Monday, May 31, 2010

Membaca Ameen

Setiap seseorang yang mengerjakan solat, sama ada imam, makmum mahupun mengerjakan solat secara bersendirian, disunatkan membaca Amen denga suara yang kuat setelah membaca surah Al-Fatihah. Ia mesti dibaca dengan suara kuat dalam solat yang diharuskan membaca bacaan dengan suara kuat dan suara perlahan dalam solat yang diharuskan membaca bacaan dengan suara perlahan.

Dari Nu`aim Al-Mujammir, katanya yang bermaksud:
”Aku pernah mengerjakan solat dibelakang Abu Hurairah R.A lalu membaca” بِسْمِ اللَّهِ الرَّحْمَنِ الرَّحِيمِ” . Kemudian membaca surah Umm Quran (Al-Fatihah) hingga apabila membaca ” وَلاَ الضَّالِّينَ”  beliau membaca “Amen”  dan para makmum pun mengikuti bacaan “Amen” itu. Setelah memberi salam, Abu Hurairah berkata: “Demi Tuhan yang telah menguasai diriku! Solatku ini adalah yang paling mirip dengan solat yang pernah dilakukan Oleh Rasulullah S.A.W”.

(Al-Bukhari menyatakan bahawa hadis ini secara muallaq (tanpa sanad). * Diriwayatkan oleh An-Nasai , Ibnu Khuzaimah, Ibnu Hibban dan Ibnu Siraj)

Dalam Sahih Al-Bukhari dinyatakan:

“Berkata Ibnu Shihab: “Adalah Rasulullah S.A.W sentiasa membaca “Amen” . Atha` berkata: “Membaca “Amen” adalah sebagai doa`. Ibnu Zbair dan para makmumnya membaca “Amen”  hingga terdengar suara gemuruh di dalam masjid. Nafi` pula berkata: “Ibnu Umar tidak pernah meninggalkan bacaan “Amen” dan emmerintahkan para makmum supaya membacanya. Aku juga mendengar sebuah hadis tentang mengenai perkara ini daripadanya”.

Wallahu a`lam
______________________
* Yang dimaksudkan dengan hadis muallaq adalah hadis yang tidak disebut sanadnya.

Thursday, May 27, 2010

Membaca surah Al-Quran selepas Al-Fatihah

Seseorang yang mengerjakan solat disunatkan membaca surah atau beberapa ayat Al-Quran setelah membaca surah Al-Fatihah, iaitu pada kedua rakaat solat Subuh, solat Jumaat, kedua rakaat pertama dari solat Zohor, Asar, Maghrib dan Isya`, serta pada kesemua dua rakaat solat sunat.

Dari Abu Qatadah, bahawa:

عن أبي قتادة - رضي الله عنه - قال: كان النبي - صلى الله عليه وسلم - «يقرأ في الركعتين الأوليين من صلاة الظهر بفاتحة الكتاب وسورتين، وكان يُطوِّلُ في الأولى ويقصر في الثانية، ويُسِمعُ الآية أحياناً وكان يقرأ في صلاة العصر بفاتحة الكتاب وسورتين وكان يُطوِّلُ في الأولى من صلاة الصبح ويقصر في الثانية

Yang bermaksud:
”Nabi S.A.W membaca surah Al-Fatihah dan dua surah pada dua rakaat pertama dari solat Zohor. Manakala pada dua rakaat terakhir pula, beliau membaca Al-Fatihah sahaja. Terkadang beliau menguatkan suara bacanya sehingga kami mendengarnya membaca ayat lain. Dan Beliau membaca pada solat Asar surah Al-Fatihah dan dua surah. Dan memanjangkan (bacaan) pada rakaat yang pertama dari solat Subuh dan memendekkan (bacaan) pada rakaat yang ke dua)”
(Diriwayatkan oleh Al-Bukhari, Muslim dan Abu Daud)

Abu Daud menambahkan yang bermaksud:
”Hingga kami mengira, bahawa dengan begitu beliau bermaksud supaya para makmum yang terlambat datang sempat mengejar rakaat yang pertama” 

Dari Jabir bin Samurah, katanya:
“Penduduk Kufah mengadukan perkara Sa`ad kepada Umar hingga mengakibatkan beliau diberhentikan dari jawatannya sebagai gabenor dan kemudian kedudukannya iti digantikan oleh Ammar. Penduduk Kufah pun mengadukan kepada Ammar bahawa cara solat Sa`ad tidak betul. Kemudian Ammar mengirimkan utusan kepada Sa`ad, supaya dihadapkan kepada Ammar. Ammar bertanya:”Wahai Abu Ishaq (panggilan Sa`ad)! Mereka menuduh bahawa solat yang kamu lakukan tidak betul!.

Lalu Abu Ishaq menjawab: Demi Allah! Sesungguhnya solat yang aku lakukan sebelum ini bersama mereka ialah berdasarkan cara solat Rasulullah S.A.W. Aku tidak pernah menguranginya. Aku mengerjakan solat Isya` dengan memanjangkan kedua rakaat pertama dan memendekkan kedua rakaat yang terakhir.”

Ammar menjawab:”Itulah sangkaan mereka kepadamu wahai Abu Ishaq.” Kemudian Sa`ad mengutus seseorang atau beberapa orang lelaki yang mendampinginya untuk datang ke Kufah. Orang itu pun akhirnya menanyakan kepada penduduk Kufah, hingga tidak satu masjid pun yang ada di Kufah melainkan ditanya mengenai pendapat mereka tentang Sa`ad. Mereka pun memuji kebaikan Sa`ad.

Akhirnya, ketika mereka masuk ke sebuah masjid milik Bani Abbas, berdirilah seorang lelaki yang bernama Usamah bin Qatadah yang akrab dipanggil dengan Abu Sa`dah. Dia berkata: “Oleh kerana kamu telah menanyakan hal ini kepada kami atas nama Allah, maka kami akan menjelaskan hakikat sebenar Sa`ad: “Sebenarnya, Sa`ad tidak menjalankan tugasnya sesuai aturan, tidak adil dalam membahagikan harta dan tidak adil dalam urusan pengadilan.”"

Sa`ad pun menyahut dakwaan bohong itu dengan berkata:”Jikalau betul demikian, Demi Allah! aku akan memohon tiga permintaan kepada Allah: Ya Allah! Jika hamba-Mu ini seorang pembohong dan berdiri disini, kerana riya` (mencari muka) dan sum`ah (mengejar populariti, maka panjangkanlah umurnya, belenggulah dirinya dengan kemiskinan dan jadikanlah dia sebagai sasaran fitnah!.

Akhirnya, orang itu pun mengeluh dan menyesal atas kesaksian bohongnya dengan berkata:” Aduh! Aku ini sudahlah seorang tua yang menderita! Sungguh diriku telah ditimpa kutukan Sa`ad!”

Abdul Malik berkata:”Di kemudian hari, aku melihat kedua alis orang yang terkena kutukan Sa`ad jatuh seakan menutup kedua belah matanya kerana sokong. Setiap kali berjalan, dia menjadi sasaran gurauan hamba sahaya yang mengganggunya” *

Wallahu a`lam…

___________________
*Diriwayatkan oleh Al-Bukhari (Kitab Fathul Bari) Bab kewajipan membaca Al-Fatihah dibelakang imam. Jilid 2 M/s 276.

Sunday, May 23, 2010

Tenggelamnya Kapal Van Der Wijck (Bhg. 15)

MEMINANG

Bagi setengah orang, mencari isteri amat sukar dan payah, mesti bercinta-cintaan lebih dahulu. Bagi setengah orang dipandang perempuan yang akan jadi isterinya itu laksana gunung tinggi payah mendaki, sehingga dia mundur maju hendak menyatakan pinangannya kepada perempuan itu atau kepada keluarga. Padahal di pihak yang lain perempuan sentiasa pula menunggu. Sehingga lantaran tunggu-menunggu, umur pun berjalan juga, cita-cita habis di tengah-tengah. Tiba-tiba datang orang lain yang tidak banyak perhitungan, tidak banyak fikir, dia meminang lebih dahulu, sehingga maksudnya langsung, dan yang mempunyai cita-cita bermula tinggal menggigit jari.

Di dalam rumahtangga Khadijah tidak lama orang timbang menimbang, segera saja sepakat hendak meminang Hayati untuk Aziz. Apalagi sudah berat fikiran mereka bahawa permintaan mereka akan terkabul. Sebab segala syarat syarat rasanya cukup, tiada yang kurang. Wang ada, pangkat pun ada, terpandang pula dalam negeri. Duduk sama rendah tegak sama tinggi. Bagai bulan dengan matahari.

Pada waktu yang telah ditentukan, setelah genap muafakat Aziz dengan keluarganya, disuruhlah orang suruhan yang bijak menyampaikan permintaan kepada kaum kerabat Hayati, membawa sirih nan secabik, pinang nan segetap. Sampai di Batipuh diterima dengan peribahasa yang halus-halus oleh kaum kerabat maklumlah mengadu malu dengan budi.

Dibentangkan orang lapik putih di tengah rumah nan gedang, di sana telah menyambut perempuan-perempuan dan di dalamnya duduk bersama-sama Mak Tengah Limah. Menurut adat pula, segala permintaan itu belum akan dijawab pada hari yang sehari itu. Kalau rasa akan terkabul, diberi tangguh orang yang datang agak seminggu. Tetapi kalau rasa tak akan terkabul,dalam tiga hari saja hal itu telah dapat diputuskan.

Ketika meminta janji itu, si kerabat beralasan bahawa mamak-mamaknya belum cukup hadir, padahal memang disengaja tidak hadir. Dikatakan bakonya perlu tahu, sapih belahan empat jurai di kampung anu, hindu suku di dusun anu, perlu tahu lebih dahulu. Maksudnya ialah untuk memperlihatkan ketinggian adat istiadat yang dipakai, meninggikan darjat pusaka yang dijawat turun-temurun.

Dan bila utusan itu pulang kembali ke Padang Panjang, baru saja dia sampai di halaman, orang di dalam rumah sudah dapat mengira-ngirakan bahawa maksud mereka rasa-rasakan hasil. Aziz sejak hitungan ini di dalam rembukan boleh dikatakan tiap-tiap hari Sabtu petang telah tiba di Padang Panjang, hari Minggu petang pula baru kembali.Mimpinya sudah banyak yang bagus, maksudnya akan berhasil.

Sedang zainuddin duduk menghafazkan pelajaran yang baru diterima dari gurunya sehabis sembahyang maghrib, dia dikejutkan oleh suara tukang hantar surat menyerukan "pos!!.. surat itu pun diterimanya, tetapi tangannya menggigil, teralamat dari Mengkasar. Segera dibukanya, tentu saja dari Mak Base yang tercinta. Tetapi bukan dari Mak Base, hanya dari Daeng Masiga. Seorang tetangga yang di kenalnya betul-betul dan banyak perhubungan dengan dia sebelum dia berangkat meninggalkan Mengkasar.

Isi surat itu demikian:

(kullu man alaiha fan, wayabqo wajhu robbika zuljalali wal ikram)
yang bermaksud:" Tiap-tiap orang yang di bumi akan lenyap, dan akan kekal wajah Tuhanmu, Yang Maha Tinggi dan Maha Mulia."

Anakanda Zainuddin berselamat di Padang Panjang.
Dengan serba pendek saja paman nyatakan. Bahawa telah berlaku kadar Allah atas hambanya yang dhaif dan lemah, iaitu mak angkat mu Base,telah berlalu dari kalangan kita, kembali ke tanah asalnya. "Dari sana dia datang, dan kesana dia kembali"

Inna lillahi wa inna ilaihi rajiun. Penyakit yang dihidapkannya tidaklah begitu berat.
Tetapi maut tidaklah membezakan berat ringan penyakit, kerana penyakit hanyalah sebab jua, dan ketentuan ajal juga yang mesti berlaku.

Saya sampaikan surat ini kepadamu, juga sebagai menerangkan wasiat dan peninggalan almarhumah, iaitu supaya kelak jika engkau ada peluang kembali ke Mengkasar ziarahlah ke kuburannya, yang tiada orang yang mempedulikan kalau bukan engkau sendiri.

Lain dari itu, sesudah habis menyelesaikan hutang piutang yang ditinggalkannya, akan saya kirimkan minggu hadapan wang itu sama sekali dan yang terpegang di tangan saya sekarang barulah Rp3.200,OO kontan.

Meminta juga fikiranmnu, tentang harta bendamu, rumah dan setumpak tanah peninggalan ayahmu. Kalau engkau suruh jual, kirimilah saya surat kuasa. Tetapi menurut fikiran saya, kerana sejauh-jauh anak berjalan, entah ada juga Butta Jum Pandang menyerumu, lebih baik tanah-tanah itu tak dijual. Sebelum engkau pulang, saya sanggup menjaganya, dengan tidak mengharapkan apa-apa!
Moga-moga Allah memberikan perlindungan-Nya kepada kita semuanya ....

Daeng Masiga

B E R S A M B U N G……

Saturday, May 15, 2010

Warkah Untuk Guru

Jika hari ini seorang Perdana Menteri berkuasa,
Jika hari ini seorang Raja menaiki takhta,
Jika hari ini seorang Presiden sebuah negara,
Jika hari ini seorang Ulama` yang mulia,
Jika hari ini seorang peguam menang bicara,
Jika hari ini seorang penulis terkemuka,
Jika hari ini siapa saja menjadi dewasa,
Sejarahnya dimulakan oleh seorang guru biasa."


(U.A- 1979)

____________
*Selamat Hari Guru

Wednesday, May 12, 2010

Di antara Syirik Besar

Allhamdulillahi wakafa..

Di antara contoh syirik besar- dan hal ini umum dilakukan- adalah menghalalkan apa yang diharamkan oleh Allah atau sebaliknya. Atau kepercayaan bahawa seseorang memiliki hak dalam masalah tersebut selain Allah Azza Wajalla. Atau berhukum kepada perundangan jahiliyyah secara sukarela dan atas kemahuannya, seraya menghalalkannya dan berkeyakinan bahawa hal itu dibolehkan. Allah menyebutkan kufur besar dalam firman-Nya:

اتَّخَذُوا أَحْبَارَهُمْ وَرُهْبَانَهُمْ أَرْبَابًا مِنْ دُونِ اللَّهِ

Yang bermaksud: ”Mereka menjadikan pendita-pendita dan Ahli-ahli ugama mereka sebagai pendidik-pendidik selain dari Allah” (At-Taubah: 31)

Ketika Adi bin Hatim mendengar ayat tersebut dibaca oleh Rasulullah S.A.W , ia berkata: “Orang-orang itu tidak menyembah mereka” Lalu Rasulullah dengan tegas bersabda yang bermaksud :

”Benar, tetapi mereka (orang-orang alim dan para rahib) menghalalkan untuk mereka apa yang diharamkan oleh Allah, sehingga mereka menganggapnya halal. Dan mengharamkan atas mereka apa yang dihalalkan oleh Allah, sehingga mereka menganggapnya sebagai barang haram. Itulah bentuk ibadah mereka kepada orang-orang alim dan para rahib tersebut.”
(Hadis riwayat Al-Baihaqi dalam As-Sunanul kubra, Sheikh Albani menggolongkannya dalam hadis hasan, lihat Ghayatul Maram m/s 19.)

Allah menjelaskan, di antara sifat orang-orang musyrik adalah sebahagian dalam firman-Nya:

وَلا يُحَرِّمُونَ مَا حَرَّمَ اللَّهُ وَرَسُولُهُ وَلا يَدِينُونَ دِينَ الْحَقِّ

Yang bermaksud: "Dan mereka pula tidak mengharamkan apa Yang telah diharamkan oleh Allah dan RasulNya, dan tidak beragama dengan agama yang benar (agama Allah). (At-Taubah:29)

Dan firman Allah:

قُلْ أَرَأَيْتُمْ مَا أَنْزَلَ اللَّهُ لَكُمْ مِنْ رِزْقٍ فَجَعَلْتُمْ مِنْهُ حَرَامًا وَحَلالا قُلْ آللَّهُ أَذِنَ لَكُمْ أَمْ عَلَى اللَّهِ تَفْتَرُونَ

Yang bermaksud: "Katakanlah (kepada kaum Yang mengada-adakan sesuatu hukum): "Sudahkah kamu nampak baik-buruknya sesuatu Yang diturunkan Allah untuk manfaat kamu itu sehingga dapat kamu jadikan sebahagian daripadanya haram, dan sebahagian lagi halal?" Katakanlah lagi (kepada mereka): "Adakah Allah izinkan bagi kamu berbuat demikian, atau kamu hanya mengada-adakan secara dusta terhadap Allah?". (Yunus: 59)

_____________________________
* Petikan dari kitab المحرماث اسثهان بها الناس يجب الحذر منها Oleh syeikh Soleh Munajjid.

Monday, May 10, 2010

Ibu Mithali

Ibu mithali ibu yang sejati
Kasih sayangmu kasih yang suci
Pengorbananmu di sanjung tinggi
Jasamu tetap disanubari

Ibu oh ibu fitrah ku murni
Kelembutanmu menyentuh hati
Semai kasih mu dalam jiwaku
Kau di sayangi kerna menyayangi

Ibu oh ibu hatimu suci
Tulus ikhlasmu mendidik daku
Sanggup bersusah dan menderita
Demi kebahgiaan sekeluarga

Ibu oh ibu kau serikandi
Bakti amalmu tidak terperi
Beramal soleh berperibadi
Menta'ati Allah juga suami

Ibu mithali ibu yang sejati
Kasih sayangmu kasih yang suci
Pengorbananmu di sanjung tinggi
Jasamu tetap disanubari

Allah berfirman:

وَقَضَى رَبُّكَ أَلا تَعْبُدُوا إِلا إِيَّاهُ وَبِالْوَالِدَيْنِ إِحْسَانًا إِمَّا يَبْلُغَنَّ عِنْدَكَ الْكِبَرَ أَحَدُهُمَا أَوْ كِلاهُمَا فَلا تَقُلْ لَهُمَا أُفٍّ وَلا تَنْهَرْهُمَا وَقُلْ لَهُمَا قَوْلا كَرِيمًا (٢٣)وَاخْفِضْ لَهُمَا جَنَاحَ الذُّلِّ مِنَ الرَّحْمَةِ وَقُلْ رَبِّ ارْحَمْهُمَا كَمَا رَبَّيَانِي صَغِيرًا (٢٤)

Yang bermaksud: “Dan Tuhanmu telah perintahkan, supaya Engkau tidak menyembah melainkan kepadanya semata-mata, dan hendaklah Engkau berbuat baik kepada ibu bapa. jika salah seorang dari keduanya, atau kedua-duanya sekali, sampai kepada umur tua Dalam jagaan dan peliharaanMu, maka janganlah Engkau berkata kepada mereka (sebarang perkataan kasar) sekalipun perkataan "UF", dan janganlah Engkau menengking menyergah mereka, tetapi Katakanlah kepada mereka perkataan Yang mulia (yang bersopan santun).”

“Dan hendaklah Engkau merendah diri kepada keduanya kerana belas kasihan dan kasih sayangmu, dan doakanlah (untuk mereka, Dengan berkata): "Wahai Tuhanku! Cucurilah rahmat kepada mereka berdua sebagaimana mereka telah mencurahkan kasih sayangnya memelihara dan mendidikku semasa kecil."

(Surah Al-Isra`: 23-24)
____________
*Terima kasih Ibu diatas segala pengorbananmu, Hanya Allah yang dapat membalasnya...Selamat Hari Ibu…..

Saturday, May 8, 2010

Solat Dhuha

KEUTAMAAN

Salam Sejahtera, Banyak hadis yang menyatakan keutamaan Solat Dhuha, diantaranya:

عن أبي ذر رضي الله عنه أيضا أن رسول الله صلى الله عليه وسلم قال : “يصبح على كل سلامى من أحدكم صدقة فكل تسبيحة صدقة وكل تحميدة صدقة وكل تهليلة صدقة وكل تكبيرة صدقة وأمر بالمعروف صدقة ونهي عن المنكر صدقة ويجزئ من ذلك ركعتان يركعهما من الضحى” رواه مسلم

Yang bermaksud:
Dari Abu Zar R.A katanya: Rasulullahi S.A.W bersabda:” Hendaklah setiap kamu bersedekah untuk setiap ruas tulang tubuhmu pada setiap pagi. Sebab setiap kali bacaan tasbih itu adalah sedekah. Setiap tahmid adalah sedekah, setiap tahlil adalah sedekah, setiap takbir adalah sedekah, menyuruh orang lain agar melakukan amal kebaikan adalah sedekah, melarang orang lain agar tidak melakukan kemungkaran adalah sedekah, dan semua itu boleh dilakukan dengan mengerjakan dua rakaat Solat Dhuha”. (Hadis Riwayat Muslim)

Imam As-Syaukani berkata:” Hadis ini menunjukkan betapa besarnya keutamaan mengerjakan Solat Dhuha! Betapa tinggi kedudukannya! Dan betapa kuatnya perintah syariat agar solat tersebut sentiasa dikerjakan! Dua rakaat Solat Dhuha dapat menggantikan tiga ratus enam puluh kali sedekah. Oleh itu, hendaklah seseorang mengerjakannya secara berterusan.

Di samping itu, hadis tersebut memberikan petunjuk agar kita memperbanyak membaca tasbih, tahmid dan tahlil, menyuruh kebaikan, melarang kemungkaran, menyingkir setiap gangguan dijalan dan amal-amal kebaikan yang lain. Dengan demikian bererti seseorang telah bersedekah sebagaimana yang telah diperintahkan pada setiap harinya
.”

عن أبى هريرة رضي الله عنه قال: [ أوصاني خليلي  صلى الله عليه وسلم بثلاث: بصيام ثلاثة أيام في كل شهر وركعتي الضحى وأن أوتر قبل أن أنام ] رواه البخاري ومسلم

Yang bermaksud:
Dari Abu Hurairah R.A, katanya: “Nabi S.A.W, kekasihku berwasiat kepadaku sebanyak 3 perkara, iaitu: Puasa tiga hari setiap bulan, mengerjakan dua rakaat Solat Dhuha dan mengerjakan solat witir terlebih dahulu sebelum tidur.”
(Hadis riwayat Al-Bukhari & Muslim)

HUKUMNYA

Solat Dhuha adalah Ibadat yang disunatkan. Oleh itu, sesiapa yang menginginkan pahalanya, hendaklah dia mengerjakannya. Tetapi jika tidak mengerjakan, maka tidaklah mengapa. Dari Abu Said R.A, katanya:

أبي سعيد : كان رسول الله صلى الله عليه وسلم يصلي الضحى حتى نقول لا يدعها ويدعها حتى نقول لا يصليه

Yang bermaksud: Rasulullah S.A.W sentiasa mengerjakan Solat Dhuha hingga kami mengira, bahawa beliau tidak pernah meninggalkannya,tetapi kalau sudah meninggalkannya, kami mengira bahawa beliau tidak pernah mengerjakannya.”
(Diriwayatkan oleh At-Tirmizi. Beliau berkata: “Hadis ini hasan”)

WAKTUNYA

Solat Dhuha bermula ketika matahari naik sekadar sepenggalah dan berakhir hingga matahari agak tinggi dan panas agak terik.

Dari Zaid Ibnu Arqam R.A, katanya:
Nabi S.A.W keluar menuju tempat penduduk Quba`. Tatkala itu, mereka sedang mengerjakan solat Dhuha. Beliau bersabda:”Inilah waktu solat Al-Awwabin (Solat Dhuha).Waktunya bermula apabila anak unta masuk semula ke dalam kandangnya kerana panasnya cahaya matahari pagi.”
(Diriwayatkan oleh Ahmad, Muslim dan At-Tirmizi).

JUMLAH RAKAATNYA

Paling seidikit jumlah rakaat solat Dhuha adalah sebanyak dua rakaat, sebagaimana yang telah disebutkan sebelum ini dalam hadis Abu Zar. Jumlah rakaat paling banyak yang pernah dikerjakan Rasulullah S.A.W sebanyak lapan rakaat. Tetapi menurut sabda Nabi S.A.W adalah dua belas rakaat.

Sebahagian ulama berpendapat, tidak ada batasan jumlah rakaat solat Dhuha. Ini adalah perdapat Abu Ja`far At-Thobari dan inilah yang menjadi pegangan Al-Mulaimi dan Ar-Rawayani dari mazhab As-Syafi`e. Dalam Syarah At-Tirmizi, Al-Iraqi mengatakan:”"Aku tidak pernah melihat seorang pun, samada dari golongan sahabat mahupun tabi`in, yang menghadkan jumlah rakaat solat Dhuha hingga dua belas rakaat.” Demikian juga pendapat yang ditegaskan oleh As-Sayuti.

Sa`id bin Manshur meriwayatkan dari Al-Hasan ketika ditanya:”Adakah sahabat Rasulullah S.A.W juga pernah mengerjakan solat itu? Lalu Al-Hasan menjawab: ”Ya! Ada antara mereka yang mengerjakan sebanyak dua belas rakaat. Ada pula yang mengerjakan sebanyak empat rakaat. Ada juga yang mengerjakannya secara berterusan hingga tengah hari tanpa mengira jumlah rakaat yang telah dikerjakan.”

Ibrahim An-Nakh`i meriwayatkan, bahawa ada seseorang yang bertanya kepada Al-Aswad Ibn Yazid: ”Berapakah jumlah rakaat yang saya harus kerjakan ketika solat Dhuha? “Al-Aswad menjawab:”Itu terserah kepada kemampuanmu.”

