Alhamdulillah! Kesyukuran yang tinggi dirofo`kan ke hadrat Ilahi kerana kita masih lagi diberi kekuatan, rahmat, serta petunjuk daripada Ilahi.
Hasan Al-Basri, seorang tabi`ein yang terkenal menceritakan “ Pada suatu hari seorang A`rabi (Arab kampong) telah melalui Nabi S.A.W dan pada ketika itu Nabi sedang membaca ayat
:
إِنَّ اللَّهَ اشْتَرَى مِنَ الْمُؤْمِنِينَ أَنْفُسَهُمْ وَأَمْوَالَهُمْ بِأَنَّ لَهُمُ الْجَنَّةَ يُقَاتِلُونَ فِي سَبِيلِ اللَّهِ فَيَقْتُلُونَ وَيُقْتَلُونَ وَعْدًا عَلَيْهِ حَقًّا فِي التَّوْرَاةِ وَالإنْجِيلِ وَالْقُرْآنِ وَمَنْ أَوْفَى بِعَهْدِهِ مِنَ اللَّهِ فَاسْتَبْشِرُوا بِبَيْعِكُمُ الَّذِي بَايَعْتُمْ بِهِ وَذَلِكَ هُوَ الْفَوْزُ الْعَظِيمُ
Yang bermaksud: “Sesungguhnya Allah telah membeli dari orang-orang Yang beriman akan jiwa mereka dan harta benda mereka Dengan (balasan) Bahawa mereka akan beroleh syurga, (disebabkan) mereka berjuang pada jalan Allah maka (di antara) mereka ada Yang membunuh dan terbunuh. (balasan syurga Yang demikian ialah) sebagai janji Yang benar Yang ditetapkan oleh Allah di Dalam (Kitab-kitab) Taurat dan Injil serta Al-Quran; dan siapakah lagi Yang lebih menyempurnakan janjinya daripada Allah? oleh itu, bergembiralah Dengan jualan Yang kamu jalankan jual-belinya itu, dan (ketahuilah bahawa) jual-beli (yang seperti itu) ialah kemenangan Yang besar”. (At-Taubah:111)
Lalu lelaki it uterus bertanya kepada Nabi: “Ucapan siapakah ini?” Lalu Baginda menjawab “Ini adalah ucapan Allah”. Apabila mendengar jawapan Nabi, lelaki tersebut lantas menyatakan :”Demi Allah! Ini merupakan jual beli yang amat menguntungkan. Kita tidak akan menfasakhkan (membatalkan) jual beli ini dan kita tidak akan meminta supaya di fasakhkan”. Kemudian, dengan semangat yang berkobar-kobar dia keluar berperang dan bercita-cita untuk mati syahid.
Begitulah sambutan pada Sahabat terhadap ayat-ayat Allah S.W.T. bukan hanya ayat ini sahaja tetapi begitu jua dengan ayat-ayat yang lainnya.
Saidatina A`isyah R.A menceritakan:” Tatkala turunnya ayat yang mewajibkan hijab kepada wanita-wanita Islam yaitu ayat ke 31 daripada surah An-Nur yang berbunyi:
وَقُلْ لِلْمُؤْمِنَاتِ يَغْضُضْنَ مِنْ أَبْصَارِهِنَّ وَيَحْفَظْنَ فُرُوجَهُنَّ وَلا يُبْدِينَ زِينَتَهُنَّ إِلا مَا ظَهَرَ مِنْهَا وَلْيَضْرِبْنَ بِخُمُرِهِنَّ عَلَى جُيُوبِهِنَّ
Yang bermaksud: “Dan Katakanlah kepada perempuan-perempuan Yang beriman supaya menyekat pandangan mereka (daripada memandang Yang haram), dan memelihara kehormatan mereka; dan janganlah mereka memperlihatkan perhiasan tubuh mereka kecuali Yang zahir daripadanya; dan hendaklah mereka menutup belahan leher bajunya Dengan tudung kepala mereka”. (An-Nur:31).
Bertebaranlah lelaki-lelaki daripada Ansar menuju kepada wanita-wanita dari kalangan mereka dan membaca ayat ini. Setiap lelaki daripada mereka membaca ayat ini kepada isterinya, anak perempuan dan saudara perempuannya dan begitu juga kepada wanita-wanita yang mempunyai hubungan kerabat dengannya. Wanita-wanita Ansar sebaik sahaja mendengar ayat ini, terus bangun mencari apa sahaja benda yang boleh dijadikan penutup untuk menutupi kepala mereka dan mereka keluar untuk mengerjakan solat didalam keadaan meletakkan penutup-penutup diatas kepala mereka”.
Demikianlah sikap muslimin dan muslimat pada zaman Nabi S.A.W. apabila turun sahaja ayat yang mengandungi sesuatu perintah atau larangan mereka tidak bertangguh walau sedetik sekalipun tetapi bersegera untuk mematuhi arahan Allah dan RasulNya. Begitu juga, apabila mereka mendengar atau mengetahui bahawa sesuatu itu adalah kalamullah atau RasulNya, mereka tidak banyak bicara tetapi menyatakan: “Kami dengar dan kami patuh”. Bahkan digambarkan oleh Allah didalam Al-Quran:
إِنَّمَا الْمُؤْمِنُونَ الَّذِينَ إِذَا ذُكِرَ اللَّهُ وَجِلَتْ قُلُوبُهُمْ وَإِذَا تُلِيَتْ عَلَيْهِمْ آيَاتُهُ زَادَتْهُمْ إِيمَانًا وَعَلَى رَبِّهِمْ يَتَوَكَّلُونَ (٢)
Yang bermaksud: “Sesungguhnya orang-orang Yang beriman itu (yang sempurna imannya) ialah mereka Yang apabila disebut nama Allah (dan sifat-sifatnya) gementarlah hati mereka; dan apabila dibacakan kepada mereka ayat-ayatNya, menjadikan mereka bertambah iman, dan kepada Tuhan mereka jualah mereka berserah”. (Al-Anfal:2)
Adapun umat Islam pada hari ini apabila berhadapan dengan ayat Allah S.W.T atau hukum-hukum yang datang daripada Al-Quran dan Sunnah, pelbagai alasan, ulasan dan ucapan yang dikeluarkan seumpama “Belum sampai masanya, tidak sesuai, kolot, ketinggalan zaman dan sebagainya”. Ucapan-ucapan yang sebegini tidak sepatutnya keluar daripada mulut seorang Muslim, yang mengaku beriman kepada Allah S.W.T . Semoga Allah memberi hidayah dan kekuatan kepada kita untuk mencontohi pada Sahabat R.Anhum dan menghidupkan suasana amal Islami dalam kehidupan kita.. amen.
No comments:
Post a Comment