengan baik."

" Ah, masa…itu Cuma was- was Mamak saja. Bukankah saya anak Pendekar Sutan yang sah?"

" Ya, tapi kata orang adat Padang lain." " Mamak jangan panjang was-was. Pepatah orang Mengkasar sudah cukup: " Anak laki- laki tak boleh dihiraukan panjang, hidupnya ialah buat berjuang, kalau perahunya telah dikayuhnya ke tengah, dia tak boleh surut palang, meskipun bagaimana besar gelombang. Biarkan kemudi patah, biarkan layar robek, itu lebih mulia daripada membalik haluan pulang."

Peluit kapal berbunyi, penghantar turun, air mata Mak base masih membasahi pipinya. Dan tidak berapa lama kemudian, rengganglah kapal dari pelabuhan Mengkasar, hanya lenso (saputangan) saja yang tak berhenti dikibarkan orang, baik dari darat atau dari laut. Meskipun kapal renggang, Zainuddin masih berdiri melihat pelabuhan, melihat pengasuhnya yang teleh membesarkannya bertahun- tahun, tegak sebagai batu di tepi anggar, walaupun orang lain telah beransur pulang. Lama- lama hilanglah Pulau Laya- laya, ditengoknya ke tepi, jelas nian olehnya rumah tempat dia dilahirkan, sunyi dan sepi, di tepi laut dekat di Kampung Baru. Kemudian itu hilang Galesong, hilang Gunung Bawa Kara Eng, hilang puncak Lumpo Batang, dan Milano telah dilingkungi kabus. Dia pergi ke sebelah lagi, dilihatnya matahari telah turun ke barat, menyelam ke balik lautan, dan mega merah telah mulai berarak bertatah ratna mutu manikam layaknya di tepi langit di timur dan di barat.

Sebentar lagi, warna merah itu dikalahkan oleh bala tentera malam. Dan jauh masih kelihatan lampu- lampu di pelabuhan Mengkasar, di antara ada dengan tidak, laksana perayaan anak bidadari, bayangannya memukul ke atas permukaan laut.

Hilang kebesaran Sang Suria, maka dari balik puncak Lompo Batang yang antara ada dengan tidak itu terbitlah bulan lima belas hari menerangi seluruh alam, memberikan cahaya bagi kota Mengkasar yang indah, kota yang penuh dengan riwayat dan sejarah. Tempat kebesaran maharaja Hasanuddin Awwalul Islam, Mantiri ri Agamanna, raja yang mula- mula menyiarkan kalimat syahadat di Buta Jumpandang ( Tanah Mengkasar), menerima pusaka dari Datuk Tirro, Datuk ri Bandang dan Datuk Patiman…..

Ombak putih- putih
Ombak dating dari laut
Kipas lenso putih
Tanah Mengkasar sudah jauh………


Bersambung ……

Pengarang: HAMKA
Tajuk: Tenggelamnya Kapal Van Der Wijck

No comments: