Salam sejahtera, Seseorang yang ingin mengerjakan sesuatu permasalahan yang bersifat mubah* dan tidak dapat mengenal pasti masa satu yang terbaik untuk dirinya, disunatkan mengerjakan dua rakaat solat istikharah dan hukumnya tidak wajib. Solat tersebut boleh dilakukan ketika mengerjakan solat sunat rawatib atau tahiyatul masjid dan boleh dilakukan pada waktu malam atau pun di siang hari. Malah seseorang yang mengerjakan solat istikharah dibolehkan membaca surah mana pun dari Al-Quran setelah membaca surah Al-Fatihah. Setelah itu, hendaklah dia membaca tahmid, selawat ke atas Nabi S.A.W dan selanjutnya membaca doa, sebagaimana hadis yang diriwayatkan oleh Al-Bukhari dari Jabir R.A katanya:
“Rasulullah s.a.w. mengajar kami beristikharah dalam semua pekerjaan seperti baginda mengajar kami satu surah dari Al-Quran,” sabdanya: "Apabila seseorang kamu mempunyai rancangan untuk melakukan sesuatu hendaklah dia melakukan solat sunat dua rakaat, kemudian bacalah doa ini:”
اللَّهُمَّ إِنِّيْ أَسْتَخِيْرُكَ بِعِلْمِكَ ، وَأَسْتَقْدِرُكَ بِقُدْرَتِكَ ، وَأَسْأَلُكَ مِنْ فَضْلِكَ الْعَظِيْمِ فَإِنَّكَ تَقْدِرُ وَلاَ أَقْدِرُ، وَتَعْلَمُ وَلاَ أَعْلَمُ ، وَأَنْتَ عَلاَّمُ الْغُيُوبُ ، اللَّهُمَّ إِنْ كُنْتَ تَعْلَمُ أَنْ هَذَا الأَمْرَ .... خَيْرٌ لِيْ فِي دِيْنِي وَمَعَاشِي وَعَاقِبَةِ أَمْرِي عَاجِلَهُ وَآجِلَهُ فَاقْدِرْهُ لِي وَيَسِّرْهُ لِي ، ثُمَّ بَارِكْ لِي فِيْهِ ، وَإِنْ كُنْتَ تَعْلَمُ أَنَّ هَذَا الأَمْرَ.... شَرٌّ لِي فِي دِيْنِي وَمَعَاشِي وَعَاقِبَةِ أَمْرِي عَاجِلَهُ وآجِلَهُ فَاصْرِفْهُ عَنِّي وَاصْرِفْنِيْ عَنْهُ ، وَاقْدُرهُ لِيْ الخَيْرَ حَيْثُ كَانَ ، ثُمَّ ارْضنِى بِهِ
“Ya Allah! Aku mohon pemilihan Mu menerusi pengetahuan Mu dan aku mohon kekuatan Mu menerusi kudrat Mu serta aku minta pada Mu sebahagian dari limpah kurnia Mu yang sangat besar. Sesungguhnya Engkau amat berkuasa sedangkan aku tidak berkuasa, Engkau amat mengetahui sedangkan aku tidak mengetahui dan sesungguhnya Engkau amat mengetahui segala yang ghaib.
Ya Allah kiranya Engkau mengetahui bahawa perkara ini adalah baik bagiku dalam urusan agama ku juga dalam urusan penghidupan ku serta natijah pada urusan ku, kini dan akan datang, maka tetapkan lah ia bagi ku dan permudahkanlah ia untukku, serta berkatilah daku padanya. Dan kiranya Engkau mengetahui bahawa perkara ini membawa kejahatan kepadaku dalam urusan agamaku, juga dalam urusan penghidupanku dan natijah urusanku, kini dan akan datang, maka elakkanlah ia dariku dan tetapkanlah kebaikan untukku sebagaimana sepatutnya, kemudian jadikanlah daku meredhainya.”
(sebutkan urusan yang dimaksudkan di tempat yang bertitik).
Tidak akan menyesal sesiapa yang bertanyakan penciptanya dan berbincang dengan orang-orang mukmin kemudian berhati-hati dalam menangani persoalannya.
Allah telah berfirman:
Yang bermaksud:"Dan berbincanglah dengan mereka (para sahabat) dalam urusan itu (peperangan, ekonomi, politik dll). Apabila kamu telah membulatkan tekad, bertawakallah kepada Allah". (Surah Ali-Imran:159)
Dalam mengerjakan solat istikharah, tidak terdapat suatu bacaan tertentu, di samping tidak perlu dikerjakan secara berulang-ulang. Imam An-Nawawi berkata:”Sesudah mengerjakan solat istikharah, seseorang semestinya mengerjakan apa yang dirasa lebih baik untuk dirinya. Di samping itu, hendaknya dia benar-benar bebas dari dorongan dan kehendak yang bersifat peribadi.
Jadi, tidak boleh wujud sebarang pilihan terbaik sebelum mengerjakan solat istikharah. Jika demikian, maka sama halnya dengan tidak beristikharah kepada Allah atau kurang pasrah diri terhadap pengetahuan dan kekuasaan Allah. Oleh yang demikian, seseorang mestilah mempercayai kehendak Allah yang akan ditetapkan ke atas dirinya. Dengan begitu, bererti dia tidak memaksakan kehendak peribadi ketika beristikharah untuk mencari petunjuk yang terbaik kepada Allah.
Wallahu a`lam
____________
* Wajib dan mandub adalah sesuatu perbuatan yang dituntut supaya dilaksanakan, manakala makruh pula adalah sesuatu yang dituntut supaya ditinggalkan. Oleh yang demikian, solat istikharah hanya pada perkara mubah sahaja.
Rujukan: KItab Fiqh Sunnah, Karangan Syeikh Sayid Sabiq ( Cetakan Dar Fathul Al-I`lam Al-Arabi)
No comments:
Post a Comment