MEMINANG
Bagi setengah orang, mencari isteri amat sukar dan payah, mesti bercinta-cintaan lebih dahulu. Bagi setengah orang dipandang perempuan yang akan jadi isterinya itu laksana gunung tinggi payah mendaki, sehingga dia mundur maju hendak menyatakan pinangannya kepada perempuan itu atau kepada keluarga. Padahal di pihak yang lain perempuan sentiasa pula menunggu. Sehingga lantaran tunggu-menunggu, umur pun berjalan juga, cita-cita habis di tengah-tengah. Tiba-tiba datang orang lain yang tidak banyak perhitungan, tidak banyak fikir, dia meminang lebih dahulu, sehingga maksudnya langsung, dan yang mempunyai cita-cita bermula tinggal menggigit jari.
Di dalam rumahtangga Khadijah tidak lama orang timbang menimbang, segera saja sepakat hendak meminang Hayati untuk Aziz. Apalagi sudah berat fikiran mereka bahawa permintaan mereka akan terkabul. Sebab segala syarat syarat rasanya cukup, tiada yang kurang. Wang ada, pangkat pun ada, terpandang pula dalam negeri. Duduk sama rendah tegak sama tinggi. Bagai bulan dengan matahari.
Pada waktu yang telah ditentukan, setelah genap muafakat Aziz dengan keluarganya, disuruhlah orang suruhan yang bijak menyampaikan permintaan kepada kaum kerabat Hayati, membawa sirih nan secabik, pinang nan segetap. Sampai di Batipuh diterima dengan peribahasa yang halus-halus oleh kaum kerabat maklumlah mengadu malu dengan budi.
Dibentangkan orang lapik putih di tengah rumah nan gedang, di sana telah menyambut perempuan-perempuan dan di dalamnya duduk bersama-sama Mak Tengah Limah. Menurut adat pula, segala permintaan itu belum akan dijawab pada hari yang sehari itu. Kalau rasa akan terkabul, diberi tangguh orang yang datang agak seminggu. Tetapi kalau rasa tak akan terkabul,dalam tiga hari saja hal itu telah dapat diputuskan.
Ketika meminta janji itu, si kerabat beralasan bahawa mamak-mamaknya belum cukup hadir, padahal memang disengaja tidak hadir. Dikatakan bakonya perlu tahu, sapih belahan empat jurai di kampung anu, hindu suku di dusun anu, perlu tahu lebih dahulu. Maksudnya ialah untuk memperlihatkan ketinggian adat istiadat yang dipakai, meninggikan darjat pusaka yang dijawat turun-temurun.
Dan bila utusan itu pulang kembali ke Padang Panjang, baru saja dia sampai di halaman, orang di dalam rumah sudah dapat mengira-ngirakan bahawa maksud mereka rasa-rasakan hasil. Aziz sejak hitungan ini di dalam rembukan boleh dikatakan tiap-tiap hari Sabtu petang telah tiba di Padang Panjang, hari Minggu petang pula baru kembali.Mimpinya sudah banyak yang bagus, maksudnya akan berhasil.
Sedang zainuddin duduk menghafazkan pelajaran yang baru diterima dari gurunya sehabis sembahyang maghrib, dia dikejutkan oleh suara tukang hantar surat menyerukan "pos!!.. surat itu pun diterimanya, tetapi tangannya menggigil, teralamat dari Mengkasar. Segera dibukanya, tentu saja dari Mak Base yang tercinta. Tetapi bukan dari Mak Base, hanya dari Daeng Masiga. Seorang tetangga yang di kenalnya betul-betul dan banyak perhubungan dengan dia sebelum dia berangkat meninggalkan Mengkasar.
Isi surat itu demikian:
(kullu man alaiha fan, wayabqo wajhu robbika zuljalali wal ikram)
yang bermaksud:" Tiap-tiap orang yang di bumi akan lenyap, dan akan kekal wajah Tuhanmu, Yang Maha Tinggi dan Maha Mulia."
Anakanda Zainuddin berselamat di Padang Panjang.
Dengan serba pendek saja paman nyatakan. Bahawa telah berlaku kadar Allah atas hambanya yang dhaif dan lemah, iaitu mak angkat mu Base,telah berlalu dari kalangan kita, kembali ke tanah asalnya. "Dari sana dia datang, dan kesana dia kembali"
Inna lillahi wa inna ilaihi rajiun. Penyakit yang dihidapkannya tidaklah begitu berat.
Tetapi maut tidaklah membezakan berat ringan penyakit, kerana penyakit hanyalah sebab jua, dan ketentuan ajal juga yang mesti berlaku.
Saya sampaikan surat ini kepadamu, juga sebagai menerangkan wasiat dan peninggalan almarhumah, iaitu supaya kelak jika engkau ada peluang kembali ke Mengkasar ziarahlah ke kuburannya, yang tiada orang yang mempedulikan kalau bukan engkau sendiri.
Lain dari itu, sesudah habis menyelesaikan hutang piutang yang ditinggalkannya, akan saya kirimkan minggu hadapan wang itu sama sekali dan yang terpegang di tangan saya sekarang barulah Rp3.200,OO kontan.
Meminta juga fikiranmnu, tentang harta bendamu, rumah dan setumpak tanah peninggalan ayahmu. Kalau engkau suruh jual, kirimilah saya surat kuasa. Tetapi menurut fikiran saya, kerana sejauh-jauh anak berjalan, entah ada juga Butta Jum Pandang menyerumu, lebih baik tanah-tanah itu tak dijual. Sebelum engkau pulang, saya sanggup menjaganya, dengan tidak mengharapkan apa-apa!
Moga-moga Allah memberikan perlindungan-Nya kepada kita semuanya ....
Daeng Masiga
B E R S A M B U N G……
No comments:
Post a Comment