Dari Ummi Hani`, katanya:
”Nabi S.A.W pernah mengerjakan solat Dhuha sebanyak lapan rakaat, dan pada setiap dua rakaat, beliau mengucapkan salam.”
(Diriwayatkan oleh Abu Daud dengan sanad yang sahih)

Dari Aisyah R.A katanya: “Nabi S.A.W mengerjakan solat Dhuha sebanyak empat rakaat, lalu beliau menambah rakaat berikutnya tanpa ada hitungan yang pasti.”
(Diriwayatkan oleh Ahmad, Muslim dan Ibnu Majah)

Wallahu a`lam…

Tuesday, May 4, 2010

Terlantar



Sesungguhnya segala puji bagi Allah, kita memuji-Nya, kita meminta pertolongan-Nya, kita meminta keampunan-Nya. Kita berlindung dengan Allah dari kejahatan-kejahatan diri kita serta keburukan-keburukan amalan kita.

Amma ba`du

Dari semalam aku terlantar diatas katil, “gout” masih lagi menyelubungi diriku. Petang khamis (minggu lepas) aku pergi berbekam di pusat rawatan “An-Nur”. Ahamdulillah setelah selesai berbekam kurang sikit kesakitan yang ku alami berbanding sebelumnya. Tetapi, setelah balik dari cameron highland.. Ia kembali menjadi-jadi. So, semalam aku ke klinik lee di Jalan Wakaf Mek Zainab. kena 1 jarum.. lega sekejap.. petang tu..sakit balik.. adui…sampai la hari ni.. masih begini..

Itu lah, masa sihat tak nak pantang (makan).. dah sakit macam nih baru ingat nak pantang..bila sakit semua pantang tu tiada gunanya lagi.. oleh itu kepada mereka yang ada mengalami penyakit ini, berwaspadalah ketika mengambil lauk-pauk.

Tengah aku ralit menulis tetiba pintu bilik ku diketuk.. lalu dibuka..

“Min, ma nak ke tanah sebentar, ni tadi ma ada belikan laksa penang. Nanti kalau lapar makan la, ubat dan air minum pun ada ma sediakan”  “ma letak kat atas meja ye” kata emakku sambil berlalu meninggalkan aku di bilik.

”Nanti jangan lupa makan ubat tuh”
pesannya lagi.
Ah, laksa penang? dah lama tak kena nih. Aku lekas-lekas bangkit menuju ke bilik air.. setelah siap bersuci.. haha… masa yang dinanti2kan telah tiba.. jom sorruuuu…

Alamak!! ada sebungkus je nih.. cukup la untuk aku sorang.. hehe..

Ok.. kene banyak berehat ni. harap-harap esok sembuh.. dah 2 hari cuti.. banyak benda lagi nak kena buat…

wassalam

aminpcb
Kg.kijang
040510

Monday, May 3, 2010

15 minit

Alhamdulillahi wakafa, setiap hari sememangnya agak ramai pelanggan yang masuk ke kedai untuk makan dan minum dan ada sesetengah tu melepak kan diri.  Dalam ramai-ramai pelanggan yang berada di kedai,  entah mengapa, semalam mata ku tertumpu kepada seorang muslimin, melihat kepada uban dikepalanya serta air mukanya.. mungkin beliau berusia awal 40 an. Aku asyik memerhatikan gelagatnya ketika dia berbicara dengan rakan-rakannya yang berkerja di “Etiqa”.

9-00 pagi, Hp ku berdering, rupa-rupanya haji hassan (tuan kedai) menelefonku untuk bertanyakan bilakah ku akan kerumahnya untuk bayar sewa kedai. “InsyaAllah petang ini jam 3-15 petang aku akan kerumahnya untuk bayar sewa kedai.” jawab ku mengakhiri perbualan.

3-10 ptg, ketika muslimin tersebut keluar dari kedai ku, aku pun mencapai kunci kereta, untuk ke rumah haji hassan. Ketika ku ingin menghidupkan enjin kereta, tetiba aku terdengar bunyi seperti seseorang berdengkur.. lalu bunyi ada sesuatu yang terjatuh disebelah kereta ku.

Bila aku keluar dari kereta, ku dapati muslimin itu tadi tersungkur, aku panik.. aku cepat-cepat memanggil sepupu ku dan juga beberapa pelanggan yang berada didalam kedai agar dapat memberikan pertolongan kepada abang itu tadi. Dalam masa yang sama, aku cepat-cepat mengangkat kepalanya, dan kudapati dibawah kelopak matanya (luka) berdarah kerana terhentak dibatu ketika jatuh. Bila ku angkat dan letakkan di lenganku.. mulutnya mengeluarkan buih + dengan darah yang begitu banyak. Aku memang benar-benar panik. tidak pernah aku alami semua ini kecuali pada hari ini..

Aku cepat-cepat menyuruh sepupu ku agar mengambilkan sudu atau garfu.. takut kalau-kalau abang itu tergigit lidahnya. Masa tu baru lah aku sedar yang abang itu mengalami penyakit sawan. Mata, mulut dan hidungnya tak henti-henti mengeluarkan darah.

Sambil ku menggosok dada abang itu, sambil ku mengajarkannya agar mengucap.. hanya itu yang ku mampu lakukan. Tubuhnya semakin kejang dan sejuk, “Min, Biarkan lah..dia ni dah tiada harapan” kata salah seorang dari kawan ku yang berada disitu. Ada benarnya juga kata kawan ku itu. cuma ku kuatkan juga hati…

Setelah berkali-kali ku gosok.. dan mengajarkannya mengucap.. tiba-tiba.. aku terdengar suaranya mengucap.. tubuhnya kembali panas.. Allahu Akhbar.. abang itu mengucap… sambil membuka matanya… aku yang tadi semakin kecewa, kini gembira.. bergenang kelopak mataku.. dengan air mata.. aku bersyukur…

Tidak berapa lama kemudian.. datanglah ambulance.. alhamdulillah.. kemudian abang itu pun diangkat dan dibawa ke hospital Kota Bharu..

Herm, jam menunjukkan pukul 3-25 ptg. aku masuk kekedai untuk membersihkan tangan ku (kesan darah).. lalu aku lekas-lekas memacu kereta menuju ke rumah haji hasan..

Tengah ku memandu kereta.. terlintas dihatiku.. bagaimanakah kiranya aku lah yang berada ditempat muslimin itu tadi.. andai berakhirnya hayat ku pada masa tersebut.. adakah aku telah pun bersedia untuk menghadapinya? berapa banyakkah amalan ku sekarang ini? bagaimanakah keadaan ku di esok hari? adakah akan ku menerima buku catatan amalan ku disebelah kanan atau belakang??? (*). Semua ini lah yang sedang berlegar dibenak fikiranku sekarang ini..

