Monday, August 31, 2009

Selamat Menyambut Hari Merdeka

ألحمد لله ولي الصالحين، والعاقبة لمن أطاعه واتقاه في كل حين، ولا عدوان إلا على الظالمين، وأشهد أن لا إله إلا الله وحده لا شريك له إله الأولين والآخرين، وأشهد أن محمدًا عبد الله ورسوله إمام المجاهدين، وقائد الغرِّ المجلين، صلى الله وسلم عليه وعلى أله الطيبين الطاهرين، ورضي الله عن صحابة الذي جاهدوا في الله حق جهاده، وبذلوا في سبيل إعلأ كلمة الله النفس النفيس، حتى أتاهم اليقين.
قال الله تعالى {يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا اتَّقُوا اللَّهَ حَقَّ تُقَاتِهِ وَلاَ تَمُوتُنَّ إِلاَّ وَأَنْتُمْ مُسْلِمُونَ} سورة آل عمران 102

Alhamdulillah! Kesyukuran yang tinggi dirofo`kan ke hadrat Ilahi kerana kita masih lagi diberi kekuatan, rahmat, serta petunjuk daripada Ilahi.

Bagi rakyat Malaysia setiap tahun upacara sambutan ini, mengulangi kembali nostalgia silam yang merakamkan detik-detik bersejarah itu. Serentak dengan itu juga ia membawa satu imbasan kenangan dan memori pejuang-pejuang kemerdekaan daripada semua pihak yang telah berkorban untuk memberikan yang terbaik dari perjuangan mereka atas dasar juang 'Pembebasan Malaysia'. Di samping nama seperti Almarhum Tuanku Abdul Rahman yang sedia terukir dalam kemerdekaan negara ini.

Hari kemerdekaan bagi negara yang berdaulat dan bebas daripada belenggu penjajahan asing sememangnya menjadi kemegahan dan simbol kepada kedaulatan negara bangsa tersebut. Bagi kita, kemerdekaan bukan sekadar kejayaan menurunkan bendera Union Jack, anak watan memimpin dan menentukan haluan negara, demikian juga pentadbiran dikuasai oleh anak watan sendiri, tetapi kemerdekaan mempunyai makna dan falsafah yang lebih besar dari itu.

Kemerdekaan akan dapat memenuhi makna sebenar apabila rakyat benar-benar dapat menikmati keadilan, kebebasan, kemakmuran, dan kesaksamaan di tanah airnya sendiri, yang tidak dapat dinikmati semasa penjajahan dahulu. Dan sungguhpun kebebasan itu tidak mutlak dan berfungsi di atas landasan nilai, tetapi ia mesti dapat dilihat bahawa rakyat dapat menikmati hak asasinya tanpa rasa takut atau didiskriminasi. Untuk itu, mestilah dipastikan bahawa undang-undang negara itu, yang kini digubal oleh anak watan yang telah merdeka, dijamin tidak membunuh hak asasi seorang insan. Jika tidak, keseluruhan kemerdekaan itu adalah jenaka semata-mata.

Justeru itu, ketika menyambut Hari Kebangsaan kali ini, marilah kita memperbaharui tekad dan keazaman untuk terus berjuang demi negara yang tercinta.

Wallahu a`lam

Thursday, August 27, 2009

Tenggelamnya Kapal Van Der Wijck (Bhg. 5)

Cahaya Hidup

Pagi-pagi sebelum perempuan-perempuan membawa niru dan tampian ke sawah, dan sebelum anak-anak muda menyandang bajaknya, sebelum anak-anak sekolah berangkat ke sekolah, seorang anak kecil laki-laki datang ke muka surau tempat Zainuddin tidur, membawa payung yang dipinjamkannya kelmarin. Dia hampiri anak itu, dan anak itu pun berkata:"Kak Ati berkirim salam dan menyuruh kembalikan payung ini," sambil memberikannya kepada Zainuddin.

Payung itu di sambutnya dengan sikap yang gugup anak itu pula memberikan pula sepucuk surat kecil:"Surat ini pula…" katanya. Agak tercengang Zainuddin
menerima surat itu, dibawanya kembali ke surau. Kebetulan teman-temannya telah pergi ke tempat pekerjaan masing-masing, dibukanya…

"Tuan Zainuddin!"

Bersamaan dengan anak ini saya kirimkan kembali payung yang telah saya pinjam kelmarin. Alangkah besar terima kasih atas pertolongan itu, tak dapat disini saya nyatakan. Pertama, pada waktu hari hujan saya tak bersedia payung. Tuan telah sudi berbasah-basah untuk memelihara diri seorang anak perempuan yang belum Tuan kenal. Kedua, kesyukuran saya lebihkan lagi dapat berkenalan dan bersahutan mulut dengan Tuan, orang yang selama ini terkenal dengan baik budinya. Sehingga bukan saja rupanya hujan mendatangkan basah, tetapi mendatangkan rahmat. Moga-moga pada suatu waktu kelak, dapatlah saya membalas budi Tuan.

Hayati

Disimpannya surat itu ke dalam sakunya. Tidak dapat dia mengertikan dan mentafsirkan surat itu, yang penuh berisi ketulusan dan keikhlasan. Susun katanya amat manis tetapi bersahaja. Setelah beberapa saat kemudian pulanglah Zainuddin dari surau ke rumah bakonya.sehabis makan dan minum, matahari telah sepenggalah naik, kira-kira pukul 9 pagi, orang telah lengang di kampung dan ramai di sawah, rasa-rasa kehilangan semangat Zainuddin duduk di rumah. Kebetulan pada waktu itu hari sudah hampir puasa, rumah-rumah pelajaran agama di kampung-kampung telah ditutup.

Hatinya amat tertarik melihatkan kebiruan langit sehari itu, apalagi kelmarinnya hujan, puncak Gunung Merapi jelas kelihatan, Sungai Batah Gadis laksana bernyanyi dengan airnya yang terus mengalir. Dari jauh kedengaran nyanyian anak gembala sawah-sawah yang luas. Maka setelah meminta diri kepada Madehnya, turunlah dia ke halaman, menuju ke sawah yang luas itu hendak melihat orang menyabit dan mengirik, atau pun membakar jerami. Dilaluinya dari satu permatang sawah ke permatang yang lain, di mana dangau yang tak berorang, dia berhenti duduk, termenung menentang Bukit Tui, menentang Danau sumpur yang indah, atau Gunung Singgalang yang penuh dengan tebu, berombak kelihatan dari jauh dipuput angin. Tiba-tiba sampailah dia ke sepiring sawah, rupanya orang tua itu kenal akan Zainuddin.

"Ai Zainuddin, sampai pula engkau ke mari, pandaikah engkau menyabit?" tegur orang tua itu.
"Pandai juga Engku," jawabnya.
"Banyak jugakah padi di Mengkasar?"
"Di kota Mengkasar tidak ada padi, tetapi sedikit saja keluar dari Mengkasar telah penuh padi, bahkan makanan orang mengkasar dari padi keluarann Maros, Pangkajene, Sidenreng dan lain-lain."

Orang tua itu pun meneruskan pekerjaannya. Zainuddin bertanya kembali:

"Mengapa Engku seorang saja yang menyabit di sini? Kuatkah Engku?
"Tadi ramai anak muda-muda yang menolong, tetapi lantaran pekerjaan sudah hampir selesai, mereka telah meminta izin untuk pulang. Pekerjaan ini sudah dua hari dikerjakan, sekarang baru hampir siap…."

"Demikianlah Zainuddin." Ujarnya pula, "kalau kita sudah tua macam saya ni, kalau kurang buat kerja menolong anak cucu, dengan apa beras mereka akan dibeli? Tulang sudah lemah, yang akan mereka harapkan daripada kita tidak ada lagi. Semasa muda kita harus berusaha sepenuh tenaga, sehendaknya di hari tua istirehat. Akan beristirehat saja, tangan tak mahu diam, dia hendak kerja juga."

"Indah benar hari sehari ini, Zainuddin" ujarnya pula, "cubalah lihat langit jernihnya, lihatlah puncak Merapi seakan-akan telah berhenti mengepulkan asapnya. Keadaan yang begini mengingatkan saya kepada zaman badan kuat, tulang kuat dan seluruhnya kuat, wang pun ada pula. Waktu itu saya keluar dari rumah dengan perasaan yang gembira, tidak memperdulikan kesengsaraan dan kesusahan. Saya gelakkan orang tua-tua yang termenung-menung. Sekarang setelah badan tua, baru kita insaf dan ingat. Ah Zainuddin, kalau engkau rasai tua esok."
"Di Mengkasar apa pencarian orang. Apa yang laku di sana?" Tanya orang tua itu pula.
"Macam-macam, sebagai di sini juga. Cuma di sana dekat lautan, kami di sana lebih banyak mengirim barang hutan ke luar negeri."
"Makanan?"
"Maklumlah negeri di pinggir laut, tentu saja ikan laut."
"Oh, di sini kalau ikan, lebih di sukai orang yang datang dari laut Sumpur."

Tiba-tiba, sedang mereka bercengkerama demikian rupa, datanglah dengan melalui permatang sawah, seorang perempuan diiringkan oleh seorang anak laki-laki. Dan…. Alangkah terkejutnya Zainuddin demi dilihatnya itu Hayati, diiringkan oleh adiknya, anak yang memulangkan payungnya dan memberikan surat pagi tadi. Dia datang ke sawah menjunjung sebuah bungkusan dan menjinjing tebung kopi daun. Dilihatnya Zainuddin ada di situ, dia pun tercengang, mukanya agak berubah merah. Zainuddin pun demikian pula.
"Ai, ini dia datang, si Ati. Bukan saya katakan kepadamu tadi?" kata orang tua itu.
"Ya Engku" sahut Zainuddin dengan sedikit gugup.
"Nama kemanakanku ini Hayati, die sekarang sudah tamat kelas 5 di sekolah agama, ini adiknya si Ahmad, baru tiga tahun bersekolah."
"Ya Engku, kelmarin saya bertemu dengan dia di Ekor Lubuk, ketika dia kembali dari Padang Panjang, kehujanan…….."
"Dipinjamnya saya payung, sampai dia sendiri berbasah kuyup pulang," sela hayati, lalu diceritakannya pertolongan itu sejak dari awal ke akhirnya.
Ah berbudi sekali engkau Zainuddin"
"Engku pun serupa dengan Hayati, barang yang kecil itu dibesar-besarkan. Padahal itu hanya suatu kewajipan."

Hayati merasa tersindir, ia ingat suratnya. Dan datuk menjawab, sambil menaikkan pisang tumbuk kedalam mulutnya:" Tidak Zainuddin, meskipun hal itu engkau pandang perkara kecil, bagi yang menerima budi, hal itu dipandang besar ertinya. Apalagi engkau anak pisang kami."

Demikianlah seketika zuhur hampir habis, orang tua itu pun pulanglah ke rumahnya, diiringkan oleh kedua cucunya. Zainuddin sendiri seketika akan bercerai-cerai, dilihatnya Hayati tenang-tenang, satu suara pun tak keluar dari mulutnya.

Mulut yang demikian ganjil lakunya. Dia tak kuasa berkata sepatah jua apabila berhadapan, tetapi kaya dengan perasaan apabila duduk seorang diri.
Setelah itu dia pulang, dari jauh masih dilihatnya ketiga-tiga orang itu sambil mengayuh langkah di antara permatang dan beberapa sawah yang belum disabit padinya.

Di lihatnya sekali lagi yang disekelilingnya, tiba-tiba dari sedikit ke sedikit, wajah alam itu pun bertukarlah penglihatannya dari biasa. Air yang mengalir seakan-akan bernyanyi, bunyi puyuh anak gembala seakan-akan penghibur, deru angina di telinga seakan-akan menghembuskan harapan baru. Orang-orang yang ditemuinya di tengah jalan, bila menyapanya, dijawab sapaan itu, tetapi setelah sepuluh langkah orang itu pergi, baru ia ingat kembali.

Dia pulang ke rumah bakonya. Setelah petang dia kembali ke suraunya. Mengapa sudah dua hari dia merasai dirinya seakan-akan orang demam? Apakah penyakitnya? Bertanya di dalam hati, dimasukkan tangannya ke dalam sakunya, tiba-tiba terasa olehnya sepucuk surat. Dadanya berdebar dia teringat isi surat itu, teringat nama yang mengirimnya…..Hayati, kehidupanku!

Sekarang terbukalah rahsia dari penyakit itu. Dia kebingungan, bukan kegilaan, bukan putus harapan, bukan apa-apa, bukan…..! Penyakit itu telah terang namanya. Penyakit itu, tetapi nikmat, nikmat tetapi penyakit. Orang ditimpanya, tetapi orang itu tidak hendak sembuh darinya..penyakit cinta!

Pertemuan di sawah itu, amat besar ertinya buat menciptakan penghidupan kedua hamba Tuhan itu. Kedua pertemuan itulah asal cerita yang menyedihkan hati ini. Sejak Zainuddin berkenalan dengan Hayati, dia tidak merasa sunyi lagidi Tanah Minangkabau yang memandangnya orang asing itu. Minangkabau telah lain dalam pemandangannya sekarang telah ramai, telah mengalirkan pengharapan yang baru dalam hidupnya. Disinilah kedua makhluk itu mempersambungkan tali jiwa, sebelum mempersambungkan mulut. Keluhan dan tarikan nafas yang panjang, kegugupan menentang muka orang yang dihadapi, telah cukup menjadi lukisan dari kata-kata hati.

Bilamana Zainuddin duduk dalam kesunyian itu, bagaikan dirobeknya hari supaya lekas petang, moga-moga dapat melihatnya Hayati pula. Tetapi setelah bertemu lidahnya kaku, tak dapat apa yang disebutnya. Hayati sendiri pun semenjak waktu itu kerap kali bagai orang keraguan. Dia berasa sebagai kehilangan, padahal bilamana dilihatnya tas tempat bukunya, tak ada alat pekakas yang kurang.

Ada seorang sahabatnya yang bersekolah, bernama Khadijah, tinggal di Padang Panjang. Pada suatu hari dikirimnya sepucuk surat kepada Khadijah yang pada ketika membaca surat itu, dapat diketahui bagaimana perasaan hatinya. Bunyinya…

Bersambung lah lagi…..

*Penulis: HAMKA
*Tajuk : Tenggelamnya Kapal Van Der Wijck

Sunday, August 23, 2009

Al-Quran

Pada satu hari, ketika mana ust Zahari sedang tasmi` bacaan ku. Tiba-tiba “zeeeus” bunyi rotan dihayun kan dan ia nya melekat dibelakang ku. Pada ketika itu aku dapat rasakan pedihnya di belakang ku. Aku pasti rotan tersebut telah memberi kesan pada badan ku. Pada masa yang sama juga semua rakan sekelasku memerhatikan aku.

Perasaan geram, marah, sakit hati... sakit belakang (setelah dirotan) kesemua itu menyulubungi hati ku..

Sesudah aku bangkit lalu kembali ke tempat duduk, ku menyemak kembali apakah yang menyebabkan belakangku dirotan sedemikian rupa. Bila ku teliti balik, rupanya aku tersilap baris. Baris yang sepatutnya diatas, aku bacanya dibawah. Besar sangatkah kesilapan aku itu tadi?? Sehingga badan ku menerima pembalasannya. Tidak ku nafikan bilamana tersilapnya baris maka sekaligus akan mengubah makna @ makna pada ayat tersebut, tetapi....mengapa ku dirotan hingga meninggalkan kesan?

Setelah kembali ke asrama, aku menanggalkan baju ku, kemudiaan aku menggunakan cermin yang dipinjamkan oleh sahabat ku untuk melihat kesan dibelakang ku. Ku dapati kesan dari rotan tersebut telah mengubah warna kulit ku, ia menjadi kebiruan. Herm kenapa ku harus dirotan? Salahkah andai tegur dahulu?? Di ketika itu.. bolehkah sekiranya ku katakan, “akibat mulut, badan binasa”???

Pernah aku menceritakan pada entri yang terdahulu bertajuk “Arhab”. Dalam entri tersebut menerangkan, pernah satu kali lidah ku ditarik oleh Ust Mohd Hanzdoli semata-mata untuk menunjukkan kepadaku makhraj huruf yang tepat. Di waktu itu tiada timbul marah dalam hati ku, Cuma ia membuatkan aku tersenyum keseorangan, mengenangkan apa yang pernah kualami semata-mata untuk memperbetulkan bacaan ku.

Bukanlah aku ingin meminta simpati dari sesiapa dengan 2 cerita ku tadi. Tapi hanyalah semata-mata untuk dikongsi pengalaman ku dalam mempelajari Al-Quran.

Bersempena dengan bulan yang mulia ini, ku adakan kelas pengajian Al-Quran di rumahku sesudah solat asar. Alhamdulillah sambutan amat menggalakkan.

Bilamana ku mendengar bacaan dari anak-anak kecil, mata ku amat mudah digenangi dengan airnya. Mengenangkan kepada 2 pengalaman pahit dan manis ku tadi. Apa pun ku tetap bersyukur, bersyukur kerana adanya pengalaman yang sebegitu, ia akan mengingatkan aku sampai bila-bila tika mana ku mulai membaca Al-Quran…

قال صلى الله عليه وسلم: "خيركم من تعلم القرآن وعلمه" "متفق عليه

Wallahu a`lam

* Untuk mengetahui lebih lanjut diantara kelebihan Al-Quran sila klik disini:

http://www.islamonline.net/servlet/Satellite?cid=1126781258374&pagename=IslamOnline-Arabic-Eman_Counsel%2FEmanA%2FEmanA

Saturday, August 22, 2009

Ehems10

Dari Zaid ibnu Khalid Al-Juhani R.A, ia berkata: Rasulullah S.A.W solat bersama kami, solat subuh di Hudaibiyah,-di mana masih ada bekas hujan yang turun di malam harinya- , setelah beranjak beliau menghadap kepada para sahabatnya seraya berkata yang bermaksud:

Apakah kalian mengetahui apa yang difirmankan oleh Tuhan kalian?” Mereka menjawab:” Allah dan Rasulnya yang lebih mengetahui” Lalu Baginda bersabda: Allah berfirman: “Pagi ini di antara hambaKu ada yang beriman kepadaKu dan ada pula yang kafir. Adapun orang yang berkata kami diberi hujan dengan kurnia Allah dan rahmat-Nya maka dia beriman kepadaKu dan kafir terhadap bintang. Adapun orang yang berkata (hujan itu turun) kerana bintang ini dan bintang itu maka dia telah kufur kepadaKu dan beriman kepada bintang”
(Hadis riwayat Al-Bukhari, lihat Fathul Bari, 2/33)


Termasuk dalam hal ini adalah mempercayai astrologi (ramalan bintang) seperti yang banyak kita temui di akhbar dan majalah. Jika ia mempercayai adanya pengaruh bintang dan planet-planet tersebut maka dia telah musyrik. Jika ia membacanya sekadar untuk hiburan maka ia telah melakukan perbuatan maksiat dan berdosa. Sebab tidak dibolehkan mencari hiburan dengan membaca hal-hal syirik.

Di samping itu syaitan kadang-kadang berhasil menggoda jiwa manusia sehingga ia percaya kepada hal-hal syirik tersebut. Maka membacanya termasuk usaha jalan menuju kemusyrikan.

termasuk syirik adalah mempercayai adanya manfaat pada sesuatu yang tidak dijadikan demikian oleh Alla Azza Wajalla. Seperti kepercayaan sebahagian orang terhadap azimat, mantera-mantera berbau syirik, kalung dari tulang, gelang logam dan sebagainya, yang penggunaannya sesuai dengan perintah dukun, tukang sihir atau memang merupakan kepercayaan turun temurun.

Mereka mengalungkan barang-barang tersebut di leher, atau pada anak-anak mereka untuk menolak “ain”*. Demikian anggapan mereka. Terkadang mereka mengikatkan barang-barang tersebut pada badan, menggantungkannya di kenderaan atau rumah. Atau mereka mengenakan cincin dengan berbagai macam batu permata, disertai kepercayaan tertentu, seperti untuk tolak bala atau untuk menghilangkannya (sepertimana dalam cerita puaka niang rapik).

Hal semacam ini, tak diragukan lagi sangat-sangat bertentangan dengan (perintah) tawakkal kepada Allah. Dan tidaklah hal itu menambah kepada manusia, selain kelemahan. Belum lagi ia termasuk berubat dengan sesuatu yang diharamkannya.

Berbagai azimat yang digantungkan. Sebahagian besar daripadanya termasuk syirik jail (yang nyata). Demikian pula dengan meminta pertolongan daripada jin atau syaitan, gambar-gambar songsang, tulisan-tulisan songsang yang tidak dapat difahami dan sebagainya. Sebahagian tukang tenung menulis ayat-ayat Al-Quran dengan barang yang najis atau dengan darah haid. Menggantungkan atau mengikatkan segala yang disebutkan di atas adalah haram. Ini berdasarkan sabda Rasulullah S.A.W yang bermaksud:

Barangsiapa yang menggantungkan azimat maka dia telah berbuat syirik
(Hadis riwayat Ahmad: 4/152)


Orang yang melakukan perbuatan tersebut, jika ia mempercayai bahawa perkara itu boleh mendatangkan manfaat atau mudharat (dengan sendirinya) selain Allah maka dia telah masuk dalam golongan pelaku syirik besar. Dan jika ia mempercayai bahawa perkara itu merupakan sebab bagi datangnya manfaat atau mudharat, padahal Allah tidak menjadikannya sebagai sebab, maka dia terjerumus pada perbuatan syirik kecil, dan ini masuk dalam kategori syirkul asbab.

ًWallahu a`lam

Thursday, August 20, 2009

Ehems9

Di antara syarat diterimanya amal soleh adalah bersih dari riya` (yaitu ikhlas) dan sesuai dengan sunnah (cara yang dilakukan atau ditunjukkan oleh Baginda S.A.W). Orang yang melakukan ibadat dengan maksud agar dilihat orang lain maka dia telah terjerumus pada perbuatan syirik kecil, dan amalnya menjadi sia-sia belaka. Misalnya solat agar dilihat orang lain.

Allah berfirman:

إِنَّ الْمُنَافِقِينَ يُخَادِعُونَ اللَّهَ وَهُوَ خَادِعُهُمْ وَإِذَا قَامُوا إِلَى الصَّلاةِ قَامُوا كُسَالَى يُرَاءُونَ النَّاسَ وَلا يَذْكُرُونَ اللَّهَ إِلا قَلِيلا

Yang bermaksud: "Sesungguhnya orang-orang munafik itu melakukan tipu daya (terhadap ugama) Allah (dengan perbuatan pura-pura beriman sedang mereka kafir pada batinnya), dan Allah pula tetap membalas tipu daya mereka (dengan membiarkan mereka Dalam keadaan munafik). mereka pula apabila berdiri hendak sembahyang, mereka berdiri Dengan malas. mereka (hanya bertujuan) riak (memperlihatkan sembahyangnya) kepada manusia (supaya disangka Bahawa mereka orang Yang beriman), dan mereka pula tidak mengingati Allah (dengan mengerjakan sembahyang) melainkan sedikit sekali (jarang-jarang)". (An-Nisa`:142)

Demikian juga jika ia melakukan suatu amalan dengan tujuan agar diberitakan dan didengar oleh orang lain, ia termasuk syirik kecil. Baginda S.A.W memberi peringatan kepada mereka dalam hadis yang diriwayatkan oleh Ibnu Abba R.A yang bermaksud:

Barangsiapa melakukan perbuatan sum`ah, nescaya Allah akan menyebarkan aibnya dan barang siapa melakukan perbuatan riya*, nescaya Allah akan menyebarkan aibnya.” (Hadis riwayat Muslim, 4/2289)

Barangsiapa melakukan suatu ibadat tetapi ia melakukannya kerana mengharap pujian manusia disamping redha Allah maka amalannya menjadi sia-sia belaka. Seperti disebutkan dalam hadis Qudsi yang bermaksud:

Aku adalah Sekutu Yang Maha Cukup, sangat menolak perbuatan syirik. Barangsiapa melakukan suatu amal dengan dicampuri perbuatan syirik kepadaKu, nescaya, Aku tinggalkan dia dan (tidak aku terima) amal syiriknya. (Hadis riwayat Muslim, hadis no. 2985)

Barangsiapa melakukan suatu amal soleh, tiba-tiba terdetik dalam hatinya perasaan riya`, tetapi ia membenci perasaan tersebut, berusaha melawan dan menyingkirkannya maka amalannya tetap sah. Berbeza halnya jika ia hanya diam dengan timbulnya perasaan riya` tersebut, tidak berusaha menyingkirkan bahkan malah menikmatinya maka menurut sebahagian besar ulama, amal yang dilakukannya menjadi batal dan sia-sia.

Wallahu a`lam.

* Perbuatan riya` adalah suatu perbuatan yang dilakukan dengan cara tertentu supaya dilihat orang lain dan dipujinya. Misalnya, seseorang melakukan solat, lalu memperindah solatnya tatkala mengetahui ada orang yang melihat dan memerhatikannya.

Sedangkan perbuatan sum`ah adalah suatu perbuatan yang dilakukan dengan maksud agar didengar dan dipuji orang lain. Misalnya, seseorang membaca Al-Quran lalu memperindah suara dan lagunya tatkala mengetahui ada orang yang mendengar dan melihatnya.

Tuesday, August 18, 2009

Tawang

120809 jam 12-58 Tengah hari: Kedengaran deringan hp ku berbunyi (sms).. bila ku mencapai lalu kudapati tertulis 1 new message.. herm.. mesej dari siapa ye? Hati ku tertanya-tanya. Dalam seminggu dua ini aku kerap menerima mesej dari syarikat tel yang memberitahu berkenaan dengan pakej-pakej yang sedang di tawarkan oleh syarikat berkenaan. Kadang-kadang bila asyik terima mesej yang sama, rasa boring pun ada. Jadi sebelum aku membuka mesej tersebut, aku berharap agar tiada lagi mesej yang sebegitu. Yang membuatkan aku jadi boring bila membacanya. Selingan je ..

Lantas ku menekan butang ok untuk membaca mesej tersebut, mesej berbunyi “ abe amin, malam ni ayah hase ajak makan kat luar”. Mesej tersebut dari adik ku hafiz. Lalu aku membalasnya “Kalu gitu gak, mulai sekarang kito pakat puaso la” dengan niat untuk make sepuas puasnya. (aku membalasnya dalam Bahasa Malaysia yang dialek kelate).

Ayoh hase adalah pak sedara ku, adik kepada ma. Sekarang ini dia sekeluarga menetap di Ibukota (berniaga). Seorang yang ringan tangan, mahupun bantuan tenaga sekalipun kewangan.Mudah mesra dan bertanggungjawab.

Selepas solat maghrib, kami sekeluarga menuju ke destinasi yang dijanjikan. Dan destinasi yang dimaksudkan itu adalah “Restoran Ikan Bakar di Tawang” . Sesudah sampai disana kami bersalam-salaman dengan sedara mara yang turut serta pada “diner” tersebut. Sementara diketika itu ayah hase dan isterinya “Che Dah”sedang sibuk meng”order” makanan berdasarkan menu yang disediakan oleh pihak restoran tersebut.

Tengah kami berbual-bual kedengaran azan dilaungkan menandakan masuknya waktu solat Isya` bagi negeri Kelantan dan kawasan yang sama waktu dengannya. Kebetulan masjid itu terletak seratus meter dari restoran itu. Setelah meng”order” kakak yang mengambil order pun memberitahu “menu yang dipesan ini akan siap dalam masa setengah jam, ada baiknya bersolat dahulu” kata kakak itu dengan memberikan senyuman.

Lalu, kami pun membuka langkah (bukannya untuk silat) menuju ke masjid untuk solat Isya` berjemaah. Sesudah solat aku terus menuju ke restoran itu tadi. Aku menggunakan dhomir “aku” kerana aku berseorangan kembali ke restoran tersebut, adapun tadi beramai-ramai ke masjid.

Sesampai di situ, kami dihidangi dengan nasi putih, ikan siakap bakar, ketam bakar dan ketam kari, tom yam, udang bakar, dan yang terakhirnya sup belut… herm memang berbaloi menahan lapar hampir separuh hari..

Eh dah sampai masanya untuk menyantap, jadi apa kata kita lihat gambar sambil bercerita…










Monday, August 10, 2009

Ehems8

Di antara langkah syaitan dalam menggoda dan menjerumuskan manusia adalah dengan memutuskan tali hubungan antara sesama umat Islam. Anehnya, banyak umat Islam terpedaya dengan mengikuti langkah-langkah syaitan itu. Mereka menghindar dan tidak menegur saudaranya sesama muslim tanpa sebab yang dibenarkan syara`. Misalnya kerana perkelahian masalah harta, atau kerana situasi buruk dan lainnya.

Terkadang, putusnya hubungan tersebut berlangsung terus hingga setahun. Bahkan ada yang bersumpah untuk tidak mengajaknya bicara selama-lamanya, atau bernazar untuk tidak menjejaki rumahnya. Jika secara tak sengaja bertemu di jalan, ia segera memalingkan muka. Jika bertemu di suatu majlis, ia hanya menyalami orang yang sebelum dan sesudahnya, dan sengaja tidak menghiraukannya. Ini lah di antara perkara kebiasaan yang terjadi di kalangan kita pada hari ini.

Dan ini juga salah satu sebab kelemahan dalam masyarakat Islam. Kerana itu, hukum syari`at dalam masalah tersebut amat tegas dan ancamannya pun amat keras.

Abu Hurairah Radhiallahu Anhu berkata, Rasulullah S.A.W bersabda yang bermaksud: “Tidak halal seorang muslim memutuskan hubungan dengan saudara (sesama muslim) lebih dari tiga hari. Barangsiapa memutuskan lebih dari tiga hari, dan meninggal, maka ia masuk neraka”. Hadis riwayat oleh Abu Daud.

Abu Khirasy Aslami R.A berkata, Rasulullah S.A.W bersabda yang bermaksud: barangsiapa memutuskan hubungan dengan saudaranya selama setahun maka ia seperti mengalirkan darahnya (membunuhnya)”. Hadis riwayat Bukhari dalam Al-Adabul Mufrad.

Untuk membuktikan betapa buruknya memutuskan hubungan antara sesama muslim cukuplah dengan mengetahui bahawa Allah menolak emmberikan ampunan kepada mereka.

Dalam hadis riwayat Abu Hurairah, Rasulullah S.A.W bersabda yang bermaksud: “Semua amal manusia diperlihatkan (kepada Allah) pada setiap Jumaat dua kali; hari Isnin dan hari Khamis. Maka setiap hamba yang beriman diampuni (dosanya) kecuali hamba yang antara dirinya dengan saudaranya ada permusuhan. “Difirmankan kepada malaikat:”Tinggalkanlah atau tangguhkanlah (pengampunan untuk) dua orang ini sehingga keduanya kembali berdamai”. Hadis riwayat Muslim


Jika salah seorang dari keduanya bertaubat kepada Allah, ia harus bersilaturrahim kepada kawannya dan memberinya salam. Jika ia telah melakukannya, manakala yang lain menolak maka ia telah terlepas dari tanggungan dosa, adapun kawannya yang menolak damai, maka dosa itu tetap ada padanya.

Abu Ayyub R.A meriwayatkan, Rasulullah S.A.W bersabda yang bermaksud: “Tidak halal bagi seorang laki-laki memutuskan hubungan saudaranya lebih dari tiga malam. Saling berpapasan tapi yang ini memaling muka dan yang itu (juga) memaling muka. Yang terbaik di antara keduanya iaitu yang memulai salam.” Hadis riwayat Bukhari.

Tetapi jika ada alasan yang dibenarkan, seperti kerana ia meninggalkan solat, atau terus-menerus melakukan maksiat, sedang pemutusan hubungan itu berguna bagi yang bersangkutan misalnya membuatnya kembali kepada kebenaran atau membuatnya merasa bersalah maka pemutusan hubungan itu hukumnya menjadi wajib. Tetapi bila tidak mengubah keadaan dan malah ia berpaling, membangkang, menjauh, menentang dan menambah dosa maka ia tidak boleh memutuskan hubungan dengannya. Sebab perbuatan itu tidak membuahkan masalah malah mendatangkan mudharat. Dalam keadaan seperti ini, sikap yang benar adalah terus-menerus berbuat baik dengannya, menasihati dan mengingatkannya. (Seperti hajr –pemutusan hubungan- yang dilakukan Nabi S.A.W, kepada Ka`ab bin Malik dan dua orang kawannya, kerana beliau melihat dalam hajr tersebut terdapat masalah. Sebaliknya beliau menghentikan hajr kepada Abdullah bin Ubay bin Salul dan perang-orang munafik lainnya. Kerana hajr kepada mereka tidak membawa faedah) Bin Baz.

Untuk akhirnya, kita memohon kepada Allah dengan nama-nama-Nya yang Maha Indah, kiranya memberikan kita rasa takut kepada-Nya sehingga membentengi kita dari melakukan maksiat kepada-Nya, serta semoga menganugerahkan kepada kita ketaatan pada-Nya yang dengan-Nya kita boleh mencapai syurga-Nya. Semoga Allah mengampuni kelalaian dan dosa-dosa kita, mencukupkan rezeki kita dengan yang halal sehingga kita tidak berhajat terhadap apa yang diharamkan-Nya. Sehingga kita tidak memerlukan selain-Nya. Semoga Allah menerima taubat kita, dan membasuh kotoran jiwa kita yang tak terkira. Sesungguhnya Dia Maha Mendengar lagi Maha Mengabulkan.

Semoga selawat dan salam dilimpahkan kepada Nabi Muhammad, keluarga dan segenap sahabatnya. Dan segala puji bagi Allah Tuhan sekalian alam.

Wednesday, August 5, 2009

HUSM

Alhamdulillahi wakafa.. Erm.. mata amat mengantuk, tubuh amat letih.. namun ku gagahi jua sekadar termampu, agar blog ku ini tiada rasa sunyi. Tiada tempat untuk ku mengadu kecuali pada-Nya. Dan melalui ini juga (berblog) ku meluahkan apa yang terbuku, mahu pun tentang diri ku, sekelilingku dan juga apa-apa yang ku rasa sesuai untuk dikongsi bersama semata-mata mencari redha-Nya.

Tiada salah di pihak pembaca yang budiman untuk menegur akan kesilapan ku disepanjang ku menulis disini. Aku hanyalah manusia biasa yang tidak dapat lari dari kesilapan. Namun kan cuba semampu mungkin untuk tidak jadikan kesilapan adalah alasan, kan ku cuba untuk perbaiki diri ini dari masa ke semasa atas teguran-teguran membina yang sedia ada.
”Ya Muqollibal qulub, Tsabbit qulubana ala to`atika wa dinik”.

030809. 08-00 malam. Aku dan abah bergegas menuju ke HUSM kerana adik ku sakit tenat. Herm.. baru petang tadi dia menjalani proses pemecahan batu karang dengan menggunakan kaedah gelombang. Selepas dibenarkan pulang oleh pihak hospital, dia pun balik kerumah dalam keadaan gembira.

020809. Selepas solat Maghrib. Kami sekeluarga berbual-bual sementara menunggu masuknya waktu solat Isya`. Lalu adik ku Hafiz menanyakan kepada ku, berkenaan dengan rawatan pemecahan batu karang. Ku terdiam seketika.. seolah-olah ku ingin mengumpulkan kesemua apa yang pernah ku alami suatu ketika dulu dan aku bercerita secara panjang lebar.. ada pun disini.. memadailah dengan ku mengkhulasohkan sahaja.

Khulasohnya selepas ubat tahan sakit @ bius yang diberikan (hilang powernya). Maka ketika itulah kita akan mulai rasa sakit. Dan sakit tersebut lebih teruk dari sakit batu karang. Bergeraklah macam mana sekalipun ia tetap sakit yang terus menerus. Mata aku pun bengkak kerana menangis kesakitan selama semalaman.. dah ambil ubat tahan sakit tuk kali kedua pun seolah-olah tak ambil je..akhirnya sakit tu hilang dengan sendirinya.. itu pun setelah sekian lama kesakitan. Andai ini yang dikatakan sakit, bagaimanakah seksaan bagi mereka yang sering melakukan dosa di akhirat kelak? Allahummaghfirli zunubi..

030809. 08-00 Malam: Dengan khulasoh itu tadi, itulah yang terjadi pada adik ku ketika mana hilangnya kesan bius tersebut. Tidak dapat aku gambarkan keadaan dia di ketika itu. Air mata ku bergenang kerana aku pernah merasai akan apa yang adik ku tanggung sekarang ini. Perlahan-lahan ko gosok dibelakangnya lalu berkata: “Bersabar lah.. ini adalah diantara dugaan yang Allah berikan kepada hamba-Nya, untuk menguji akan kesabaran hamba-Nya. Dalam pada itu juga, agar kita mensyukuri nikmat-nikmat “sihat” di ketika kita senang kelak. “ Alhamdulillahi walakasy syukr”

Sesudah mendapat rawatan pesakit luar, doktor yang merawatnya mencadangkan agar adik ku berehat di hospital. Kerana bimbang jika sakit nya itu berlanjutan. Dan abah ku bersetuju. Herm.. kami bertiga sahaja di hospital.. abah ku memang agak kepenatan kerana dari ptg tadi bersama hafiz (ketika proses pemecahan batu karang dilakukan). Jadi untuk malam ini aku lah yang akan teman hafiz.. alhamdulillah kerana adik ku dapat bilik yang agak selesa. Bayaran pun selesa juga hehe.. semalaman rm 380.00 .. kali dengan 2 malam. Banyak juga tuh..rungut hati ku.

Kerana aku tidak membawa persiapan untuk bermalam disana, jadi terpaksa la tidur di atas kerusi panjang, bila bergerak sikit.... kruuuukkk ... kreeek.. bunyi kerusi tersebut.. ah.. hanya beberapa jam saja aku dapat melelapkan mata ku.. bila kedengaran azan subuh.. ku bergegas bangun membersihkan diri.. berwudhu..lalu solat.. sekali lagi hati ku hiba.. mengenangkan dosa-dosa ku..

Sesudah solat, aku mengemas mana yang patut, lalu ku memandu pulang ke rumah untuk hantar siti ke sek. Keb. Redang. Seterusnya ke tempat kerja.. moga segala urusanku dipermudahkan-Nya..amen.

*Ya Allah..ampunilah dosa hamba-Mu ini.. Aku memohon syurga-Mu Ya Allah. Jauhkan lah aku dari Api Neraka-Mu sejauh Sab`iena Khorifan.. Ya Arhamarrahimin...

Monday, August 3, 2009

Bukti-bukti iman serta mukjizatnya (Bhgn.6)

Apakah itu Iman? Dan apakah hakikatnya? Dari mana kita mendapatinya? Bagaimana pula kita mendapatkanya? Adakah ia dijual di dalam botol? …sebagai contoh.. adakah di pasar..secara kilo? Atau diberi secara suntikan? …..

Baik, Iman terdiri daripada 3 hakikat. Satu hakikat adalah di dalam hati kita, iaitu YAKIN, sepertimana firman Allah S.W.T :
وَكَذَلِكَ نُرِي إِبْرَاهِيمَ مَلَكُوتَ السَّمَاوَاتِ وَالأرْضِ وَلِيَكُونَ مِنَ الْمُوقِنِينَ

Yang bermaksud: “Dan Demikianlah Kami perlihatkan kepada Nabi Ibrahim kebesaran dan kekuasaan (Kami) di langit dan di bumi, dan supaya menjadilah ia dari orang-orang yang percaya Dengan sepenuh-penuh yakin”.(Al-An`aam: 75)


Dan keyakinan ini tidak akan berlaku pada diri seseorang melainkan dengan ilmu, tidak akan berlaku melainkan dengan hujjah dan bukti, dan Allah telah berfirman tentang kaum Musa setelah mana mereka melihat tanda dan mereka melihat mukjizat, dan mereka telah yakin bahawa ia adalah kebenaran dan keyakinan telah masuk ke dalam hati mereka, lantas mereka berbesar diri, dan mereka itu tidak percaya dan mereka menentang. Allah telah berfirman:

وَجَحَدُوا بِهَا وَاسْتَيْقَنَتْهَا أَنْفُسُهُمْ ظُلْمًا وَعُلُوًّا

Yang bermaksud: ”Dan mereka mengingkarinya secara zalim dan sombong angkuh sedang hati mereka meyakini kebenarannya.”. (An-Naml: 14)

Dan Allah Taala telah berfirman:

الَّذِينَ آمَنُوا بِاللَّهِ وَرَسُولِهِ ثُمَّ لَمْ يَرْتَابُوا

Yang bermaksud: “Sesungguhnya orang-orang yang sebenar-benarnya beriman hanyalah orang-orang yang percaya kepada Allah dan RasulNya, kemudian mereka (terus percaya dengan) tidak ragu-ragu lagi”. (Al-hujurat: 15)

Tiada lagi di dalam hati mereka sebarang keraguan, tiada lagi pada mereka sebarang syak, tiada lagi pada mereka sebarang kesamaran, kerana mereka itu Yakin dengan sebenar-benarnya. Sehinggakan telah berkata sebahagian Sahabat (RidhwanuLlah alaihim): “ Jika disingkap hijab, tidak akan bertambah dari Iman mereka sedikit pun”.

Ini adalah perkara yang pertama. Yaitu mestilah terealisasi keyakinan di dalam hati, serta ia mestilah teguh di dalam jiwa. Apa dia dalil-dalil? Apa dia bukti-bukti? Yang mewujudkan keyakinan dan mewujudkan ketenangan di dalam hati setiap manusia agar kita berada dalam keyakinan dan ketenangan.

Yang kedua mestilah hati bereaksi dengan hakikat-hakikat yang masuk ke dalam jiwa. Ia mestilah menyahutnya, kemudian tergerak lidah dengannya dan ia akan bersaksi sebagaimana firman Taala:
قُولُوا آمَنَّا بِاللَّهِ

Yang bermaksud: ”Katakanlah (Wahai orang-orang Yang beriman): "Kami beriman kepada Allah” (Al-Baqarah: 136)


Dia akan bersaksi dan berkata-kata dan sepertimana firman Allah Taala:

قُلْ هَذِهِ سَبِيلِي أَدْعُو إِلَى اللَّهِ عَلَى بَصِيرَةٍ أَنَا وَمَنِ اتَّبَعَنِي وَسُبْحَانَ اللَّهِ وَمَا أَنَا مِنَ الْمُشْرِكِينَ

Yang bermaksud: “Katakanlah (Wahai Muhammad): "Inilah jalanku, Aku dan orang-orang Yang menurutku, menyeru manusia umumnya kepada ugama Allah Dengan berdasarkan keterangan dan Bukti Yang jelas nyata”. (Yusuf: 108)

Ini adalah hakikat kedua yang dizahirkan pada lidah. Iaitu PENYAKSIAN (syahadah). Telah datang di dalam hadis daripada Rasulullah S.A.W :

”Iman itu tujuh puluh cabang…yang setingginya adalah kata-kata “La Ilaha Illa Allah”…dan yang paling rendah adalah mengalihkan benda yang menyakitkan daripada jalan”


Yang ketiga adalah AMAL. Amal mengikut ketentuan apa yang telah tersemat di hati ini. Dan dizahirkan serta dilafazkan oleh lidah, sepertimana Allah berfirman:

إِنَّمَا الْمُؤْمِنُونَ الَّذِينَ آمَنُوا بِاللَّهِ وَرَسُولِهِ ثُمَّ لَمْ يَرْتَابُوا

Yang bermaksud: "Sesungguhnya orang-orang Yang sebenar-benarnya beriman hanyalah orang-orang Yang percaya kepada Allah dan RasulNya, kemudian mereka (terus percaya dengan) tidak ragu-ragu lagi

Ayat ini menjelaskan tentang kepercayaan kemudian:

وَجَاهَدُوا بِأَمْوَالِهِمْ وَأَنْفُسِهِمْ فِي سَبِيلِ اللَّهِ أُولَئِكَ هُمُ الصَّادِقُونَ

Serta mereka berjuang Dengan harta benda dan jiwa mereka pada jalan Allah; mereka itulah orang-orang Yang benar (pengakuan imannya). (Al-Hujurat: 15)


Dan jihad merupakan satu amal daripada kerja-kerja fizikal. Dan di dalam hadis Ibnu Abbas, di sisi AL-Bukhari, Muslim dan lain-lain: Apabila dating rombongan Abdul Qais kepada Nabi S.A.W lalu Nabi bersabda kepada mereka: “Adakah kamu semua tahu apa itu “beriman dengan Allah semata-mata?”, mereka pun berkata: Allah dan Rasul-Nya lebih mengetahui. Baginda bersabda: Penyaksian “tiada Tuhan melainkan Allah dan bahawa Muhammad adalah pesuruh Allah” “mendirikan solat dan menunaikan zakat” dan “berpuasa di bulan Ramadhan”. Perkara ini sebagaimana yang datang di dalam hadis yang disepakati (oleh Bukhari dan Muslim) adalah termasuk dari hakikat-hakikat Iman.

BeRsAmBuNg......

Sunday, August 2, 2009

SeHaRuM KaStUrI

Hujan renyai-renyai kian membasahi bumi Kijang (nama sebuah kg yang terletak di Gua Ayam), Pak Abu kelihatan bermenungan di jendela rumahnya, sambil memerhatikan keadaan sekeliling dan tanah yang kian basah.. "nampak gayanya tak keluar menoreh lah hari ini" rungut Pak Abu.

Dah hampir seminggu hujan berlanjutan, begini lah cuaca yang sering terjadi di sebelah Pantai Timur bilamana tibanya musim tengkujuh, bukanlah Pak Abu seorang saja yang bernasib sedimikian, bahkan nelayan-nelayan pun mengalami nasib yang serupa setiap kali menghadapi 3 bulan yang terakhir pada setiap tahun.

Apa pun mereka itu tetap sabar dengan segala apa yang telah dijadi kan dan ditetapkan oleh Rabbnya. Kerana mereka sedar bahawa setiap apa yang berlaku, pasti akan ada hikmah disebaliknya, dan diketika itu juga Allah ingin menguji akan hamba-hamba-Nya untuk diberikan kebaikan (akan ditambah nikmat keatasnya) kepada mereka yang dapat menerima dan sekali gus bersabar, Adapun sebaliknya pula diberikan kepada mereka-mereka yang kufur akan ni`mat-Nya.. Kerana Allah telah berjanji kepada mereka-meraka yang bersabar dan sebaliknya dalam firman-Nya:

وَإِذْ تَأَذَّنَ رَبُّكُمْ لَئِنْ شَكَرْتُمْ لأزِيدَنَّكُمْ وَلَئِنْ كَفَرْتُمْ إِنَّ عَذَابِي لَشَدِيدٌ

Dan (ingatlah) ketika Tuhan kamu memberitahu: "Demi sesungguhnya! jika kamu bersyukur nescaya Aku akan tambahi nikmatKu kepada kamu, dan Demi sesungguhnya, jika kamu kufur ingkar Sesungguhnya azabKu amatlah keras".( Ibrahim: 7)..

B E R S A M B U N G...