SURAT YANG PENGHABISAN
Surat yang kedua:
Alangkah gelapnya dunia ini kupandang. Alam lelah lengang dan sunyi, tidak ada gerak yang membangunkan semangatku lagi, malam seakan-akan terus-menerus saja, tidak sedikit juga berganti dengan siang. Kadang-kadang saya rasai badan saya sebagai seorang yang terpencil jauh di tengah padang yang tandus, tidak ada manusia yang lalu lintas di sana, tidak ada kali yang mengalir, tidak ada daun yang digerakkan angin. Seakan-akan saya sudah terbuang, mencari jalan dan ikhtiar untuk keluar dari tempat itu, tetapi jalan tidak kelihatan. Saya tunggu kelepasan dengan sabar, tetapi hanya maut yang melayang-layang di tentang ubun-ubunku.
Bilakah masa itu akan datang? Bilakah maut akan menjemput nyawaku, supaya aku terlepas dari kesakitan yang tiada tertanggung ini?
Kau hilang daripadaku Hayati! Dan gantinya sudah tak akan ada lagi, kerana segenap hidupku telah aku tumpahkan buat kau seorang. Nasibku tak ubah dengan seorang juara sabung yang kalah dalam medan perjudian, wangnya, hanya tinggal seringgit sahaja, dilepaskannya pula wang itu dengan perasaan untung, kiranya kalah pula.
Setelah kau termasuk ke dalam daftar hayatku maka timbullah beberapa cita-cita yang besar dalam hatiku, timbul angan-angan yang murni. Telah dipenuhi semangatku oleh perasaan-perasaan yang suci. Ingat akan dikau adalah nyawa yang menimbulkan kekuatan rohani dan jasmani untuk menempuh perjuangan dalam alam . Tapi sekarang setelah khabar itu sampai, saya telah menjadi lemah, seakan-akan padam pelita angan-angan itu, seakan-akan minyaknya telah habis, sehingga meskipun bagaimana juga orang bermaksud menyalakan kembali, sudah sia-sia. Tidak ada lagi perasaanku, sudah kendur jalan jikiranku. Tidak saya peduli lagi kepada keadaan sekelilingku. Tidak tentu tujuan mana yang akan saya tempuh, haluan mana yang akan saya turut. Adalah nasibku sekarang laksana bangkai burung kecil yang tercampak di tepi jalan sesudah ditembak anak-anak dengan bedilan angin, atau seakan-akan batu kecil yang terbuang di halaman tidak dipedulikan orang.
Hayati! Tidakkah kau takut, bila datang hari kiamat, datang pertanyaan dari Qadhi Rabbun Jalil, mengapakah kau kecewakan hati seorang manusia yang mempunyai tujuan suci dalam hidupnya? Patah tujuan itu lantaran kau kecewakan. Tidakkah kau takut, bilamana lantaran ini saya mati dahulu daripada kau, maka menurutlah arwahku ke mana pun kau pergi,memekik dan merintih meminta dikembalikan hidupnya yang sudah kau rampas, hatinya yang sudah kau patahkan, cita-citanya yang sudah kau dinding. Menurut arwah itu ke mana pun kau pergi, sedang kau tidur dan kau bangun, sedang kau makan dan sedang kau minum, bahkan sedang kau dalam pelukan suamimu sekalipun. Arwah itu akan membisikkan di telingamu, dengan suatu bisikan yang nyata:"Kalau kau biarkan dia tinggal hidup, dialah contoh yang sebenarnya dari suami yang budiman, teladan yang seindah-indahnya dari seorang ayah yang pengasih; seorang sahabat yang setia, seorang yang menjadi tiang agung dalam masyarakat. "
Mana janji kau, mana sumpah setia kau yang dahulu. Tidakkah kau berniat hendak memelihara keberuntunganku, sebagaimana malaikat di langit pun memelihara keberuntungan manusia? Wahai, kalau kau sempatlah kiranya melihat saya sekarang ini, akan nyata oleh kau suatu tubuh yang telah kurus, suatu mata yang telah berkunang-kunang, suatu kekuatan yang telah habis dan musnah lantaran kepedihan dari bencana.
Hayati! datanglah ke mari, agak sekali dan sesaat pun cukuplah. Saya hendak melihat mukamu, sebab di sana tersimpannya keberuntunganku yang telah hilang, angan-anganku yang telab padam. Perdengarkan kepadaku suaramu yang merdu, suara yang telah menimbulkan ghairah untuk hidup dalam jiwaku. Hidupkan hatiku kembali dengan matamu. Katakanlah agak sepatah kalimat saja, bahawa kau masih tetap menyintaiku, meskipun ucapan itu benar atau dusta sekalipun, cukuplah itu bagiku.
Sungguh, jika sekiranya pada masa ini kau bertemu olehku di tengah jalan, dengan tidak mempedulikan kata-kata orang, saya akan menyimpuh di hadapanmu, sebagaimana menyimpuh seorang inang pengasuh di hadapan rajanya. Dan kalau tidak peduli lagi, kerana kebencian telah memenuhi hatimu kepadaku, akan saya iringkan engkau sampai ke mana pun, Supaya agak sekali kau toleh juga saya ke belakang.
Tidak ada sepatah perkataan yang akan kukeluarkan mengganggu engkau. Saya hanya hendak membiarkan air mataku terjatuh di hadapanmu, moga-moga kau dapat menjamah kepalaku dan memberi saya hidup, meskipun sesudah itu akan kau bunuh pula.
Sangat payah sakit saya sekarang Hayati, agaknya tidak ada orang lain yang lebih sakit daripadaku.
Dahulu bahagia dan cinta yang kuminta darimu; sekarang itu kau cabut kembali. Maka kalau itu tak boleh berikan sajalah kepadaku hidup!
Zainuddin
Surat yang ketiga:
Malangnya nasibku. Telah rurut bunga hayatku sebelum dia mekar. Tua telah beransur mendatangiku. Padahal umurku masih muda. Seorang diri aku menyeberangi hidup ini sekarang; ayahku telah mati, ,ibukuku dan ibu angkatku pun demikian. Seluruh alam membenciku, hatta daun kayu di dekat rumah, angin pagi y'ang biasa membawa udara nyaman, tidur yang hiasanya mengembalikan kekuatan manusia, semuanya meninggalkan daku. Tiba-tiba kau, yang hanya satu tempatku bergantung, telah hilang pula dariku! Ke mana saya mesti pergi lagi, tunjukkanlah, walaupun ke pintu kiubur kau tunjukkan, saya pun akan pergi.
Lebih seratus kali nama kau kusebut dalam sehari! Kadang-kadang saya panggil dalam nyanyianku, kadang-kadang dalam ratapku. Kicut pintu ditolakkan angin, serasa-rasa langkah kau yang terdengar. Masih juga belum percaya saya bahawa kau memang telah sebenar-benarnya membuang saya dari ingatanmu. Saya tanyai diri saya, adakah saya berdosa kepadamu? Tidak rasanya, bahkan dosa yang lain yang kerap saya perbuat untuk mencukupkan cintaku kepadamu.
Pernahkah kau mendengar khabar berita seorang haji yang berlayar ke Mekkah, membawa isterinya dan anak-anaknya yang masih kecil tiga orang banyaknya, isterinya itu sedang hamil pula. Tiba-tiba penyakit wabak pun datanglah di negeri suei itu, si suami meninggal dunia di sana. Seketika Tuan Syeikh memaklumkan kepada jemaahnya bahawa haji telah selesai dan jemaah-jemaah mesti berangkat ke Jedah akan kembali pulang, pergilah isteri itu membawa anak-anaknya ketiganya ke pusara ayahnya, meratap dan memberitahukan bahawa mereka akan pulang lagi, pulang sendirinya tak berteman, menghadapi kemiskinan dan keyatiman, dan suami yang berbudi itu akan dipertaruhkan menjaganya kepada Ka 'bah.
Pernahkah kau melihat seorang perempuan tua yang berjalan hilir sawah mudik sawah, sambil bernyanyi menyebut-nyebut nama anaknya. laitu seorang perempuan yang masih muda, yang wafat seketika dia akan dikahwinkan, sehingga sedianya akan dibawa bertandang ke rumah mentuanya dengan peralatan besar, kiranya diiringkan ke kuburan oleh orang kampung bersama-sama. Pernahkah kau mendengar seorang anak muda yang baru bertunangan, berjalan ke rantau orang hendak mencari maskahwin dan kain baju, untuk diberikan kepada tunangannya bilamana dia pulang kelak. Setelah dua tahun dia berjalan, dia pun pulang, didapatinya tunangannya tadi telah bersuami orang lain yang lebih kaya, sebab dia terdengar miskin. Pernahkah kau dengar bahawa seketika dia pulang itu, setelah sampai kepadanya khabar bahawa tunangannya telah bersuami, dia duduk di tepi batang air yang deras, menangisi nasibnya, dan akhirnya dilemparkan petinya itu ke dalam air. Setelah itu dia kembali merantau, sehingga tak pulang-pulang lagi sampai sekarang ini.
Pernahkah kau mendengar khabar seorang perempuan yang mempunyai dua orang anak laki-laki, .Yang seorang berjalan ke Jakarta dan seorang berjalan ke medan . Tiba-tiba sampai kepadanya khabar bahawa anaknya yang tua mati di rumah sakit, dan anak yang kedua mati pula di dalam mencarikan kepalanya yang tak tertutup dari perutnya yang tak berisi. Sehingga kepada tiap-tiap orang yang pulang merantau ,ditanyakannya juga, adakah bertemu anaknya, dan bila dikatakan orang bahawa anak itu sudah mati, dia termenung, dia tak menangis lagi, sebab sudah kering air mata yang akan ditangiskannya.
Pernahkah kau mendengar nasib seorang tua yang menjadi tukang rumput, mempunyai isteri yang sedang sakit dan anak yang sedang sarat menyusu. Beras yang akan ditanak tak ada, dicubanya meminjam kepada orang sebelah rumah, orang tak mahu meminjami lagi, sebab hutang beras tiga dan empat hari yang lalu belum juga dibayarnya. Lantaran terlalu susah, pergilah dia mencuri beras orang itu dan dibawanya pulang. Dimasaknya beras itu ke dapur, sedang isteri dalam menarik nafas yang penghabisan. Tiba-tiba polis pun datanglah menangkapnya, dia akan dibawa ke pejabat mahkamah; nasi hangus, anaknya meratap dan isterinya mati setelah dia sampai ke pintu. Sehingga lantaran hebatnya cubaan itu, fikirannya bertukar, dia gila, sehingga tak jadi dibawa ke kantor mahkamah, melainkan dihantarkan terus ke rumah sakit gila.
Kalau pernah kau dengar segala cerita itu atau pernah kau lihat; kalau pernah kau dengar nyanyian orang kurungan menunggu vonis buangan, atau rintihan dan pekik orang sakit di dalam rumah sakit, atau tertawa yang tinggi dan rambut yang telah panjang dan pakaian yang compang-camping dari orang gila, sehingga lantaran itu kau jatuh belas kasihan, kau tangisi nasib mereka yang malang dan untung mereka yang buruk, maka ketahuilah Hayati, bahawa nasibku lebih lagi malangnya dari itu. Sayalah yang lebih layak menerima kasihan kau, menerima ratap kau dan tangis kau '"
Tak ada lagi yang kutuliskan kepadamu, pelita hatiku dari sedikit ke sedikit beransur padam. Agaknya inilah surat yang penghabisan kepadamu.
Selamat tinggal Hayati! Kalau umurku masih panjang, entah tidak akan bertemu lagi, dan kalau umurku singkat maka inilah ucapanku yang penghabisan ...
Zainuddin
Balasan Hayati:
Tuan yang terhormat!
Tak dapat saya sembunyikan kepada Tuan, malah saya akui terus terang bahawasanya seketika membaca Surat-surat Tuan itu, saya menangis tersedu-sedu, kerana tidak tahan hati saya. Tetapi setelah reda gelora dan ombak hati yang dibangkitkan oleh surat Tuan itu, timbullah kembali keinsafan saya, bahawa tangis itu hanyalah tangis orang-orang yang putus asa, tangis orang yang maksudnya terhalang dan kehendaknya tidak tercapai. Tangis dan kesedihan itu selamanya mesti reda juga, ibarat hujan; selebat-Iebat hujan, akhirnya akan teduh jua.
Kita akan sama-sama menangis buat sementara waktu, laksana tangis anak-anak yang baru keluar dari perut ibunya. Nanti bilamana dia telah sampai ke dunia, dia akan insaf bahawa dia pindah dari alam yang sempit ke dalam alam yang lebih lebar. Kelak Tuan akan merasai sendiri bahawa hidup yang begini telah dpilihkan Allah buat kebahagiaan Tuan. Allah telah sediakan hidup yang lebih beruntung dan lebih murni unltuk kemaslahatan Tuan di belakang hari.
Tuan kan tahu bahawa saya seorang gadis yang miskin dan Tuan pun hidup dalam melarat pula, tak mempunyai persediaan yang cukup untuk menegakkan rumahtangga. Maka lebih baik kita singkirkan perasaan kita, kembali kepada pertimbangan. Lebih baik kila berrpisah, dan kita turutkan perjalanan hidup masing-masing menurut timbangan kita, mana yang lebih bermanfaat buat di hari nanti. Saya pun merasai sebagai yang Tuan rasakan, iaitu kesedihan menerima vonis itu. Tetapi Tuan harus insaf, sudah terlalu lama kita berangangan-angan barang yang mustahil, baik saya atau pun Tuan.
Tuan pilih sajalah seorang isteri yang lebih cantik dan lebih kaya daripada saya, dan marilah kita tinggal bersahabat buat selamanya. Kepada Aziz tak usah Tuan kecil hati, dia tak salah dalam perkara ini. Tetapi sayalah y'ang telah mengambil keputusan yang tetap buat bersuami dia; lawan saya mesyuarat ialah hati saya sendiri, sehingga saya terima tawaran ninik mamak saya. Dan saya harap Tuan lupakanlah segala hal yang telah berlalu, maafkan segala kesalahan dan keteledoran saya, sama kita pandang hal yang dahulu seakan-akan tidak ada saja.
Hayati
Demi setelah sampai surat itu kepada Zainuddin, mengerti benarlah dia sekarang hal yang disusahkannya selama ini, iaitu kalau-kalau Hayati masih cinta kepadanya. Sekarang ternyata sudah tidak lagi. Sebagai seorang laki -laki yang tahu kehormatan dirinya ditulisnyalah surat yang penghabisan, untuk menutup riwayat-riwayat yang telah lama itu.
Sahabatku Hayati!
Surat yang penghabisan
Alhamdulillah telah saya jalankan sepanjang bunyi suratmu. Telah saya lupakan segala hal yang lama-lama. Telah saya pandang semua hal itu tidak ada saja. Saya ucapkan pujian kepada sahabat, kerana sahabat telah dapat menentukan nasib buat di belakang hari, dan saya pun akan berikhtiar pula. Untuk membuktikan kelupaan itu, maka inilah saya kirimkan kembali segenap surat-surat yang sahabat kirimkan kepada saya dari awal sampai ke akhirnya, kerana tidak ada faedah lagi menyimpannya. Persahabatan yang sahabat tawarkan itu saya terima pula dengan dada terbuka, sebagaimana dahulu saya terima cinta yang sahabat berikan. Adapun perasaan kecewa atau kecil hati terhadap sahabat atau tunangan sahabat, tidaklah ada pada saya. Cuma saya doakan, moga-moga pergaulan dan penghidupan sahabat beruntung sampai akhirnya.
Bersambung…
Pengarang: HAMKA
Tajuk : Tenggelamnya Kapal Van Der Wijck
Note: Ya Allah.. hanya Kepada-Mu ku berserah!!!
2 comments:
errrr....
panjang plak citer..
...
erm..memang panjang... tu baru episod 20... ada lagi berpuluh episod... hehe selamat membaca...
Post a Comment