Wallahu a`lam..

aminpcb
Nasi Sumatera Sri Kijang
020510
_____________
* Dari-Mu kami datang, dan kepada-Mu jualah kami akan kembali..
(*) Surah Al-Insyiqaq: 7-11

Sunday, May 2, 2010

Tenggelamnya Kapal Van Der Wijck (Bhg. 14)


Khadijah memperlihatkan sebentuk cincin berlian yang indah. Ia memancarkan cahaya yang gilang-gemilang. Katanya: "Inilah tanda mata dari tunanganku. Selama ini belum saya suka membukakan kepada engkau bahawa saya telah bertunangan, sebab saya sangka engkau belum ada niatan hendak kahwin. Tetapi setelah saya ketahui bahawa engku telah mencintai seorang yang bukan jodohmu, saya katakanlah sekarang, bahawa hatiku tak senang kalau tak katakan kepadamu hal yang sebenarnya.

Saya cinta sekali kepada engkau, sahabatku! Alangkah beruntungnya kita, jika suami saya dan suamimu dapat duduk sama rendah tegak sama tinggi kelak, sama-sama dapat mengaji asal usul, ke atas boleh ditengadahkan, ke bawah boleh ditekurkan.

Engkau puji-puji kebaikan Zainuddin, saya memuji pula kebaikannya. Tetapi orang yang demikian, di zaman sebagai sekarang ini tak dapat dipakai. Kehidupan zaman sekarang berkehendak kepada wang dan harta cukup. Jika berniaga, perniagaannya maju, jika makan gaji, gajinya cukup. Cinta walaupun bagaimana sucinya, semua bergantung kepada wang!"

"Tidak, Khadijah!" jawab Hayati, "Pendapatmu tak betul, cinta tak bergantung kepada wang. Kalau dua orang yang bercinta dapat bertemu, kesenangan dan ketenteraman fikirannya, itulah wang, itulah dia kekayaan, lebih dari gelang emas, dokoh berlian, pakaian cukup. Itulah kesenangan yang tak lekang di panas, tak lapuk di hujan."

"Itu hanya bayangan, Hayati, sekali lagi saya katakan, itu hanya bayangan" ujar Khadijah. "Engkau boleh menahan hatimu dengan pakaian yang buruk dekat lakimu, boleh bersabar dengan rumah yang tak sederhana, jika hanya berdua saja. Tetapi tak lama engkau dapat menahan hati mendengarkan rayuan, angin yang masuk dari celah tingkap rumahmu. Tak lama engkau dapat menahan hati, melihat mata orang yang memandangmu dengan belas kasihan. Ketika itu cinta itu akan beransur surut, engkau mula-mula menyesali nasib. Bila nasib telah disesali, tentu lama-lama pindah penyesalan kepada yang menyebabkan datangnya nasib itu, ialah si suami. Suami pun demikian pula. Berapa banyak saya dengar, berita dari orang yang telah bersuami, mengatakan bahawa ada laki-Iaki yang mengatakan isterinya sial, mengatakan isterinya menyebabkan dia dapat nahas. "


"Bimbang", itulah yang timbul selama Hayati ada di Padang Panjang. Jika dia akan masuk ke tempat tidumya, terbayang air mata Zainuddin, terupa bujuk cumbu Khadijah, kadang-kadang keras, kadang-kadang lunak, teringal senyum Aziz yang pandai menarik hati itu.

Sehabis pasar keramaian, dia pun bersiaplah hendak kembali ke kampungnya. Mereka berjanji akan sentiasa ingat-mengingat. Kain-kain telah dibungkus, beberapa helai baju kebaya potongan Bandung telah dibuat dengan wang Khadijah sendiri.
Ketika dia akan naik ke bendi, Aziz serta Khadijah, dan ibunya, sama-sama melepas. Ketika berjabat salam, lama sekali tangannya dipegang oleh Khadijah. Dengan sikap yang sungguh-sungguh Khadijah berkata: "Jika ada mulutku yang ganjil kepadamu, kalau manis jangan lekas dihulur, kalau pahit jangan lekas diludahkan, fikirkan baik-baik dahulu."

Hayati tak menjawab, dia hanya menarik nafas panjang; dia bimbang! Dari cinta, turunlah dia kepada belas kasihan, belas kasihan sekarang telah diserang pula oleh kebimbangan ....

Setelah bendinya jauh, orang-orang itu pun kembalilah ke rumah. Lama sekali Hayati dan Mak Tengah Limahnya menjadi pembicaraan. Mula-mula memuji sambil bergurau, memperkatakan perangai Mak Tengah Limah tinggal di kota. Bagaimana lakunya di atas rumah, bahawa dia tak suka duduk di kerusi yang terlalu besar itu. Sampai kepada Hayati yang cantik selalu, walaupun pakaian apa yang dipakainya. Aziz pun telah turut pula memuji-mujinya.

"Alangkah baiknya jika kita berkarib dengan dia," ujar Khadijah memutuskan pembicaraan saudaranya sambil tersenyum!

"Kalau kita berkerabat dengan dia, bukan main megahnya itu. Barangkali orang yang akan disuruh pergi yang tak mahu!" ujar ibunya sambil melihat Aziz dengan sudut mata.

Aziz hanya menekur sambil mengulaikan kepalanya ke kerusi dan kemudian menengadah ke loteng, seakan-akan tak terdengar olehnya.

“Bagaimana ini uda? Kata Khadijah pula, perempuan seperti Hayati itu sudah selayaknya untuk kita.

Rupa tak ada tolok bandingannya, peribahasanya amat tinggi, maklumlah orang kampung, adat kota tidak pula kalah. Misalnya kalau jadi, bukan main keberuntungan kita."

"Sebetulnya di dalam pergaulan seminggu itu, banyak benar perangainya yang menarik hati saya. Kalau dapat kita minta, alangkah baiknya," kata ibunya pula.

"Gadis kampung salahnya terlalu kaku kalau dibawa ke kota," kata Aziz dengan suara lunak.
"Itu mudah diperbaiki. Kalau kita palut badannya dengan emas, diberi kesenangan yang memuaskan, tentu dia akan berubah menjadi orang kota yang moden kelak," kata Khadijah.

"Barangkali telah ada tunangannya!"
"Ah, tunangan, dia belum ada tunangan. Semasa di kampung dia bercinta-cintaan dengan orang Mengkasar. Anak mengaji yang tak tentu hilir mudiknya itu, khabamya anak orang terbuang, mana boleh jadi jodohnya.'"

"Zainuddin tempoh hari?" "Itulah!"

Lama-lama pembicaraan itu telah hampir akur, Aziz amat tertarik dengan kecantikan Hayati. Dia sekarang hendak melepaskan pendapat yang lama, hidup membujang, dia hendak mengambil Hayati menjadi isterinya. Tetapi tidaklah sampai pertimbangannya, apakah Hayati hendak jadi isteri yang akan dibawa bersama-sama sehidup semati, isteri kawan bertempur menghadapi kesulitan hayat, sebagaimana difikirkan orang selama ini, tidak sampai ke sana pertimbangannya.

Pertimbangannya ialah Hayati gadis cantik, orang kampung pingitan, dia mesti mendapat Hayati. Tak dapat dengan jalan yang biasa dikerjakannya, iaitu haram, dengan jalan halal baik juga. Dia sekarang ada pekerjaan, simpanan ibunya pun cukup, harta banyak. Siapa orang tak suka dengan dia.

Setelah cukup perlop-nya 14 hari, dia pun kembali ke Padang. Dia benjanji hendak hidup jujur, melemparkan perangainya yang lama, supaya kalau-kalau dia meminta Hayati, akan diberikan oleh kerabatnya dengan tidak banyak berfikir.

Terlalu banyak was-was yang menimpa Zainuddin sejak surat itu dimasukkannyake pos. Dia merasa takut, kalau kalau suratnya yang bersifat terus terang itu akan menggoncangkan hati Hayati. Apalagi setelah ditunggu-tunggu balasannya, tak datang. Dan kemudian sekali, dilihat-lihatnya Hayati tak ada lagi di Padang Panjang. Timbullah kedukaannya, kalau-kalau suratnya itu menimbulkan marah Hayati kepadanya, sehingga dikirimnyalah surat teralamat ke Batipuh, meminta maaf dan keredaan, jika kata yang dahulu telah terlanjur.

Terubatlah hati itu kembali seketika ia mendapat balasan dari Hayati, mengatakan suratnya yang dahulu tidak menerbitkan salah terimanya sedikit juga, dan masih mengharap-harap surat darinya, masih ingin hendak bertemu. Cuma seketika akan berangkat pulang kembali belum sempat memberi tahu, kerana sangat sesaknya pekerjaan, sehingga tak sempat membuat surat dengan
tenang dan tenteram.

Ketika membaca surat itu, telah ada perasaan yang halus dalam jantung Zainuddin, mengatakan bahawa surat itu sudah agak kurang berisi dari yang dahulu. Tetapi perasaan yang demikian tak sanggup tumbuh dengan subur kerana dari dalam pun datang pula suara mengatakan "Manakah akan boleh jadi, seorang anak perempuan yang sebaik hati itu, yang telah bersumpah setia, akan undur dari janjinya hanya dalam beberapa hari saja!

Begitulah keadaan Zainuddin yang hidup laksana, layang-layang yang tak dapat angin, tak tentu turun naiknya selalu gundah-gulana disebabkan oleh pukulan cinta.

Bukan Hayati telah melupakan Zainuddin, belum pula dia cinta kepada Aziz dengan erti cinta yang ada kepada Zainuddin. Tapi yang dapat dilihat, sejak menjejak Padang Panjang, perasaan Hayati yang dahulu, sudah beransur hilang. Dia sudah tahu bagaimana kekurangan hidup di kampung dan bagaimana kemewahan di kota. Sudah mulai masuk ke dalam hatinya perasaan gembira, telah sempit rasanya dipakainya guntingan pakaian cara kampung, telah lebih senang dia melihat sorak-sorai orang di kota. Pengajaran yang diberikan oleh Khadijah meskipun pada hari pertama belum lekat, pada hari kedua, ketiga, dan seterusnya mulai mendalam masuk jantung, mulai terasa benarnya. Sekarang telah terjawab olehnya pertanyaan jantungnya sendiri, mengapa kerap kali benar orang bercerai dengan isterinya, kerap kali perempuan tak setia kepada suami. Lain tidak fasal wang juga. Jika wang telah ada, segala-galanya dapat didamaikan, kekurangan dapat disembunyikan, marah boleh dihapuskan dengan maaf.

Sudah mulai samar wajah Zainuddin dalam sanubari. Dia hanya akan tinggal laksana peringatan dari kehidupan masa yang lalu, semasa masih anak-anak. ltu tidaklah hairan, sudah lazim. Sudah biasa anak gadis mencintai seorang muda, anak muda merindui seorang gadis, semasa mereka masih belum dewasa. Setelah dewasa, tentu kehendak kaum keluarga juga yang akan langsung. Mereka biasanya tinggal kenal dan hormat-menghormati, sama menganggukkan kepala jika bertemu tengah jalan, yang perempuan bersama suaminya, dan yang laki-laki bersama isterinya.

Tetapi bila angin telah reda, bila suara bayu telah hening, Hayati duduk seorang dirinya dalam rumahnya di Batipuh. Suara oto tidak terdengar lagi dan pacu kuda sudah lama usai, bilamana dapat dia bermenung dan berfikir agak sejenak, tampak jugalah Zainuddin terbayang-bayang, berjalan dengan langkahnya yang perlahan, dengan muka yang muram dan kepala tertekur, kurus dan sedih, melarat dan sengsara, tidak ada tali tempat bergantung, tidak ada tanah tempat berpijak. Kalau dia mengingat itu, dia menarik nafas panjang, laksana seorang anak dagang ingat kampung halamannya yang telah lama ditinggalkannya; atau laksana seorang tua yang tersedar hari mudanya.

Ketika itu barulah Hayati menangis, menumpahkan rasa1 belas kasihnya, menumpahkan cinta yang sebenarnya. Dan bila dia bermenung sebentar lagi, bayangan itu pun berransur hilang dalam perarakan awan, berganti dengan satu bayangan putih kian lama kian jelas, iaitu warna kegembiraan Khadijah, keindahan kota, ketangkasan Aziz. terrbayang cincin berlian kiriman tunangan Khadijah yang dipakainya. Terbayang gadis kota yang tangkas dan cantik, dengan bedaknya yang selayang, pipinya yang dipermerah, rambutnya yang disanggul besar, pakaiannya yang tipis dan cantik, kain sarungnya yang senteng di muka sedikit dan selop yang tinggi tumitnya.

Bila bayangan yang gembira itu datang, muzik yang merdu dari suara pergeseran pohon bambu di belakang rumah, yang biasa membualkan lagu kerinduan; kulik helang tengah hari di udara, yang biasa menghidupkan irama orang yang tengah dirayu cinta; desir air yang mengalir dalam sungai yang biasa mengalirkan semangat harapan dari orang yang bercinta. Kicau murai di bumbungan atap rumah, siputu tekukur di dahan pohon suriano Bunyi merbah memanggil pasangannya di rumpun teberau. Yang semuanya itu lagu dan nyanyian keindahan alam anugerah Tuhan, semuanya hilang tak teringat lagi. Semuanya berganti dengan derum oto mendaki bukit, derap telapak kuda berlari, sorak sorai orang di gelanggang, bunyi muzik dan keroncong di malam gembira perkahwinan. Semuanya adalah keindahan buatan manusia yang tiada memuaskan yang lekas membosankan.

"Nikmat Ilahi ada di sekeliling tiap-tiap insan, ada di dusun, ada di kota, ada di gunung dan ada di lurah, ada di daratan dan ada di lautan. Tetapi nafsu tiada merasa puas, atau tidak ingat nikmat yang di kelilingnya itu; dia hanya melihat kekurangannya. Yang sentiasa diperhatikannya ialah nikmat yang ada di tempat lain, dan yang di tangan orang lain. Kelak kalau dia ada kesempatan pindah ke tempat yang dilihatnya itu, dia menyesal dan dia teringat pulang, iaitu pada hari yang tiada berguna padanya penjelasan lagi .... "

Sahabatku yang tercinta Hayati!

Sangat sepinya terasa rumah tangga kami setelah engkau pergi. Orang yang sebagai engkau ini, di mana pun rumah yang engkau ziarahi, kegelapan rumah itu akan hilang kena cahaya mukamu. Udaku Aziz telah kembali ke Padang, tidak berapa hari setelah engkau pulang. Biarlah dengan terus terang saya katakan bahawa kegembiraannya hilang saja setelah engkau pergi. Ibu sendiri kerap menyebut namamu, memuji perangaimu dan memuji kecantikanmu.

Hayati!

Adakah kau kenangkan juga nasihatku yang tulus ikhlas terhadap dirimu? AIgaknya tidak berapa hari lagi akan datang ke mari salah seorang suruhan dari pihak kaum kerabat kami,

Meminta kamu buat menjadi menantunya untuk udaku Aziz, menurut adat yang lazim terpakai di negeri kita. Sungguhpun agaknya keluargamu tiada akan keberatan menerima permintaan kami, hanya sebuah yang diresahkan oleh sahabatmu ini, iaitu kalau-kalau engkau tak mahu atau engkau merasa terpaksa. Kalau demikian, tentu " saja kehidupan dan perkahwinan tiadakan beruntung. Engkau mengatakan tempoh hari, bahawa cintamu telah tertumpah kepada Zainuddin, sudah sukar mengorak buhulnya, dan kehidupan Zainuddin bergantung kepada hidupmu. Maka dengan terus terang sekali lagi kukatakan, bahawa kalau engkau selidiki dengan saksama, sebenarnya bukanlah Zainuddin cinta akan dikau kalau memang dia hendak mengambilmu jadi isterinya . Zainuddin adalah seorang ahli angan-angan, . Ahli syair, Orang yang demikian mendirikan seorang perempuan cantik dalam angan-angannya, untuk memperdalam irama aliran syairnya. Ahli syair, atau ahli gambar mendirikan malaikat dan bidadari, yang akan dipantun dan dilukiskannya. Tetapi dia tak boleh bertemu perempuan itu pada hakikat, cukup pada khayal saja.

Sebab perempuan yang berdiri dalam fikirannya itu sunyi daripada aib dan cela, bersih dari dosa dan kesalahan. Tetapi perempuan yang ada pada hakikat, atau manusia yang sejati, adalah cucu Hawa, Hawa yang beristana dalam syurga dan disuruh keluar dari sana lantaran salah memakan buah khuldi. Kalau dia bertemu dengan
engkau, dan didapatinya hakikat perempuan pada diri engkau, iaitu hakikat manusia yang tiada sunyi daripada khilaf dan salah, maka cinta yang berdiri dalam angan angannya itu akan segera sirna dan habis. Kerana tidak bertemu apa yang diangan-angannya bermula itu. Waktu itu berganti istana keberuntungan cinta, dengan gubuk kutukan kebencian. Kerana tidak malaikat saja pada diri insan. lnsan adalah pergabungan kesucian dan kekotoran, kecuali kalau dia telah diangkat menjadi Nabi dan Rasul, atau Waliullah yang keramat!

Sebab itu, selain daripada memang sukar mungkin tercapai, lebih baik engkau hapuskan dari sekarang angan-angan hendak kahwin dengan Zainuddin, jangan sampai hatimu rosak binasa kelak. Biarkanlah maksud tuan-tuan tak sampai, biarkanlah selama-Iamanya dia menyanyikan engkau dalam syairnya, sebagai bidadari yang hilang, atau sebagai pengharapan yang putus di tengah. Engkau kecewakan hatinya, ertinya engkau memberi nikmat buat dia sebagai seorang ahli budi dan ahli seni yang tinggi. Kerap sekali gelora ratap penyair, atau ilham lukisan penggambar hilang tak menentu, bagai air mata jatuh ke dalam pasir, jika maksudnya sampai. Jadi bererti engkau berikan nikmat kepada orang seorang, dan engkau cabut dari masyarakat umum.

Meskipun baru dari banyak membaca dan mendengar petua orang tua-tua,dapatlah ku katakana kepadamu Hayati, bahawasanya “cinta” tidaklah teguh untuk mempertalikan laki isteri. Tali yang teguh adalah kemaslahatan kedua belah pihak. Cinta ialah bunga melur yang indah warna dan harum baunya dua hari genap ketiga, selama air masih cukup dalam jambangan, selama tiga hari itu pula, subur dan indahlah hidupnya. Yang selalu mengancam akan suburnya ialah kemiskinan. Kalau harta cukup, cinta menjadi, kalau harta tak ada, pergaulan terancam. Cinta itu, Hayati! Cinta atau rindu dendam kasih sayang dan asyik masyuk, biarlah selamanya tinggal dalam khayal dari angan-angan pengarang hikayat, pengarang syair dan ahli pantun. Berkobar kalau berjauhan, terubat hati kalau berdampingan. Tetapi kerana dia hanya sebangsa penyakit, akan sembuhlah dia setelah kesedaran datang.

Hidup pada zaman sekarang berkehendak wang, Hayati! . Walaupun soleh dan bagaimana tekur kita, keadaan yang sekeliling kita tidak dapat melepaskan kita dari kongkongan, sedang Zainuddin tiadakan sanggup menyelenggarakan hidupmu. Kalau lantaran keras seruan dunia itu, Zainuddin tersesat memilih kehidupan dari jalan yang tiada halal, siapa yang berdosa? tidakkah engkau sendiri?

Fikirkan suratku ini. Meskipun hari ini engkau tolak, di belakang hari akan ternyata juga kebenarannya…..

Khadijah

"Ya Rabbi, berilah petunjuk bagi hamba-Mu ini," kata Hayati menarik nafas panjang, setelah membaca surat itu..