Friday, December 5, 2008

Dibawah Lindungan Kaabah (bhg.8)

BERITA DARI KAMPUNG

Setelah setahun saya di sini dan waktu mengerjakan haji telah datang. Tuan sendiri yang mula-mula saya kenal semenjak orang-orang yang akan mengerjakan haji dari tanahair kita. Kemudian sebagai tuan maklum, datanglah pula saudara kita Salleh ini. Salleh adalah salah seorang teman saya semasa kami bersekolah agama di Padang dan Padang Panjang; oleh kerana sekolahnya di Padang telah tamat, dia hendak meneruskan pelajarannya ke Mesir, ia singgah di Mekah ini untuk mencukupkan rukun. Sekarang ia berangkat ke Medinah, supaya sehabis haji dapat ia menumpang kapal yang membawa orang Mesir kembali yang sewanya lebih murah dari kapal-kapal lain.Dengan kebetulan sekali, dia telah memilih syeikh kita menjadi tempatnya, menumpang, sehingga sahabat lama itu bertemu kembali, setelah kami bercerai selama itu.

Wahai tuan….. kedatangannya telah menghidupkan ingatan kembali kepada yang lama-lama, dia menceritakan kepadaku, bahawa dia telah beristeri dan isterinya telah sudi melepaskan die belajar sejauh itu.Padahal mereka baru saja berkahwin. Dipujinya isterinya sebagai seorang perempuan yang setia, yang teguh hatinya melepaskan suaminya berjalan jauh, kerana untuk menambah pengetahuannya. Setelah beberapa hari dia datang, dibawanya saya ke Maala di atas sebuah bangku di halaman qahwa ia membicarakan akan suatu hal yang sangat menggerakkan fikiran saya.

Sambil meminum syahi (teh) Arab yang panas dan enak, ia mulai berkata:" Hamid! Tempoh hari sudah saya katakan, bahawa saya telah beristeri, isteri saya itu ialah Rosnah..ingatkah engkau akan Rosnah, sahabat karib Zainab?"Saya pucat mendengar nama Zainab disebutnya. Kerana sudah lama benar saya tiasa mendengar nama itu disebut orang, kecuali saya sendiri, perubahan muka saya itu dilihat oleh Salleh sambil tersenyum duka." Kerapkali isteriku disuruhnya datang kerumahnya" katanya meneruskan ceritanya. " Kerana hubungan persahabatan mereka itu yang karib. Rupanya Zainab telah sudi membukakan rahsia-rahsianya yang sulit kepada isteri saya. Yang paling hebat, ialah seketika pada suatu hari isteri saya datang ke rumahnya, didapatinya Zainab merenung sebuah album, di dalam album itu terkembang sehelai surat kecil yang telah lusuh dan lunak, kerapkali dibaca dan dibuka lipatannya.

" Setelah adinda kelihatan olehnya" kata isteriku," album itu ditutupnya dengan segera dan surat itu disimpannya baik-baik ke dalam laci mejanya, setelah itu dia kelihatan kepada adinda dengan tenang, wajahnya muram, matanya berbekas tangis dan dia menarik nafas panjang"." Tiada tahan rupanya hati isteriku melihat kejadian itu, maklumlah kaum perempuan itu seperasaan, lalu ia berkata: " Zainab!.... mengapa engkau menangis pula, sahabat? Tidakkah di rumah yang sepermai ini sarang orang yang berdukacita.

Di rumah yang indah-indah dan gedung yang permai, yang di kiri kanannya dikelilingi oleh kebun-kebun yang subur, cukup dengan orang-orang gajian yang setia, tiadalah patut terdapat orang yang mengalirkan airmata. Disana tidaklah ada kesedihan dan kedukaan."Zainab menjawab: " Salah sekali persangkaanmu, sahabat! Bahawasanya airmata tidaklah ia memilih tempat untuk jatuh, tidak pula memilih waktu untuk turun.

Airmata adalah kepunyaan bersyarikat, dipunyai oleh orang-orang yang melarat yang tinggal di dangau-dangau yang buruk, oleh tukang sabit rumput yang masuk ke padang yang luas dan ke tebing yang curam, dan juga oleh penghuni gudang-gudang yang permai dan istana-istana yang indah. Bahkan di situlah lebih banyak orang menelan ratap dan memulas tangis. Luka jiwa yang mereka hidupkan, dilingkung oleh tembok dinding yang tebal dan tinggi, sehingga yang kelihatan oleh orang di luar penuh dengan kepahitan."" Kesedihan orang lain lebih merdeka dan lebih puas, dapat ia menerangkan fahamnya yang tertumbuk kepada alam yang sekelilingnya, dapat pula mereka lupakan dan menghilangkan. Tetapi di rumahtangga yang sebagai ini, kedukaan akan dirasakan sendiri, airmata akan dicucurkan seorang, rumah dan gedung menjadi kubur kesedihan yang tiada berhujung".Airmata Zainab kembali jatuh.

" Mengapa engkau menangis juga, sahabatku! Kesedihan apakah yang engkau tanggungkan? Teringatkah engkau kepada ayahmu? Kalau demikian, engkau salah, Zainab! Lupa engkau agaknya, bahawa kedukaan itu tumbuh diapit oleh dua rumpun kesukaan."" Bukan demikian, sahabat!" jawabnya. " Buat diriku sendiri, Tuhan telah mentakdirkan berlainan dari orang. Kedukaanku tumbuh di antara dua kedukaan pula. Dahulu saya telah berduka, sekarang berdukacita dan kelak akan terus berluka hati."" Engkau mengesali nasib, Zainab!"" Menyesali nasib saya tidak, menyedar untung saya bukan, melainkan yang sebetulnyalah yang saya katakan.

"" Zainab…. Kalau tidak akan merbahaya benar, nyatakanlah kepadaku, apa yang menjadi sebab dukacitamu sebesar itu benar. Kerana sudah agak lama saya melihat mukamu muram, sehingga airmata saya sendiri kerapkali bersyarikat, tercurah untuk kesedihanmu, sahabat! Saya akan meratap menuruti ratap engkau, kerana tidak ada kepandaian kita kaum perempuan selain dari menangis."Laksana seorang anak yang memohon dikasihani, dipeluknya Rosnah, seketika lamanya kedua sahabat itu berpeluk-pelukan, bertangis-tangis tiada berkata-kata." Sudahlah, zainab, ingatlah akan dirimu, kelak engkau, demikian pun saya, ditimpa oleh penyakit lain. Ceritakanlah kepada saya hal yang engkau rahsiakan itu, mudah-mudahan kerana sesudah ada tempat menerangkan, tanggungan itu supaya ringan sedikit, sebab beban untuk sendiri telah dibahagi dua." Mula-mula termenung, setelah beberapa saat lamanya ia pun berkata:

Bersambung....

* Penulis : Haji Abdul Malik Karim Abdullah (HAMKA)
* Tajuk : Dipetik dari buku Dibawah Lindungan Kaabah.
* Cetakan : Pustaka Antara

No comments: