KEUTAMAAN
Salam Sejahtera, Banyak hadis yang menyatakan keutamaan Solat Dhuha, diantaranya:
عن أبي ذر رضي الله عنه أيضا أن رسول الله صلى الله عليه وسلم قال : “يصبح على كل سلامى من أحدكم صدقة فكل تسبيحة صدقة وكل تحميدة صدقة وكل تهليلة صدقة وكل تكبيرة صدقة وأمر بالمعروف صدقة ونهي عن المنكر صدقة ويجزئ من ذلك ركعتان يركعهما من الضحى” رواه مسلم
Yang bermaksud:
Dari Abu Zar R.A katanya: Rasulullahi S.A.W bersabda:” Hendaklah setiap kamu bersedekah untuk setiap ruas tulang tubuhmu pada setiap pagi. Sebab setiap kali bacaan tasbih itu adalah sedekah. Setiap tahmid adalah sedekah, setiap tahlil adalah sedekah, setiap takbir adalah sedekah, menyuruh orang lain agar melakukan amal kebaikan adalah sedekah, melarang orang lain agar tidak melakukan kemungkaran adalah sedekah, dan semua itu boleh dilakukan dengan mengerjakan dua rakaat Solat Dhuha”. (Hadis Riwayat Muslim)
Imam As-Syaukani berkata:” Hadis ini menunjukkan betapa besarnya keutamaan mengerjakan Solat Dhuha! Betapa tinggi kedudukannya! Dan betapa kuatnya perintah syariat agar solat tersebut sentiasa dikerjakan! Dua rakaat Solat Dhuha dapat menggantikan tiga ratus enam puluh kali sedekah. Oleh itu, hendaklah seseorang mengerjakannya secara berterusan.
Di samping itu, hadis tersebut memberikan petunjuk agar kita memperbanyak membaca tasbih, tahmid dan tahlil, menyuruh kebaikan, melarang kemungkaran, menyingkir setiap gangguan dijalan dan amal-amal kebaikan yang lain. Dengan demikian bererti seseorang telah bersedekah sebagaimana yang telah diperintahkan pada setiap harinya.”
عن أبى هريرة رضي الله عنه قال: [ أوصاني خليلي صلى الله عليه وسلم بثلاث: بصيام ثلاثة أيام في كل شهر وركعتي الضحى وأن أوتر قبل أن أنام ] رواه البخاري ومسلم
Yang bermaksud:
Dari Abu Hurairah R.A, katanya: “Nabi S.A.W, kekasihku berwasiat kepadaku sebanyak 3 perkara, iaitu: Puasa tiga hari setiap bulan, mengerjakan dua rakaat Solat Dhuha dan mengerjakan solat witir terlebih dahulu sebelum tidur.”
(Hadis riwayat Al-Bukhari & Muslim)
HUKUMNYA
Solat Dhuha adalah Ibadat yang disunatkan. Oleh itu, sesiapa yang menginginkan pahalanya, hendaklah dia mengerjakannya. Tetapi jika tidak mengerjakan, maka tidaklah mengapa. Dari Abu Said R.A, katanya:
أبي سعيد : كان رسول الله صلى الله عليه وسلم يصلي الضحى حتى نقول لا يدعها ويدعها حتى نقول لا يصليه
Yang bermaksud: Rasulullah S.A.W sentiasa mengerjakan Solat Dhuha hingga kami mengira, bahawa beliau tidak pernah meninggalkannya,tetapi kalau sudah meninggalkannya, kami mengira bahawa beliau tidak pernah mengerjakannya.”
(Diriwayatkan oleh At-Tirmizi. Beliau berkata: “Hadis ini hasan”)
WAKTUNYA
Solat Dhuha bermula ketika matahari naik sekadar sepenggalah dan berakhir hingga matahari agak tinggi dan panas agak terik.
Dari Zaid Ibnu Arqam R.A, katanya:
Nabi S.A.W keluar menuju tempat penduduk Quba`. Tatkala itu, mereka sedang mengerjakan solat Dhuha. Beliau bersabda:”Inilah waktu solat Al-Awwabin (Solat Dhuha).Waktunya bermula apabila anak unta masuk semula ke dalam kandangnya kerana panasnya cahaya matahari pagi.”
(Diriwayatkan oleh Ahmad, Muslim dan At-Tirmizi).
JUMLAH RAKAATNYA
Paling seidikit jumlah rakaat solat Dhuha adalah sebanyak dua rakaat, sebagaimana yang telah disebutkan sebelum ini dalam hadis Abu Zar. Jumlah rakaat paling banyak yang pernah dikerjakan Rasulullah S.A.W sebanyak lapan rakaat. Tetapi menurut sabda Nabi S.A.W adalah dua belas rakaat.
Sebahagian ulama berpendapat, tidak ada batasan jumlah rakaat solat Dhuha. Ini adalah perdapat Abu Ja`far At-Thobari dan inilah yang menjadi pegangan Al-Mulaimi dan Ar-Rawayani dari mazhab As-Syafi`e. Dalam Syarah At-Tirmizi, Al-Iraqi mengatakan:”"Aku tidak pernah melihat seorang pun, samada dari golongan sahabat mahupun tabi`in, yang menghadkan jumlah rakaat solat Dhuha hingga dua belas rakaat.” Demikian juga pendapat yang ditegaskan oleh As-Sayuti.
Sa`id bin Manshur meriwayatkan dari Al-Hasan ketika ditanya:”Adakah sahabat Rasulullah S.A.W juga pernah mengerjakan solat itu? Lalu Al-Hasan menjawab: ”Ya! Ada antara mereka yang mengerjakan sebanyak dua belas rakaat. Ada pula yang mengerjakan sebanyak empat rakaat. Ada juga yang mengerjakannya secara berterusan hingga tengah hari tanpa mengira jumlah rakaat yang telah dikerjakan.”
Ibrahim An-Nakh`i meriwayatkan, bahawa ada seseorang yang bertanya kepada Al-Aswad Ibn Yazid: ”Berapakah jumlah rakaat yang saya harus kerjakan ketika solat Dhuha? “Al-Aswad menjawab:”Itu terserah kepada kemampuanmu.”
Dari Ummi Hani`, katanya:
”Nabi S.A.W pernah mengerjakan solat Dhuha sebanyak lapan rakaat, dan pada setiap dua rakaat, beliau mengucapkan salam.”
(Diriwayatkan oleh Abu Daud dengan sanad yang sahih)
Dari Aisyah R.A katanya: “Nabi S.A.W mengerjakan solat Dhuha sebanyak empat rakaat, lalu beliau menambah rakaat berikutnya tanpa ada hitungan yang pasti.”
(Diriwayatkan oleh Ahmad, Muslim dan Ibnu Majah)
Wallahu a`lam…
1 comment:
nice n3 thk
Post a Comment