Thursday, November 26, 2009

Salam Eidul Adha

Salam ukhwah, Alhamdulillah, ku bersyukur diatas segala nikmat pemberian-Nya, moga aku sentiasa sedar akan aku ini adalah hamba-Nya, moga aku dapat menta`ati segala perintah-Nya, dan menjauhi dari segala apa yang dilarang-Nya.. ameen..

Air sudah pun surut, hilanglah akan keresahan yang melanda setiap insan yang sedang berada di kejauhan untuk pulang berhari raya di kampung.

Malam ini aku diminta agar menyampaikan tazkirah di masjid Kg.Binjai Baru (kawasan perumahan Sentosa jaya). Walaupun diberi tajuk bebas, aku lebih berminat untuk mengenengahkan tajuk Ad-Dhahiyyah, kebetulan belum juga aku menghabiskan tajuk tersebut pada tazkirah minggu lalu.

Diantara hari yang disunatkan berpuasa adalah "Puasa Hari Arafah". Dari Qatadah r.a, Nabi bersabda: Puasa pada hari Arafah dapat menghapuskan dosa selama dua tahun, iaitu tahun lalu dan tahun akan datang. Dan puasa pada hari Asyura dapat menghapuskan dosa tahun yang berlalu" Diriwayatkan oleh sekumpulan Ulama` hadis kecuali Al-Bukhari.

Herm, cukup dulu untuk kali ini, pelanggan mula ramai, aku juga perlu "banyak kali" mengulang kaji akan khutbah raya untuk esok hari, agar tiada timbul rasa gementar untuk khutbah esok.. Dan untuk akhirnya... salam eidul adha... maaf zahir & Batin..

aminpcb
Nasi Sumatera Sri Kijang
26Nov2009

Monday, November 23, 2009

Banjir II

Salam ukhwah, moga kita senantiasa dalam rahmat dan redha-Nya..ameen

Dalam masa 2 minggu, ini adalah kali kedua kampungku dinaiki air. Bila disebut saja Kg Kijang, ia cukup sinonim dengan banjir, lebih-lebih lagi di musim tengkujuh. Mungkin kerana Kg ku termasuk kawasan-kawasan rendah, (mudah dinaiki air).

Hah.. ni ada beberapa gambar yang ingin ku kongsikan dengan para pembaca.. kebetulan ketika mana turun dari rumah awal pagi tadi.. ku sempat masukkan kamera digital ku ke dalam poket.. so jom lihat..

P/S: Gambar ini diambil seawal jam 7-00 pagi, paras air ada la takat paha.. tapi ianya tetap di paras tapak kaki labah-labah.. dan diparas dada itik @ serati.. :)

Erm... dari tadi tunggu untuk upload gambar.. tapi.. line slow... InsyaAllah akan ku cuba pada esok hari..

Sunday, November 22, 2009

Tenggelamnya Kapal Van Der Wijck (Bhg. 9)

Berangkat

Semalam-Malaman setelah mendengarkan perkataan Mande Jamilah, dan setelah mengingat perkataan-perkataan yang pedih-pedih, sindiran yang menyayat jantung dari Datuk ... mata Zainuddin tidak hendak tertidur. Pincangnya masyarakat Minangkabau, buruk nian nasibnya. Tak ubahnya kedatangannya ke Minangkabau, bagai musafir yang mengharapkan minuman dan melihat air di pertengahan padang pasir, demi setelah didatanginya ke sana, sebuah pun tak ada yang nampak. Kadang-kadang disesalinya perkahwinan ayahnya dengan ibunya. Kadang-kadang pula dia menyedari untung malangnya, mengapa dia tak dilahirkan dalam kalangan orang Minangkabau!

Tapi bukan itu agaknya yang menutup pintu baginya untuk bertemu dengan Hayati, agaknya lantaran dia tak berwang. Orang tak melihat, bahawa sekadar belanja menunggu dapat penghidupan tetap, dia masih menyimpan. Tetapi bukan itu yang jadi sebabnya, walaupun wang berbilang, emas bertahil, namun pemisahan adat masih tebal di negeri itu.

Ia diusir, meskipun dengan cara halus. Perbuatannya dicela, namanya dibusukkan.
Seakan-akan tersuci benar negeri Minangkabau ini dari dosa.

Seorang anak muda, yang berkenalan dengan seorang anak perempuan, dengan maksud baik, maksud hendak kahwin, dibusukkan, dipandang hina. Tetapi seorang yang dengan gelar bangsawannya, dengan "title" datuk dan penghulunya mengahwini anak gadis orang berapa dia suka, kahwin di sana, cerai di sini, tinggalkan anak di kampung anu dan cicirkan di kampung ini, tidak tercela, tidak dihinakan.

Seorang anak muda yang datang ke kampung, yang lahir dari perkahwinan sah, dan ibunya bukan pula keturunan sembarang orang, malah Melayu pilihan dari Bugis, dipandang orang lain. Tetapi harta seorang ayah, yang sedianya akan turun kepada anaknya, dirampas, dibahagi dengan nama "adat" kepada kemenakannya. Kadang-kadang pula pemberian ayah kepada anaknya semasa dia hidup, diperkarakan, dan didakwa ke muka hakim oleh pihak kemenakan, tidak tercela, bahkan terpandang baik.

"Ke dalam masyarakat apakah saya telah terdorong dan kaki saya telah terjerumus," kata Zainuddin dalam hatinya. Timbul kebencian yang sangat di dalam hatinya, tetapi kebencian itu pun sirnalah sebentar itu juga, bila diingatnya bahawa ayahnya asal dari sana, dan dia pun asal dari sana, meskipun orang lain tak mengakui. Lebih lagi, bukankah Hayati dilahirkan dalam kalangan itu? Boleh dikatakan tiada terlelap matanya semalam itu. Setelah ayam berkokok tanda siang, dia telah turun membasuh mukanya ke halaman dan mengambil wuduk, terus sembahyang Subuh.

Tidak berapa saat kemudian, fajar pun terbitlah dari jihat timur, kicau murai di pohon kayu, dan kokok ayam di kandang, laksana serunai nafiri mengalu-alukan kedatangan maharaja siang yang menang dalam perjuangan. Awan di timur dan di barat, berbagai-bagai rona nampaknya, laksana menunjukkan perayaan alam yang terjadi tiap-tiap pagi dan tiap-tiap petang. Tidak lama kemudian, sebelum tanah dan jalan raya yang meliku melekok melalui negeri-negeri kecil dari Padang Panjang ke Sumpur, ditimpa cahaya matahari, maka puncak Gunung Merapi dan Singgalang telah kena cahaya lebih dahulu, amat indahnya laksana disepuh dengan emas juita. Pada waktu demikian, kelihatanlah orang-orang dusun keluar dari rumahnya berselimut kain sarung, dan perempuan-perempuan berkain telekung dan menjinjing buli-buli. Tidak lama kemudian matahari pun terbitlah.

Semua itu dilihat oleh anak muda itu, sambil menarik nafas panjang. Dia kelihatan berjalan dengan gontainya, di halaman yang luas dari rurmah adat yang berderet-deret, setelah menjabat tangan Mande Jamilah yang menghantarkannya sampai ke halaman. Semuanya dengan perasaan yang amat sayu.

Dia melangkah, langkahnya tertegun-tegun. Di tentang rumah Hayati, sengaja ditekurkannya kepalanya, kerana sudah putus harapannya hendak bertemu, bunga harum berpagar duri, yang dari sana penyakitnya, tetapi di sana pula ubatnya. Meskipun rumpun barambu yang berderet di tepi jalan membawa udara dan bunyi yang menyegarkan fikiran, bagi orang sebagai Zainuddin, semuanya itu hanyalah menambah penyakit. Sebab negeri Batipuh, negeri yang ditujunya dari kampung kelahirannya, akan tinggal. Halaman tempatnya bermain, akan tinggal. Surau tempatnya bermalam, akan tinggal. Dangau tempat dia bermula menjalin janji dengan Hayati, dan ... akan tinggal Hayati sendiri.

Tiba-tiba, setelah kira-kira setengah jam dia meninggalkan kampung yang permai itu menghayun langkah yang gontai, gonjong rumah-rumah telah mulai ditimpa cahaya pagi, di suatu pendakian yang agak sunyi, di tepi jalan menuju Padang Panjang, kelihatan olehnya seorang perempuan berdiri, berpimpin tangan dengan seorang anak laki-laki. Orang itu ialah Hayati sendiri dan adiknyaAhmad, yang berdiri menunggunya.

Bergoncang sangat hatinya demi melihat anak perempuan itu. Lidahnya seakan-akan terkunci. Tapi demi dilihatnya muka anak perempuan itu tenang saja, timbullah malu dalam hatinya hendak menunjukkan kesedihan. Setelah lama dia tegak termenung menentang muka Hayati, barulah dapat dia berkata: "Rupanya ada juga niat hatimu hendak menungguku di sini, Hayati!".

"Memang, Tuan Zainuddin, ah .... engkau tak akan kubahasakan 'tuan' lagi, memang Zainuddin, sahabatku. Sejak saya mendengar sikap yang telah diambil oleh mamakku, terancamlah perhubungan kasih sayang kita. Dan orang kampungku telah syak wasangka kepada kita yang bukan-bukan. Sebab itu, saya datang ke mari melepasmu pergi, dan biar engkau pergi sejauh-jauhnya pun, namun jiwamu telah dekat denga jiwaku. Sekali seorang anak perempuan yang jujur telah memberikan pujukan kepada seorang laki-laki yang menghamparkan sayap pengharapan, maka selama hidupnya, kematianlah yang akan menceraikan perjanjiannya itu.

Zainuddin, kekasihku, berangkatlah, biar jauh sekalipun, kulepaskan! Tapi harapanku hanya sebuah, engkau sekali-kali tak boleh putus asa, jangan diberi hatimu berpintu sehingga kesedihan dan kedukaan masuk ke dalam. Cinta bukan melemahkan hati, bukan membawa putus asa, bukan menimbulkan tangis sedu-sedan. Tetapi cinta menghidupkan pengharapan, menguatkan hati dalam perjuangan menempuh onak dan duri penghidupan. Berangkatlah! Dan biarlah Tuhan memberi perlindungan bagi kita."

"Hayati," ujar Zainuddin, "amat besar harganya perkataanmu itu bagiku. Saya putus asa, atau saya timbul pengharapan dalam hidupku yang belum tentu tujuannya ini, semuanya bergantung bukan kepada diriku, bukan pula kepada orang lain, tetapi kepada engkau sendiri. Engkaulah yang sanggup menjadikan saya seorang gagah berani, tetapi engkau pula yang sanggup menjadikan saya sengsara selamanya.

Engkau boleh memutuskan harapanku, engkau pun sanggup membunuhku."
"Kalau demikian, hari inilah saya terangkan di hadapanmu, di hadapan cahaya matahari yang baru naik, di hadapan roh ibu bapa yang sudah sama-sama berkalang tanah, saya katakan: Bahawa jiwaku telah diisi sepenuh-penuhnya oleh cinta kepadamu. Cintaku kepadamu telah memenuhi hatiku, telah terjadi sebagai nyawa dan badan adanya. Dan selalu saya berkata, biar Tuhan mendengarkan, bahawa engkaulah yang akan jadi suamiku kelak,jika tidak sampai di dunia, biarlah di akhirat. Dan saya tiadakan khianat kepada janjiku, tidak akan berdusta di hadapan Tuhan, dan di hadapan arwah nenek moyangku," ujar Hayati.

"Berat sekali sumpahmu Hayati!"
"Tidak berat, demikianlah yang sebenarnya, dan jika engkau, kekasihku, berjalanjauh atau dekat sekalipun, entah tidak kembali dalam masa setahun, masa dua tahun, masa sepuluh tahun, entah hitam negeri Batipuh ini baru engkau kembali ke mari, namun saya tetap menunggumu. Carilah bahagia dan keberuntungan kita ke mana jua pun, namun saya tetap untukmu. Jika kita bertemu pula, saya akan tetap bersih dan suci, untukmu, kekasihku, untukmu ....

Allah yang tahu bagaimana beratnya perasaan hatiku hendak melepasmu berangkat pada hari ini tapi apa yang hendak kuperbuat selain sabar. Tuhan telah memberi saya kesabaran, moga-moga kesabaran itu tems menyelimuti hatiku, menunggu di mana masanya kita menghadapi dunia ini dengan penuh kesyukuran kelak.
Baru sekarang terbuka rahsia batin yang tersembunyi di hati Hayati, yang selama ini masih dipandang oleh Zainuddin sebagai teka-teki.

Sekarang, yakni seketika dia akan bercerai-cerai, dan entah akan bertemu pula entah tidak. Dan pada muka Hayati kelihatan bagaimana hebat peperangannya menahan hatinya."
"Baiklah Hayati, saya akan berangkat dengan harapan yang penuh, harapan yang tadinya sebelum kau kelihatan berdiri di sini sudah hampir hilang. Cuma masih ada permintaanku kepada engkau: Kirimi saya surat-surat, dan kalau tak berhalangan, surat-surat itu akan saya balasi pula."
"Akan saya kirimi sedapat mungkin, akan saya terangkan segala perasaan hatiku sebagaimana pepatahmu selama ini, dengan surat kita lebih bebas menerangkan perasaan.”
"Mana tahu, entah lama pula kita akan bertemu

Berilah saya satu tanda mata, azimatku, dalam hidupku, dan akan kuwasiatkan meletakkan dalam kafanku jika kumati. Berilah, meskipun suatu barang yang semurah-murahnya bagimu, bagiku mahal semua."
Termenung Hayati sebentar. Tiba-tiba dibukanya selendang yang melilit kepalanya, dicabutnya beberapa helai rambutnya, diberikannya kepada Zainuddin: "lnilah, terimalah Selamat jalan .... "

Digamitnya adiknya Ahmad itu dengan tangannya, dia pun berpaling muka, berjalan dengan secepat-cepatnya menuruti jalan raya itu dan membelok ke jalan kecil yang menuju kampung halamannya, sementara Zainuddin tak dapat berkata sepatah juga lagi. Tidak berapa minit kemudian, kelihatan dari jauh sebuah bendi yang sedang mendaki dan kudanya berjalan dengan gontai, muatannya kosong, bendi itulah yang mengejutkannya, sehingga terhenti dari tekurnya.
"Menumpang ke Padang Panjang," ujarnya.

Bersambung lah lagiii.......



Pengarang: HAMKA
Tajuk : Tenggelamnya Kapal Van Der Wijck


Note: * Musti baca.......

Wednesday, November 18, 2009

Ad-Dhahiyyah (Bhgn.1)

Salam Ukhwah, Semalam ketikamana ku sedang "mentelaah" akan kitab yang dikarang oleh syeikh abdul majid, tiba-tiba telefon ku berdering.. terpampanglah no Che suh MPKB (pengerusi masjid Binjai Baru) di screen telefon ko..

"Assalamualaikum!! doaku membuka bicara..

"Waalaikum salam" Balas Che Suh..

"Che Suh apa khabar?"Tanya ku ..

"Alhamdulillah sihat" Balas Che Suh lagi..

"Ustaz.. malam ni bolehkah kalu kami nak minta supaya ustaz jelaskan berkenaan dengan tajuk Ibadah korban bersempena dengan Hari Raya Korban yang akan tiba??"

" Erm... aku terdiam seketika.. jam dinding telah menunjukkan jam 5-15 ptg.. aku hanya ada masa sejam lebih untuk mengulangkaji tajuk "Al-Dhahiyyah"..

"Baik lah Che Suh, InsyaAllah malam ni saya kana cuba bentangkan tajuk tersebut sekadar yang termampu" Balas ku mengakhiri perbualan...

Waduh, ada sejam lebih je lagi, lekas-lekas ku menuju ke rak kitab ku, lalu ku cari kitab "Fiqh Sunnah"... arggghhhhhhh .... sakit kepala ku.... Persoalan-persoalan yang ditanya oleh ahli jemaah masjid pun belum ku temui lagi... Ya Allah..lapangkanlah dada hamba-Mu ini...

Herm... aku teringat akan satu hadis Nabi S.A.W berikut ini yang bermaksud:

" Yang hadir di antara kalian hendaklah menyampaikan kepada yang tidak hadir"

(Hadis ini diriwayatkan oleh Al-Bukhari dalam kitab ilmu)

Jadi dikesempatan yang ada ini, ku tuliskan serba sedikit dari apa yang telah ku sampaikan kepada ahli jemaah masjid Binjai Baru untuk dikongsi bersama para pembaca yang budiman di blog ku ini, moga segala apa yang telah ku lakukan ini..mendapat redha-Nya..ameen

TA`RIF


Perkataan "Al-Udhiyah" dan "Ad-Dhahiyyah" adalah nama kepada haiwan sembelihan seperti unta, lembu, kambing yang disembelih pada hari Raya Korban dan hari Tasyriq untuk mendekatkan diri kepada ALlah S.W.T.

DALIL PENSYARIATAN

Allah telah mensyariatkan korban sebagaimana dinyatakan melalui firman-Nya :

إِنَّا أَعْطَيْنَاكَ الْكَوْثَرَ (١)فَصَلِّ لِرَبِّكَ وَانْحَرْ (٢)إِنَّ شَانِئَكَ هُوَ الأبْتَرُ (٣)

1. Sesungguhnya Kami telah mengurniakan kepadamu (Wahai Muhammad) kebaikan Yang banyak (di dunia dan di Akhirat).

2. Oleh itu, kerjakanlah sembahyang kerana Tuhanmu semata-mata, dan sembelihlah korban (sebagai bersyukur).

3. Sesungguhnya orang Yang bencikan engkau, Dia lah Yang terputus (dari mendapat sebarang perkara Yang diingininya) (Surah Al-Kautsar:1-3)

Allah Taala berfirman:

وَالْبُدْنَ جَعَلْنَاهَا لَكُمْ مِنْ شَعَائِرِ اللَّهِ لَكُمْ فِيهَا خَيْرٌ فَاذْكُرُوا اسْمَ اللَّهِ عَلَيْهَا صَوَافَّ فَإِذَا وَجَبَتْ جُنُوبُهَا فَكُلُوا مِنْهَا وَأَطْعِمُوا الْقَانِعَ وَالْمُعْتَرَّ كَذَلِكَ سَخَّرْنَاهَا لَكُمْ لَعَلَّكُمْ تَشْكُرُونَ (٣٦)

"Dan Kami jadikan unta (yang dihadiahkan kepada fakir miskin Makkah itu) sebahagian dari Syiar ugama Allah untuk kamu; pada menyembelih unta Yang tersebut ada kebaikan bagi kamu; oleh itu sebutlah nama Allah (semasa menyembelihnya) ketika ia berdiri di atas tiga kakinya maka apabila ia tumbang (serta putus nyawanya), makanlah sebahagian daripadanya, dan berilah (bahagian Yang lain) kepada orang-orang Yang tidak meminta dan Yang meminta. Demikianlah Kami mudahkan Dia untuk kamu (menguasainya dan menyembelihnya) supaya kamu bersyukur. (Surah Al-Hajj: 36).

Adapun yang dimaksudkan dengan perkataan “An-Nahar” di sini adalah menyembelih haiwan korban. Dalam hadis dinyatakan bahawa Nabi S.A.W pernah melakukan ibadah korban dan kaum Muslimin pula turut berkorban. Mereka juga telah berijmak untuk membolehkan masalah ini.

KEUTAMAAN

At-Tirmizi meriwayatkan dari Aisyah R.A bahawa Nabi S.A.W bersabda yang bermaksud:

Tidak ada suatu amalan yang dilakukan oleh seorang manusia pada hari Raya Korban yang lebih dicintai Allah selain daripada menyembelih haiwan korban. Sesungguhnya haiwan korban itu kelak pada hari Kiamat akan datang beserta tanduk-tanduknya, bulu-bulunya dan kuku-kukunya. Sesungguhnya sebelum darah korban itu menyentuh tanagh pahalanya telah diterima disisi Allah, maka beruntunglah kamu dengan pahala korban itu” (Hadis riwayat At-Tirmizi)

HUKUMNYA

Ibadah korban adalah sunat muakkad dan makruh ditinggalkan bagi orang yang mampu melakukannya. Dalilnya hadis yang diriwayatkan oleh Al-Bukhari dan Muslim yang bermaksud:

Nabi S.A.W pernah berkorban dengan dua ekor kambing yang berwarna putih kehitaman dan bertanduk. Beliau menyembelihnya dengan tangannya sendiri, membaca basmalah dan bertakbir (ketika menyembelihnya)." (Hadis riwayat Al-Bukhari).

Bersambung…

Rujukan: Kitab Fiqh Sunnah
Pengarang: Syeikh Sayid Sabiq

Tuesday, November 17, 2009

Hijau itu Indah.. kan?

Assalamualaikum, salam ukhwah buat pengunjung. Moga kita senantiasa diredhai dan dirahmati-Nya ameen.

Kali ini, hanyalah beberapa "Green wallpaper`s" untuk tatapan pengunjung, kebetulan kejap lagi nak balik ke rumah untuk berehat. Semalam setelah berbuka puasa tiba-tiba gout datang balik. Kebiasaan sakit pada kaki sebelah kiri, tapi semalam kena sebelah kaki kanan.

Ok la, usop pun dah sampai, balik berehat dulu.. malam nih kena ngajar.. dah janji untuk sampaikan tazkirah tajuk "Puasa Hukum & Hikmah menurut sains moden" yang di karang oleh Syeikh Abdul Majid Az-Zindani dan di terjemahkan oleh Ust Adli Saad.

Herm.. aku perlu persiapan yang mencukupi.. So aku ingin berundur dulu.. ketemu lagi dilain masa.. wassalam
















P/S: Allahumma Afini fi badani, Allahumma Afini fi badani, Allahumma Afini fi basori...

Monday, November 16, 2009

Ehems15

Allah telah berfirman:

قُلْ لِلْمُؤْمِنِينَ يَغُضُّوا مِنْ أَبْصَارِهِمْ وَيَحْفَظُوا فُرُوجَهُمْ ذَلِكَ أَزْكَى لَهُمْ إِنَّ اللَّهَ خَبِيرٌ بِمَا يَصْنَعُونَ


Katakanlah (Wahai Muhammad) kepada orang-orang lelaki Yang beriman supaya mereka menyekat pandangan mereka (daripada memandang Yang haram), dan memelihara kehormatan mereka. Yang demikian itu lebih suci bagi mereka; Sesungguhnya Allah amat mendalam pengetahuannya tentang apa Yang mereka kerjakan” (An-Nur:30)

Rasulullah S.A.W bersabda yang bermaksud:

Adapun zina mata adalah melihat (kepada apa yang diharamkan Allah)” Hadis marfu` riwayat Imam Ahmad 2/69.

Tetapi dikecualikan dari hokum di atas, bila melihat wanita untuk keperluan yang dibolehkan syariat. Misalnya seorang laki-laki memandang kepada seorang wanita yang akan dilamarnya, demikian pula doktor dengan pesakitnya.

Hal sama juga berlaku untuk wanita. Wanita diharamkan memandang kepada laki-laki bukan mahram dengan pandangan yang menyebabkan fitnah. Allah berfirman:

وَقُلْ لِلْمُؤْمِنَاتِ يَغْضُضْنَ مِنْ أَبْصَارِهِنَّ وَيَحْفَظْنَ فُرُوجَهُنَّ

"Dan Katakanlah kepada perempuan-perempuan Yang beriman supaya menyekat pandangan mereka (daripada memandang Yang haram), dan memelihara kemaluannya” (An-Nur:31).

Juga haram hukumnya memandang kepada laki-laki yang belum baligh dan kepada laki-laki dengan pandangan syahwat. Haram bagi laki-laki melihat aurat laki-laki lain. Hal yang sama juga berlaku antara sesama wanita. Dan setiap aurat yang tidak boleh dilihat, tidak boleh pula untuk dipegang sungguhpun dengan dilapisi kain.

Termasuk tipu daya syaitan adalah melihat gambar-gambar lucah, baik di majalah, filem, televisyen, video, internet dan sebagainya. Sebahagian mereka berdalih, semua itu hanyalah sekadar gambar, tidak hakikat yang sebenarnya.

Namun bukankah sangat jelas bahawa semua itu berpotensi merosak (akhlak) dan membangkitkan nafsu berahi??

wallahu a`lam

Saturday, November 14, 2009

Hadis 40

Muqaddimah Imam An Nawawi III

Dan sabdanya lagi yang bermaksud:
"Semoga Allah mencerahkan wajah orang yang mendengar kata-kataku lalu ia menghafalnya, kemudian menyampaikannya kepada orang lain sebagaimana ia mendengarnya"

Hadis diriwayatkan oelh Abu Daud dalam kitab ilmu (Bab keutamaan menyebarkan ilmu), no. 3360. At-Tirmizi dalam kitab Ilmu (Bab anjuran menyampaikan ilmu atas orang yang mendengar). Dan Ibnu Majah dalam Muaddimah, no. 230 dan matan hadis ini telah ditetapkan oleh para imam.

Di antara ulama ada yang menyusun 40 hadis tentang Usuluddin (asas-asas agama), ada yang menyusun tentang soal-soal furu` (cabang-cabang agama), ada yang menyusun tentang jihad, ada yang menyusun tentang zuhud (Tidak mementingkan dunia/penyucian jiwa) dan lain lagi menyusun tentang adab serta sebahagian yang lain menyusun tentang khutbah-khutbah Nabi S.A.W. Mereka semua memiliki niat yang baik. Semoga ALlah memberi keredhaan kepada mereka..amen.

Sementara 40 hadis yang saya bukukan ini merupakan hadis-hadis yang merangkumi kesemua perkara tersebut, melebihi apa yang telah disusun oleh para ulama di atas. Setiap hadis yang ada di dalamnya memuatkan kaedah-kaedah agama yang penting, yang digambarkan oleh para ulama sebagai asas-asas agama Islam, atau merupakan setengah atau sepertiga dari Islam, dan penilaian-penilaian lainnya. Dan hadis-hadis yang saya bukukan ini adalah hadis sahih, yang sebahagian besar diambil dari kitab sahih Al-Bukhari dan Muslim. sementara itu saya tidak menyebut sanak-sanad hadis ini agar mudah untuk dihafal dan insyaAllah agar ianya lebih banyak memberikan manfaat. Kemudian saya rungkai pula dengan bab yang mengulas tentang kata-kata samar yang terdapat dalam hadis-hadis tersebut*.

Sepatutnya bagi orang yang menginginkan kehidupan akhirat mengetahui hadis-hadis ini, kerana di dalamnya terkandung banyak perkara penting serta anjuran supaya melakukan berbagai macam ketaatan. Semua ini jelas bagi sesiapa yang mentadabburinya. Kepada Allah jualah saya berharap dan kepada-Nya pula saya berserah diri dan berlindung. Segala puji dan nikmat adalah kepunyaan Allah, dan dari-Nyalah taufiq dan perlindungan.

_________________
* Bab ini sangat jarang sekali dijumpai dalam buku-buku yang mensyarahkan/mengulas kitab Arbain Nawawi. Sementara kami tetap mencantum bab ini pada bahagian akhir buku ini, agar dapat memberikan faedah yang lebih lengkap, sekalipun kami sudah menjelaskan kata-kata samar yang terdapat dalam kitab tersebut di setiap hadis yang kami ulas. Hanya kita tetap perlu pada apa yang sudah ditulis oleh para salafussoleh (pendahulu yang soleh) kita, kerana ketelitian, amanah, kejujuran dan keikhlasan yang ada di dalamnya.

Tuesday, November 10, 2009

Hadis 40

Muqaddimah Imam An-Nawawi II

Hadis ini diriwayatkan oleh Al-Baihaqi dari hadis Imam Malik dan lainnya, dan ia berkata bahawa seluruh sanad hadis ini adalah dhaif. Al-Hafiz Ibnu Asakir juga meriwayatkan dari jalan yang lain, dan ia berkata: " Hadis ini diriwayatkan dari Ali, Ibnu Umar, Abu Hurairah, Abu Said Al-Khudri dan Abu Umamah secara marfu` dengan seluruh sanadnya harus diperbincangkan, dan tidak ada satupun yang sahih. (Al-Muin Ala Tafahhumil Arbain: Ibnu Mulqin)

Dalam riwayat lain disebutkan yang bermaksud:
"Dibangkitkan sebagai seorang ahli faqih yang alim".

Dalam riwayat Abu Darda`:
"Pada hari Kiamat aku akan memberi syafaat kepadanya dan menjadi saksi".

Dalam riwayat Ibnu Masud:
"Dikatakan padanya: masuklah dari pintu syurga yang mana sahaja engkau kehendaki".

Dalam riwayat Ibnu Umar:
"Ia dituliskan dalam golongan ulama dan dihimpun bersama ulama dan orang-orang yang mati syahid"

Para ahli hadis bersepakat bahawa hadis ini dhaif (lemah) walaupun banyak sanadnya (jalan periwayatannya).

Dalam hal ini, cukup banyak ulama yang menyusun buku yang memuatkan 40 hadis Nabi S.A.W. Sedemikian banyaknya ulama yang menyusunnya, sehingga buku seumpama ini tidak terhitung lagi jumpahnya. Sementara yang saya ketahui bahawa ulama yang pertama kali membukukan 40 hadis Nabi S.A.W itu adalah Abdullah bin Mubarak, kemudian Muhammad bin Aslam, Al-Hasan bin SUfyan An-Nasai dan masih banyak lagi, baik dari kalangan ulama mutaqaddimin (yang terdahulu) mahupun muta`akhkhirin ( terkemudian).

Saya memohon petunjuk kepada Allah dalam menyusun 40 hadis ini dengan mengikut langkah yang telah ditempuhi oleh para imam yang alim dan para ahli hadis yang disebutkan di atas. Para ulama telah bersepakat atas kebolehan memakai hadis dhaif dalam fadhailul a`mal (hadis-hadis tentang keutamaan beramal). Sungguhpun demikian, dalil yang saya pegang bukanlah hadis ini, tetapi saya berpegang dengan hadis Nabi S.A.W berikut ini yang bermaksud:

" Yang hadir di antara kalian hendaklah menyampaikan kepada yang tidak hadir"

Hadis ini diriwayatkan oleh Al-Bukhari dalam kitab ilmu, (Bab hadis sabda Nabi S.A.W: Banyak orang yang menyampaikan lebih faham daripada orang yang mendengar), juga kitab Korban, Haji, Binatang buruan, Fitnah dan yang lainya. Sementara Imam Muslim meriwayatkannya dalam kitab pembahagian no 29 dan 30.

bersambung lah lagi...

Monday, November 9, 2009

Hadis 40

Muqaddimah Imam An-Nawawi

Segala puji bagi Allah Tuhan semesta alam. Penguasa langit dan bumi, yang mengatur seluruh makhluk yang mengutus para Rasul "Alaihimussalam kepada sekalian mukallaf, untuk memberi petunjuk dan menerangkan kepada mereka urusan-urusan agama, dengan dalil-dalil yang jitu dan bukti-bukti yang nyata, saya mensyukuri-Nya atas segala nikmat-Nya dan saya memohon tambahan dari kurnia dan rahmat-Nya.. ameen

Saya bersaksi bahawa Nabi Muhammad S.A.W adalah hamba dan utusan tercinta-Nya, hamba-Nya yang paling utama di atas seluruh makhluk-Nya, yang dimuliakan dengan Al-Quran Al-Aziz yang merupakan mu`jizat abadi sepanjang waktu, diagungkan dengan sunnah-sunnahnya yang memberikan cahaya bagi para pencari petunjuk, diistimewakan dengan ucapannya yang sedikit, namun padat maknanya, dan diutamakan dengan kelapangan menerima agama. Selawat dan salam semoga dilimpahkan kepada seluruh Nabi dan Rasul, kepada segenap keluarganya dan para solihin.

Sesungguhnya kami telah meriwayatkan dari Ali bin Abi Talib, Abdullah bin Mas`ud, Muaz bin Jabal, Abu Darda`, Ibnu Umar, Ibnu Abbas, Anas bin Malik, Abu Hurairah dan Abi Said Al-Khudri Radhiyallahu Anhum Ajma`in dari sanad yang ramai dan berbagai riwayat, bahawa Rasulullah S.A.W telah bersabda yang bermaksud:

"Barangsiapa dari umatku yang menghafal 40 hadith tentang agamanya, maka dia akan dibangkitkan oleh Allah pada hari kiamat di tengah-tengah himpunan para fuqaha` dan ulama`"

Hadis ini diriwayatkan oleh Al-Baihaqi dari hadis Imam Malik dan lainnya... alamak orang tengah ramai kat kedai nih.. apa kata sambung lain kali ye...

wassalam...

Saturday, November 7, 2009

Banjir

Herm, jom pakat main air..

Pokok salak semakin ditenggelami air..

Bot bantuan .. hehe

kerana paras air yang agak cetek, bot ini hanyalah dijadikan perhiasan buat sementara waktu

Air semakin naik

Itu lah rumah pak sedara ku (tauke ayam)

P/S: Gambar ini diambil pada tahun 2007.

Wednesday, November 4, 2009

Tenggelamnya Kapal Van Der Wijck (Bhg. 8)

Pemandangan Di Dusun

Sesungguhnya persahabatan yang rapat dan jujur di antara kedua orang muda itu, kian lama kian tersiarlah dalam dusun kecil itu. Di dusun, belumlah orang dapat memandang kejadian ini dengan penyelidikan yang saksama dan adil. Orang belum kenal percintaan suci. Yang terdengar sekarang, yang pindah dari mulut ke mulut, ialah bahawa Hayati, kemenakan Datuk telah berintaian, bermain mata, berkirim-kiriman surat dengan anak orang Mengkasar itu. bisik dan desus, perkataan yang tak berhujung pangkal, pun ratalah dan pindah dari satu mulut ke mulut yang lain, jadi pembicaraan dalam kalangan anak muda-muda yang duduk di pelatar lepau petang hari. Sehingga akhimya telah menjadi rahsia umum.

Orang-orang perempuan berbisik-bisik di pancuran tempat mandi. Kelak bila kelihatan Hayati mandi ke sana, mereka pun berbisik dan mendeham, sambil melihat kepadanya dengan sudut mata. Anak -anak muda yang masih belum kahwin dalam kampung itu sangat naik darah. Bagi mereka adalah perbuatan demikian, merendahkan darjat mereka seakan-akan kampung tak berpenjaga. Yang terutama sekali dihinakan orang adalah persukuan Hayati, terutama mamaknya sendiri Datuk yang dikatakan buta saja matanya melihat kemenakannya membuat malu, melangkahi kepala ninik mamak.

Ibarat bergantang, hal ini telah terlalu penuh. Telinga Datuk ... tidak sanggup lagi mendengarkan. Sehingga pada suatu malam dicarinya Zainuddin, dibawanya berbicara bermuka-muka.

"Zainuddin," ujamya, "telah banyak nian pembicaraan orang yang kurang enak kudengar terhadap dirimu dan diri kemenakanku. Kata orang tua-tua, telah melakukan perbuatan yang buruk rupa, salah canda, yang pantang benar di dalam negeri yang beradat ini. Diri saya percaya, bahawa engkau tiada melakukan perbuatan yang tiada senonoh dengan kemenakanku, yang dapat merosakkan nama Hayati selama hidupnya. Tetapi, sekarang saya temui engkau untuk memberi engkau nasihat, lebih baik sebelum perbuatan berkelanjutan, sebelum merosakkan nama kami dalam negeri, suku sako turun-temurun, yang belum lekang di panas dan belum lapuk di hujan, supaya engkau surut."

Tercengang Zainuddin menerima pembicaraan yang ganjil itu, bagai ditembak putus tunggal rasa kepalanya. Lalu dia berkata: "Mengapa Engku berbicara demikian rupa kepada diriku? Sampai membawa nama adat dan turunan?"

"Harus hal itu saya tanyai, kerana di dalam adat kami di Minangkabau ini, kemenakan di bawah lindungan mamak. Hayati orang bersuku berkaum kerabat, dia bukan sembarangan orang"


"Saya akui hal demikian, Engku. Tetapi itulah kemalangan nasib saya, mengapa dahulunya saya berkenalan dengan dia, mengapa maka hati saya terjatuh kepadanya, dan dia sambut kemalangan untungku dengan segenap belas kasihan. Cuma sehingga itu perjalanan perkenalan kami selama kami hidup, lain tidak!"
"Ya, tapi kasihan Hayati. Engkau sendiri tahu bagaimana dia dipandang bunga di dalam persukuannya. Dahulu dia lurus, gembira, tetapi sekarang telah pemenung dan pehiba hati. Hatinya telah rosak binasa semenjak berkenalan dengan engkau dan kalau dipenturutkan agaknya badannya akan kurus kering, dan kalau dia terus binasa, bukankah segenap persukuan dan perlindungan di rumah gedang kehilangan mustika?

Zainuddin! Serba susah saya di dalam hal ini. Nama saya sendiri, gelar pusaka turun-temurun menjadi buah mulut orang, dikatakan mamak yang tak pandai mengatur kemena¬kan. Dan lagi engkau sendiri, belumlah tinggi pemandangan orang kepada didikan sekolah. Kejadian ini telah mereka pertalikan dengan sekolah, itulah bahaya anak kemenakan diserahkan ke sekolah kata mereka sudah pandai dia berkirim-kiriman surat dengan laki-laki, padahal bukan jodohnya. Sebab itu, sangatlah saya minta kepadamu, Zainuddin, sudilah kiranya engkau melepaskan Hayati dari dalam kenanganmu, dan berangkatlah dari negeri Batipuh yang kecil ini segera, untuk kemaslahatan Hayati."

"Ertinya Engku merenggutkan jantung saya dari dada saya," jawab Zainuddin sambil menekur.

"Engkau seorang laki-laki, Zainuddin. Sakitmu ini hari, bolehlah engkau ubat besok dan lusa. Tetapi seorang perempuan .... seorang perempuan mahu binasa kalau menahan hati." ; .

"Tidak Engku ... hati laki-lakilah yang kerap remuk lama, perempuan dapat segera melupakan hidupnya di zaman muda."

"Dengan sangat saya minta engkau berangkat saja dari sini, untuk kemaslahatan Hayati yang engkau cintai."

"Untuk kemaslahatan Hayati yang engkau cintai," perkataan ini terhunjam ke dalam jantung Zainuddin, laksana panah yang sangat tajam. Dia teringat dirinya, tak bersuku, anak orang terbuang, dan tak dipandang sah dalam adat Minangkabau. Sedang Hayati seorang anak bangsawan, turunan penghulu-penghulu pucuk bulat mat tunggang yang berpendam perkuburan, bersasap berjerami di dalam negeri Batipuh itu. Alangkah besarnya korban yang harus ditempuh Hayati jika sekiranya mereka langsung kahwin, dan tentu Hayati tiada akan tahan menderita pukulan yang demikian hebat.

Dia termenung mengingat untungnya, yang hanya mengecap lazat cinta laksana bayang-bayang dalam mimpi. Tetapi cinta suci bersedia menempuh korban, bersedia hilang, kalau hilang itu untuk kemaslahatan kecintaan, bersedia menempuh maut pun, kalau maut itu perlu. Kerana bagi cinta yang murni, tertinggal jauh di belakang pertemuan jasmani dengan jasmani, terlupa pergabungan badan dan badan, hanyalah keikhlasan dan kesucian jiwa yang diharapnya.

"Angkatlah kepalamu Zainuddin, berilah saya kata putus," ujar Datuk .... pula.

Diangkatnya kepalanya, dan kelihatanlah air matanya berlinangan. "Berilah saya keputusan, berangkatlah!" "Ba ... iklah, Engku!"

Didekatinya Zainuddin, ditepuknya bahu anak muda itu dengan perlahan seraya berkata:

"Moga-moga Allah memberimu perlindungan."

Dia pergi, dan Zainuddin ditinggalkannya masih termenung.
Hayati duduk di ruang tengah merendai sehelai sarung bantal, entah sarung bantal persiapan kahwin, tidaklah kita ketahui. Tiba-tiba Datuk ... masuk ke rumah dan berdiri dekat Hayati sambil berkata:

"Sudahkah engkau tahu, Hayati?"

"Apa Engku?" "Zainuddin ... "

Muka Hayati kelihatan pucat dan jahitannya terlepas dari tangannya.

"Zainuddin telah saya suruh pergi dan Batipuh. Kalau dia hendak menuntut ilmu juga, sebagai niatnya bermula, lebih baik dia pergi ke Padang Panjang atau Bukit Tinggi saja, dia telah mahu."
Meskipun dengan sepayah-payahnya Hayati menahan hatinya, namun mukanya nyata pucat kelihatan, terlompat juga pertanyaan dari mulutnya: "Apa sebab Engku suruh dia pergi?"

"Banyak benar fitnah-fitnah orang terhadap dirinya dan dirimu sendiri."

"Tapi perhubungan kami suci, tidak bercampur dengan perbuatan yang melanggar sopan santun."

"Hai Hayati! Jangan engkau ukur keadaan kampungmu dengan kitab-kitab yang engkau baca. Percintaan hanyalah khayal dongeng dalam kitab saja. Kalau bertemu dahlam pergaulan hidup, cela besar namanya merosakkan nama, merosakkan ninik mamak, korong kampung, rumah halaman."


"Zainuddin bukan mencintai saya sebagaimana Engku katakan itu, tetapi dia hendak menuruti jalan yang lurus, dia hendak mengambil sayajadi isterinya."

"Mana boleh jadi, Gadis. Menyebut saja pun tidak patut, kononlah melangsungkan."

"Bagaimana tidak akan boleh jadi, bukankah Zainuddin manusia? Bukankah dia keturunan Minangkabau juga?"


"Hai Upik, baru kelmarin kau memakan garam dunia, kau belum tahu belit-belitnya. Bukanlah kau sembarang orang, bukan tampan Zainuddin itu jodohmu. Orang yang begitu tak dapat untuk menggantungkan hidupmu, peme¬nung, pehiba hati, dan kadang-kadang panjang angan-angan. Pada zaman sekarang haruslah suami penumpangkan hidup itu seorang yang tentu pencarian, tentu asal usul. Jika perkahwinan dengan orang yang demikian langsung, dan engkau beroleh anak, ke manakah anak itu akan berbako? Tidakkah engkau tahu bahawa Gunung Merapi masih tegak dengan teguhnya? Adat masih berdiri dengan kuat tak boleh. lapuk oleh hujan, tak boleh lekang oleh panas?"

"Oh Engku, mengapa Engku sampai hati membunuh Zainuddin dan membunuh kemenakan Engku sendiri?"

"Tidak Hayati, kau harus tenangkan fikiranmu. Mari kau bersedih, kerana segala sesuatu kau pandang dengan percintaan, bukan mata pertimbangan. Akan datang zamannya kau sedar, kau puji perbuatanku dan tidak kau sesali. Moga-moga habis cinta kau kepadanya, kerana cinta demikian bererti menghabiskan umur dan perbuatan sia-sia. Mamakmu bukan membunuh, tetapi meluruskan kembali jalan kehidupanmu, pengalamanku telah banyak . Mamak tak pandai membaca yang tertulis, tetapi tahu pahit dan

getirnya hidup ini."

Hayati menangis, menangisi nasib sendiri dan menangisi zainuddin, dia meniarap di ujung kaki mamaknya meminta dikasihani. Tapi percuma, percuma menanamkan padi di sawah yang tak berair, percuma mendakikan akar sirih, memanjat batu. Percuma, percuma meminta sisik sendiri," ujar mamaknya pula, sambil menarikkan kakinya yang sedang dipagut oleh Hayati perlahan-lahan.

Zainuddin baru saja sampai ke rumah bakonya. Mande Jamilah telah menyambutnya dengan muka pucat pula. Belum selesai dia makan, Mande Jamilah telah berkata:

"Lebih baik engkau tinggalkan Batipuh ini, tinggallah di Padang Panjang. Sebab namamu disebut-sebut orang banyak sekali. Tadi petang Mande mendengar beberapa anak muda hendak bermaksud jahat kepadamu."


Bersambung…………

Pengarang: HAMKA
Tajuk : Tenggelamnya Kapal Van Der Wijck