Wednesday, November 18, 2009

Ad-Dhahiyyah (Bhgn.1)

Salam Ukhwah, Semalam ketikamana ku sedang "mentelaah" akan kitab yang dikarang oleh syeikh abdul majid, tiba-tiba telefon ku berdering.. terpampanglah no Che suh MPKB (pengerusi masjid Binjai Baru) di screen telefon ko..

"Assalamualaikum!! doaku membuka bicara..

"Waalaikum salam" Balas Che Suh..

"Che Suh apa khabar?"Tanya ku ..

"Alhamdulillah sihat" Balas Che Suh lagi..

"Ustaz.. malam ni bolehkah kalu kami nak minta supaya ustaz jelaskan berkenaan dengan tajuk Ibadah korban bersempena dengan Hari Raya Korban yang akan tiba??"

" Erm... aku terdiam seketika.. jam dinding telah menunjukkan jam 5-15 ptg.. aku hanya ada masa sejam lebih untuk mengulangkaji tajuk "Al-Dhahiyyah"..

"Baik lah Che Suh, InsyaAllah malam ni saya kana cuba bentangkan tajuk tersebut sekadar yang termampu" Balas ku mengakhiri perbualan...

Waduh, ada sejam lebih je lagi, lekas-lekas ku menuju ke rak kitab ku, lalu ku cari kitab "Fiqh Sunnah"... arggghhhhhhh .... sakit kepala ku.... Persoalan-persoalan yang ditanya oleh ahli jemaah masjid pun belum ku temui lagi... Ya Allah..lapangkanlah dada hamba-Mu ini...

Herm... aku teringat akan satu hadis Nabi S.A.W berikut ini yang bermaksud:

" Yang hadir di antara kalian hendaklah menyampaikan kepada yang tidak hadir"

(Hadis ini diriwayatkan oleh Al-Bukhari dalam kitab ilmu)

Jadi dikesempatan yang ada ini, ku tuliskan serba sedikit dari apa yang telah ku sampaikan kepada ahli jemaah masjid Binjai Baru untuk dikongsi bersama para pembaca yang budiman di blog ku ini, moga segala apa yang telah ku lakukan ini..mendapat redha-Nya..ameen

TA`RIF


Perkataan "Al-Udhiyah" dan "Ad-Dhahiyyah" adalah nama kepada haiwan sembelihan seperti unta, lembu, kambing yang disembelih pada hari Raya Korban dan hari Tasyriq untuk mendekatkan diri kepada ALlah S.W.T.

DALIL PENSYARIATAN

Allah telah mensyariatkan korban sebagaimana dinyatakan melalui firman-Nya :

إِنَّا أَعْطَيْنَاكَ الْكَوْثَرَ (١)فَصَلِّ لِرَبِّكَ وَانْحَرْ (٢)إِنَّ شَانِئَكَ هُوَ الأبْتَرُ (٣)

1. Sesungguhnya Kami telah mengurniakan kepadamu (Wahai Muhammad) kebaikan Yang banyak (di dunia dan di Akhirat).

2. Oleh itu, kerjakanlah sembahyang kerana Tuhanmu semata-mata, dan sembelihlah korban (sebagai bersyukur).

3. Sesungguhnya orang Yang bencikan engkau, Dia lah Yang terputus (dari mendapat sebarang perkara Yang diingininya) (Surah Al-Kautsar:1-3)

Allah Taala berfirman:

وَالْبُدْنَ جَعَلْنَاهَا لَكُمْ مِنْ شَعَائِرِ اللَّهِ لَكُمْ فِيهَا خَيْرٌ فَاذْكُرُوا اسْمَ اللَّهِ عَلَيْهَا صَوَافَّ فَإِذَا وَجَبَتْ جُنُوبُهَا فَكُلُوا مِنْهَا وَأَطْعِمُوا الْقَانِعَ وَالْمُعْتَرَّ كَذَلِكَ سَخَّرْنَاهَا لَكُمْ لَعَلَّكُمْ تَشْكُرُونَ (٣٦)

"Dan Kami jadikan unta (yang dihadiahkan kepada fakir miskin Makkah itu) sebahagian dari Syiar ugama Allah untuk kamu; pada menyembelih unta Yang tersebut ada kebaikan bagi kamu; oleh itu sebutlah nama Allah (semasa menyembelihnya) ketika ia berdiri di atas tiga kakinya maka apabila ia tumbang (serta putus nyawanya), makanlah sebahagian daripadanya, dan berilah (bahagian Yang lain) kepada orang-orang Yang tidak meminta dan Yang meminta. Demikianlah Kami mudahkan Dia untuk kamu (menguasainya dan menyembelihnya) supaya kamu bersyukur. (Surah Al-Hajj: 36).

Adapun yang dimaksudkan dengan perkataan “An-Nahar” di sini adalah menyembelih haiwan korban. Dalam hadis dinyatakan bahawa Nabi S.A.W pernah melakukan ibadah korban dan kaum Muslimin pula turut berkorban. Mereka juga telah berijmak untuk membolehkan masalah ini.

KEUTAMAAN

At-Tirmizi meriwayatkan dari Aisyah R.A bahawa Nabi S.A.W bersabda yang bermaksud:

Tidak ada suatu amalan yang dilakukan oleh seorang manusia pada hari Raya Korban yang lebih dicintai Allah selain daripada menyembelih haiwan korban. Sesungguhnya haiwan korban itu kelak pada hari Kiamat akan datang beserta tanduk-tanduknya, bulu-bulunya dan kuku-kukunya. Sesungguhnya sebelum darah korban itu menyentuh tanagh pahalanya telah diterima disisi Allah, maka beruntunglah kamu dengan pahala korban itu” (Hadis riwayat At-Tirmizi)

HUKUMNYA

Ibadah korban adalah sunat muakkad dan makruh ditinggalkan bagi orang yang mampu melakukannya. Dalilnya hadis yang diriwayatkan oleh Al-Bukhari dan Muslim yang bermaksud:

Nabi S.A.W pernah berkorban dengan dua ekor kambing yang berwarna putih kehitaman dan bertanduk. Beliau menyembelihnya dengan tangannya sendiri, membaca basmalah dan bertakbir (ketika menyembelihnya)." (Hadis riwayat Al-Bukhari).

Bersambung…

Rujukan: Kitab Fiqh Sunnah
Pengarang: Syeikh Sayid Sabiq

No comments: