Daeng Masiga
Gementar surat itu dalam pegangannya, berdebar darah yang mengalir dalam dadanya. Telah habis lakon orang-orang yang berhubungan rapat dengan kehidupannya. Permainan sudah habis, layar sudah .ditutup, dan anak -anak tonil telah membuka pakaian permainan. Tinggallah panggung penghidupan itu dalam kesunyiannya kerana penonton telah pulang dan hari telah larut malam. Demikianlah rasanya ibarat duka atas kematian Mak Base yang menimpa hati Zainuddin. Sebatang kara di dunia !.
Dia teringat sekolahnya yang tidak masak, pelajarannya yang tidak sempurna, di mana tinggal tak tentu tujuan. Dia teringat waktu ayahnya masih hidup, teringat asuhan Mak Base. Teringat negeri Mengkasar yang tercinta, tempat darahnya tertumpah ditinggalkannya, kerana mengejar mimpi sejak dari kecil, tanah Minangkabau yang terkenal molek. Tetapi tidak juga dapat disingkirkannya peringatan kepada masa dia diusir dari Batipuh, sebab dia tidak orang beradat, orang pendatang dari jauh, meskipun ayah orang Minangkabau, namun dirinya tersandang orang lain. Di Mengkasar lain, di Padang lain. Ke mana dia hendak pergi lagi?
Berputar laksana perpusaran buaian di pasar keramaian layaknya otak Zainuddin memikirkan nasibnya, nafasnya sesak, matanya menjadi gelap. Dia teringat ... teringat satu perbuatan yang berbahaya sekali membunuh diri. Sudah hilang pertimbangannya, dinaikinya tempat tidurnya, dicuba-cubanya mengikatkan tali ke atas paran yang melintang; supaya berakhir azab dunia yang tidak berhenti-henti atas dirinya ini.
"Engkau bodoh!" kata suatu suara yang datang dari sudut hatinya yang kecil, dengan tiba-tiba, sehingga dia terkejut, dan tali itu terlepas dari tangannya.
"Engkau bodoh!" Tidakkah engkau ingat dunia perlu didiami? Tidakkah engkau kasihan umurmu masih muda, dan kesempatanmu buat berjuang masih ada? Tidakkah engkau ingat bahawa harta benda yang selama ini engkau serahkan kepada almarhumah yang berbudi itu telah dalam tangan engkau? Engkau kira sedikitkah wang tiga ribu rupiah? Tiga ribu rupiah!!!
Tiga ribu !!!
Kesedihanmu telah berakhir. Dan selain dari sengsara sebanyak itu menimpa dirimu, jangan engkau lupakan bahawa engkau pun dapat nikmat pula. Engkau mencintai dan engkau dicintai ... Hayati!
Tiga ribu rupiah - Hayati!
Jelas nian suara itu terdengar olehnya! Direnggutkannya tali itu kembali ke bawah, dan baru sekarang senyuman kecil tersungging di bibirya.
Dengan tiga ribu rupiah dia hendak hidup, hendak berjuang menghadapi dunia yang luas ini berdua dengan Hayati. Sebab itu, dia hendak mencuba meminta Hayati kepada keluarganya. Dalam angan-angan yang demikianlah matanya tertidur!
Bila dia bangun pagi-pagi, tersenyum dia sekali lagi, senyum yang hanya sekali-kali menghiasi bibirya, melihat tali yang bekas direnggutkan, kitab yang berserak, bantal yang kusut dan kamar yang kotor. Meskipun kesedihan hati kematian belum hilang, kegembiraan mendapat fikiran baru telah menandingi kesedihan itu.
Setelah selesai membereskan isi bilik kecilnya, dibuatnyalah dua pucuk surat. Pertama kepada Daeng Masiga menunjukkan kesedihan hati atas kematian orang yang sangat disayanginya itu, dan meminta supaya barang-barang peninggalan Mak Base mana yang dapat dijual, juallah dan harganya itu ambil oleh Daeng Masiga sendiri. Tanah dan rumah diharap supaya dipeliharakan baik-baik, entah lain hari ada masanya kembali ke Mengkasar.
Setelah melipat surat itu, dia terkeluh sekali lagi
berkata:
"Ah, Mak Base! Begitu baik budimu kepadaku, engkau telah dahulu daripadaku."
Setelah itu mulailah surat yang penting itu, surat kepada mamak Hayati. Engku Datuk ... dan kepada keluarganya.
Sudah biasa dia membuat surat-surat, apa saja macam isinya, tetapi yang sekali ini bingung dia. Kerana belum di-ketahuinya cara-cara membuat surat meminang anak orang. Setelah fikirannya ditetapkannya, barulah dia menulis:
Yang mulia Engku Datuk . .. dan segala kaum keluarga di sini.
"Sesungguhnya, dengan diri sendiri, tidaklah dapat
saya datang menghadap ke haribaan Engku-Engku dan kaum kerabat di sini. Kerana bahasa Minangkabau yang saya pakai tidak begitu bagus, jadi tidak dapat saya mengeluarkan perasaan hati dengan sepuas-puasnya. Sungguhpun begitu saya buat surat ini dengan penuh keyakinan dan berserah diri kepada Tuhan, moga-moga mendapat penerimaan yang baik dari Engku dan kaum kerabat semuanya. laitu, maksud surat itu ...
Termenung Zainuddin sebentar, di hisapnya dahulu sebatang rokok, baru dapat dimulainya pula:
"Saya hendak meminta belas kasihan Engku dan kaum kerabat semuanya, menyambut hidup hamba ini. Sebagaimana Engku tahu, ibuku telah mati, ayahku pun demikian pula. Maka berapa hari yang lalu, saya menerima surat dari sahabat handai di Mengkasar, menerangkan bahawa mak angkat saya telah meninggal pula.
Engku yang terhormat! Siapa yang akan saya tepati di Mengkasar. Hanya jerat semata inilah lagi yang tinggal, cuma tanah asal nenek moyang saya inilah lagi negeri saya, Negeri Minangkabau.
Apa gunanya lagi saya sembunyikan maksud hati saya. Sekarang saya katakan terus terang, saya hendak hidup dengan kemenakan Engku, Hayati! Kerana sebagai banyak Engku dengar di kampung, sungguh hidup saya tak beruntung kalau tidak dengan dia. Saya seorang muda yang mempunyai cita-cita tinggi, maka sudilah Engku dan keluarga menolong saya menghidupkan cita-cita itu, izinkanlah pertalian saya dengan Hayati.
Engku yang mulia! Saya seorang anak muda yang setia. Jika sekiranya Engku sudi menerima saya untuk kemenakan Engku, Engku akan beroleh kemenakan yang penyantun, yang suka berjuang dalam hidup dengan tiada mengenal bosan dan jemu. Cukuplah penanggungan saya sejak kecil menghantarkan saya sampai besar, untuk menimbulkan keinsafan dalam hati saya. Tak usah Engku takut Hayati akan kecewa bersuami saya. Percayalah Engku bahawa dia akan beroleh seorang suami yang kenaI kewajipannya, menempuh kesenangan dan kesusahan dengan hati yang tetap.
Kabulkanlah surat saya Engku, saya tak pandai menccari jalan yang saya rasa lebih aman dan tidak mengecilkan hati, lain dari mengirim surat ini.
Zainuddin
Tak mahu juga Zainuddin menerangkan dalam surat itu bahawa dia telah kaya, telah sanggup menghadapi kehidupan dengan wang tertaruh, kerana pada zaman sekarang wang adalah sebagai garansi. Budi pekertinya yang tinggi tidak hendak mengusik kemuliaan Hayati yang telah begitu lama beristana dalam hati jantungnya, dengan menyebut beberapa banyak wangnya. Surat diterima orang di Batipuh, adalah dua hari setelah utusan Aziz kembali ke Padang Panjang!
Bersambung…………
Pengarang: HAMKA
Tajuk : Tenggelamnya Kapal Van Der Wijck
No comments:
Post a Comment