Saturday, July 18, 2009

Ehems5

Salam Ukhwah, moga kita senantiasa di bawah lindungan-Nya..ameen

Sungguh sangat besar perbezaan, antara melanggar hal-hal yang diharamkan lalu berdalih secara batil bahawa agama adalah mudah dan memang tidak diragukan bahawa agama adalah mudah dengan menerapkan kelonggaran-kelonggaran yang diberikan oleh syariat.

Seperti dengan melakukan jama` dan qasar dalam solat (An-Nisa`: 101) dan berbuka puasa ketika musafir (Al-Baqarah: 185) , mengusap khuf bagi orang mukim sehari semalam dan bagi yang bermusafir tiga hari tiga malam, tayammum ketika takut bahaya kalau menggunakan air,(Al-Maidah: 6), jama` antara dua solat bagi orang sakit dan ketika sedang turun hujan lebat, boleh memandang kepada wanita bukan mahram untuk tujuan meminang, memilih dalam kaffarat (denda) sumpah antaranya memerdekakan budak, memberi makan kepada 10 orang miskin atau memberi pakaian (Al-Maidah: 89), makan bangkai ketika dalam keadaan darurat dan rukhsah-rukhsah serta keringanan syariat lainya.

Di samping hal-hal yang telah disebutkan, setiap muslim hendaklah mengetahui bahawa diharamkannya perkara tersebut terdapat hikmah yang besar di dalamnya diantaranya:

Allag menguji segenap hamba-Nya dengan hal-hal yang diharamkan tersebut, lalu Dia melihat bagaimana mereka berbuat. Dan di antara sebab perbezaan antara penduduk syurga dengan penduduk neraka adalah para penduduk neraka tenggelam dalam syahwat dan nerakalah menjadi tempat tinggalnya, dan para penduduk syurga sabar atas berbagai hal yang dibencinya dan syurga menjadi tempat tinggalnya. Jika tidak kerana ujian ini, tentu tidak akan boleh dibezakan antara tukang maksiat dengan orang taat.

Orang-orang beriman melihat beratnya kewajipan dengan cara memandang dari sisi perolehan pahala dan ketaatan terhadap perintah Allah, sehingga berharap mendapat redha-Nya. Dengan demikian kewajipan itu terasa ringan. Berbeza halnya dengan orang-orang munafik, mereka melihat beratnya kewajipan itu terasa berat untuk mereka lakukan dan ketaatan menjadi suatu yang sangat sukar.

Dengan meninggalkan hal-hal yang diharamkan, orang yang taat akan merasakan buah manisnya, yang mana sesiapa yang meninggalkan sesuatu kerana Allah, nescaya Allah akan menggantinya dengan sesuatu yang lebih baik daripadanya, lalu mendapatkan kelazatan Iman di dalam hatinya.

Dan untuk akhirnya, Hanya kepada Allah saja saya memohon petunjuk, taufiq serta kekuatan agar dijauhkan daripada perkara-perkara yang dilarang-Nya, untuk diri saya sendiri dan untuk segenap umat Islam. Dan mudah-mudahan Dia menjauhkan kita dari hal-hal yang diharamkan serta menjaga kita dari hal-hal yang buruk, sesungguhnya Allah adalah sebaik-baik penjaga dan Dia Maha Penyayang..... ameeen..

P/S Firman Allah yang bermaksud: "Allah tidak memberati seseorang melainkan apa yang terdaya olehnya. Ia mendapat pahala kebaikan yang diusahakannya, dan ia juga menanggung dosa kejahatan yang diusahakannya. (Mereka berdoa dengan berkata): "Wahai Tuhan kami! Janganlah Engkau mengirakan kami salah jika kami lupa atau kami tersalah. Wahai Tuhan kami ! Janganlah Engkau bebankan kepada kami bebanan yang berat sebagaimana yang telah Engkau bebankan kepada orang-orang yang terdahulu daripada kami. Wahai Tuhan kami! Janganlah Engkau pikulkan kepada kami apa yang kami tidak terdaya memikulnya. Dan maafkanlah kesalahan kami, serta ampunkanlah dosa kami, dan berilah rahmat kepada kami. Engkaulah Penolong kami; oleh itu, tolonglah kami untuk mencapai kemenangan terhadap kaum-kaum yang kafir". (AlBaqarah: 286)

No comments: