Saturday, April 10, 2010

Tenggelamnya Kapal Van Der Wijck (Bhg. 13)

Bimbang

Aziz bekerja di Padang, jauh dari mata orang tuanya, bergaul dengan teman sejawat yang tidak berketentuan perangai, sehingga dia sendiri pun telah berturut-turut pula.
Bilamana hari telah malam, dia pergi ke tempat pergurauan, melepaskan nafsu mudanya.

Yang lebih disukainya ialah menghabiskan wang dengan orang-orang yang tak berketentuan. Atau mempermain-mainkan anak bini orang. Kalau kelihatan seorang gadis yang cantik rupanya, dia telah jadi sebagai cacing kepanasan, sebentar-sebentar dia rupa orang alim sangat, tetapi dengan perangai demikian dia tidak tahan lama,
beberapa minit saja dapat berubah menjadi seorang yang duduk gelisah. Belum pernah dia beristeri, meskipun telah berkali-kali disuruh orang tuanya, kerana menurut perkataannya kepada kawan-kawannya beristeri itu mengikat langkah, menyebabkan kehilangan kebebasan. Apalagi pada zaman ini, zaman kemajuan, semuanya serba susah. Akan dipilih isteri orang kampong, terlalu bodoh, tidak tahu bagaimana kemahuan hidup di zaman sekarang.

Isteri itu selain dari pandai mengatur rumah, pandai melekatkan pakaian yang menarik hati, harus pandai pula bergaul. Tidak kaku, jika bertemu dengan laki-laki lain. Sedang pada perempuan kampung semuanya itu tidak lengkap. Akan beristeri perempuan kota,tingkahnya banyak, mintanya bukan sedikit. Dia mahu menonton, mahu itu, mahu ini, kadang-kadang hendak mengatur langkah kakinya menurut sukanya. Apalagi gadis-gadis sekarang menurut persangkaan aziz tidak mempunyai cinta yang jujur, sebab pergaulannya terlalu bebas. Dia sudah berkali-kali berjanji dengan gadis-gadis akan setia, sehidup semati, sesakit sesenang, tetapi sebahagian besar yang berjanji itu, bersuami juga, dan hidup senang dengan suaminya. Janjinya ketika masih perawan seberat bumi dan langit. Dia sendiri pun demikian pula, berjanji empat kali sehari, dengan anak gadis yang bermacam-macam pula perangainya, dia juga mungkir.

Jadi bagi aziz, hidup adalah komedi belaka. Kejujuran tidak ada pada masyarakat, baik laki-laki atau perempuan. Kejujuran adalah bergantung kepada wang. Kahwin tidak ada gunanya asal suka sama suka. Sebab itu hanya ijab dan Kabul, yang perempuan dibolehkan orang tuanya, baru boleh kahwin, kalau tidak, tidak boleh. Yang demikian adalah merampas kemerdekaan. Lebih baik turutkan saja kehendak hati sedang badan muda, kalau sudah tua, iaitu kesempatan kesenangan tak ada lagi barulah perbaiki diri, baru kahwin!

Tetapi sungguhpun begitu, kepada kaum keluarga ada juga segannya sedikit. Itulah sebabnya dia tinggal di Padang. Supaya jangan mengganggu pendengaran kaum kerabat kiri kanan. Kalau dia pulang sekali-sekali dan disebutkan kepadanya perkara kahwin, tidaklah itu alas an yang dikeluarkannya, hanyalah diwajibkan saja:" Belum hendak kahwin, belum ada yang setuju."

Adiknya, Khadijah telah bertunangan dengan seorang muda yang kaya, yang baru saja menerima pusaka tok besar (kedai) di Bukit Tinggi dan berfikiran moden pula. Tetapi dia (Khadijah) hendak mencuba dahulu, melunakkan hati saudaranya supaya suka kahwin pula. Yang maksud hatinya akan jodoh saudaranya ialah Hayati. Mudah-mudahan keborosan dan fikiran muda saudaranya itu dapat berubah jika mendapat isteri sebagai Hayati yang alim itu. Apalagi Hayati cantik benar, perasaan kampungnya dapatlah dibentuk supaya lebih maju, jika kelak tinggal dikota. Apalagi kota sebagai Padang. Dalam pergaulan beberapa hari di Padang Panjang, dalam melihat pacu kuda, pasar keramaian, berjalan-jalan makan angin ke tempat-tempat yang indah dan pergaulan di atas rumah yang bebas, tentu saja hati aziz amat tertarik melihat kecantikan Hayati. Khadijah pun selalu memperhatikan bagaimana tajam mata saudaranya melihat gadis pingitan itu. Bilamana bersama-sama makan, kerap kali Hayati tersipu-sipu kerana tidak tahan dilihat dengan sudut mata yang setajam itu.

Bilamana Khadijah ke belakang atau yang lain tak asa, Aziz tiba, didapatinya hayati duduk, pandai pula dia mengeluarkan perkataan-perkataan yang lemak manis yang dapat menerbitkan kegembiraan perempuan. Maklumlah sudah biasa.
Berutur yang lemak manis dia pandai sekali, mula-mula malu dan enggan,bahkan takut Hayati berdekat dengan dia, maklumlah gadis kampung, Tetapi "memikat" adalah kepandaian Aiz yang tersendiri. Sehingga keseganan dan keberatan itu lama-lama hilang. Dia suka kepada Aziz sebab dia saudara Khadijah, dan sentiasa bila melihat orang lain itu, perasaan belas kasihan kepada Zainuddin bertambah-tambah juga. Belas kasihan!

Aziz amat pandai berpura-pura. Menurut pendapatnya, segala perempuan itu sama saja, sama-sama permainan lelaki, yang mana pun boleh dipermain-mainkan. Timbangannya terhadap Hayati berbeza dengan timbangan Khadijah. Bagi Khadijah, Hayati patut menjadi isteri Aziz, Hayati itu cantik betul, bagaimanakah akal supaya dapat jatuh ke tangannya.

Sehari sesudah Khadijah berbicara panjang mencela dan mengejek Zainuddin itu, Hayati dibawa oleh Khadijah ke dalam kamarnya. Diperhatikannya albumnya yang penuh dengan gambar-gambar ketika dia pergi makan angin ke bukit-bukit, ke Lubuk Mata Kucing, ke kaki Singgalang, ke belukar Anai, ke Ngarai di Bukit Tinggi, ketika tunangnya di rumah tempoh hari. Sudah dua bulan tunanngnya itu ada di Jakarta, menambah ilmunya dalam perkara perdagangan, dan bilamana dia pulang akan ditentukan hari perkahwinan mereka. Alangkah baiknya kata Khadijah kalau hari perkahwinan mereka dapat disamakan!

Bersambung………

No comments: