Tuesday, September 29, 2009

Puasa 6

Di penghujung Ramadhan umat Islam menamatkan ibadah puasa dengan hari Raya Aidilfitri sebagai tanda kemenangan dan kejayaan mentarbiyah diri. Tapi hari raya mungkin sahaja menimbulkan kesan sebaliknya. Manusia mula melepaskan tali kekangan nafsunya tanpa pengendalian yang wajar. Ini tentunya akan merosakkan kesan tarbiyah berkenaan.

Sebab itu Rasulullah S.A.W menggesa pengikutnya untuk berpuasa 6 hari dalam bulan Syawal selepas sebulan berpuasa pada bulan Ramadhan. Agar dapat ditawan kembali kehendak nafsu yang mula mahu bermaharajalela itu.

Berdasarkan riwayat Abu Ayyub Al-Ansari Baginda bersabda yang bermaksud: "Barangsiapa yang berpuasa Ramadhan kemudian diikuti dengan puasa enam hari dalam bulan Syawal, maka seolah-olah dia berpuasa sepanjang tahun." Hadis riwayat Muslim, Daud, Tirmizi dan Ibnu Majah.

Sekiranya seseorang itu berterusan mengerjakan puasa enam ini setiap tahun, maka seolah-olah ia berpuasa selama-lamanya. Dalam hadis yang lain terdapat tafsiran kepada hadis ini* yang mengatakan berpuasa sebulan Ramadhan menyamai dengan 10 bulan manakala berpuasa enam hari pada bulan Syawal menyamai dua bulan. Dengan itu keseluruhannya adalah setahun.

Mungkin ada yang bertanya apakah yang dimaksudkan ia terus ditunaikan sebaik sahaja selepas 1 Syawal atau puasa sunat itu boleh ditangguhkan perlaksanaannya beberapa hari selepas hari raya? Dengan lebih jelas, adakah boleh puasa sunat Syawal sebelum qadha Ramadhan? Dalam tajuk ini Ulama berbeza pendapat kepada dua pendapat utama:

1. Harus puasa enam sebelum puasa qadha Ramadhan. Ini pendapat jumhur ulama sama ada secara mutlak mahupun dengan pendapat yang memakruhkan perbuatan seperti itu. Ulama Hanafi mengharuskan puasa sunat sebelum qadha Ramadhan kerana qadha itu tidak wajib secara segera tapi wajib "muwassa" atau (mengikut masa yang sesuai kepada orang yang mahu mengqadha puasa berkenaan) Ini juga pendapat Imam Ahmad dalam satu riwayat. Adapun ulama mazhab Maliki dan Syafi`ie mereka berpendapat harus tapi makruh kerana melambat-lambatkan yang wajib kerana sibuk menunaikan yang sunat.

2. Haram puasa sunat sebelum mengqadha puasa Ramadhan. Ini salah satu pendapat mazhab Hanbali.

Kesimpulannya Islam sangat mementingkan usaha melentur dan mentarbiyah nafsu manusia. Ini kerana nafsu manusia kuat terbelenggu dengan asabiyah, keMelayuan, keJawaan dan keAraban. Malah mereka tidak mahu tunduk kepada ajaran Islam yang syumul dan kaffah, mereka enggan bersama memperjuangkan Islam meskipun sudah berpuasa sebulan kerana kepentingan nafsu liar yang tidak dapat dilentur dengan jayanya....

Wallahu a`lam...
________________________________
*Menurut riwayat Al-Bukhari dan Abu Daud, hadis tersebut berbunyi dan bermaksud sebagai berikut:

”Puasa merupakan benteng. Jika salah seorang di anatara kamu berpuasa, maka janganlah berkata-kata kotor dan bertindak bodoh. Jika ada orang yang mengajaknya bergaduh atau mencaci dirinya, hendaklah dia mengatakan: “Aku ini sedang berpuasa”. Kata-kata ini hendaklah diulangi sebanyak dua kali. Demi tuhan yang menguasai diriku! Bau mulut orang yang berpuasa lebih wangi di sisi Allah daripada wangian kasturi. Allah berfirman:” Dia meninggalkan makan, minum dan nafsu syahwatnya kerana Aku. Puasa adalah untuk-Ku, dan Akulah yang akan memberinya ganjaran. Setiap kebaikan akan dilipatgandakan sepuluh kali ganda”.

Rujukan: Fiqh Sunnah, Karangan Syeikh Sayid Sabiq, cetakan Al-Hidayah publication, Bab Puasa, Jilid 2 mukasurat 422 & 459.

No comments: