Assalamualaikum wrt wbt..
Segala puji hanya bagi Allah, Tuhan yang mentadbir sekalian alam. Selawat dan salam keatas Baginda, keluarga dan Sahabat-sahabat Baginda.
Ya Allah! Tambahkanlah pengetahuanku dengan apa yang tidak daku ketahui, Dan Ingatkanlah daku dengan apa yang telah daku lupai...ameen
Hadis yang pertama: Dari Abu Hurairah, bahawa Nabi S.A.W bersabda yang bermaksud:
”Allah `Azzawajalla berfirman: “Semua amalan umat manusia adalah untuk dirinya, kecuali puasa. Sebab, ia adalah untuk-Ku dan Aku yang akan memberinya ganjaran”(*). Puasa merupakan benteng dari perbuatan maksiat. Oleh yang demikian, jika salah seorang antara kamu berpuasa, maka janganlah bercakap kotor, berteriak-teriak atau maki hamun! Jika ada seseorang mencaci dirinya atau diajak bergaduh, maka katakanlah kepadanya: “aku ini sedang berpuasa.” Diulangi sebanyak dua kali. Demi Tuhan yang menguasai diri Muhammad! Bau mulut seseorang yang berpuasa lebih wangi di sisi Allah (pada hari kiamat) daripada wangian kasturi. Seseorang yang berpuasa akan memperolah dua kegembiraan yang amat menyenangkan hatinya, iaitu: Tatkala berbuka, dia akan bergembira dengan berbuka itu dan di kala hendak berjumpa Tuhannya kelak. Dia akan bergembira kerana puasanya.
(Diriwayatkan oleh Ahmad, Muslim dan An-Nasai`)
* Hadis ini sebahagiannya adalah hadis qudsi, manakala sebahagiannya lagi adalah nabawi, Hadis nabawi bermula daripada perkataan (Puasa merupakan benteng @ pencegah maksiat الصيام جنة= )
Menurut riwayat Al-Bukhari dan Abu Daud, hadis tersebut berbunyi bermaksud sebagai berikut:
”Puasa merupakan benteng. Jika salah seorang di anatara kamu berpuasa, maka janganlah berkata-kata kotor dan bertindak bodoh. Jika ada orang yang mengajaknya bergaduh atau mencaci dirinya, hendaklah dia mengatakan: “Aku ini sedang berpuasa”. Kata-kata ini hendaklah diulangi sebanyak dua kali. Demi tuhan yang menguasai diruku! Bau mulut orang yang berpuasa lebih wangi di sisi Allah daripada wangian kasturi. Allah berfirman:” Dia meninggalkan makan, minum dan nafsu syahwatnya kerana Aku. Puasa adalah untuk-Ku, dan Akulah yang akan memberinya ganjaran. Setiap kebaikan akan dilipatgandakan sepuluh kali ganda”.
Hadis yang kedua:
Dari Abdullah bin Amar bahawa Nabi S.A.W bersabda yang bermaksud:
”Puasa dan Al-Quran akan memberi syafaat kepada seseorang pada hari kiamat. Puasa berkata: “Wahai Tuhanku! Aku melarangnya daripada makan dan memuaskan syahwat di kala siang hari. Oleh itu, berilah syafaat kepadaku untuk kemudian aku berikan kepadanya”. Al-Quran pula berkata: “Aku melarang dirinya daripada tidur di kala malam hari. Oleh itu, aku memohon syafaat kepada-Mu untuk kemudian aku berikan kepadanya”. Maka kedua-duanya memperoleh syafaat dari Allah”.
(Diriwayatkan oleh Ahmad dengan sanad yang sahih dalam Musnad Ahmad.)
Hadis yang ketiga:
Dari Abu Umamah, katanya yang bermaksud:
”Aku datang kepada Rasulullah S.A.W, lalu aku katakan: “Berilah kepadaku suatu amalan yang membolehkan diriku masuk ke dalam syurga. “Maka Nabi S.A.W bersabda: “Hendaklah kamu berpuasa, kerana ia merupakan amalan yang tidak dapat di tandingi oleh amalan yang lain”. Kemudian aku mendatangi Nabi S.A.W untuk kali kedua, maka sabdanya: “Hendaklah kamu berpuasa”.
(Diriwayatkan oleh Ahmad, An-Nasa`i dan Al-Hakim yang menyatakan kesahihannya)
Hadis keempat:
Dari Abu Said Al-Khudri R.A, bahawa Nabi S.A.W bersabda yang bermaksud:
”Tidaklah seseorang berpuasa satu hari di jalan Allah, melainkan dengan itu Allah akan menyelamatkan dirinya dari api neraka sejauh jarak tujuh puluh tahun (Sab`eina khorifan).
(Diriwayatkan oleh Al-Bukhari dalam kitab: Berjihad dan peperangan. Bab : Keutamaan berpuasa dijalan Allah)
Hadis kelima:
Dari Sahal bin Sa`ad, bahawa Nabi S.A.W bersabda yang bermaksud:
”Sesungguhnya syurga mempunyai sebuah pintu yang disebut “Al-Rayyan” yang bermaksud “Pemuas Dahaga”. Pada hari kiamat ada suara yang menyeru: “Di manakah orang-orang yang gemar berpuasa?” Apabila orang yang terakhir dari mereka telah masuk ke dalam Syurga, maka pintu itu pun terus ditutup”.
(Diriwayatkan oleh Al-Bukhari dan Muslim)
Dan untuk hadis yang terakir pada kali ini sama-sama kita bacakan satu hadis yang menerangkan akan kelebihan Puasa Arafah, Tasu`a dan Asyura:
Dari Abu qatadah R.A, bahawa Nabi S.A.W bersabda yang bermaksud:
"Puasa pada hari Arafah dapat menghapuskan dosa selama dua tahun, iaitu tahun yang telah berlalu dan tahun yang akan datang. Dan puasa pada hari Asyura dapat menghapuskan dosa tahun berlalu".
(Diriwayatkan oleh sekumpulan ulama` hadis kecuali Al-Bukhari)
Dari Muawiyah bin Abu Sufyan, katanya: Saya mendengar Rasulullah S.A.W bersabda yang bermaksud: "Hari ini adalah hari Asyura dan kamu tidak diwajibkan berpuasa padanya. Dan aku sekarang berpuasa dan oleh kerananya, kamu dibolehkan berpuasa dan berbuka pada hari ini" (Kesahihan hadis ini disepakati oleh sekumpulan ulama hadis)
Dari Ibnu Abbas R.A, katanya:
"Nabi S.A.W datang ke Madinah dan melihat orang-orang yahudi berpuasa pada hari Asyura`. Beliau bertanya:"Hari apakah hari ini? "Mereka menjawab:" Hari ini merupakan hari terbaik, dimana ketika itu Allah menyelamatkan Nabi Musa A.S dan bani israel daripada kepungan musuh mereka, hingga ia dijadikan Nabi Musa A.S sebagai hari puasa. Mendengar itu, Beliau bersabda:" Aku lebih berhak memuliakan hari ini berbanding kamu." Kemudian beliau berpuasa pada hari itu dan menyuruh kaum muslimin agar turut berpuasa." (Kesahihan hadis ini disepakati ulama` hadis)
Dari Ibnu Abbas R.A, katanya:
"Takkala Rasulullah S.A.W berpuasa pada hari Asyura dan memerintahkan orang ramai agar turut berpuasa, mereka berkata:" Wahai Rasulullah! Ia merupakan hari yang diraikan oleh orang yahudi dan nasrani! Beliau bersabda:" Jika usiaku sempat menemui tahun hadapan ini, insyaALlah, kita akan berpuasa pada hari kesembilan, Ibnu Abbas berkata:"Belum lagi tiba tahun berikutnya, Rasulullah S.A.W telah pun wafat."
(Diriwayatkan oleh Muslim dan Abu Daud)
Pada satu riwayat yang lain dinyatakan:
"Seandainya usiaku masih sempat menemui tahun hadapan, maka aku akan berpuasa pada hari ke sembilan, iaitu berpuasa bersamaan dengan hari Asyura (mengiringi)"
(Diriwayatkan oleh Ahmad dan Muslim)
Para ulama menyebutkan bahawa puasa Asyura ada tiga tingkatan, iaitu:
1. Berpuasa selama tiga hari, iaitu hari kesembilan, kesepuluh dan kesebelas.
2. Berpuasa pada hari kesembilan dan kesepuluh.
3. berpuasa pada hari kesepuluh sahaja.
Semoga, dengan hadis yang telah kita baca tadi,sedikit sebanyak dapat membantu kita dalam menaikkan semangat untuk berpuasa (wajib mahupun sunat)dalam mencari redha-Nya..ameen
Wassalam.
No comments:
Post a Comment