Wednesday, July 22, 2009

Warkah buat sahabat

Sahabat ku!!

Pernahkah kau mendengar khabar berita seorang haji yang berlayar ke Mekkah, membawa isterinya dan anak-anaknya yang masih kecil tiga orang banyaknya, isterinya itu sedang hamil pula. Tiba-tiba penyakit wabak pun datanglah di negeri suei itu, si suami meninggal dunia di sana. Seketika Tuan Syeikh memaklumkan kepada jemaahnya bahawa haji telah selesai dan jemaah-jemaah mesti berangkat ke Jedah akan kembali pulang, pergilah isteri itu membawa anak-anaknya ketiganya ke pusara ayahnya, meratap dan memberitahukan bahawa mereka akan pulang lagi, pulang sendirinya tak berteman, menghadapi kemiskinan dan keyatiman, dan suami yang berbudi itu akan dipertaruhkan menjaganya kepada Ka 'bah.


Pernahkah kau melihat seorang perempuan tua yang berjalan hilir sawah mudik sawah, sambil bernyanyi menyebut-nyebut nama anaknya. laitu seorang perempuan yang masih muda, yang wafat seketika dia akan dikahwinkan, sehingga sedianya akan dibawa bertandang ke rumah mentuanya dengan peralatan besar, kiranya diiringkan ke kuburan oleh orang kampung bersama-sama.

Pernahkah kau mendengar seorang anak muda yang baru bertunangan, berjalan ke rantau orang hendak mencari maskahwin dan kain baju, untuk diberikan kepada tunangannya bilamana dia pulang kelak. Setelah dua tahun dia berjalan, dia pun pulang, didapatinya tunangannya tadi telah bersuami orang lain yang lebih kaya, sebab dia terdengar miskin.

Pernahkah kau dengar bahawa seketika dia pulang itu, setelah sampai kepadanya khabar bahawa tunangannya telah bersuami, dia duduk di tepi batang air yang deras, menangisi nasibnya, dan akhirnya dilemparkan petinya itu ke dalam air. Setelah itu dia kembali merantau, sehingga tak pulang-pulang lagi sampai sekarang ini.


Pernahkah kau mendengar khabar seorang perempuan yang mempunyai dua orang anak laki-laki, .Yang seorang berjalan ke Jakarta dan seorang berjalan ke medan . Tiba-tiba sampai kepadanya khabar bahawa anaknya yang tua mati di rumah sakit, dan anak yang kedua mati pula di dalam mencarikan kepalanya yang tak tertutup dari perutnya yang tak berisi. Sehingga kepada tiap-tiap orang yang pulang merantau ,ditanyakannya juga, adakah bertemu anaknya, dan bila dikatakan orang bahawa anak itu sudah mati, dia termenung, dia tak menangis lagi, sebab sudah kering air mata yang akan ditangiskannya.

Pernahkah kau mendengar nasib seorang tua yang menjadi tukang rumput, mempunyai isteri yang sedang sakit dan anak yang sedang sarat menyusu. Beras yang akan ditanak tak ada, dicubanya meminjam kepada orang sebelah rumah, orang tak mahu meminjami lagi, sebab hutang beras tiga dan empat hari yang lalu belum juga dibayarnya. Lantaran terlalu susah, pergilah dia mencuri beras orang itu dan dibawanya pulang. Dimasaknya beras itu ke dapur, sedang isteri dalam menarik nafas yang penghabisan. Tiba-tiba polis pun datanglah menangkapnya, dia akan dibawa ke pejabat mahkamah; nasi hangus, anaknya meratap dan isterinya mati setelah dia sampai ke pintu. Sehingga lantaran hebatnya cubaan itu, fikirannya bertukar, dia gila, sehingga tak jadi dibawa ke kantor mahkamah, melainkan dihantarkan terus ke rumah sakit gila.

Kalau pernah kau dengar segala cerita itu atau pernah kau lihat; kalau pernah kau dengar nyanyian orang kurungan menunggu vonis buangan, atau rintihan dan pekik orang sakit di dalam rumah sakit, atau tertawa yang tinggi dan rambut yang telah panjang dan pakaian yang compang-camping dari orang gila, sehingga lantaran itu kau jatuh belas kasihan, kau tangisi nasib mereka yang malang dan untung mereka yang buruk, maka ketahuilah sahabatku, bahawa nasibku lebih lagi malangnya dari itu.

Sayalah yang lebih layak menerima kasihan kau, menerima ratap kau dan tangis kau '"
Tak ada lagi yang kutuliskan kepadamu, pelita hatiku dari sedikit ke sedikit beransur padam. Agaknya inilah surat yang penghabisan kepadamu.

Selamat tinggal sahabatku! Kalau umurku masih panjang, entah tidak akan bertemu lagi, dan kalau umurku singkat maka inilah ucapanku yang penghabisan .

P/S :
Hanya yang mengerti... akan mengerti..

No comments: