Saturday, October 31, 2009

Ku Sesali Segalanya

Tidak sesukar mana untuk aku fahami
Apa yang sedang cuba disampaikan
Badai bencana yang telah menimpa diri
Apakah mungkin hadir sebuah keinsafan

Dulu hidupku penuh dengan warna-warni
Dikurniakan Tuhan segala yang aku ingini
Dan aku hidup leka , hanyut dalam kelalaian
Sehingga semuanya hilang dan teruspergi..
meninggalkan…

Oh inikah pembalasan yang perlu aku tanggungi
Di atas kesilapan yang tak pernah aku peduli
Tidak terdaya aku menghadapi semua ini
Terasa sungguh lemah dan naif diri ku ini


Seandainya bisa ku memutar kembali masa
Tidak sesekali akan ku lakukan semua itu
Ku menghamburkan tangis, kekesalan dirasa
Oh Tuhan , Kau ampunkanlah hamba-Mu
Ku sesali segalanya…..

Tekad ku menempuh hidup yang baru
Kerana ku yakin Tuhan ada bersamaku
Dia Pengampun, Maha Pengasih
Ku tunduk pada rahmat kasih sayang … Rabbul Izzati….

Wednesday, October 28, 2009

Ehems14

Di antara tabiat manusia adalah tergesa-gesa dalam tindakannya, Allah berfirman:

وَكَانَ الإنْسَانُ عَجُولا

"Dan sememangnya manusia itu (bertabiat) terburu-buru". (Al-Isra`: 11).

Nabi S.A.W bersabda yang bermaksud:

Perlahan-lahan adalah dari Allah, dan tergesa-gesa adalah dari syaitan” (Hadis riwayat Al-Baihaqi dalam As-Sunanul Kubra 10/104)

Dalam soal jamaah, sering orang menyaksikan di kanan kirinya banyak orang yang mendahului imam dalam ruku` dan sujud, takbir perpindahan bahkan hingga mendahului salam imam. Mungkin dengan tak disedari, hal itu juga terjadi pada dirinya sendiri.

Perbuatan yang barangkali dianggap persoalan remeh oleh sebahagian besar umat Islam itu, oleh Rasulullah S.A.W diperingatkan dan diancam secara keras, dalam sabdanya yang bermaksud:

Tidakkan takut orang yang mengangkat kepalanya sebelum imam, bahawa Allah akan mengubah kepalanya menjadi kepala keldai?” (Hadis riwayat Muslim, 1/320-321)

Jika saja orang yang hendak melakukan solat dituntut untuk mendatanginya dengan tenang, bagaimana pula halnya dengan solat itu sendiri? Tetapi terkadang orang memahami larangan mendahului imam itu dengan harus terlambat dari gerakan imam. Hendaknya difahami, para fuqaha` telah menyebutkan kaedah yang baik dalam masalah ini. Iaitu, hendaknya makmum segera bergerak ketika imam telah selesai mengucap takbir. Ketika imam selesai melafazkan huruf (ra`) dari kalimah Allahu Akhbar, saat itulah makmum harus segera mengikut gerak imam, tidak mendahului dari batasan tersebut atau mengakhirkannya. Jika demikian, maka batasan itu menjadi jelas.

Dahulu, para sahabat R.A sangat berhati-hati sekali untuk tidak mendahului Nabi S.A.W. Salah seorang bernama Al-Barra` bin Azib R.A berkata:

Sesungguhnya mereka (para sahabat) solat dibelakang Rasulullah S.A.W. Maka, jika beliau mengangkat kepalanya dari rukuk, saya tidak melihat
seorang pun yang membongkokkak punggungnya sehingga Rasulullah S.A.W meletakkan keningnya di atas bumi, lalu orang yang berada di belakangnya bersimpuh sujud (bersama).(Hadis Riwayat Muslim, no hadis 474 cetakan Abdul Baqi)

Ketika Rasulullah S.A.W mulai uzur, dan geraknya nampak perlahan, beliau mengingatkan orang-orang yang solat di belakangnya:

Wahai sekalian manusia, sungguh aku telah lanjut usia, maka janganlah kalian mendahuluiku dalam ruku` dan sujud”. (Hadis riwayat Al-Baihaqi, 2/93, dan hadis tersebut dihasankan dalam Irwa` Ul-Ghalil 2/290)

Dalam solatnya, imam hendaknya melakukan sunnah dalam takbir. Yakni sebagaimana disebutkan dalam hadis Abu Hirairah R.A yang bermaksud:

Bila Rasulullahh S.A.W berdiri untuk solat, beliau bertakbir ketika berdiri, kemudian bertakbir ketika ruku`, kemudian bertakbir ketika turun (hendak sujud), kemudian bertakbir ketika mengangkat kepalanya, kemudian bertakbir ketika sujud, kemudian bertakbir ketika mengangkat kepalanya, demikian beliau lakukan dalam semua solatnya sampai selesai, dan bertakbir ketika bangkit dari dua (rakaat) setelah duduk (Tasyahhud pertama). (Hadis riwayat Al-Bukhari, no hadis 756)

Jika imam menjadikan takbirnya bersamaan dan beriringan dengan gerakannya, sedang makmum memperhatikan ketentuan dan cara mengikut imam, sebagaimana disebutkan di atas solat jemaah tersebut menjadi sempurna.

Wallahu a`lam…

Tuesday, October 27, 2009

Tenggelamnya Kapal Van Der Wijck (Bhg. 7)

Berkirim-kiriman Surat

Sejak dapat diketahui oleh Zainuddin bahawa suratnya diterima baik oleh Hayati, bahawasanya pengharapannya bukanlah bagai batu jatuh ke lubuk, hilang tak timbul-timbul lagi, melainkan beroleh pujukan dan pengharapan, maka kembalilah dia pulang ke rumah bakonya tempatnya menumpang dengan senyum tak jadi, senyum panas bercampur hujan. Dia melengung ke kiri dan ke kanan, menghadap ke langit yang hijau, ke bumi yang nyaman dan ke sawah yang luas, ke puncak Merapi yang permai laksana bersepuhkan emas, ke air yang mengalir dengan hebatnya di Batang Gadis. Seakan-akan dihadapinya semua alam yang permai itu, membangga menerangkan suka cita hatinya.


Dia merasa bahawa keberuntungan yang demikian belum dirasainya selama hayatnya. Ini adalah sebagai ganjaran Tuhan atas kesabaran hatinya menanggung sengsara telah bertahun-tahun. Bilamana dia bertemu dengan seorang temannya, mahu dia rasanya menerangkan rahsianya, supaya orang itu turut tersenyum dengan dia, jangan dia seorang sahaja merasai kelazatan cinta. Bertemu beberapa orang anak kecil yang sedang bermain di halaman, atau sedang bermain layang-layang di sawah yang baru disabit, mahu dia rasanya mendermakan segala harta benda yang ada padanya kepada anak-anak itu, untuk memuaskan rasa gembira yang baru dikecapnya selama dia hidup.

Sampai di surau tempat dia tidur, ditulisnyalah sepucuk surat kepada Hayati. Kerana lebih merdeka dan lebih luas dia dapat menyusun kata menumpahkan perasaan hatinya, bilamana ditulisnya:


Hayati!

Meskipun mula-mula saya bertemu sesudah surat itu kukirim, tanganku gementar, maka sambutanmu yang halus atas kecemasanku telah menghidupkan semangatku kembali. Hayati, sampai sekarang, dan agaknya lama sekali baru kejadian itu akan dapat kulupakan. Kerana menurut perasaan hatiku, adalah yang demikian pintu keberuntungan yang pertama bagiku. Sampai sekarang Hayati, masih kerap kali saya merasai dadaku sendiri, menjaga apakah hatiku masih tersimpan di dalamnya, entah sudah terbang ke langit biru agaknya, lantaran terlalu merasa beruntung.

Pada perkataan-perkataan yang telah kau ucapkan, ternyata bahawa kasih sayangku, bahawa cintaku telah kau terima. Bahawa pengharapanku yang telah putus, kau hubungkan kembali. Tetapi Hayati, ada yang perlu kuterangkan padamu, supaya jangan engkau menyesal kemudian. Orang sukai seorang pemuda, kerana sesuatu yang diharapkannya dari pemuda itu, misalnya dia cantik dan gagah. Aku sendiri, sebagai yang kau lihat, begitulah keadaanku, rupaku yang jelek tak layak menjadi jodohmu, dan aku miskin. Misalnya Allah menyampaikan cita-cita hatiku, dan engkau boleh menjadi suntingku, menjadi isteri yang mengubat luka hatiku yang telah bertahun-tahun, agaknya akan malu engkau berjalan bersanding dengan daku, kerana amat buruk memperdekatkan loyang dengan emas, mempertalikan benang dengan sutera. Bagiku, Hayati, engkau sangat cantik. Kecantikanmu itu kadang-kadang yang menyebabkan daku putus asa, mengingat buruk diriku dan buruk untungku.

Tetapi pula, kalau kau hendak mendasarkan cinta itu pada dasar keikhlasan, pada keteguhan memegang janji, pada memandang kebaikan hati dan bukan kebaikan rupa. Kalau engkau bukan mengharapkan kayaku, tetapi mengharapkan pengorbanan jiwaku untukmu, kalau engkau sudi kepadaku dan tidak merasa menyesal jika kelak bertemu dengan bahaya yang ngeri dan kecimus bibir; kalau semuanya itu tidak engkau pedulikan, Hayati, sebagai kukatakan dahulu, engkau akan beroleh seorang sahabat yang teguh setia.

Kalau semuanya itu telah engkau ingat benar, dan engkau sudi berenang ke dalam lautan cinta, ketahuilah bahawa saya beruntung berkenalan dengan engkau, dan moga-moga engkau pun beruntung berkenalan dengan saya.

Zainuddin.


Surat yang ketiga:

Sahabatku Hayati!

Sebagai kukatakan dahulu, lebih bebas saya menulis surat daripada berkata-kata dengan engkau. Saya lebih pandai meratap dalam surat, menyesal dalam surat, mengupat dalam surat. Kerana bilamana saya bertemu dengan engkau, maka matamu yang sebagai Bintang Timur itu sentiasa menghilangkan susun kataku.

Sebelum bertemu, banyak yang teringat, setelah bertemu semuanya hilang, kerana kegembiraan pertemuan itu telah menutupi akan segala ingatan.

Inilah suratku yang ketiga. Dan alangkah beruntungnya perasaan hatiku jika beroleh balasan, padahal sepucuk pun belum pernah engkau balas. Tahu saya apa jadi sebabnya. Bukan lantaran engkau tak dapat mengarang surat sebagai engkau katakan, tetapi hanyalah lantaran engkau masih merasa sebagaimana kebanyakan perasaan umum pada hari ini, bahawasanya berkirim-kiriman surat percintaan itu adalah aib dan cela yang paling besar, cinta palsu dan bukan terbit dari hati yang mulia. Tapi, Hayati, perasaan saya lain dari itu. Iaitu kalau perasaan hati itu hanya disimpan-simpan sahaja, tidak diutarakan dengan kejujuran, itulah yang bernama cinta palsu, cinta yang tidak percaya kepada diri sendiri.

Rasanya lebih aib dan lebih cela anak perempuan yang sengaja menunduk-nundukkan kepalanya jika melihat seorang laki-laki, tetapi setelah selendangnya dibukanya, dia mengintip orang lalu lintas dari sebelah dinding. Dengan surat-surat kita belajar berbudi halus. Dalam susunan surat-surat dapat diketahui perkataan-perkataan yang pepat di luar, pancung di,dalam. Dengan surat-surat dapat diketahui dalam dangkalnya budi pekerti manusia.

Bacalah, dan bacalah suratku ketiga-tiganya.
Adakah di sana terdapat saya berminyak air, mencuba menarik-narik hati? Bagi saya meskipun perjalanan cinta yang akan kita tempuh itu takkan hasil, surat itu sudah cukuplah untuk menguji budi saya.

Kirimlah surat kepadaku tanda jujurmu. Tanda benar-benar engkau hendak membela diriku. Kirimlah dan janganlah engkau takut bahawa surat ini akan saya jadikan perkakas untuk membukakan rahsiamu jika ternyata engkau mungkir atau tak sanggup memenuhi janji. Hayati! Lapangan alam ini amat luas, dan Tuhan telah memberi kita kesanggupan mengembara di dalam lapangan yang luas itu. Maka jika kita beruntung, dan Allah memberi izin kita hidup sebagai suami dan isteri, adalah surat-surat itu untuk mematrikan cinta kita, jadi pengubat batin di dalam mendidik anak-anak. Tetapi kalau kiranya pertemuan nasib dan hidup kita tidak beroleh keizinan Tuhan sejak dari azali-Nya, adalah pula surat-surat itu akan jadi peringatan dari dua orang bersahabat atas ketulusan mereka menghadapi cinta, tidak terlangkah kepada kejahatan dan tidak melanggar perikesopanan.

Jangan engkau berwas-was kepadaku Hayati, mengirimkan suratmu. Surat-suratmu akan kusimpan baik-baik, akan kujadikan azimat tangkal penyakit, tangkal putus pengharapan. Dan hilangkanlah sangka burukmu itu, takut suratmu jika kujadikan perkakas membusuk-busukkan namamu.

Ah, mentang-mentang saya seorang anak orang terbuang, orang menumpang di negeri ini, tidaklah sampai serendah itu benar budiku. Suratmu, Hayati,' sekali lagi suratmu.

Zainuddin


Tiba-tiba sedang Zainuddin asyik menunggu-nunggu balasan dari suratnya, datang adik Hayati, Ahmad yang masih kecil itu, membawa surat. Berdebar sangat jantung Zainuddin demi bila membuka sampul surat itu:


Tuan Zainuddin !

Ketiga surat Tuan telah saya baca dengan mafhum, sekali-kali bukanlah saya tak menghargai surat-surat itu, bukan pula cemburu Tuan akan merendahkan nama saya. Keterangan yang lebih panjang tak dapat saya berikan dengan surat. Sebab itu, kalau Tuan tak keberatan, saya hendak bertemu sendiri dengan Tuan, nanti petang di dangau di sawah tempat kita bertemu mula-mula tempoh hari. Saya akan datang dengan adikku.

Hayati

Ah, mengapa sedingin ini saja isi surat Hayati, kata Zainuddin dalam hatinya. Dingin benar, apakah saya telah terlalu terdorong? Orang tentu maklum bahawasanya orang yang sedang dimabuk cinta itu, penuh hatinya dengan cemburu. Kadang-kadang cinta bersifat tamak dan loba, kadang-kadang was-was dan kadang-kadang putus asa.

Ditunggunya hari sampai petang, pada waktu orang-orang di sawah telah beransur pulang dan anak gembala telah menghalau ternaknya ke kandang. Maka Zainuddinlah yang telah berdiri lebih dahulu menunggu Hayati di dangau tersebut. Tidak berapa saat kemudian, Hayati datang pula diiringkan oleh adiknya.

"Sudah lama agaknya Tuan menunggu saya di sini?" kata Hayati.
"Biar sampai matahari terbenam dan cahaya diberikan oleh bintang-bintang, saya akan menunggu kedatanganmu. Kerana orang yang sebagai kau, tidaklah akan sudi memungkiri janjinya."

Maka duduklah mereka berhampir-hampiran. Hayati termenung dan kepalanya tertekur ke bumi, sepatah perkataan pun belum dimulainya.

"Mengapa saya dengan suratku, Hayati? Besarkah kesalahan saya, makanya kau tak sudi membalasnya, sehingga perlu pula memberi keterangan ke mari dahulu? Hayati, ini hati yang tersimpan dalam dadaku, ini nyawa yang memberikan keizinan tubuhhku tinggal hidup, ini semuanya telah lama mati pada hakikatnya. Pujukan kau saja, hanya semata-mata itulah lagi pengharapanku menempuh hayat. Mengapa engkau masih mundur maju?

Hayati menangis, dua titis air mata mengalir di pipinya. "Kau menangis Hayati? Apakah tidak terlalu berlebih-lebihan jika kau akan menanggung rugi lantaran diriku? Bukankah air matamu dan nafasmu yang turun naik, lebih berharga daripada diriku ini? Jangan kau menangis, kau boleh menentukan vonis, mengambil keputusan terhadap diriku. Nyatakan bahawa cintaku kau balas, kalau memang kau ada mempunyai itu. Itulah kelak akan jadi modal hidup kita berdua. Asal saya tahu kau cinta, saya tak harapkan apa-apa sesudah itu, kita tak akan melanggar perintah Ilahi. Tetapi kalau kau memang tak merasa terhadap diriku sebagai yang kurasa, kau tak cinta kepadaku, nyatakanlah itu dengan terus terang, sebagai pernyataan seorang sahabat kepada sahabatnya. Kalau keputusan itu yang kau berikan, walau pun mukaku akan hitam menghadapimu di sini, lantaran malu, saya akan tahankan, saya sudah biasa tahan tergiling dari kecilku."

"Bukan begitu, Tuan Zainuddin. Bukan saya benci kepada Tuan; kerana saya kenal budi baik Tuan. Saya merasa kasihan di atas segala penanggungan yang menimpa Tuan. Tapi Tuan, sebuah yang saya takutkan, iaitu saya takut akan bercinta-cintaan."
"Kau takut?"

"Ya, sebab pepatah telah pemah menyebut, bahawasanya seorang memburu cinta, adalah laksana memburu kijang di rimba belantara. Bertambah diburu bertambah jauh dia lari. Akhimya tersesat dalam rimba, tak mampu pulang lagi. Saya takut akan terikat oleh percintaan, kerana saya seorang gadis kampung yang telah lama kematian ibu. Harta benda yang banyak itu bukanlah kepunyaanku tetapi di bawah kuasa suku. Saya miskin dan papa. Saya tak ada ibu yang mengasuh, tak mempunyai saudara yang akan membela."
"Tapi percayakah engkau bahawa hatimu suci?"
"Cuma itulah pedomanku, Tuan; saya percaya hatiku suci dan tiada bermaksud jahat kepada sesama manusia."

"Kalau ada kepercayaanmu demikian, maka Tuhan tidaklah akan menyia-nyiakan engkau. Sembahlah Dia dengan khusyuk, ingat Dia pada waktu kita senang, supaya Dia ingat pula kepada kita pada waktu kita sengsara. Dialah yang akan membimbing tanganmu. Dialah yang akan menunjukkan haluan hidup kepadamu. Dialah yang akan menerangi jalan yang gelap. Jangan takut menghadapi cinta. Ketahuilah bahawa Allah yang menjadikan matahari dan memberinya cahaya. Allah yang menjadikan bunga dan memberinya wangi. Allah yang menjadikan tubuh dan memberinya nyawa. Allah yang menjadikan mata dan memberinya penglihatan. Maka Allah pulalah yang menjadikan hati dan memberinya cinta. Jika hati kau diberi-Nya nikmat pula dengan cinta sebagaimana hatiku, marilah kita pelihara nikmat itu sebaik-baiknya, kita jaga dan kita pupuk, kita pelihara supaya jangan dicabut Tuhan kembali. Cinta adalah iradat Tuhan, dikirimnya ke dunia supaya tumbuh. Kalau dia terletak di atas tanah yang lekang dan tandus, tumbuhnya akan menyiksa orang lain. Kalau dia datang kepada hati yang keruh dan kepada budi yang rendah, dia akan membawa kerosakan. Tetapi jika dia hinggap kepada hati yang suci, dia akan mewariskan kemuliaan, keikhlasan dan taat kepada Ilahi."

Sedang Zainuddin berkata-kata demikian, Hayati masih tetap menekurkan kepalanya, air matanya ... lebih banyak jatuh dari yang tadi.
"Mengapa kau masih menangis, Hayati?"
"Segala perkataan Tuan itu benar, tidak ada yang salah. Tapi peredaran masa dan zaman sentiasa berlain dengan kehendak manusia, di dalam kita tertarik dengan tertawanya, tiba-tiba kita diberinya tangis. Saya ingat kekerasan adat di sini, saya ingat kecenderungan mata orang ramai, akan banyak halangannya jika kita bercinta-cintaan. Saya takut bahaya dan kesukaran yang akan kita temui, jika jalan ini kita tempuh."
"Jadi ... ? "
"Lebih baik kita tinggal bersahabat saja."
"Kita bersahabat dan kita bercinta, Hayati. Kerana
kalau kau tak cinta kepadaku, ertinya kau bukan bersahabat."
"Habisi sajalah hingga ini, Tuan."
"Oh,jadi, kau telah mengambil keputusan yang tetap?" Lama Zainuddin termenung mendengar kalimat itu,
beberapa saat lamanya dia tak dapat berkata-kata. Setelah itu dengan suara lemah dia berkata: "Baiklah, Hayati! Besar salahku memaksa hati yang tak mahu. Baiklah, marilah kita tinggal bersahabat, saya takkan mengganggumu lagi. Pulanglah ke rumah, tidak ada keizinan Tuhan atas pertemuan dua orang muda yang sebagai kita ini kalau memang tak ada perkenalan batin ... "

Maka turunlah Zainuddin dari tempat duduknya, lalu pergi. Berkunang-kunang dilihatnya alam lebar ini. Dia melangkah perlahan sekali, kerana badannya rasa baying-bayang. Dan baru diseberangi bandar kecil dekat sawah itu, langkahnya, tak kuat lagi, dia terjatuh ....

Hayati takut akan kena cinta. Takut menghadapi cinta, itulah cinta yang sejati. Dia memberi vonis "tidak cinta" kepada Zainuddin, ertinya dia memberikan vonis kematian kepada dirinya sendiri. Setelah agak jauh Zainuddin berjalan, dia pun tak tahan pula lagi, dia meniarap ke lantai di dangau itu menahan hatinya, dan hati tidak juga tertahan.
"Ahmad," katanya kepada adiknya dengan tiba-tiba yang berdiri di samping dangau itu, dan matanya pun turut balut menangis.
"Ini saya, Kak!"
"Panggil Tuan Zainuddin kembali!"
Maka berlari-Iarilah Ahmad mengejar Zainuddin, didapatinya Zainuddin tengah duduk tersimpuh di tepi bandar air yang akan dialirkan orang ke sawah. Dibimbing¬nya pulang ke dangau itu kembali.
"Apa, Hayati?"
"Saya cinta akan dikau, biarlah hati kita sama-sama dirahmati Tuhan. Dan saya bersedia menempuh segala bahaya yang akan menimpa dan sengsara yang mengancam."
"Hayati ... kau kembalikan jiwaku! Kau izinkan aku hidup. Hulurkanlah tanganmu, marilah kita berjanji bahawa hidupku bergantung kepada hidupmu, dan hidupmu bergan¬tung kepada hidupku. Yang menceraikan hati kita, meskipun badan takbertemu, ialah bi la nyawa bercerai dengan badan."

Matahari pun mulailah bersembunyi ke balik Gunung Singgalang. Dan dari sebuah surau di kampung yang jauh kedengaran bunyi tabuh, diiringkan oleh suara azan: .............. Hayya alal falaah!

Bersambung…………..



Pengarang: HAMKA
Tajuk : Tenggelamnya Kapal Van Der Wijck

Saturday, October 24, 2009

Cukuplah Allah bagi ku

Bismillah...

Alhamdulillah, ku bersyukur diatas nikmat Iman & Islam, moga-moga ia nya terus tersebar ke serata alam.

Kali ini, ku hanya ingin berdiam diri & berfikir untuk sementara waktu.. Kadang-kadang ku mampu untuk berhadapan dengan semua ini.. dan terkadang pula.. aku sebaliknya..

Ku terus diuji tiada henti.. dan aku pasti semua ini ada hikmah di sebaliknya.

Ya Allah... berikanlah aku kesabaran dan ketabahan..

* Hasbiyallah, wa ni`mal wakil.

aminpcb
241009

Wednesday, October 21, 2009

Ehems13

Syaitan amat giat dalam menebarkan fitnah dan menjerumuskan manusia kepada yang haram. Kerana itu Allah mengingatkan kita dengan firman-Nya:

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا لا تَتَّبِعُوا خُطُوَاتِ الشَّيْطَانِ وَمَنْ يَتَّبِعْ خُطُوَاتِ الشَّيْطَانِ فَإِنَّهُ يَأْمُرُ بِالْفَحْشَاءِ وَالْمُنْكَر

Yang bermaksud: “Wahai orang-orang yang beriman, janganlah kamu menurut jejak langkah syaitan; dan sesiapa yang menurut jejak langkah syaitan, maka Sesungguhnya syaitan itu sentiasa menyuruh (pengikut-pengikutnya) melakukan perkara yang keji dan perbuatan yang mungkar”. (surah An-Nur: 21).


Syaitan masuk kepada anak Adam bagaikan aliran darah. Di antara cara-cara syaitan di dalam menjerumuskan ke dalam perbuatan keji adalah khalwat dengan wanita bukan mahram. Kerananya, syariat Islam menutup pintu tersebut, sebagaimana yang disabdakan Rasulullah S.A.W yang bermaksud:

Tidaklah seorang laki-laki berkhalwat dengan wanita kecuali pihak ketiganya adalah syaitan” Hadis riwayat At-Tirmizi 3/474: lihat Misyakatul Mashabih, 3188

Dan dari Ibnu Umar R.A, bahawasanya Nabi S.A.W bersabda yang bermaksud:

Sungguh hendaknya tidak masuk seorang laki-laki dari kamu, setelah hari ini kepada wanita yang tidak ada bersamanya ( suami atau mahramnya), kecuali bersamanya seorang atau dua orang laki-laki”. Hadis riwayat Muslim, 4/1711.

Berdasarkan orang meremehkan persoalan ini. Entah kerana terlalu percaya pada isteri kepada dirinya sendiri atau kepada orang lain. Padahal, khalwat sangat berpotensi untuk mengundang fitnah, perbuatan mungkar dan maksiat. Paling tidak, membangun muqaddimah untuk melakukan zina. Kerananya tidak menghairankan, jika semakin banyak ketidakjelasan nasab dan keturunan. Di samping, jumlah anak-anak haram dan pembuangan bayi juga semakin meningkat dengan mendadak sepertimana yang terpampang di dada akhbar..

Wallahu a`lam..

Sunday, October 18, 2009

Mabruk!!

Alhamdulillah, Suasana pagi makin berseri-seri bilamana matahari mula menjenguk diri dan memancarkan cahayanya untuk menyinari bumi ini, terlukislah keindahan dalam keharmonian, maka terpamerlah akan kekuasaan Ar-Rahman... Allahu Akhbar!!!

17-10-09 "Abe amin, siti malas la nak ke Terengganu" kata adik ku yang sedang bersiap-siap untuk menunaikan solat subuh.

"Aik, semalam kan siti bitau nak ikut" "hari ni kenapa pula tak nak ikut?? Tanya ku..

"Erm siti mengantuk la abe amin" balasnya sambil membetulkan sejadah..

"Laaaa, kan nanti dalam kereta boleh tidur puas-puas"... balas ku..dan mengakhiri perbualan..

Setelah iqamah aku pun mula mengangkat takbir...

Jam 07-00 pagi: Kami (aku, ma abah dan siti) mula bertolak. Destinasi pada kali ini adalah Kg Wakaf Beruas Kuala Terengganu.

Ku kasana adalah untuk menghadiri upacara majlis akad nikah salah seorang dari sahabat baik ku yaitu Ust Zulkhairi, yang juga mantan presiden PERMAYA. Dalam pada masa yang sama juga, bakal pak mertua nya adalah kenalan ku ketika berada di tanah suci Mekah pada tahun 2004 yaitu Ust Mad Ali. Bakal abang ipar nya pula adalah apit (bekas webmaster www.permaya.org), dan biras nya pula adalah Ust Rafizal (Lepasan Jamiah Ulom Sana`a). Jadi, kali ini ku tiada rasa "kekok" bilamana bertemu dengan ahli keluarga sebelah pengantin perempuan (ust mad ali).

Tepat jam 10-10 pagi, tibalah pengantin lelaki yang dinanti-nantikan ehems-ehems..

Diantara bekas pelajar Yaman yang hadir pada upacara majlis akad nikah tersebut adalah Ust Syed Ahmad dan juga Ust Ismail. Ah... sebelum pembaca boring dengan tulisan ku ini baik aku stop dulu.. Jom kita pakat tengok.. apa yang ada dibawah ini..



Wednesday, October 14, 2009

Tak rajin

Bismillah..

Hampir 2 malam ku tidak dapat melelapkan mata, entah apa yang berlegar difikiran.. sememangnya serabut...

Nak menulis pun..rasa malas. Malas ku mengatasi segalanya lebih-lebih lagi untuk memeraskan otak..

Apa pun aku pasti, malas ku ini tidaklah seteruk malas dalam entri lepas yang bertajuk "lawak orang malas" .. kerana..semalas-malas aku pun.. ku masih mampu menceritakan akan malas ku itu.. tetapi.. orang yang paling malas dalam citer tersebut.. "nak citer pun malas".. ternyatalah yang dia jauh lebih malas dari ku..

Ah.. Mungkin ku memerlukan masa.. untuk semua ini..

Ya Allah.. ampuni lah segala kesilapan ku yang terdahulu..

Monday, October 12, 2009

Ehems12

Di antara tujuan syariat adalah menjaga kehormatan dan keturunan. Kerana itu, syariat Islam mengharamkan zina. Allah berfirman:
وَلا تَقْرَبُوا الزِّنَا إِنَّهُ كَانَ فَاحِشَةً وَسَاءَ سَبِيلا

"Dan janganlah kamu menghampiri zina, Sesungguhnya zina itu adalah satu perbuatan Yang keji dan satu jalan Yang jahat (yang membawa kerosakan)". (Al-Isra`:32)


Bahkan syariat menutup segala pintu dan apa saja jalan yang membawa kepada perbuatan zina. Yakni dengan mewajibkan hijab, menundukkan pandangan, juga dengan melarang khalwat (berduaan di tempat yang sepi) dengan lawan jenis bukan mahram dan sebagainya.

Penzina muhshan (yang telah beristeri) dihukum dengan hukuman yang paling berat dan menghinakan. Iaitu dengan merejam (melempari) nya dengan batu hingga mati. Hukuman itu ditimpakan agar ia merasakan akibat dari perbuatannya yang keji, juga agar setiap anggota tubuhnya kesakitan, sebagaimana dengannya ia menikmati yang haram.

Adapun penzina yang belum melakukan persetubuhan melalui nikah yang sah, maka ia dirotan sebanyak seratus kali. Suatu bilangan yang paling banyak dalam hukuman rotan yang dikenal dalam Islam. Hukuman itu harus disaksikan oleh sekelompok kaum mukminin. Suatu bukti betapa hukuman itu amat dihinakan dan dipermalukan. Tidak hanya itu, penzina tersebut selanjutnya harus dibuang dan diasingkan dari tempat ia melakukan perzinaan, selama satu tahun penuh.

Adapun siksaan para penzina baik laki-laki mahupun perempuan di alam barzakh adalah ditempatkan di dapur api yang atasnya sempit dan bawahnya luas. Dari bawah tempat tersebut, api dinyalakan. Sedang mereka yang berada di dalamnya dalam keadaan telanjang. Jika api dinyalakan, maka mereka berteriak, melolong-lolong dan memanjat ke atas hingga hamper-hampir saja mereka boleh keluar,. Tapi bila api dipadamkan, mereka kembali lagi ke tempatnya semula ( di bahawa), lalu api kembali dinyalakan. Demikianlah berlangsung hingga datangnya hari Kiamat.

Keadaannya akan lebih buruk lagi jika laki-laki tersebut sudah tua tapi masih terus berbuat zina, padahal kematian hamper menjemputnya, tetapi Allah masih memberinya tempoh waktu.

Dalam hadis marfu` dari Abu Hurairah R.A , Nabi S.A.W bersabda yang bermaksud:

”Tiga (jenis manusia) yang tidak akan diajak bicara oleh Allah pada hari Kiamat, juga Allah tidka akan menyucikan mereka dan tidak pula memandang kepada mereka, sedang bagi mereka seksa yang pedih, iaitu: laki-laki tua yang suka berzina, seorang raja pendusta, dan orang miskin yang sombong” (Hadis riwayat Muslim, 1/102-103)

Di antara cara mendapatkan rezeki yang terburuk adalah mahrulbaghyi. Iaitu upah yang diberikan kepada wanita penzina oleh laki-laki yang menzinainya. Penzina yang mencari rezeki dengan menjajakan kemaluannya tidak diterima doanya. Bahkan meski doa itu dipanjatkan di tengah malam, saat pintu-pintu langit dibuka. ( hadis masalah ini terdapat dalam sohihul jami` no 2971). Keperluan kepada sesuatu dan kemiskinan bukanlah suatu alas an yang dibenarkan syara` sehingga seseorang boleh melanggar ketentuan dan hukum-hukum Allah.

Di zaman kita sekarang, segala pintu kemaksiatan dibuka seluas-luasnya. Syaitan mempermudahkan jalan (menuju kemaksiatan) dengan tipu dayanya dan tipu daya pengikutnya. Para tukang maksiat dan ahli kemungkaran menjadi penyokong syaitan. Maka, bertebaranlah para wanita yang memperlihatkan aurat dan keluar rumah tanpa mengenakan pakaian yang diperintah agama. Tatapan yang berlebihan dan pandangan yang diharamkan menjadi fenomena umum. Pergaulan bebas antara laki-laki dengan perempuan bermaharajalela. Rumah-rumah maksiat semakin dikunjungi. Demikian pula dengan filem-filem yang membangkitkan nafsu haiwan. Banyak orang melancong ke negeri-negeri yang menjanjikan kebebasan maksiat. Di sana sini berdiri Bursa Sex. Perkosaan bermaharajalela di mana-mana. Jumlah anak haram semakin meningkat. Demikian pula halnya dengan kegiatan aborsi (pengguguran kandungan) akibat hamil sebelum kahwin dan sebagainya.

Ya Allah, kami mohon rahmat dan belas kasihan-Mu, perlindungan dan pemeliharaan dari sisi-Mu yang dengannya Engkau melindungi kami kami dari perbuatan keji dan mungkar.

Ya Allah, kami mohon pada-Mu, bersihkanlah segenap hati kami dan pelihara serta bentengilah kemaluan dan kehormatan kami. Jadikanlah antara kami dengan hal-hal yang diharamkan tembok pemisah… amen..

Friday, October 9, 2009

Tenggelamnya Kapal Van Der Wijck (Bhg. 6)

Sahabatku Khadijah!

Pada waktu surat ini saya perbuat, langit jernih dan udara nyaman. Saya duduk dalam kesepian, perempuan-perempuan dalam rumahku ke tengah sawah. Aku teringat akan dikau sahabatku, ingin benar hatiku hendak datang ke Padang Panjang menemuimu, tetapi kesempatanku tak ada.Ganjil benar keadaan kampung kami sekarang. Kerana pada beberapa bulan yang lalu, datang kemari seorang anak muda dari Mengkasar, tentu engkau ingat, Zainuddin namanya....

Dia tinggal tidak beberapa jauh dari rumahku, dengan bakonya. Tetapi bako yang jauh. Tabiatnya yang halus menimbulkan kasihan kita, tetapi di dalam kampung, dia tidak mendapat penghargaan yang semestinya. Sebab dia seorang anak pisang, ayahnya seorang buangan yang telah mati di rantau.

Meskipun dia dibawa orang bergaul, dia tak diberi hak duduk dikepala rumah jika terjadi peralatan beradat-adat, sebab dia tidak berhak duduk di situ. Bukanlah orang mencela perangainya, hanya dipandang orang ialah bangsanya. Alangkah kejamnya adat negeri kita ini sahabatku.

Saya kasihan melihat nasib anak muda itu, hanya semata-mata kasihan, sahabat, lain tidak ; jangan engkau salah terima padaku. Kerana memang sudah terbiasa kita anak-anak gadis ini merasa kasihan kepada orang yang bernasib malang, tetapi kita tak dapat berikan apa-apa pertolongan, kerana kita hanya bangsa perempuan yang tidak mempunyai hak apa-apa di dalam adat pergaulan.

Teralalu banyak saya membicarakan orang lain dalam surat kepadamu, padahal apalah perhubungan kehidupan Zainuddin orang Mengkasar itu dengan kehidupan kita.Renda yang engkau serahkan ketika akan pakansi sekolah telah hampir selesai kukerjakan. Sedianya kalau bukan lantaran fikiranku kusust saja dalam sebulan ini, renda itu telah lama selesainya. Tetapi apalah hendak dikata, kerap kali, rancangan yang telah kita kerjakan, terhenti di tengah-tengah kerana sepanjang hari hanya habis dalam keluhan, keluh mengingat teman dan sahabat, mengingat hari kemudian yang masih gelap.

Bila engkau sempat, sahabat, datanglah ke Batipuh, bermalam di sini agak semalam. Tentu saja mamak dan bondamu akan memberimu izin, sebab hanya ke rumahku.....

Hayati

Dalam surat itu nampak isi perasaan hayati, perasaan yang belum pernah diterangkannya kepada orang lain. Sebenarnya, dia amat kasihan melihat nasib Zainuddin orang jauh itu. Di sini tak mempunyai kerabat yang karib, dan ayahnya pula telah meninggal pula. Akan pulang ke Mengkasar, harta pusaka ayah bonda yang akan ditepati. Sikap Zainuddin yang lemah lembut, matanya penuh dengan cahaya yang muram, cahaya dari tanggungan batin yang hebat sejak kecil, telah menimbulkan kasihan yang amat dalam di hati Hayati adalah melalui beberapa pintu. Ada dari pintu sayang, ada dari pintu kasih, ada dari pintu rindu, tetapi yang paling aman dan kekal ialah cinta yang melalui pintu kasihan itu.

Sudah lama dia menunggu-nunggu suatu kalimat saja pun cukuplah, keluar dari mulut Zainuddin baik tepat atau pun sindiran yang dapat dipegangnya, cukuplah satu kalimat itu baginya. Tetapi cinta pertama adalah langkah bermula dari penghidupan. Orang hanya pintar jika duduk seorang, dan bingung jika telah berhadapan. Yang mendalamkan luka hati adalah perasaan yang selalu terkurung, tak ada sahabat karib yang dapat dipercayai untuk menumpahkan perasaan itu.

Tiba-tiba, pada suatu hari, di waktu matahari hendak terbenam ke barat, di waktu perempuan-perempuan telah pulang dari pancuran mengisi parian betungnya, Hayati bertemu dengan Zainuddin di liku jalan.
" Ai... Tuan Zainuddin di sini."
" Ya, disini menunggumu!"
"Menunggu saya?" Tanya Hayati, sedang dadanya mulai berdebar. " Apakah maksudnya, lekaslah terangkan, supaya saya segera pulang."
" Saya pun takut pula akan mengganggu perjalananmu. Engkau saya tunggu hanya sekadar hendak memberikan ini". Lalu dikeluarnya sepucuk surat dari sakunya, diberikannya ketangan Hayati. Ketika memberikan itu jari-jemarinya kelihatan gementar.

Tengah Hayati masih bingung sendiri, memegang buli-buli yang ada dalam tangannya, Zainuddin berangkat dari tempat itu secepat-cepatnya. Hayati segera pulang. Sehabis sembahyang dan makan malam, segera dia naik ke atas anjung ketidurannya, membaca di dekat sebuah lampu dinding!

Sahabatku hayati

Gementar, Encik! Gementar tanganku ketika mula-mula menulis surat ini. Hatiku memaksaku menulis, banyak yang terasa, tetapi setelah kucecahkan penaku ke dakwat, hilang akalku, tak tentu dari mana harus ku mulai. Telah hampir setahun saya tinggal di negeri tumpah darah nenek moyangku ini. Oh, Hayati, saya telah dibuaikan oleh mimpi dahulunya, oleh kuatnya bekas dendang dan nyanyian ayahku seketika saya masih dalam pangkuannya. Tanahmu yang indah, bahkan tanahku juga, Minangkabau, sentiasa berdiri dalam semangatku. Sehingga sejak saya tahu menyebut nama negeri Padang, tanah ini telah terbayang dalam khayalku.

Angan-angan dan khayal yang demikianlah yang menyampaikan langkahku ke mari. Sebab di negeri Mengkasar sendiri saya dipandang orang Padang, bukan orang asli Bugis atau mengkasar. Sebab itu di sana saya rasa sentiasa dalam kesepian.Sekarang saya datang ke mari, Hayati. Tak ubahnya dengan seorang musafir di tengah gurun yang luas keputusan air, tiap-tiap langkah dilangkahkannya tampak juga olehnya danau yang luas dimukanya. Demi, setelah sampai kepada yang kelihatan itu, danau itu pun hilanglah, berganti dengan pasir semata-mata, hening dan panas!

Hayati, berulang saya menanggung perasaan begini, seorang pun tidak ada tempat untuk saya mengadu. Saya tidur di surau bersama-sama teman. Mereka ketawa, bergurau senda, tetapi bilamana kuhening kufikirkan, emas tidak juga dapat dicampurkan dengan loyang, sutera tersisih dari benang. Saya telah mengerti segera bahasa Minangkabau meskipun dekat mereka saya seakan-akan tak faham. Dari isyarat dan susun kata, dapat juga diketahui, bahawa darjatku kurang adanya. Bakoku sendiri tidak mengaku saya anak pisangnya. Sebab rupanya ayahku tidak mempunyai saudara yang karib. Mereka bawa saya menumpang selama ini. Kerana dipertalikan bukan oleh budi bahasa, tetapi oleh wang, sekali lagi Hayati, oleh wang!

Mengapa hal ini saya adukan kepada kamu, hayati? Itupun saya sendiri tak tahu, Cuma hati saya berkata, bahawa engkaulah tempat saya mengadu. Hayati! Terimalah pengaduanku ini, terimalah berita untung malangku ini. Terimalah ini, perkenankanlah seruan dari hati yang dhaif, hati seorang makhluk yang dari masa dalam kandungan ibu telah ditunggu oleh rantai yang bertali-tali dari kemalangan.

Ayahku telah mati, dan ibuku demikian pula. Bakoku tak mengakui aku keluarganya. Di Mengkasar hanya tinggak seorang ibu angkat. Dalam pergaulan, saya disisihkan orang. Saya tak hendak membunuh diri, kerana masih dalam pergantungan iman dengan Yang Maha Kuasa dan Ghaib, bahawa di sebalik kesukaran ada menunggu kemudahan. Di dalam khayalku dan dalam kegelap-gulitaan malam, tersimbahlah awan, cerahlah langit dan kelihatan satu bintang, bintang dari pengharapan untuk menunjukkan jalan. Bintang itu …. Ialah kau sendiri, Hayati!


Bagaimana maka hati saya berkata begitu? Itu pun saya tak tahu. Lantaran tak tahu sebabnya itu, timbul kepercayaan kepada kuasa ghaib itulah yang menitahkan. Saya juga tahu sedikit-sebanyak adat negerimu yang kukuh, agaknya buruk saya berkirim surat ini dalam pandangan umum. Tapi, saya tak akan mengganggu adatmu, tak akan mengganggu dirimu sendiri, tak akan menyentuh kebesaran dan susunan resam basi orang Minangkabau. Saya tahu dan insaf siapa saya. Saya kirimkan surat ini tidaklah minta dibalas, hanyalah semata-mata mengadukan hal. Seandainya aku mati, janganlah kumati dalam penyesalan. Dan saya pun yakin, tangan yang begitu halus, mata yang penuh dengan kejujuran itu, tidak akan sampai mengecewakan hati yang telah penuh dengan kecewa sejak sejengkal dari tanah. Terimalah saya menjadi sahabatmu yang baik, Hayati. Supaya dapat, saya mengadukan hal-halku, untuk mengurangi tanggungan hati. Sebab memang sudah biasa kegembiraan dapat ditelan sendiri-sendiri dan kemalangan menjadi kurang, bila dikatakan kepada orang lain.

Sudikah engkau menjadi sahabatku Hayati? Saya akui saya orang dagang melarat dan anak orang terbuang yang datang dari negeri jauh, yatim dan piatu. Saya akui kerendahan saya, itu agaknya yang akan menanguhkan hatimu bersahabat dengan daku. Tapi Hayati, meskipun bagaimana, percayalah bahawa hatiku baik.Sukar engkau akan bertemu dengan hati yang begini, yang bersih lantaran sentiasa dibasuh dengan air kemalangan sejak lahirnya ke dunia!

Zainuddin

Surat itu rupanya diperbuat dengan jiwa, bukan dengan tangan. Apa yang bergelora didalam sanubari, ditumpahkan di kertas. Dan bagi yang membaca, tentu jiwanya pula yang kena.
Gementar kedua belah tangan Hayati membaca suratyang demikian. Dibacanya, tiba-tiba dengan tidak disedarinya, air mata telah mengalir di atas pipinya yang montok membasahi bantal kalanghulunya. Terbayanglah di hadapannya wajah Zainuddin yang muram, keluh yang sentiasa mengandung rahsia dalam. Yakinlah dia bahawa gerak dan bisik jantungnya bilamana melihat Zainuddin selama ini rupanya bukanlah gerak sembarang, tetapi adalah gerak ilham, gerak jiwa yang bertali dengan jiwa, gerak batill yangbertali dengan batin.

Disekanya air mata yang mengganggu kemontokan pipi itu, dia kembali duduk di pinggir pembaringan, ditengadah¬kannya mukanya ke langit, sambil berseru seorang dirinya, yang hanya didengar oleh malaikat penjaga malam: 'Ya llahi, berilah perlindungan kepada hamba-Mu! Perasaan apakah namanya ini, ya Tuhanku, tunjukkan ya Tuhan, dan nyatalah sudah kelemahan diriku. Apalah pertolongan yang akan dapat kuberikan. Dia meminta budi kepadaku, aku hanya Tuhan takdirkan menjadi perempuan, jenis yang lemah. Tidak ada kepandaianku, hanyalah menangis!

Tuhanku, benar ... sebenar-benarnya hamba-Mu ini kasihan kepada makhluk yang malang itu, dan oh Tuhankul Hamba sayang akan dia, hamba ... cinta dia!
Jika cinta itu satu dosa, ampunilah dan maafkanlah! hamba akan turut perintah-Mu, hamba tak akan melanggar larangan, tak akan menghentikan suruhan. Akan hamha simpan, biarlah orang lain tak tahu, tetapi izinkan hamba ya Tuhan….

Demikianlah, hampir seluruh malam Hayati karam di dalam permohonannya kepada Tuhan, supaya Tuhan memberi perlindungan dan tujuan di dalam hidupnya, sebab sangat sekali surat Zainuddin mempengaruhi jiwanya. la merasa dirinya dalam gelap, dia meminta cahaya. Bermacam-macam perasaan yang bergelora hebat semalam itu dalam jiwanya, ganjil, beraneka warna; bercampur di antara cinta dan takut, kesenangan fikiran dan kesedihan, bertempur. Di antara pengharapan yang besar dan cita-cita yang rasakan patah. Dalam dia menangis, tiba-tiba berganti dengan tersenyum. Dalam senyum dia kembali mengeluh panjang. Mengapa dia menangis? Entahlah, dia sendiri pun masih ragu. Apa sebab dia tersenyum? Padahal biasanya senyuman dengan air mata itu adalah dua yang bermusuh yang tak mahu berdamai. Mengapa sekali ini dia damai? Jam di ruang tengah telah berbunyi dua kali, hanya detikan dan bunyi cengkerik di sudut rumah yang memecahkan kesunyian malam. Dalam keadaan yang demikian, Hayati tertidur.

Adapun yang berkirim surat, Zainuddin, lain pula halnya. Meskipun anak-anak muda di surau tempatnya tidur telah berlayar dalam lautan mimpi yang enak, bahkan kadang-kadang kesepian itu dipecahkan oleh dengkur dua atau tiga orang anak-anak, dia masih bermenung melihatkan bulan terang benderang, bulan di antara tanggal 15 dengan 16, muram dan damai. Bermenung di beranda surau seorang dirinya,tidak merasai takut dan gentar. Diperhatikannya langit yang jernih itu, seakan-akan dia mengajak bulan bercakap. Mengajak bintang berceng-kerama.Dia ajak alam besar itu bertutur, percakapan jiwanya sendiri, seakan-akan mengadukan nasibnya yang malang, yang patut alam itu ikut meratapinya, atau seakan-akan memberitakan bahawa hatinya tidak sesedih dahulu lagi, sebab Tuhan telah memberinya nikmat yang paling besar, iaitu nikmat cinta.

Bertahun-tahun dia laksana seorang yang kehilangan sekarang barang yang dicari itu telah dapat kembali. Barang yang hilang itu paling mahal, dan berharga, ialah "hati" yang hilang separuh seketika bondanya mati, habis separuh lagi setelah ayahnya meninggal. Sekarang "hati" itu telah kembali, sebab ... mencintai Hayati! Tiba-tiba, timbul pulalah seruan dari jiwanya kepada Tuhan yang melindungi seluruh alam, diserukannya pada waktu tengah malam demikian, pada waktu segala doa makbul. "Pujianku tetaplah pada-Mu, ya Ilahi! Saya telah beroleh hidup, hidup yang saya kenang-kenangkan.

Saya telah beroleh seorang perempuan tempat saya mengadukan hal. Perempuan yang budiman, adalah laksana matahari yang terbit pada waktu fajar bagi orang yang menunggu kedatangan siang. Perempuan yang budiman adalah laksana surat jeneral yang dikirim dari medan perang menyatakan kemenangan kepada raja yang mengutusnya. Dia adalah sebagai udara, tampang kehidupan yang akan dihisap oleh manusia dalam nafasnya yang turun naik." Maka dalam malang yang hening itu, naiklah dua doa permohonan ghaib, permohonan dari dua makhluk yang lemah dan memohon persandaran, yang keduanya tentu akan diterima Tuhan dengan segenap keadilan.

Tetapi sama pula hal Zainuddin dengan Hayati semalam itu. Dia ingat surat yang dikirimnya. Ai ... barangkali dia salah, barangkali ada perkataan-perkataan janggal dan kasar terselit dalam surat itu, barangkali ... barangkali berkirim surat itu adalah satu cela paling besar, sebab baik di Minangkabau atau di Mengkasar sekalipun, amat dicela orang, anak muda yang berkirim surat kepada perempuan. Barangkali, akan terlepas Hayati selama-Iamanya dari tangannya, sebab dia dipandang rendah budi.Ketakutan dan kecemasan itu diusimya pula segera.

Dia usir dengan perkataan:Surat itu kutulis dengan tulus ikhlas, kutulis dengan jiwa yang tenteram dan tidak bermaksud jahat. Bersalah besar saya kepada hati sendiri, jika perasaan itu tidak dicurahkan. Berbahaya benar jika perasaan demikian hanya disimpan-simpan saja. Seandainya aku mati sekarang ... kebetulan Hayati tak tahu aku mencintai dia, dan hanya didapatnya keterangan dari nota yang kutinggalkan; alangkah remuk hatinya, dia telah menyebabkan seorang makhluk yang malang mati berulam jantung. Tidak, surat tak salah, mestinya kuterangkan kepadanya bahawa saya mengharapkan dia, walaupun akan dimaki diejeknya, dihinakannya dan dipandangnya rendah. Dan tidak, Hayati tak akan mahu berbuat demikian, sebab hatinya sangat baik.

Tersingkir perasaan demikian, timbul pula kembali dalam sanubarinya rasa cinta yang mulai bersemi itu. Dilihatnya alam sekelilingnya, di sana terlukis dengan nyatanya gambaran cinta. Dilihatnya langit yang hijau dengan bintang-bintangnya, berkelap-kelip melambaikan cinta, kicut pohon bambu dihembus udara malam, di sana didengamya suara cinta. Didengamya, alam itu melagukan lagu percintaan, kerana memang Tuhan jadikan segenap alam ini dengan cinta

Demikianlah perjuangan batin yang begitu hebat telah terjadi, perasaan cinta yang mulai subur, tetapi dilambai oleh angin ketakutan. Sehingga besoknya pagi-pagi, setelah matahari terbit dan Zainuddin bangun dari tidumya, dia merasa takut dan malu akan bertemu dengan Hayati, takut suratnya tidak akan diterima. Bila dia lalu pada suatu jalan, dia berjalan tergesa-gesa, takut akan bertemu dengan Hayati, takut akan menentang wajahnya yang molek, seakan-akan menyesal dia rasanya mengirim surat itu. Apalagi telah sehari, setelah dua hari surat dikirimkan, tidak mendapat balasan apa-apa, sehingga mengalir keringat di keningnya mengenangkan itu, terasa benar olehnya kasar budinya.

Perasaan itu kian lama kian mendalam, sehingga matanya tak mahu tidur, hatiya tak mahu tenteram. Pernah juga dia akan bertemu di satu jalan, dia mengencong ke tempat lain. Empat hari di belakang itu, seketika Zainuddin datang dari sebuah lepau di tepi jalan dan hendak mendaki ke kampung tempat tinggal, tiba-tiba. darahnya tersirap dan langkahnya tertegun, kepalanya ditekurkannya ke bumi, sebab di tengah jalan itu dia bertemu dengan Hayati.

"Tuan Zainuddin," ujar Hayati dengan tiba-tiba.
Perkataan itu walaupun halus laksana buluh perindu, tetapi bagi Zainuddin sama rasanya dengan vonis yang ditunggu oleh seorang pesakitan yang menunggu hukumannya di muka hakim, hukum bebaskah atau hukum bunuh. Tetapi akan dibebaskan sangat tipis harapannya.

"Hayati"
"Mengapa sudah empat hari Tuan tidak kelihatan,dan bila bertemu di tengah jalan, Tuan serupa mengelakkan diri?

Dikumpulkannya kekuatannya, disirnakannya segala ketakutannya dan dijawabnya perkataan Hayati, meskipun mula-mulanya masih gagap mulutnya: "Saya malu, Hayati, saya takut!"

"Tidak perlu Tuan merasa takut lantaran surat Tuan, surat yang begitu indah susunannya, menarik dan membuka kunci pintu hati manusia."
Jadi ... adakah suratku itu mendapat penerimaan yang baik?"
"Surat itu bagus sekali, menyedihkan dan merawankan dibuat dengan hati yang tulus dan ikhlas rupanya, itu terasa kepada diriku. Tapi sayang, saya tak ada kepandaian yang sebagai kepandaian Tuan membalas surat yang indah-indah itu.

"Bukankah sudah kuterangkan bahawa aku tak meminta balasan? Yang aku minta hanya satu, jangan dikecewakan hati orang yang berlindung kepadamu!"
Demikianlah, jiwa yang telah lama cari-mencari itu, sekarang telah bertemu muka. Biarkanlah kedua makhluk itu berhenti sejurus, memberikan kemerdekaan bagi hati berkata, mata bertentang dengan mata, hati berkata dengan hati, dan lidah sama-sama bisu tak dapat mencukupkan.

Bersambung…………

Pengarang: HAMKA

P/S: tak kenal maka tak cinta!! Biar kita ditipu, asalkan kita tidak menipu...

Thursday, October 8, 2009

Autum Wallpaper`s

Salam Ukhwah, Erm.. untuk kali ini, hanya ada beberapa wallpaper yang ingin dikongsikan. Subhanallah!! betapa indahnya alam ciptaan Tuhan.

Untuk paparan yang lebih jelas, sila klik pada gambar. -end-
















Tuesday, October 6, 2009

Alhamdulillah

ألحمد لله ولي الصالحين، والعاقبة لمن أطاعه واتقاه في كل حين، ولا عدوان إلا على الظالمين، وأشهد أن لا إله إلا الله وحده لا شريك له إله الأولين والآخرين، وأشهد أن محمدًا عبد الله ورسوله

Hp ku berbunyi, mengejutkan aku yang sedang lena dibuai mimpi. Bilamana ku bangkit, dan ingin berjalan menuju ke dur moyah, kaki ku terasa amat sakit. Lalu ku melabuhkan kembali punggung ku ke di tepi katil, dengan harapan agar kesakitan itu tadi berkurangan. Sambil duduk ku gerak-gerakkan kaki ku ke kanan dan ke kiri. Lantas ku gagahi lagi sekali... alhamdulillah sakit itu berkurangan.

Setelah keluar dari bilik air tersebut, ku membaluti tubuhku dengan baju melayu dan kain pelikat. Ku membonceng motosikal menuju ke masjid untuk solat subuh.

Sekembalinya dari masjid ku merebahkan diriku di katil, sambil tangan kanan ku letak kan ke dahi ku.. (inilah cara ku berfikir akan setaip masalah yang ku alami) sambil berfikir akan masalah-masalah yang berlegar disekeliling ku. Benar, semalam salah satu dari masalah ku telah selesai, tetapi masih ada banyak perkara yang belum juga diselesaikan. Apa pun ku tetap bersyukur kerana ujian dan masalah itu lah yang dapat mengajar aku cara untuk menyelesaikan setiap masalah yang ku lalui dan tempuhi.

Dalam ku bermenung, terlintas akan firman Allah :

لا يُكَلِّفُ اللَّهُ نَفْسًا إِلا وُسْعَهَا لَهَا مَا كَسَبَتْ وَعَلَيْهَا مَا اكْتَسَبَتْ رَبَّنَا لا تُؤَاخِذْنَا إِنْ نَسِينَا أَوْ أَخْطَأْنَا رَبَّنَا وَلا تَحْمِلْ عَلَيْنَا إِصْرًا كَمَا حَمَلْتَهُ عَلَى الَّذِينَ مِنْ قَبْلِنَا رَبَّنَا وَلا تُحَمِّلْنَا مَا لا طَاقَةَ لَنَا بِهِ وَاعْفُ عَنَّا وَاغْفِرْ لَنَا وَارْحَمْنَا أَنْتَ مَوْلانَا فَانْصُرْنَا عَلَى الْقَوْمِ الْكَافِرِينَ (٢٨٦

Yang bermaksud: "Allah tidak memberati seseorang melainkan apa yang terdaya olehnya. ia mendapat pahala kebaikan yang diusahakannya, dan ia juga menanggung dosa kejahatan yang diusahakannya. (Mereka berdoa dengan berkata): "Wahai Tuhan kami! janganlah Engkau mengirakan kami salah jika kami lupa atau kami tersalah. Wahai Tuhan kami ! janganlah Engkau bebankan kepada kami bebanan yang berat sebagaimana yang telah Engkau bebankan kepada orang-orang yang terdahulu daripada kami. Wahai Tuhan kami! janganlah Engkau pikulkan kepada kami apa yang kami tidak terdaya memikulnya. dan maafkanlah kesalahan kami, serta ampunkanlah dosa kami, dan berilah rahmat kepada kami. Engkaulah Penolong kami; oleh itu, tolonglah Kami untuk mencapai kemenangan terhadap kaum-kaum Yang kafir". (Al-Baqarah: 286).

Wassalam

aminpcb
06 Oktober 09

P/S: "Hidup ini tiada pernah sunyi dari ujian dan dugaan. Moga kita tidak tergolong dalam golongan "mereka yang tertewas".

Saturday, October 3, 2009

Hikmah di sebalik H1N1

SEJAK kebelakangan ini, kes kematian terbaru akibat wabak penyakit H1N1 dilaporkan oleh media massa hampir saban hari. Melihat kepada jumlah kematian terkini yang mencecah 64 orang (sehingga artikel ini ditulis) membuatkan kita berasa keluh kesah tentang kesihatan diri dan kaum keluarga.

Walau bagaimanapun, di sebalik pandemik H1N1 yang meruncing ini, kita perlu meyakini bahawa setiap perkara yang berlaku itu terkandung hikmahnya tersendiri.Ia merupakan satu tanda, satu cetusan, satu peringatan untuk umat manusia renungkan dan fikirkan agar manusia kembali insaf atas amal perbuatannya.

Situasi yang berlaku kini juga sebenarnya mengajak kita untuk banyak mengingati Allah pada setiap masa, dan bertawakal kepada-Nya dalam apa jua urusan kita. Ini kerana tiada daya dan upaya melainkan dengan izin Allah.Dengan izin Allah kita masih selamat daripada jangkitan wabak selesema H1N1, dengan izin Allah kita senantiasa sihat zahir dan batin untuk meneruskan kehidupan.

Dengan izin Allah kita masih mempunyai peluang untuk menambah amal kebaikan, meninggalkan kemungkaran dan mengajak insan lain untuk maksud tujuan yang sama.Pada masa yang sama, kehidupan seharian perlu diteruskan. Kita tetap perlu keluar dari rumah atas pelbagai urusan, sama ada mencari rezeki, membeli barang keperluan, menuntut ilmu, melaksanakan ibadah, menjalankan dakwah dan sebagainya.

Namun kita tidak tahu apakah ketentuan takdir yang akan berlaku kepada kita, terutamanya apabila keluar sahaja dari rumah, pergi ke pelbagai tempat, dan menemui pelbagai pihak, tanpa kita ketahui siapa pembawa wabak, atau di kawasan manakah virus itu terawang-awang di ruang udara.

Kini kita perlu sentiasa memakai penutup muka, kerap membasuh tangan, berusaha mengelakkan tempat yang sesak, serta berjumpa doktor apabila berasa kurang sihat, semuanya kita lakukan demi mengurangkan risiko penularan wabak penyakit H1N1.

Kini juga, kita perlu berbelanja lebih atas pembelian barangan kesihatan yang jarang kita gunakan sebelum ini, seperti penutup muka, cecair pencuci tangan, dan penyukat suhu badan.

Hal ini berbeza dengan situasi kehidupan kita sebelum ini. Selama ini kita dianugerahkan nikmat untuk bergerak ke sana sini tanpa sebarang kebimbangan.

Kita ke masjid untuk bersolat jemaah, kita ke taman permainan untuk beriadah, kita ke kedai atau pasar raya untuk membeli barangan keperluan.

Rupa-rupanya nikmat ketenangan fikiran tanpa terfikir sebarang wabak penyakit telah hilang daripada kita, digantikan dengan kebimbangan terhadap penularan H1N1. Hal ini membuatkan kita sentiasa berwaspada, mungkinkah virus itu di mana-mana.

Memikirkan hal ini, rupa-rupanya selama ini kita hidup kerana kasih sayang Allah yang Memberi perlindungan kepada hamba-Nya dan Mengurniakan daya upaya kepada hamba-Nya untuk melakukan perbuatan yang diinginkan.

Seharusnya situasi ini mencetuskan rasa keinsafan kepada kita, bahawa dengan segala nikmat kehidupan yang masih kita kecapi seharusnya kita manfaatkan dengan sebaik-baiknya, sementara nyawa masih dikandung badan.

DOA SENJATA MUKMIN

Wabak H1N1 tidak mengenal sesiapa, baik yang muda atau tua turut menjadi korban. Yang kaya dan berdarjat tinggi turut tidak terkecuali, dengan harta yang dimiliki masih tidak dapat membeli vaksin pencegahan penyakit ini kerana masih tidak kedapatan.

Jika usia, harta kekayaan, dan tahap kesihatan kita tidak semestinya membolehkan kita benar-benar bebas daripada risiko penularan H1N1, lalu apakah sandaran kita untuk selamat dari sudut zahir dan tenang dari sudut fikiran daripada ancaman H1N1?

Sebagai Muslim, kita perlu berikhtiar untuk mengecapi sesuatu hajat, dan pada masa yang sama kita juga perlu berdoa kepada Allah, memohon agar hajat tersebut dimakbulkan.

Justeru dalam keadaan sekarang, amalan berdoa kepada Allah untuk memohon perlindungan-Nya agar kita terhindar daripada segala macam mudarat khasnya jangkitan atau penyembuhan H1N1 adalah amat disyorkan.

Amalan berdoa dapat memberikan kita ketenangan fikiran, kerana kita menyandarkan harapan kepada Allah yang Maha Berkuasa, beserta keyakinan bahawa doa kita akan dimakbulkan.

Jika belum dimakbulkan, maka kita meyakini bahawa Allah Maha Mengetahui apa yang terbaik untuk kita dan sentiasa bersangka baik kepada-Nya.

AMALKAN PEMAKANAN SUNNAH

Tatkala kita berusaha mencegah jangkitan penyakit H1N1, aspek pembinaan ketahanan tubuh badan juga perlu diberi perhatian khasnya melalui pemakanan kita.

Melalui cara pemakanan dan pemilihan makanan yang betul, tubuh kita mampu beroleh zat pemakanan yang secukupnya dan berkhasiat untuk menjalankan fungsi tubuh dengan baik serta mengelakkan jangkitan penyakit.

Sebagai umat Nabi Muhammad SAW, kita amat bersyukur kerana panduan kehidupan yang dianjurkan oleh Rasulullah tercinta turut merangkumi aspek pemakanan. Dan kita seharusnya yakin bahawa sunnah baginda dalam soal pemakanan mempunyai hikmah yang besar terhadap kesihatan tubuh badan dan jiwa.

Sebagai contoh, berdasarkan satu hadis sahih riwayat Bukhari dan Muslim, Rasulullah menganjurkan agar kita tetap dengan pengambilan habbatus sauda kerana ia merupakan ubat kepada pelbagai penyakit kecuali mati.

Begitu juga dengan adab-adab makan yang dianjurkan oleh Rasulullah SAW, pastinya terkandung hikmah yang menjurus kepada kesihatan zahir dan batin.

Umpamanya berhenti makan sebelum kenyang dapat membantu mengelakkan tubuh memperoleh zat berlebihan yang boleh menjurus kepada obesiti atau penyakit lain.

Justeru kita seharusnya berusaha untuk mengamalkan pemakanan sunnah yang mana ia adalah sebahagian daripada sunnah Rasulullah.

Untuk mengamalkan pemakanan sunnah, kita perlu memahami jenis makanan yang dipilih, cara makan serta adab-adab ketika makan.

Kita juga perlu berusaha ke arah meneroka rahsia hikmah pemakanan sunnah terhadap kesihatan manusia. Dengan izin Allah kita mungkin berupaya menemukan anekdot khusus kepada penyakit H1N1 melalui pemakanan sunnah.

Insya-Allah kita perlu yakin bahawa setiap penyakit ada ubatnya kecuali mati. Pada mana-mana makanan sunnah itu mungkin salah satunya mampu memberikan daya ketahanan khusus kepada tubuh badan kita agar terhindar daripada jangkitan H1N1.

Tetapi apa yang penting ialah pemakanan sunnah kita amalkan adalah kerana kita berusaha mengamalkan sunnah Rasulullah dalam kehidupan dengan matlamat mencapai keredaan Allah.

KESIMPULAN

Wabak H1N1 sebenarnya mengundang kita untuk sentiasa menyuburkan sifat bertawakal dan pengharapan kepada Allah pada setiap masa agar kita sentiasa terlindung daripada sebarang wabak penyakit, kejahatan makhluk, bencana atau apa jua kemudaratan.

Dengan doa, tawakal serta ikhtiar kita harapkan agar urusan kita dipermudahkan, diri kita dilindungi daripada wabak H1N1 atau kemudaratan lain serta mendapat ganjaran pahala daripada Allah.

Oleh MOHD FARID MD. ALIAS (www.utusan.com.my)