Tuesday, October 27, 2009

Tenggelamnya Kapal Van Der Wijck (Bhg. 7)

Berkirim-kiriman Surat

Sejak dapat diketahui oleh Zainuddin bahawa suratnya diterima baik oleh Hayati, bahawasanya pengharapannya bukanlah bagai batu jatuh ke lubuk, hilang tak timbul-timbul lagi, melainkan beroleh pujukan dan pengharapan, maka kembalilah dia pulang ke rumah bakonya tempatnya menumpang dengan senyum tak jadi, senyum panas bercampur hujan. Dia melengung ke kiri dan ke kanan, menghadap ke langit yang hijau, ke bumi yang nyaman dan ke sawah yang luas, ke puncak Merapi yang permai laksana bersepuhkan emas, ke air yang mengalir dengan hebatnya di Batang Gadis. Seakan-akan dihadapinya semua alam yang permai itu, membangga menerangkan suka cita hatinya.


Dia merasa bahawa keberuntungan yang demikian belum dirasainya selama hayatnya. Ini adalah sebagai ganjaran Tuhan atas kesabaran hatinya menanggung sengsara telah bertahun-tahun. Bilamana dia bertemu dengan seorang temannya, mahu dia rasanya menerangkan rahsianya, supaya orang itu turut tersenyum dengan dia, jangan dia seorang sahaja merasai kelazatan cinta. Bertemu beberapa orang anak kecil yang sedang bermain di halaman, atau sedang bermain layang-layang di sawah yang baru disabit, mahu dia rasanya mendermakan segala harta benda yang ada padanya kepada anak-anak itu, untuk memuaskan rasa gembira yang baru dikecapnya selama dia hidup.

Sampai di surau tempat dia tidur, ditulisnyalah sepucuk surat kepada Hayati. Kerana lebih merdeka dan lebih luas dia dapat menyusun kata menumpahkan perasaan hatinya, bilamana ditulisnya:


Hayati!

Meskipun mula-mula saya bertemu sesudah surat itu kukirim, tanganku gementar, maka sambutanmu yang halus atas kecemasanku telah menghidupkan semangatku kembali. Hayati, sampai sekarang, dan agaknya lama sekali baru kejadian itu akan dapat kulupakan. Kerana menurut perasaan hatiku, adalah yang demikian pintu keberuntungan yang pertama bagiku. Sampai sekarang Hayati, masih kerap kali saya merasai dadaku sendiri, menjaga apakah hatiku masih tersimpan di dalamnya, entah sudah terbang ke langit biru agaknya, lantaran terlalu merasa beruntung.

Pada perkataan-perkataan yang telah kau ucapkan, ternyata bahawa kasih sayangku, bahawa cintaku telah kau terima. Bahawa pengharapanku yang telah putus, kau hubungkan kembali. Tetapi Hayati, ada yang perlu kuterangkan padamu, supaya jangan engkau menyesal kemudian. Orang sukai seorang pemuda, kerana sesuatu yang diharapkannya dari pemuda itu, misalnya dia cantik dan gagah. Aku sendiri, sebagai yang kau lihat, begitulah keadaanku, rupaku yang jelek tak layak menjadi jodohmu, dan aku miskin. Misalnya Allah menyampaikan cita-cita hatiku, dan engkau boleh menjadi suntingku, menjadi isteri yang mengubat luka hatiku yang telah bertahun-tahun, agaknya akan malu engkau berjalan bersanding dengan daku, kerana amat buruk memperdekatkan loyang dengan emas, mempertalikan benang dengan sutera. Bagiku, Hayati, engkau sangat cantik. Kecantikanmu itu kadang-kadang yang menyebabkan daku putus asa, mengingat buruk diriku dan buruk untungku.

Tetapi pula, kalau kau hendak mendasarkan cinta itu pada dasar keikhlasan, pada keteguhan memegang janji, pada memandang kebaikan hati dan bukan kebaikan rupa. Kalau engkau bukan mengharapkan kayaku, tetapi mengharapkan pengorbanan jiwaku untukmu, kalau engkau sudi kepadaku dan tidak merasa menyesal jika kelak bertemu dengan bahaya yang ngeri dan kecimus bibir; kalau semuanya itu tidak engkau pedulikan, Hayati, sebagai kukatakan dahulu, engkau akan beroleh seorang sahabat yang teguh setia.

Kalau semuanya itu telah engkau ingat benar, dan engkau sudi berenang ke dalam lautan cinta, ketahuilah bahawa saya beruntung berkenalan dengan engkau, dan moga-moga engkau pun beruntung berkenalan dengan saya.

Zainuddin.


Surat yang ketiga:

Sahabatku Hayati!

Sebagai kukatakan dahulu, lebih bebas saya menulis surat daripada berkata-kata dengan engkau. Saya lebih pandai meratap dalam surat, menyesal dalam surat, mengupat dalam surat. Kerana bilamana saya bertemu dengan engkau, maka matamu yang sebagai Bintang Timur itu sentiasa menghilangkan susun kataku.

Sebelum bertemu, banyak yang teringat, setelah bertemu semuanya hilang, kerana kegembiraan pertemuan itu telah menutupi akan segala ingatan.

Inilah suratku yang ketiga. Dan alangkah beruntungnya perasaan hatiku jika beroleh balasan, padahal sepucuk pun belum pernah engkau balas. Tahu saya apa jadi sebabnya. Bukan lantaran engkau tak dapat mengarang surat sebagai engkau katakan, tetapi hanyalah lantaran engkau masih merasa sebagaimana kebanyakan perasaan umum pada hari ini, bahawasanya berkirim-kiriman surat percintaan itu adalah aib dan cela yang paling besar, cinta palsu dan bukan terbit dari hati yang mulia. Tapi, Hayati, perasaan saya lain dari itu. Iaitu kalau perasaan hati itu hanya disimpan-simpan sahaja, tidak diutarakan dengan kejujuran, itulah yang bernama cinta palsu, cinta yang tidak percaya kepada diri sendiri.

Rasanya lebih aib dan lebih cela anak perempuan yang sengaja menunduk-nundukkan kepalanya jika melihat seorang laki-laki, tetapi setelah selendangnya dibukanya, dia mengintip orang lalu lintas dari sebelah dinding. Dengan surat-surat kita belajar berbudi halus. Dalam susunan surat-surat dapat diketahui perkataan-perkataan yang pepat di luar, pancung di,dalam. Dengan surat-surat dapat diketahui dalam dangkalnya budi pekerti manusia.

Bacalah, dan bacalah suratku ketiga-tiganya.
Adakah di sana terdapat saya berminyak air, mencuba menarik-narik hati? Bagi saya meskipun perjalanan cinta yang akan kita tempuh itu takkan hasil, surat itu sudah cukuplah untuk menguji budi saya.

Kirimlah surat kepadaku tanda jujurmu. Tanda benar-benar engkau hendak membela diriku. Kirimlah dan janganlah engkau takut bahawa surat ini akan saya jadikan perkakas untuk membukakan rahsiamu jika ternyata engkau mungkir atau tak sanggup memenuhi janji. Hayati! Lapangan alam ini amat luas, dan Tuhan telah memberi kita kesanggupan mengembara di dalam lapangan yang luas itu. Maka jika kita beruntung, dan Allah memberi izin kita hidup sebagai suami dan isteri, adalah surat-surat itu untuk mematrikan cinta kita, jadi pengubat batin di dalam mendidik anak-anak. Tetapi kalau kiranya pertemuan nasib dan hidup kita tidak beroleh keizinan Tuhan sejak dari azali-Nya, adalah pula surat-surat itu akan jadi peringatan dari dua orang bersahabat atas ketulusan mereka menghadapi cinta, tidak terlangkah kepada kejahatan dan tidak melanggar perikesopanan.

Jangan engkau berwas-was kepadaku Hayati, mengirimkan suratmu. Surat-suratmu akan kusimpan baik-baik, akan kujadikan azimat tangkal penyakit, tangkal putus pengharapan. Dan hilangkanlah sangka burukmu itu, takut suratmu jika kujadikan perkakas membusuk-busukkan namamu.

Ah, mentang-mentang saya seorang anak orang terbuang, orang menumpang di negeri ini, tidaklah sampai serendah itu benar budiku. Suratmu, Hayati,' sekali lagi suratmu.

Zainuddin


Tiba-tiba sedang Zainuddin asyik menunggu-nunggu balasan dari suratnya, datang adik Hayati, Ahmad yang masih kecil itu, membawa surat. Berdebar sangat jantung Zainuddin demi bila membuka sampul surat itu:


Tuan Zainuddin !

Ketiga surat Tuan telah saya baca dengan mafhum, sekali-kali bukanlah saya tak menghargai surat-surat itu, bukan pula cemburu Tuan akan merendahkan nama saya. Keterangan yang lebih panjang tak dapat saya berikan dengan surat. Sebab itu, kalau Tuan tak keberatan, saya hendak bertemu sendiri dengan Tuan, nanti petang di dangau di sawah tempat kita bertemu mula-mula tempoh hari. Saya akan datang dengan adikku.

Hayati

Ah, mengapa sedingin ini saja isi surat Hayati, kata Zainuddin dalam hatinya. Dingin benar, apakah saya telah terlalu terdorong? Orang tentu maklum bahawasanya orang yang sedang dimabuk cinta itu, penuh hatinya dengan cemburu. Kadang-kadang cinta bersifat tamak dan loba, kadang-kadang was-was dan kadang-kadang putus asa.

Ditunggunya hari sampai petang, pada waktu orang-orang di sawah telah beransur pulang dan anak gembala telah menghalau ternaknya ke kandang. Maka Zainuddinlah yang telah berdiri lebih dahulu menunggu Hayati di dangau tersebut. Tidak berapa saat kemudian, Hayati datang pula diiringkan oleh adiknya.

"Sudah lama agaknya Tuan menunggu saya di sini?" kata Hayati.
"Biar sampai matahari terbenam dan cahaya diberikan oleh bintang-bintang, saya akan menunggu kedatanganmu. Kerana orang yang sebagai kau, tidaklah akan sudi memungkiri janjinya."

Maka duduklah mereka berhampir-hampiran. Hayati termenung dan kepalanya tertekur ke bumi, sepatah perkataan pun belum dimulainya.

"Mengapa saya dengan suratku, Hayati? Besarkah kesalahan saya, makanya kau tak sudi membalasnya, sehingga perlu pula memberi keterangan ke mari dahulu? Hayati, ini hati yang tersimpan dalam dadaku, ini nyawa yang memberikan keizinan tubuhhku tinggal hidup, ini semuanya telah lama mati pada hakikatnya. Pujukan kau saja, hanya semata-mata itulah lagi pengharapanku menempuh hayat. Mengapa engkau masih mundur maju?

Hayati menangis, dua titis air mata mengalir di pipinya. "Kau menangis Hayati? Apakah tidak terlalu berlebih-lebihan jika kau akan menanggung rugi lantaran diriku? Bukankah air matamu dan nafasmu yang turun naik, lebih berharga daripada diriku ini? Jangan kau menangis, kau boleh menentukan vonis, mengambil keputusan terhadap diriku. Nyatakan bahawa cintaku kau balas, kalau memang kau ada mempunyai itu. Itulah kelak akan jadi modal hidup kita berdua. Asal saya tahu kau cinta, saya tak harapkan apa-apa sesudah itu, kita tak akan melanggar perintah Ilahi. Tetapi kalau kau memang tak merasa terhadap diriku sebagai yang kurasa, kau tak cinta kepadaku, nyatakanlah itu dengan terus terang, sebagai pernyataan seorang sahabat kepada sahabatnya. Kalau keputusan itu yang kau berikan, walau pun mukaku akan hitam menghadapimu di sini, lantaran malu, saya akan tahankan, saya sudah biasa tahan tergiling dari kecilku."

"Bukan begitu, Tuan Zainuddin. Bukan saya benci kepada Tuan; kerana saya kenal budi baik Tuan. Saya merasa kasihan di atas segala penanggungan yang menimpa Tuan. Tapi Tuan, sebuah yang saya takutkan, iaitu saya takut akan bercinta-cintaan."
"Kau takut?"

"Ya, sebab pepatah telah pemah menyebut, bahawasanya seorang memburu cinta, adalah laksana memburu kijang di rimba belantara. Bertambah diburu bertambah jauh dia lari. Akhimya tersesat dalam rimba, tak mampu pulang lagi. Saya takut akan terikat oleh percintaan, kerana saya seorang gadis kampung yang telah lama kematian ibu. Harta benda yang banyak itu bukanlah kepunyaanku tetapi di bawah kuasa suku. Saya miskin dan papa. Saya tak ada ibu yang mengasuh, tak mempunyai saudara yang akan membela."
"Tapi percayakah engkau bahawa hatimu suci?"
"Cuma itulah pedomanku, Tuan; saya percaya hatiku suci dan tiada bermaksud jahat kepada sesama manusia."

"Kalau ada kepercayaanmu demikian, maka Tuhan tidaklah akan menyia-nyiakan engkau. Sembahlah Dia dengan khusyuk, ingat Dia pada waktu kita senang, supaya Dia ingat pula kepada kita pada waktu kita sengsara. Dialah yang akan membimbing tanganmu. Dialah yang akan menunjukkan haluan hidup kepadamu. Dialah yang akan menerangi jalan yang gelap. Jangan takut menghadapi cinta. Ketahuilah bahawa Allah yang menjadikan matahari dan memberinya cahaya. Allah yang menjadikan bunga dan memberinya wangi. Allah yang menjadikan tubuh dan memberinya nyawa. Allah yang menjadikan mata dan memberinya penglihatan. Maka Allah pulalah yang menjadikan hati dan memberinya cinta. Jika hati kau diberi-Nya nikmat pula dengan cinta sebagaimana hatiku, marilah kita pelihara nikmat itu sebaik-baiknya, kita jaga dan kita pupuk, kita pelihara supaya jangan dicabut Tuhan kembali. Cinta adalah iradat Tuhan, dikirimnya ke dunia supaya tumbuh. Kalau dia terletak di atas tanah yang lekang dan tandus, tumbuhnya akan menyiksa orang lain. Kalau dia datang kepada hati yang keruh dan kepada budi yang rendah, dia akan membawa kerosakan. Tetapi jika dia hinggap kepada hati yang suci, dia akan mewariskan kemuliaan, keikhlasan dan taat kepada Ilahi."

Sedang Zainuddin berkata-kata demikian, Hayati masih tetap menekurkan kepalanya, air matanya ... lebih banyak jatuh dari yang tadi.
"Mengapa kau masih menangis, Hayati?"
"Segala perkataan Tuan itu benar, tidak ada yang salah. Tapi peredaran masa dan zaman sentiasa berlain dengan kehendak manusia, di dalam kita tertarik dengan tertawanya, tiba-tiba kita diberinya tangis. Saya ingat kekerasan adat di sini, saya ingat kecenderungan mata orang ramai, akan banyak halangannya jika kita bercinta-cintaan. Saya takut bahaya dan kesukaran yang akan kita temui, jika jalan ini kita tempuh."
"Jadi ... ? "
"Lebih baik kita tinggal bersahabat saja."
"Kita bersahabat dan kita bercinta, Hayati. Kerana
kalau kau tak cinta kepadaku, ertinya kau bukan bersahabat."
"Habisi sajalah hingga ini, Tuan."
"Oh,jadi, kau telah mengambil keputusan yang tetap?" Lama Zainuddin termenung mendengar kalimat itu,
beberapa saat lamanya dia tak dapat berkata-kata. Setelah itu dengan suara lemah dia berkata: "Baiklah, Hayati! Besar salahku memaksa hati yang tak mahu. Baiklah, marilah kita tinggal bersahabat, saya takkan mengganggumu lagi. Pulanglah ke rumah, tidak ada keizinan Tuhan atas pertemuan dua orang muda yang sebagai kita ini kalau memang tak ada perkenalan batin ... "

Maka turunlah Zainuddin dari tempat duduknya, lalu pergi. Berkunang-kunang dilihatnya alam lebar ini. Dia melangkah perlahan sekali, kerana badannya rasa baying-bayang. Dan baru diseberangi bandar kecil dekat sawah itu, langkahnya, tak kuat lagi, dia terjatuh ....

Hayati takut akan kena cinta. Takut menghadapi cinta, itulah cinta yang sejati. Dia memberi vonis "tidak cinta" kepada Zainuddin, ertinya dia memberikan vonis kematian kepada dirinya sendiri. Setelah agak jauh Zainuddin berjalan, dia pun tak tahan pula lagi, dia meniarap ke lantai di dangau itu menahan hatinya, dan hati tidak juga tertahan.
"Ahmad," katanya kepada adiknya dengan tiba-tiba yang berdiri di samping dangau itu, dan matanya pun turut balut menangis.
"Ini saya, Kak!"
"Panggil Tuan Zainuddin kembali!"
Maka berlari-Iarilah Ahmad mengejar Zainuddin, didapatinya Zainuddin tengah duduk tersimpuh di tepi bandar air yang akan dialirkan orang ke sawah. Dibimbing¬nya pulang ke dangau itu kembali.
"Apa, Hayati?"
"Saya cinta akan dikau, biarlah hati kita sama-sama dirahmati Tuhan. Dan saya bersedia menempuh segala bahaya yang akan menimpa dan sengsara yang mengancam."
"Hayati ... kau kembalikan jiwaku! Kau izinkan aku hidup. Hulurkanlah tanganmu, marilah kita berjanji bahawa hidupku bergantung kepada hidupmu, dan hidupmu bergan¬tung kepada hidupku. Yang menceraikan hati kita, meskipun badan takbertemu, ialah bi la nyawa bercerai dengan badan."

Matahari pun mulailah bersembunyi ke balik Gunung Singgalang. Dan dari sebuah surau di kampung yang jauh kedengaran bunyi tabuh, diiringkan oleh suara azan: .............. Hayya alal falaah!

Bersambung…………..



Pengarang: HAMKA
Tajuk : Tenggelamnya Kapal Van Der Wijck

No comments: