Tuesday, July 21, 2009

Tenggelamnya Kapal Van Der Wijck (Bhg. 4)

Tanah Asal

Bilamana Zainuddin telah sampai ke Padang Panjang, negeri yang ditujunya, telah diteruskannya perjalanan ke dusun Batipuh, kerana menurut keterangan orang tempat dia bertanya, di sanalah negeri ayahnya yang asli. Seketika dia mengenalkan diri kepada bakonya (keluarga dari pihak ayah), orang laksana kejatuhan bintang dari langit, tidak menyangka-nyangka akan beroleh seorang anak muda yang begitu pantas dan pantas, yang menurut adat di Minangkabau dinamai "anak pisang". Maklumlah, orang di sana masyhur di dalam menerima orang baru. Tetapi basa-basi itu lekas pula bosan. Oleh kerana yang kandung tidak ada lagi, apalagi ayahnya tidak bersaudara perempuan, dia tinggal di rumah persukuan dekat dari ayahnya.


Mula-mula datang, sangatlah gembira hati Zainuddin telah sampai ke negeri yang selama ini jadi kenang-kenangannya. Tetapi dari sebulan ke sebulan, kegembiraan itu hilang, sebab rupanya yang dikenang-kenangnya berlainan dengan yang dihadapinya. Dia tidak beroleh hati yang sebagai hati Mak Base, tidak mendapat kecintaan ayah dan bonda. Bukan orang tak suka kepadanya, suka juga, tetapi berlainan kulit dan isi. Jiwanya sendiri mulai terasa, bahawa meskipun dia anak Minangkabau tulen, dia masih dipandang sebagai seorang pendatang, masih dipandang orang jauh, orang Bugis, orang Mengkasar.

Untuk pehindarkan muka yang kurang jernih, maka bilamana orang ke sawah, bila orang ke ladang, dia pun ikut ke ladang. Dalam pada itu menambah pelajaran perkara tidak dilupakannya. Zainuddin seorang yang terdidik lemah lembut, didikan ahli seni, ahli syair, yang lebih suka mengalah untuk kepentingan orang lain.

Sesudah hampir enam bulan dia tinggal di dusun Batipuh, bilamana dia pergi duduk-duduk ke lepau tempat anak-anak muda bersenda gurau, orang bawa pula dia bergurau, tetapi pandangan orang kepadanya bukan pandangan sama rata, hanya ada juga kurangnya. Sehingga lama-lama insaflah dia perkataan Mak Base seketika dia akan belayar, bahawa adat orang di Minangkabau lain sekali. Bangsa diambil dari ibu. Sebab itu, walaupun seorang anak berayah orang Minangkabau, sebab di negeri lain bangsa di ambil dari ayah, jika ibunya orang lain, walaupun orang Tanapuli atau Bengkulu yang sedekat-dekatnya, dia dipandang orang lain juga. Malang nasib anak yang demikian, sebab dalam negeri ibunya dia dipandang orang asing, dan dalam negeri ayahnya dia dipandang orang asing juga.

Tak dapat Zainuddin mengatakan dia orang Padang, tak kuasa lidahnya menyebut dia orang Minangkabau. Dan dia tidak berhak diberi gelar pusaka, sebab dia tidak bersuku. Meskipun dia kaya raya, misalnya, boleh juga dia diberi gelar pinjaman dari bakonya tetapi gelar itu tak boleh diturunkan pula kepada anaknya. Melekatkan gelar itu pun mesti membayar hutang kepada negeri, sembelihkan kerbau dan sapi, panggil ninik mamak dan alim ulama, himbaukan di labuh nan golong, di pasar nan ramai.

Pada sangkanya semula jika dia datang ke Minangkabau, dia akan bertemu dengan neneknya, ayah dari ayahnya. Di sanalah dia akan memakan harta benda neneknya dengan leluasa sebagai cucu yang menyambung keturunannya. Padahal seketika dia datang itu, setelah dicarinya neneknya itu, ditunjukkan orang di sebuah kampung di Ladang Lawas, bertemu seorang tua di sebuah surau kecil, gelarnya Datuk Paduka Emas, dia hanya tercengang-cengang saja sambil berkata:" Oh….rupanya si Amin ada juga meninggalkan anak di Mengkasar."

Cuma sehingga itu pembicaraan orang tua itu, dan tidak ada tambahnya lagi. Dia tak kuasa hendak menahan cucunya tinggal dengan dia, sebab mesti muafakat lebih dahulu dengan segenap keluarga. Padahal sedangkan pihak si Amin pendekar Sutan, sudah jauh perhubungan keluarga, apalagi dengan anak yang datang dari "Bugis" ini.

Sekali itu saja Zainuddin datang kepada neneknya setelah itu tidak lagi. Dan neneknya pun tidak pula memesan-mesankan dia. Hatinya mulai jemu. Maka terbayang-bayanglah kembali di ruang matanya Kota Mengkasar, kota yang indah dan penuh peradaban, terbayang kembali lautan dengan ombak yang tenang, perahu Mandar, kapal yang sedang berlabuh, sehingga mahu dia rasanya segera pulang, bertemu dengan Mak Basenya yang tercinta.

Tetapi…ya tetapi kehendak Yang maha Kuasa atas diri manusia berbeza dengan kehendak manusia itu sendiri. Zainuddin telah jemu di Minangkabau, dan dia tidak akan jemu lagi, kerana tarikh penghidupan manusia bukan manusia membuatnya, dia hanya menjalani yang tertulis.

Tidak beberapa jauh dari rumah bakonya itu, ada pula sebuah rumah adat yang indah dan kukuh, menurut bentuk adatistiadat Minangkabau, bengonjong empat, beratap ijuk dan bertatahkan timah. Di hujung kedua pihak ada anjung peranginan, serambi muka bergonjong pula, lumbung empat buah berlerat di halaman. Halamannya luas, tempat menjemurkan padi yang akan ditumbuk. Pada buatan rumah, pada symbol pedang bersentak yang terletak di bawah gonjong kiri kanan, menandakan bahawa orang di rumah ini amat keras memegang adat lembaga, agaknya turunan regen atau Tuan Gedang di Batipuh, yang terkembang di Batipuh Atas dan Batipuh Baruh.

Meskipun adat masih kuat, namun gelora pelajaran dan kemajuan agama yang telah berpengaruh di Sumatera Barat, tidak juga melepaskan rumah adat yang kukuh itu dari cengkeramanya. Meskipun kehendak mamak yang tua-tua hendak menahan juga anak kemenakan yang perempuan menuntut ilmu, namun halangan itu sudah percuma saja. Gadis-gadis seisi rumah itu, yang selama ini turun sekali sejumaat diiringkan dayang-dayang banyak, sekarang telah mengepit kitab, melilitkan selendang pula, pergi menuntut ilmu. Ada yang ke Ladang Lawas, ada yang ke Gunung, dan ada juga yang ke Padang Panjang.

Hayati, gadis remaja puteri, ciptaan keindahan alam, lambaian Gunung Merapi, yang terkumpul padanya keindahan adatistiadat yang kukuh dan keindahan model sekarang, itulah bunga di dalam rumah adat itu. Hayati, adalah nama baru yang belum biasa dipakai orang selama ini. Nama gadis-gadis di minangkabau tempoh dahulu hanya si Cinta Bulih, Sabai Nan Aluih, Talipuk Layur dan lain-lain. Tetapi Hayati, adalah bayangan dan perubahan baru yang melingkari Minangkabau yang kukuh dalam adatnya itu.

Wahai, dari manakah pengarang yang lemah ini akan mulai menceritakan sebab-sebab Hayati berkenalan dengan Zainuddin?

Adakah dari sebab mereka kerap kali bertemu di bawah lindungan keindahan alam? Di sawah-sawah yang bersusun-susun? Di bunyi air mengalir di Batang Gadis menuju Sumpur? Ataukah dari dangau di tengah sawah yang luas, Pada waktu burung pipit terbang berbondong? Atau pada waktu habis menyabit, di kala asap jerami menjulang ke udara, dan awan meliputi puncak Merapi yang indah? Atau pada waktu keretapi membunyikan peluitnya di dalam kesusahan mengharung rimba dan jambatan yang tinggi, menuju Sawah Lunto dan melingkari Danau Singkarak? Dari manakah pengarang akan mulai menceritakan sebab-sebab mereka berkenalan?

Di dalam kalangan gadis-gadis di kampung Batipuh telah membuat mulut, bahawa ada sekarang seorang anak muda "orang jauh", orang Bugis dan Mengkasar, menumpang di rumah bakonya, Mande Jamilah. Anak muda itu baik budi pekertinya, rendah hati, terpuji dalam pergaulan, disayangi orang. Sungguh belajar, kerana dia berguru kepada seorang lebai yang ternama. Tetapi dia pemenung, pehiba hati, suka menyisihkan diri ke sawah yang luas, suka merenungi wajah Merapi yang diam tetapi berkata. Sayang dia orang jauh!

Mula-mula Hayati berkenalan dengan dia adalah ketika hujan lebat, sebab daerah Padang Panjang itu, lebih banyak hujannya daripada panasnya. Mereka akan kembali ke Batipuh. Tiba-tiba hujan lebat turun seketika mereka ada di Ekor Lubuk. Zainuddin ada menbawa payung dan Hayati bersama seorang temannya kebetulan tidak berpayung.

Hari hujan juga. Mula-mula mereka sangka akan lekas redanya, rupanya hujan yang tak diikuti angin yang kerap kali lama sekali. Sehingga bermenunglah anak muda itu di muka lepau orang, melihatkan titik-titik air dari atas ke tanah, menembusi halaman yang terkumpul. Kebetulan bendi pun tidak ada yang lalu. Sehingga dari pukul 2 sudah hampr pukul 4 mereka berdiri.

Hairan dengan Zainuddin, mengapa dia tidak berangkat sahaja padahal dia berpayung? Dia tahu akan gadis-gadis itu, orang sekampungnya sama-sama orang Batipuh, dia tahu benar, meskipun belum berkenalan. Tidak sampai hatinya hendak meninggalkan mereka. Anak-anak gadis itupun kenal akan dia, meskipun belum bertegur sapa, tetapi tak berani membuka mulut.

Hari petang juga, tiba-tiba timbullah keberanian Zainuddin, meskipun keringatnya terbit di waktu hujan, dia tampil ke muka, ditegurnya Hayati :"Encik…!

Hayati menentang mukanya tenang-tenang dan tidak menjawab, hanya seakan-akan menunggu apa yang dikatakannya.

"Sukakah Encik saya tolong?"
"Apakah gerangan pertolongan Tuan itu?"
"Berangkat encik dulu pulang ke Batipuh, marah mamak dan ibu Encik kelak jika terlambat benar akan pulang, pakailah payung ini, berangkatlah sekarang juga."
"Terima kasih Encik!" jawab Hayati.
"Janganlah ditolak pertolongan itu," kata orang lepau dengan tiba-tiba. "Orang hendak berbuat baik tidak boleh ditolak."
"Dan Tuan sendiri bagaimana?" jawab Hayati pula, sedang temannya yang seorang lagu menekur-nekur sahaja kemalu-maluan.
"Itu tak usah Encik susahkan, orang laki-laki semuanya mudah baginya, pukul 7 atau pukul 8 malam pun saya sanggup pulang, kalau hujan ini tak reda juga. Berangkat lah dahulu!"
"Kemana payung ini kelak kami hantarkan?"
"Besok saja hantarkan pun tak jadi apa, ke rumah Mande Jamilah!"
"Terima kasih Tuan, atas budi yang baik itu," ujar Hayati sambil tersenyum, senyum bulan kehilang entah jadi entah tidak.
"Ah, baru pertolongan demikian, Encik sudah hendak mengucapkan terima kasih!"

Kedua gadis itu pun berangkatlah di dalam hujan, berpayung berdua berlambat-lambat. Zainuddin tegak termenung seorang dirinya, menunggu biar hujan itu reda. Dalam renungnya itu, berjalanlah fikirannya kian kemari.

Ia teringat payung, teringat hujan, teringat kota Mengkasar jika musim hujan, 40 hari lamanya tidak pernah melihat matahari. Lama-lama teringat dia kepada Hayati yang meminjam payungnya. Itulah rupanya Hayati, yang kerap kali jadi sebutan oleh anak-anak muda temannya bermain,yang jadi buah mulut dan pujian.

Ah, alangkah beruntungnya jika dapat berkenalan dengan gadis itu, berkenalan saja pun cukuplah. Mukanya amat jernih, matanya penuh dengan rahsia kesucian dan tabiatnya gembira. Kalau kiranya gadis demikian ada di Mengkasar….ah!

Hujan pun reda, dia pun pulanglah ke Batipuh, dengan langkah yang cepat dan biasa. Bertambah dekat kampung Batipuh, bertambah jauh dia dari kegembiraannya, sebab kemanisan mulut bakonya kepadanya hanyalah lantaran belanja bulanan yang diberikannya tetap, kiriman Mak Base dari Mengkasar. Bila hari telah malam, dia pergi tidur ke surau, bersama-sama dengan lain-lain anak muda, kerana demikian menurut adat. Semalam itu, Zainuddin dikerumuni mimpi-mimpi yang indah.

Bersambung lagi.....


*Penulis : Haji Abdul Malik Karim Abdullah (HAMKA)
*Tajuk : Tenggelamnya Kapal Van Der Wijck

No comments: